Anda di halaman 1dari 4

Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020.

Keadaan ini telah


membawa kita mendepani realiti dunia baru yang pantas berubah dan berkembang. Namun,sejak
dua dan tiga dekad kebelakangan ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat
penjuru isu kemalangan jalan raya kini dilihat tiada kesudahannya. Malah menurut satu kajian yang
dijalankan oleh sebuah badan swasta menunjukkan bahawa kadar peratusan kemalangan jalan raya
meningkat sebanyak lima peratus dari tahun ke tahun. Bukti yang boleh dilampirkan sebagai
sokongan kepada fakta ini ialah, hampir setiap akhbar memaparkan mengenai kes-kes kemalangan
jalan raya sebagai tajuk besar di halaman hadapan dada-dada akhbar. Lantaran itu,cuba kita renung
sejenak,sudah berapa banyak nyawakah yang terkorban akibat kelalaian diri mahupun pihak-pihak
yang bertanggungjawab dalam kemalangan jalan raya di negara kita,dalam tempoh beberapa dekad
kebelakangan ini? Bilangannya pasti tidak terkira. Namun begitu,setiap penyakit pasti ada
penawarnya. Begitu juga dengan kes-kes sebegini. Pelbagai langkah yang pragmatik lagi sistematik
dapat dijalankan oleh semua pihak bagi menangani masalah kemalangan jalan raya yang sudah
begitu lama berlaku di negara kita.

Memang tidak dapat dinafikan dan disangkal lagi bahawa segala penyelesaian kepada sesuatu
masalah bermula daripada individu itu sendiri. Bagi mengorak langkah menangani kemalangan jalan
raya ini,setiap individu di Malaysia haruslah melaksanakan anjakan paradigma dengan mengamalkan
cirri pemanduan berhemah semasa di jalan raya. Ciri pemanduan dapat dipraktikkan dengan
mengenakan topi keledar bagi penunggang motorsikal serta memandu mengikut had laju yang telah
ditetapkan. Dengan mengamalkan ciri pemanduan berhemah ini,sudah tentu individu akan dapat
mengelakkan diri daripada terjebak dengan perkara-perkara yang mendorong ke arah kemalangan
jalan raya kerana umum mengetahui bahawa malang tidak berbau.Namun apa yang mengecewakan
ialah terdapat sebilangan individu yang memandang enteng terhadap perkara ini dengan langsung
tidak mempraktikkan ciri tersebut kerana beranggapan garis panduan tersebut hanyalah untuk
mereka yang tidak tahu memandu atau bagi pemandu-pemandu baru.Tetapi disebabkan mentaliti
mereka yang beranggapan sedemikianlah,kecenderungan untuk berlakunya kemalangan jalan raya
amatlah tinggi.Janganlah sudah terhantuk baru tengadah.Ingatlah nyawa manusia tidak dapat
digantikan dengan apa-apa barang mahupun wang ringgit.Selain itu,setiap individu juga perlulah
bijak mengawal emosi khususnya semasa memandu.Hal ini demikian kerana tahap kesabaran
seseorang pemandu itu pasti akan teruji tatkala dia berada dalam kesesakan jalan raya sebagaimana
yang sering berlaku di bandar-bandar utama seperti Johor Bharu dan Kuala Lumpur.
Kesannya,mereka bersikap serakah di jalan raya dengan memandu dalam had laju yang tinggi serta
melanggar lampu isyarat. Berpeganglah kepada kewarasan akal yang rasional dalam apa-apa jua
keadaan,bak kata peribahasa,ikut hati mati, ikut rasa binasa. Oleh itu, jadikanlah pemanduan
berhemah sebagai amalan kerana pandu cermat jiwa pasti selamat.

Selain itu, kerajaan perlu sama memainkan peranan penting dalam usaha penyelesaian ini.
Perundangan merupakan satu langkah yang penting untuk menyelesaikan masalah salah laku jalan
raya. Tanpa perundangan, pemandu-pemandu yang jahat dan “tidak masuk ajar” akan terus
mengancam keselamatan jalan raya. Perundangan boleh dikategorikan kepada dua bahagian yang
besar iaitu pembentukan undang-undang dan penguatkuasaan undang-undang. Pembentukan
undang-undang merupakan asas kepada perundangan. Undang-undang yang dibentuk seharusnya
mempunyai kesan psikologi ke atas pengguna jalan raya yang jahat dan praktikal pula kepada pihak
polis untuk dilaksanakan. Dengan adanya undang-undang yang membawa hukuman yang
menakutkan maka sebahagian besar pengguna jalan raya akan takut terlibat dalam salah laku. Bagi
segelintir pengguna jalan raya yang keras kepala dan mengancam keselamatan awam maka di
bawah undang-undang mereka boleh dihalang untuk terus demikian dengan mekanisme
kepenjaraan.Undang-undang tidak akan sempurna sekiranya ia tidak dilengkapi dengan
penguatkuasaan undang-undang. Penguatkuasaan yang baik sememangnya boleh meningkatkan
kewibawaan undang-undang dan kesannya terhadap keselamatan awam. Untuk itu pihak berkuasa
haruslah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan. Sebagai tambahan,penguatkuasaan undang-
undang perlu dilaksanakan dan hukuman berat mesti dikenakan terhadap sesiapa yang berani
melanggar peraturan di jalan raya,bak kata peribahasa, "setinggi-tinggi terbangnya bangau, akhirnya
pasti jatuh ke tanah". Tamsilnya, cadangan agar pesalah laku trafik haruslah didenda sekurang-
kurangnya RM500 atau dipenjarakan selama enam bulan perlu diterima pakai bagi mengurangkan
kadar kemalangan jalan raya dan agar pengguna jalan raya tidak akan berani memperlekeh amaran
kerajaan lagi.Tambahan lagi, kerajaan juga mestilah memperketat tahap kelulusan ujian yang
dijalankan untuk menguji pemandu kenderaan. Kebanyakkan daripada pengguna-pengguna yang
terlibat dalam kemalangan jalan raya ialah mereka yang berdarah muda. Lalu,usaha kerajaan
mestilah berlandaskan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Lesen-lesen tidak harus
diberikan kepada para pemandu dengan mudah agar kesedaran sivik mengenai pentingnya menuruti
segala peraturan jalan raya yang ditetapkan benar-benar tersemai dalam sanubari mereka.

Rentetan itu, kerajaan mesti sentiasa membiayai perbelanjaan untuk mengadakan pelbagai kempen
kesedaran..Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya merupakan antara pihak
yang acap kali diberi obligasi dalam melaksanakan kempen kesedaran seperti Kempen Keselamatan
Jalan raya. Kempen-kempen ini haruslah diadakan dengan objektif menyedarkan para pengguna
jalan raya tentang kepentingan mematuhi peraturan jalan raya. Inisiatif ini mampu membantu
meminimumkan kemalangan di jalan raya yang terus berlaku. Namun begitu,jika hanya sebelah
pihak sahaja yang bersungguh-sungguh melaksanakan program ini tanpa ada sebarang sokongan
daripada rakyat, akibatnya segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan dapat diibaratkan bagai
mencurahkan air ke daun keladi. Maka,setiap pengguna jalan raya perlu memberikan kerjasama
yang sepenuhnya demi merealisasikan hasrat kerajaan dalam Wawasan Keselamatan Jalan Raya
Tahun 2010 untuk mencapai kadar kemalangan jalan raya yang minimum. Seterusnya, polis trafik
mestilah menjalankan tugas dengan dedikasi. Mereka mesti menjalankan tugas masing-masing dan
memberkas golongan yang melanggar undang-undang di jalan raya. Saman mesti sentiasa
dikeluarkan untuk memberi amaran kepada si pelanggar peraturan jalan raya. Kelengkapan polis
trafik turut mestilah sempurna. Di samping itu, polis trafik yang amanah amat diperlukan. Mereka
tidak harus menerima rasuah sebaliknya mesti bersikap adil dan saksama. Sikap berdiri di atas pagar
mestilah dipraktikkan oleh anggota polis trafik. Implikasinya, anggota polis trafik juga turut
memainkan peranan yang penting dalam mencegah kemalangan di jalan raya.
Bertitik tolak daripada itu, pihak swasta juga memainkan peranan yang vital dalam mencegah
kemalangan jalan raya daripada terus membarah dalam kalangan masyarakat Malaysia.Pihak swasta
seperti syarikat bas haruslah memberikan perkhidmatan bas yang terbaik agar bilangan kemalangan
yang semakin meningkat dapat dikurangkan. Antara prakarsa yang dapat dilaksanakan oleh syarikat
bas tersebut ialah dengan mengambil pemandu bas yang cermat dan berhemah untuk bekerja.
Dengan itu,keselamatan bas serta penumpangnya akan terjamin apabila pemandu bas mematuhi
peraturan jalan raya yang ditetapkan seperti had laju. Di samping itu,syarikat bas juga perlulah
menetapkan bahawa pemandu bas mestilah menyelenggara bas mereka secara berkala. Mereka
perlu memastikan agar bas tersebut bebas daripada kerosakan teknikal sebelum memulakan sesuatu
perjalanan. Dalam konteks ini,masalah-masalah seperti kerosakan enjin , tayar pancit dan brek yang
tidak berfungsi dapat diatasi serta-merta kerana kemalangan dapat disinonimkan dengan peribahasa
malang tidak berbau. Bukan itu sahaja,pemandu gantian juga harus ditempatkan semasa
pemanduan sebagai inisiatif untuk mengelakkan kealpaan pemandu lain apabila berasa penat dan
letih. Hal ini demikian kerana,mengikut kajian kes,kebanyakan kemalangan yang terjadi berpunca
daripada kecuaian pemandu itu sendiri. Tegasnya,dengan menempatkan pemandu sementara
,kemalangan jalan raya dapat diatasi dengan lebih efektif. Selain syarikat bas,syarikat petroleum
negara iaitu Petronas dapat dijadikan contoh terbaik kerana berani untuk mengambil langkah untuk
mencegah kemalangan jalan raya kerana hendak seribu daya,tak hendak seribu dalih. Syarikat
berkaliber itu mengadakan program Street Smart yang bertujuan memupuk kesedaran rakyat
Malaysia agar lebih berhati-hati di jalan raya selain sentiasa mematuhi praturan jalan raya. Program
ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada segenap lapisan masyarakat
terutamanya pelajar sekolah. Maka jelaslah bahawa syarikat swasta penting dalam usaha mencegah
kemalangan jalan raya.

Bukan itu sahaja,media massa juga memikul obligasi yang berat dalam mencegah kemalangan jalan
raya daripada terus berlaku. Pihak media massa sama ada media cetak seperti Berita Harian atau
media elektronik seperti Media Prima haruslah menguar-uarkan mengenai isu-isu kemalangan jalan
raya agar isu yang diiklankan di kaca televisyen dan di dada akhbar itu menjadi pengajaran kepada
orang ramai mengenai bahayanya pemanduan yang tidak berhemah. Di samping itu,media massa
juga boleh melaksanakan program pendidikan keselamatan jalan raya di Malaysia secara formal
yakni kurikulum di sekolah dan institusi memandu dan secara tidak formal yakni melalui kempen-
kempen bagi melahirkan pengguna jalan raya bertaraf lima bintang.Bukan itu sahaja,pihak media
massa juga mestilah mengadakan kempen keselamatan jalan raya terutamanya sempena musim-
musim perayaan. Hal ini demikian kerana kejadian kemalangan jalan paling kerap berlaku semasa
musim-musim seperti ini. Dengan bertemakan konsep ‘’Kemalangan Sifar” dan ‘’Pandu Cermat Jiwa
Selamat’’ ,kempen ini sedikit sebanyak menyemai benih kesedaran dan sikap berhati-hati di jalan
raya dalam sanubari para pemandu. Seiring dengan itu,kempen yang memberi sedikit pengetahuan
kepada pengguna jalan raya harus diperhebatkan dan perlu dilaksanakan dengan lebih agresif dan
berterusan agar kemalangan jalan raya dapat dibanteras hingga ke akar umbi.Selain itu,slogan
“Jangan biarkan keluarga anda menunggu dalam tangisan” dapat dihayati oleh masyarakat melalui
kempen yang dianjurkan oleh media massa. Oleh hal yang demikian ,telah terbuktilah bahawa media
massa memberi impak yang besar dalam usaha untuk mengecilkan bilangan kemalangan jalan raya
yang saban hari kian meningkat.
Kemalangan jalan raya juga boleh dielakkan sekiranya masyarakat turut sama memainkan peranan.
Sekiranya berlaku sebarang kerosakan jalan raya di sesebuah kawasan taman perumahan, haruslah
terdapat seseorang di dalam komuniti tersebut yang peka terhadap kesulitan tersebut dan berusaha
melaporkannya kepada pihak yang berwajib. Sesungguhnya bulat air kerana pembetung,bulat kata
kerana muafakat,bersatu teguh,bercerai roboh,maka masyarakat seharusnya bersatu hati bagai aur
dengan tebing untuk memastikan tidak berlakunya kemalangan jalan raya. Oleh hal yang
demikian,masyarakat haruslah bekerjasama dengan pihak polis sekiranya mereka mendengar,
melihat mahupun terlibat dengan kemalangan di jalan raya serta jenayah-jenayah di jalan raya yang
boleh mencetuskan kemalangan seperti aktiviti lumba haram atau pemanduan tidak berhemah.
Masyarakat juga boleh menyertai kempen-kempen keselamatan jalan raya yang dianjurkan oleh
pihak kerajaan,sekali gus menjayakannya. Dengan mengamalkan serta menghayati kempen
tersebut , kemalangan jalan raya dapat dielakkan. Berpeganglah dengan kata-kata mantan Perdana
Menteri ke-4,Tun Dr. Mahathir Muhammad, “ Bersatu padulah kita membuat kebaikan dan
kemajuan,dan janganlah kita bersatu padu membuat kerosakan dan kemusnahan ’’, justeru setiap
ahli dalam masyarakat haruslah saling mengingatkan antara satu sama lain dan haruslah kita bersatu
padu menangani isu kemalangan jalan di samping berusaha untuk tidak menglibatkan diri dalam
kemalangan jalan raya.

Intihanya, kemalangan jalan raya merupakan polemik semasa yang tiada kesudahan. Jika kita
berhasrat untuk menangani kemalangan jalan raya yang semakin hari semakin serius ini,langkah-
langah yang proaktif dan konkrit haruslah dilaksanakan kerana mencegah itu lebih baik daripada
mengubati. Kemalangan jalan raya mampu dielakkan sekiranya semua pihak tidak kira individu,
masyarakat , pihak kerajaan serta serta pihak bukan kerajaan bersatu hati menggembleng tenaga
dan usaha yang berkesan menangani isu kemalangan jalan raya . Kadar kemalangan yang sedikit
mampu menaikkan martabat dan imej negara di pentas dunia agar negara kita dihormati dan
dipandang tinggi serta dilabel sebagai negara yang mengamalkan undang-undang jalan raya yang
berkesan . Oleh hal yang demikian , cegah sebelum parah, ingatlah orang yang tersayang, maka
pandulah dengan berhati-hati di jalan raya.

Anda mungkin juga menyukai