Anda di halaman 1dari 4

Punca-punca dan cara mengatasi kemalangan jalan raya Kes kemalangan jalan raya menjelang hari raya semakin

meningkat sejak kebelakangan ini. Pada tahun-tahun lepas kadar kemalangan jalan raya pada musim perayaan khususnya Hari Raya Aidilfitri tidak sebanyak pada tahun lepas. Terdapat banyak punca yang menyebabkan berlakunya peningkatan kes kemalangan jalan raya di negara kita. Antara punca utama kemalangan itu ialah kebanyakan pemandu tidak mempunyai lesen memandu. Sesetengah pemandu juga menggunakan lesen memandu yang palsu. Oleh itu, apabila tidak memiliki lesen yang sah, maka pemandu tersebut sudah semestinya tidak cekap dan tidak biasa memandu kenderaan. Hal ini akan mengakibatkan kemalangan. Setiap pemandu harus mempunyai lesen kenderaan kerana sebelum seseorang itu memperoleh lesen memandu, mereka telah didedahkan dengan teknik pemanduan yang betul. Malah apabila mereka lulus ujian pemanduan barulah mereka dianggap layak memandu kenderaan. Oleh itu seseorang yang masih tidak mempunyai lesen memandu dinasihatkan agar tidak memandu kenderaan di jalan raya. Selain itu, kebanyakan kes kemalangan jalan raya juga berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan itu sendiri. Ramai pemandu yang memandu dalam keadaan mengantuk. Biasanya keadaan mengantuk ini berlaku ketika tengah hari dan sebelah malam. Mereka yang memandu dalam keadaan mengantuk besar kemungkinan terlelap seketika semasa memandu. Seterusnya mengakibatkan kenderaan mereka terbabas ataupun melanggar kenderaan lain pada arah yang bertentangan. Saya amat berharap agar para pemandu memastikan mereka tidak mengantuk semasa memandu kenderaan mereka. Sekiranya pemandu mengantuk mereka dinasihatkan supaya berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan. Kemalangan juga boleh berlaku apabila pemandu dalam keadaan mabuk. Kemampuan pemandu untuk mengawal kenderaan mereka akan menjadi berkurangan apabila mereka mabuk. Hal ini kerana mereka memandu dalam keadaan berkhayal. Kenderaan yang dipandu mungkin akan membelok ke kiri dan ke kanan sehingga menyebabkan kemalangan. Lebih malang lagi jika kecuaian pemandu ini melibatkan kemalangan kepada pihak lain. Saya juga berpesan kepada semua hadirin agar tidak sekali-kali memandu dalam keadaan mabuk. Ia bukan sahaja membahayakan nyawa anda malahan pengguna jalan raya yang lain. Kita seharusnya memandu kenderaan yang sempurna sifatnya. Sebelum memandu kenderaan, kita mesti memeriksa kenderaan kita supaya selamat untuk dipandu. Contohnya, keadaan minyak hitam, brek, bateri, air, dan lampu berada dalam keadaan baik. Terdapat pemandu yang tidak menghiraukan masalah ini. Mereka mengabaikan kesempurnaan kereta mereka. Contohnya, mereka tidak mengganti tayar yang haus. Apabila tayar kita sudah haus, sudah tentu daya cengkaman kenderaan itu akan berkurangan. Hal ini lebih membahayakan ketika hujan kerana sewaktu hujan, cengkaman tayar dengan jalan raya semakin berkurangan. Jelas di sini, tayar yang haus boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. Bagi mengatasi masalah ini, pihak polis trafik telah mengadakan pelbagai usaha bagi mengurangkan lagi kadar kemalangan jalan raya. Usaha yang dilakukan nampaknya masih kurang berkesan. Pihak kami sering mengadakan kempen keselamatan jalan raya terutama sempena sambutan hari raya. Hal ini kerana kami telah mendapat maklumat bahawa kejadian kemalangan jalan raya semasa musim perayaan meningkat dengan mendadak berbanding hari-hari lain. Hal ini kerana semua rakyat di Malaysia akan melakukan perjalanan jauh sarna ada pulang ke kampung ataupun pergi melancong. Kempen-kempen yang dilakukan tertumpu di jalan-jalan utama di seluruh negara. Melalui kempen ini sedikit sebanyak dapat memberikan kesedaran kepada pengguna jalan raya. Pada tahun lepas, Menteri Besar Kedah telah menyertai kempen keselamatan jalan raya. Kempen ini telah diadakan di lebuh raya Bukit Kayu Hitam-Sungai Petani. Ketika beliau berucap, beliau telah menekankan kesedaran kepada para pemandu agar memandu kenderaan mereka dengan cermat. Malah beliau juga turut memberikan baju keselamatan kepada penunggang motosikal. Kempen ini sekurang-kurangnya berjaya memberikan sedikit pengetahuan kepada pengguna jalan raya. Pihak polis trafik juga telah memasang kamera perangkap kelajuan. Kami telah memasangnya di tempat-tempat yang strategik iaitu kawasan yang biasanya dipandu laju oleh pemilik kenderaan. Jika mereka memandu dengan kelajuan melebihi 110 km sejam, justeru kamera perangkap kelajuan ini akan merakam gambar kereta dan pemandunya. Selepas disemak oleh pegawai kami, dan didapati mereka telah melanggar had kelajuan yang dibenarkan, pihak kami akan menghantar surat sama kepada pemiliknya. Cara ini telah dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama di Lebuh Raya Utara-Selatan. Pasukan polis trafik bertugas selama 24 jam di sekitar jalan raya utama di negara ini. Mereka akan memastikan agar pemandu tidak membawa kenderaan mereka dengan laju atau secara berbahaya. Jika para pemandu memandu kenderaan mereka dengan laju, mereka boleh disaman ataupun kenderaan mereka boleh ditahan. Banyak saman telah dikeluarkan oleh pasukan polis trafik melalui cara sebegini terutamanya di sekitar bandaraya Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan di Johor Bahru. Jelaslah bahawa kemalangan jalan raya sebenarnya berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri. Seandainya pemandu itu berhati-hati ketika memandu maka kemalangan jalan raya dapat dikurangkan. Tetapi seandainya pemandu itu masih lagi berdegil dan tidak mematuhi undang-undang jalan raya justeru kadar kemalangan ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Oleh itu saya berharap agar setiap yang hadir ini menyedari pentingnya kita berhemah semasa memandu di jalan raya.

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI GEJALA VANDALISME Saban hari, kita sering mendengar isu remaja yang tidak pernah habis diperkatakan. Tidak kurang juga berita-berita mengenai salah laku oleh remaja yang tidak pernah lekang di dada-dada akhbar tempatan hampir pada setiap hari. Remaja sebenarnya bolehlah dianalogikan sebagai batu permata yang bakal mencorakkan masa depan negara. Namun, mereka tidak sedar akan hakikat tersebut. Mereka sering melakukan kesalahan yang melibatkan kemusnahan harta benda awam yang boleh diringkaskan dengan perkataan vandalisme. Menyedari tentang hal ini, tiadakah usaha-usaha dari pihak tertentu untuk menangani masalah ini? (82 patah perkataan) Dalam konteks ini, ibu bapalah yang perlu memainkan peranan penting. Didikan agama dan nilai moral yang sempurna haruslah ditanam dalam jiwa anak-anak mereka. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka supaya menghargai harta benda awam yang terdapat baik di kawasan tempat tinggal mereka mahupun di tempat lain. Selain itu, mereka harus memantau aktiviti-aktiviti yang biasa dilakukan oleh anak-anak mereka dan mengetahui latar belakang rakan-rakan bagi anak-anak mereka. Sekiranya mereka mendapati anak-anak mereka terlibat dalam gejala vandalisme ini, tindakan sewajarnya harus dilakukan. Hal ini termasuklah dengan memberi amaran tegas kepada anak-anak mereka. Tindakan ini memang sesuai dengan kata orang-orang tua,Sayangkan anak, tangan-tangankan. (100 patah perkataan) Di samping itu, masyarakat tidak harus berpeluk tubuh apabila gejala vandalisme menjalar dengan berleluasa di kawasan perumahan mereka. Perbuatan seperti menconteng dinding bangunan, merosakkan telefon awam, buaian di taman permainan dan tong sampah awam wajar diambil perhatian. Masyarakat di sesebuah kawasan itu perlu mengadakan mesyuarat dengan para ibu bapa tentang gejala itu dan mengenakan tindakan seperti denda berupa bayaran kepada ibu bapa yang didapati anaknya terlibat dalam salah laku ini. Kesannya, ibu bapa akan menjadi lebih peka terhadap tindak-tanduk anak-anak mereka. (81 patah perkataan) Selain itu, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen untuk memerangi gejala vandalisme. Pihak kerajaan boleh menyebarkan idea tersebut melalui stesen televisyen dan radio tempatan untuk menangani gejala yang semakin membarahi negara ini. Kerajaan juga perlu mengenakan bayaran kompaun yang setimpal kepada sesiapa yang didapati melakukan sebarang aktiviti yang melibatkan kerosakan harta benda awam. Individu yang didapati bersalah melakukan perbuatan laku musnah ini perlulah melakukan kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat seperti menyapu sampah dan membersihkan tandas awam dan taman-taman permainan. Natijahnya, sudah pasti gejala vandalisme akan dapat diatasi dengan penguatkuasaan undang-undang yang tegas oleh pihak berwajib. (93 patah perkataan) Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu dan mengerah keringat untuk bersama-sama memerangi gejala vandalisme ini. Walaupun isu ini dilihat tidaklah terlalu teruk, tetapi ingatlah bahawa ia dapat memberi impak yang besar kepada negara. Sekiranya semua kemuahan awam kita tidak boleh digunakan atau diconteng, maka di manakah kita hendak meletakkan air muka kita. Imej negara yang bersih hanya akan tinggal kenangan sahaja. Ayuhlah kita bertindak segera untuk memerangi gejala ini dan ingatlah , jangan sudah terhantuk barulah nak terngadah.(78 patah perkataan) Malaysia dengan bangganya menuju ke alaf baru yang berorientasikan sains dan teknologi. Namun mereka alpa dengan perkembangan sosial di negara ini. Saban hari, terdapat laporan bayi yang dijumpai di dalam tandas, di tepi longkang, dan lain-lain tempat tanpa ada perasaan perikemanusiaan. Tatkala ingin menyembunyikan perbuatan dusta itu mereka sanggup membuang bayi dengan harapan diberi peluang menjalani kehidupan baru. Hal ini turut diakibatkan oleh mereka tidak sanggup diejek dan dicaci oleh masyarakat setempat. Di samping itu sikap masyarakat yang tidak prihatin, hanya berpeluk tubuh, dan mengabaikan isu itu turut menjadi punca gejala ini menjadi-jadi. Mereka bersikap demikian kerana menganggap isu ini adalah sesuatu yang memalukan. Terdapat juga, ahli masyarakat yang hanya menuding jari terhadap golongan remaja. Pada pandangan mereka inilah pencetus berlakunya pembuangan bayi kerana pergaulan bebas. Lebih-lebih lagi remaja yang suka melepak dan membuang masa dengan sia-sia dianggap sebagai sampah masyarakat. Sebagai masyarakat, kita sepatutnya memberi teguran membina kepada remaja tersebut. Selain itu kesilapan yang paling nyata ialah sikap wanita dan lelaki yang melakukan perzinaan sesuka hati. Mereka tergolong dalam kalangan yang kurang pendidikan agamanya. Selepas itu, masing-masing hilang rasa tanggungjawab ke atas apa yang mereka lakukanc hingga sanggup mengorbankan anak. Hukuman yang kurang berat juga menggalakkan kes-kes pembuangan bayi ini. Ibu bapa mangsa bayi yang dibuang tidak dikesan bersungguh-sungguh sehingga masalah penjagaan bayi diserapkan bulat-bulat kepada pihak hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Hukuman yang dikenakan hanya penjara dan denda yang mampu dllaksanakanoleh pesalah. Galakan daripada badan tertentu yang sanggup memelihara mangsa ini juga menggalakkan ibu bapa membuang anak-anak mereka. Mereka berpendapat terdapat golongan yang menyayangi anak mereka dan memelihara anak mereka dengan baik. Kebanyakan ibu bapa yang menyayangi anak-anak mereka berperasaan demikian.

Ekoran itu, ibu bapalah watak utama dalam mencorakkan sahsiah anak-anak mereka. Masalah pembuangan bayi ini pasti dapat ditangkis sekiranya wujud kesedaran dan rasa tanggungjawab dan masyarakat dengan mengambil tahu serta cuba membanterasnya seterusnya wujudnya masyarakat yang bersifat penyayang

Fenomena pembuangan bayi ini semakin menjadi-jadi dan membimbangkan. Keadaan ini sebenarnya sukar diterima oleh akal manusia yang sempurna. Lebih menyedihkan kerana angka yang tinggi dikaitkan pula dengan masyarakat Melayu. Terdapat beberapa faktor-faktor yang menyebabkan berlaku masalah ini. Faktor utama berlakunya pemasalahan ini ialah kurangnya kefahaman agama di kalangan masyarakat secara menyeluruh.. Tidak dapat dinafikan bahawa kesedaran agama dan semangat beragama akhir-akhir ini begitu menonjol tetapi ia tidak menyeluruh, hanya terbatas pada golongan tertentu sahaja sedangkan golongan muda terutama belia, umumnya masing-masing menjauhkan diri daripada mendalami agama. Apabila didikan agama tidak ada, dirangsang pula dengan gambar-gambar lucah dan menggairahkan yang mudah didapati dalam media elektronik dan bahan-bahan cetakan, dengan sendirinya anak muda akan mudah terjebak dalam melakukan gejala tidak sihat ini. Selain itu, ada yang mengatakan malu menjadi faktor utama dan biasanya kerana hasil hubungan yang tidak sah. Jadi mereka malu pada masyarakat. Sebenarnya malu pada masyarakat ada batasnya tapi malu pada Allah s.w.t tidak ada batasnya. Faktor yang menyusahkan perkahwinan juga menjadi faktor masalah pembuangan bayi. Budaya masyarakat Melayu, umpamanya yang melibatkan hantaran, persiapan perkahwinan, membuatkan orang merasakan untuk mendirikan rumah tangga itu amat menyusahkan kerana mereka tidak mampu. Jadi anak muda yang terlalu ghairah, tidak dapat mengawal shahwatnya terpesong dan melakukan zina, dan menghasilkan anak luar nikah.Tidak ada pengawasan iaitu jauh daripada ibu bapa, mereka akan mudah terpengaruh dengan kawan. Pengabaian dalam memberi kasih saying adalah salah satu jenis penderaan yang meninggalkan risiko lebih besar yang banyak berlaku dalam masyarakat. Hal ini dapat dilihat dimana, semakin meningkat masalah ini dikalangan pekerja-pekerja kilang terutama remaja yang datang dari kampung. Ibu bapa mesti sedar dan meluangkan waktu, bagaimana sibuk sekalipun, harus memperuntukkan waktu bersama anakanak. Keruntuhan institusi keluarga islam juga menjadi faktor berlakunya masalah pembuangan bayi. Pensyarah di Akademik Islam, Universiti Malaya, Prof, Madya Hashim Yahya, beliau tidak menafikan gejala sosial yang kedengaran hari ini adalah antara tanda-tanda yang menunjukkan masyarakat Islam sudah mula tidak mengambil berat tentang betapa pentingnya institusi keluarga. Umat Islam mungkin pada saat ini sibuk dengan pembangunan, mengejar kebendaan hingga mereka lupa akan tanggungjawab sebenar dalam membina satu keluarga yang bahagia. Remaja yang kurang kasih saying ini akan cuba mencari orang lain dan akhirnya terjebak dengan masalah ini. Faktor yang terakhir yang menyebabkan berlaku masalah pembuangan bayi ini ialah faktor masyarakat. Sesetenggah masyarakat memandang kotor orang yang melakukan dosa seperti zina, pembuangan anak, dan sebagainya. Mereka yang terjerumus ini menganggap diri mereka tidak diterima ahli masyarakat lagi. Kerana itu timbul perumpamaan, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pengkal lengan. Kerana itulah wujudnya kes pembuangan bayi dikalangan orang Islam sendiri. Ini kerana orang yang telah melakukan kejahatan, walaupun menyesal tetapi tidak berani untuk mendekati orang di masjid untuk meminta pertolongan.

Perbuatan membuang bayi dimerata tempat dan menjadi mangsa binatang buas adalah satu jenayah yang amat zalim dan keji serta lebih hina tarafnya daripada haiwan.Malah haiwan lebih baik kerana mengasihani dan memelihara anak dan sanggup mati demi keselamatan anakanak .Inilah kesannya apabila rohani seseorang tidak diisi dengan ajaran agama. Langkah yang lebih berkesan perlu diambil oleh semua pihak untuk membendung gejala sosial itu agar tidak ada kelahiran anak-anak yang terbiar dan tidak mendapat kasih sayang yang sewajarnya. Justeru, semua pihak dinegara ini agar sama-sama memainkan peranan dalam menangani kemelut ini dengan mengambil langkahlangkah berikut iaitu institusi keluarga perlulah diperkukuhkan dengan berlandaskan konsep rumahku syurgaku. Kedua, program-program dakwah perlulah dipertingkatkan dan digerakkan secara bersepadu. Ketiga, pihak yang bertanggungjawab perlulah membanteras pengedaran bahan-bahan lucah daripada tatapan anggota masyarakat terutama golongan remaja. Seterusnya, program-program hiburan melampau yang merosakkan akhlak perlulah dihentikan dan ibu bapa perlulah mengawal pergerakkan anak-anak daripada terlibat dengan pergaulan bebas.Usaha-usaha pencegahan kegiatan tidak bermoral perlulah dipertingkatkan oleh semua pihak. Akhirnya adalah diingatkan bagi mereka yang sudah terlanjur,hendaklah segera bertaubat dan menjauhi segala perbuatan- perbuatan terkutuk tersebut.Janganlah membunuh bayi, berilah mereka peluang untuk hidup.Semoga Allah s.w.t menerima taubat hamba-hambanya.

Jelasnya, usaha pencegahan perlu bermula dari dalam diri anak-anak remaja agar mereka mampu bertindak bijak menjauhi zina selain bimbingan agama diterapkan untuk dijadikan sebagai perisai diri. Selain itu, anak-anak remaja yang hamil luar nikah mesti dibantu bagi menjalani pemulihan yang bukan sahaja menyediakan bantuan menjaga ketika mereka hamil tetapi yang paling utama ialah membina kekuatan dalaman serta rohaniah Semua pihak agar turut memberi penekanan kepada bimbingan terhadap kaum lelaki dalam usaha mendidik golongan tersebut untuk tidak mengambil kesempatan terhadap wanita.

Kesimpulannya,setiap warga masyarakat tanpa mengira kaum haruslah bersatu padu menggembleng tenaga mencegah dan membanteras supaya penyakit sosial ini tidak menular dengan lebih serius.Pihak atasan seperti badan-badan kerajaan dan kerajan juga perlu lebih peka dan menganjurkan pelbagai ceramah atau motivasi kepada remaja supaya mereka mendapat lebih informasi tenteng gejala ini dan sedar akan kesan daripada perbuatan tidak bermoral itu.Dengan usaha-usaha yang dilakukan secara bersama dan menyeluruh ini, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan masalah ini daripada terus menjadi satu penyakit berbahaya di negara Malaysia ini. Tiada siapa patut menuding jari pada pihak yang lain, kerana setiap daripada kita adalah merupakan ahli masyarakat.

Anda mungkin juga menyukai