Anda di halaman 1dari 3

Assalamualaikum.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, yang berbahagia Tuan


Pegawai Daerah Kubang Pasu, pegawai polis trafik, dan hadirin yang dihormati sekalian.
Saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi kesempatan untuk menyampaikan
ceramah dalam majlis ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kes kemalangan jalan raya menjelang hari raya semakin meningkat sejak kebelakangan
ini. Pada tahun-tahun lepas kadar kemalangan jalan raya pada musim perayaan khususnya
Hari Raya Aidilfitri tidak sebanyak pada tahun lepas. Terdapat banyak punca yang
menyebabkan berlakunya peningkatan kes kemalangan jalan raya di negara kita.

Antara punca utama kemalangan itu ialah kebanyakan pemandu tidak mempunyai lesen
memandu. Sesetengah pemandu juga menggunakan lesen memandu yang palsu. Oleh itu,
apabila tidak memiliki lesen yang sah, maka pemandu tersebut sudah semestinya tidak
cekap dan tidak biasa memandu kenderaan. Hal ini akan mengakibatkan kemalangan.
Setiap pemandu harus mempunyai lesen kenderaan kerana sebelum seseorang itu
memperoleh lesen memandu, mereka telah didedahkan dengan teknik pemanduan yang
betul. Malah apabila mereka lulus ujian pemanduan barulah mereka dianggap layak
memandu kenderaan. Oleh itu seseorang yang masih tidak mempunyai lesen memandu
dinasihatkan agar tidak memandu kenderaan di jalan raya.

Selain itu, kebanyakan kes kemalangan jalan raya juga berpunca daripada kecuaian
pemandu kenderaan itu sendiri. Ramai pemandu yang memandu dalam keadaan
mengantuk. Biasanya keadaan mengantuk ini berlaku ketika tengah hari dan sebelah
malam. Mereka yang memandu dalam keadaan mengantuk besar kemungkinan terlelap
seketika semasa memandu. Seterusnya mengakibatkan kenderaan mereka terbabas
ataupun melanggar kenderaan lain pada arah yang bertentangan. Saya amat berharap agar
para pemandu memastikan mereka tidak mengantuk semasa memandu kenderaan mereka.
Sekiranya pemandu mengantuk mereka dinasihatkan supaya berehat sebentar sebelum
meneruskan perjalanan.

Para hadirin sekalian,

Kemalangan juga boleh berlaku apabila pemandu dalam keadaan mabuk. Kemampuan
pemandu untuk mengawal kenderaan mereka akan menjadi berkurangan apabila mereka
mabuk. Hal ini kerana mereka memandu dalam keadaan berkhayal. Kenderaan yang
dipandu mungkin akan membelok ke kiri dan ke kanan sehingga menyebabkan
kemalangan. Lebih malang lagi jika kecuaian pemandu ini melibatkan kemalangan
kepada pihak lain. Saya juga berpesan kepada semua hadirin agar tidak sekali-kali
memandu dalam keadaan mabuk. Ia bukan sahaja membahayakan nyawa anda malahan
pengguna jalan raya yang lain.

Kita seharusnya memandu kenderaan yang sempurna sifatnya. Sebelum memandu


kenderaan, kita mesti memeriksa kenderaan kita supaya selamat untuk dipandu.
Contohnya, keadaan minyak hitam, brek, bateri, air, dan lampu berada dalam keadaan
baik. Terdapat pemandu yang tidak menghiraukan masalah ini. Mereka mengabaikan
kesempurnaan kereta mereka. Contohnya, mereka tidak mengganti tayar yang haus.
Apabila tayar kita sudah haus, sudah tentu daya cengkaman kenderaan itu akan
berkurangan. Hal ini lebih membahayakan ketika hujan kerana sewaktu hujan,
cengkaman tayar dengan jalan raya semakin berkurangan. Jelas di sini, tayar yang haus
boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Bagi mengatasi masalah ini, pihak polis trafik telah mengadakan pelbagai usaha bagi
mengurangkan lagi kadar kemalangan jalan raya. Usaha yang dilakukan nampaknya
masih kurang berkesan. Pihak kami sering mengadakan kempen keselamatan jalan raya
terutama sempena sambutan hari raya. Hal ini kerana kami telah mendapat maklumat
bahawa kejadian kemalangan jalan raya semasa musim perayaan meningkat dengan
mendadak berbanding hari-hari lain. Hal ini kerana semua rakyat di Malaysia akan
melakukan perjalanan jauh sarna ada pulang ke kampung ataupun pergi melancong.
Kempen-kempen yang dilakukan tertumpu di jalan-jalan utama di seluruh negara.
Melalui kempen ini sedikit sebanyak dapat memberikan kesedaran kepada pengguna
jalan raya.

Pada tahun lepas, Menteri Besar Kedah telah menyertai kempen keselamatan jalan raya.
Kempen ini telah diadakan di lebuh raya Bukit Kayu Hitam-Sungai Petani. Ketika beliau
berucap, beliau telah menekankan kesedaran kepada para pemandu agar memandu
kenderaan mereka dengan cermat. Malah beliau juga turut memberikan baju keselamatan
kepada penunggang motosikal. Kempen ini sekurang-kurangnya berjaya memberikan
sedikit pengetahuan kepada pengguna jalan raya.

Pihak polis trafik juga telah memasang kamera perangkap kelajuan. Kami telah
memasangnya di tempat-tempat yang strategik iaitu kawasan yang biasanya dipandu laju
oleh pemilik kenderaan. Jika mereka memandu dengan kelajuan melebihi 110 km sejam,
justeru kamera perangkap kelajuan ini akan merakam gambar kereta dan pemandunya.
Selepas disemak oleh pegawai kami, dan didapati mereka telah melanggar had kelajuan
yang dibenarkan, pihak kami akan menghantar surat sama kepada pemiliknya. Cara ini
telah dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama di Lebuh Raya Utara-
Selatan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Pasukan polis trafik bertugas selama 24 jam di sekitar jalan raya utama di negara ini.
Mereka akan memastikan agar pemandu tidak membawa kenderaan mereka dengan laju
atau secara berbahaya. Jika para pemandu memandu kenderaan mereka dengan laju,
mereka boleh disaman ataupun kenderaan mereka boleh ditahan. Banyak saman telah
dikeluarkan oleh pasukan polis trafik melalui cara sebegini terutamanya di sekitar
bandaraya Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan di Johor Bahru.
Jelaslah bahawa kemalangan jalan raya sebenarnya berpunca daripada sikap pemandu itu
sendiri. Seandainya pemandu itu berhati-hati ketika memandu maka kemalangan jalan
raya dapat dikurangkan. Tetapi seandainya pemandu itu masih lagi berdegil dan tidak
mematuhi undang-undang jalan raya justeru kadar kemalangan ini akan terus meningkat
dari semasa ke semasa. Oleh itu saya berharap agar setiap yang hadir ini menyedari
pentingnya kita berhemah semasa memandu di jalan raya. Saya juga berharap perkara ini
dapat disebarkan kepada orang lain yang tidak menghadiri majlis ini.
Sebelum saya mengundurkan diri besarlah harapan saya agar kemalangan jalan raya di
negara ini dapat dikurangkan. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai