Anda di halaman 1dari 20

Contoh Karangan Bahagian A

JAWAPAN CONTOH

Bahagian A

Karangan berpandu : Berdasarkan pelbagai bahan rangsangan

Markah : 30 markah

Masa : 45 minit

PERENGGAN 1 : PENDAHULUAN

Dalam meniti arus modenisasi yang kian rancak, masyarakat pada zaman millenium ini sudah
semakin ‘ketagih’ mengejar kemewahan duniawi sehinggakan mereka alpa terhadap kesihatan tubuh
badan mereka. Senario ini jika dibiarkan menular dalam kalangan masyarakat kita akan mengakibatkan
hasrat kerajaan untuk menjayakan dan merealisasikan Wawasan 2020 hatta gagasan 1Malaysia sekalipun
terbantut. Apakah peranan kita sebagai rakyat yang prihatin terhadap kemajuan negara dalam mengatasi
kemelut ini? Usaha yang dapat kita lakukan bagi menyelesaikan krisis ini adalah dengan menjalani
kehidupan yang sihat. Belakangan ini, banyak adpertensi disiarkan oleh pihak media bagi memaparkan
cara-cara mengemudikan kehidupan agar sihat dan sejahtera.

PERENGGAN 2 : ISI UTAMA

Amalan mendapatkan tidur dan rehat yang mencukupi merupakan antara cara yang unggul bagi
menjalani hidup yang sihat (Apa : isi utama). Rehat dan tidur yang mencukupi amatlah diperlukan bagi
mendapatkan tubuh badan yang sihat. (BAGAIMANA : CARA). Kita tidak mahu nanti keadaannya bak
nasi sudah menjadi bubur atau sudah terhantuk baru terngadah. Kita memerlukan rehat dan tidur
sekurang-kurangnya 8 jam sehari bagi memastikan otak dan fizikal kita dapat digunakan
semula (BAGAIMANA : CARA). Sebagai tamsilnya, kita kerap kali melihat berita di rubrik akhbar yang
melaporkan calon-calon peperiksaan awam masih gah menjawab kertas peperiksaan walaupun
mengambil masa yang agak lama (CONTOH). Oleh yang demikian, kita haruslah mengamalkan gaya
hidup sihat iaitu mendapatkan rehat dan tidur yang mencikupi (AYAT PENEGASAN)

PERENGGAN 3 : ISI KEDUA

Selain itu, metode lain yang harus kita cakna dan asimilasikan dalam kehidupan kita adalah
menjalani pemeriksaan kesihatan. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liew Tiong Lai mengajak rakyat Malaysia
agar tidak berat tulang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di pusat-pusat kesihatan yang berdekatan
kerana tindakan ini akan ‘menyelamatkan’ kita daripada menghidap penyakit-penyakit kronik bak kata
orang tua-tua , mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Setiap individu seharusnya menjalani
pemeriksaan setiap enam bulan bagi mengetahui kondisi kesihatan diri. Masyarakat pada masa ini sering
menghidap penyakit kronik walaupun pada usia yang muda iaitu sekitar 30 hingga 40 tahun. Tegasnya,
seyogialah kita mengamalkan budaya menjalani pemeriksaan kesihatan agar tubuh badan kita sentiasa
berada dalam keadaan baik.

PERENGGAN 4 : ISI KEEMPAT

Amalan cara hidup sihat adalah tidak sukar sekiranya kita mengikut garis panduan yang betul.
Langkah terpenting yang menjadi faktor perdana atau tunjang kepada amalan hidup sihat adalah
mempraktikkan pemakanan seimbang diperlukan oleh badan mengikut sukatan yang betul. Keadaan ini
dapat dilihat melalui piramid makanan yang menempatkan karbohidrat di lapisan terbawah yang bererti
nutrisi tersebut diperlukan oleh badan dalam kuantiti yang banyak. Pengambilan nutrisi secara berkurangan
ataupun berlebihan akan menyebabkan seseorang itu menghidap penyakit-penyakit tertentu. Sebagai
contohnya, terdapat penyakit yang melanda masyarakat di negara miskin seperti Haiti disebabkan
kurangnya protein dalam badan. Oleh yang demikian, amalan pemakanan seimbang adalah sangat penting
dalam kita menjalani kehidupan yang sihat.

PERENGGAN 5 : PENUTUP

Akhirulkalam, jelaslah kepada kita bahawa kehidupan manusia dan kesihatan memang tidak
dapat dipisahkan. Seluruh rakyat Malaysia dinasihatkan oleh Perdana Menteri Malaysia. Datuk Seri Mohd
Najib Tun Razak agar sentiasa menjaga kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat agar misi Malaysia
untuk mencapai status negara maju dan menjadi contoh kepada negara lain tercapai. Maka secara
realitinya menunjukkan bahawa betapa penting cara atau langkah dalam menjana kehidupan yang lebih
sihat. Sediakan payung sebelum hujan merupakan peribahasa yang amat bersesuaian dengan maaduk
cara menjaga kesihatan, jadi di sini mencegah adalah lebih baik daripada mengubatinya. Secara
kesinambungannya, pelbagai usaha mestilah diimplementasikan oleh semua pihak kerana ‘kehidupan
yang bermakna adalah kehidupan yang sihat’.

Markah : 28/30

Ulasan
Takrif : Menepati dan menjawab tugasan

Bahasa : Gramatis, luas & tepat penggunaan kosa kata,

Pengolahan : Menarik, berkesan,huraian isi jelas dan matang

Contoh Karangan Bahagian B


Soalan 1

Dalam meladeni arus pascamodenisme yang semakin mencabar dari semasa ke semasa ini, nusa
yang kita cintai ini semakin utuh dan terkenal di persada antarabangsa. Jelas bahawa pembangunan
negara kita semakin rancak dan selaras dengan negara-negara maju yang lain bak aforisme yang sering
diperkatakan, ‘duduk sama rendah berdiri sama tinggi’. Namun begitu, dari segi pembangunan atau
pembinaan jati diri murid yang berdisiplin, negara kita masih belum berjaya sepenuhnya. Semakin negara
kita berusaha mencapai status negara maju, semakin meningkat peratus pelajar sekolah yang terlibat
dengan gejala-gejala yang tidak sihat. Hal ini telah diakui oleh Datuk Ahmad Fuad Zarkashi, Timbalan
Menteri Pelajaran dalam satu program temu bual tv. Usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak untuk
mengatasi kemelut yang semakin meruncing ini. Saya sebagai seorang pengawas yang telah diberikan
mandat oleh pihak sekolah, mempunyai cara yang tersendiri untuk membentuk murid yang berdisiplin.
Izharnya, seseorang individu yang bergelar pengawas berperanan penting dalam membantu pihak sekolah
dalam membentuk murid yang berdisiplin.

Peranan utama saya untuk membantu pihak sekolah dalam membentuk murid yang berdisiplin
adalah menguatkuasakan undang-undang dan peraturan sekolah dengan sebaik mungkin. Hal ini saya
anggap afdal kerana pengawas telah diklasifikasikan sebagai orang kedua selepas guru dalam membentuk
peribadi murid yang mulia dan mengharmonikan sekolah. Soal membentuk dan melahirkan murid yang
berdisiplin amat penting kerana Khalifah Umar Al-Khattab pernah berkata, ‘Jika kamu ingin mengetahui
masa depan sesebuah negara, lihatlah generasi muda yang berada di hadapan anda’. Maka,kata-kata ini
menunjukkan bahawa generasi muda yang berdisiplin, berdedikasi dan beriltizam dalam setiap aspek amat
penting kepada negara dan jatuh bangun sesebuah negara bergantung kepada generasi muda itu. Jadi,
saya sebagai pengawas akan menguatkuasakanundang-undang dan peraturan sekolah dengan
melakukan beberapa tindakan yang sewajarnya diimplementasikanoleh seorang pengawas sekolah seperti
menegur pelajar-pelajar yang berambut panjang, memantau mereka yang berpakaian tidak mengikut
spesifikasi yang sepatutnya dan meleraikan pergaduhan antara mana-mana pelajar sekiranya difikirkan
tindakan itu tidak membahayakan nyawa. Tindakan-tindakan seperti ini penting atau adiwarna diambil demi
memastikan keadaan sekolah aman, sesi pembelajaran (P&P) berjalan lancar dan perhubungan pelajar
sentiasa terkawal. Tuntasnya, penguatkuasaan peraturan sekolah merupakan elemen yang penting dalam
membentuk modal insan yang madani dan syumul.

Selain itu, modus operandi lain yang sepatutnya saya lakukan adalah menunjukkan teladan
yang baik kepada semua pihak terutama rakan murid dalam semua aspek termasuk pemakaian,
pertuturan, pembelajaran dan yang paling penting, sikap dan perwatakan. Hal ini demikian kerana para
pelajar atau murid merupakan insan yang baru sahaja mengenali dunia sebenar. Ramai pelajar atau murid
yang masih ‘mentah’ dan mudah terpengaruh dengan sesuatu perkara terutama. Jika persekitarannya baik,
maka baiklah seseorang itu. Jika persekitaran sebaliknya pula muncul, natijah yang membawa impak
negatif akan ‘menjuarai’ tindakan seseorang. Jadi, para pengawas seharusnya berupaya menjadi suri
teladan kepada orang lain dan seharusnya memantapkan diri lagi dengan sifat-sifat yang mulia dan
berkarisma. Keupayaan untuk melakukan pengawasan dan pengawalan secara berhikmah merupakan
aset berharga seorang pengawas. Saya yakin dan percaya bahawa para pengawas yang mempunyai
keperibadian mulia seperti ini sentiasa didambakan oleh para murid justeru menjadikan para pengawas ini
sebagai kawan. Jadi, kita seharusnya mendekati para murid itu dengan harapan agar mereka akan menjadi
seperti diri kita sendiri. Dengan itu, murid yang berdisiplin dapat dibentuk manakala beban sekolah untuk
memastikan semua murid berdisiplin dapat dikurangkan. Senario ini persis slogan ,’Hulurkan tangan
ringankan beban’. Oleh itu, melalui peranan ini, saya berharap agar dapat membantu sekolah membentuk
murid yang berdisiplin di samping mengekalkan nama baik sekolah.

Di samping itu, prakarsa ataupun peranan lain yang dapat saya laksanakan adalah sentiasa
bersama dengan para murid yang bermasalah dengan nawaitu ingin memberi nasihat dan panduan kepada
mereka. Langkah turut serta ini menurut seorang motivator terkenal , Dr. Hushim Yahaya merupakan
langkah ‘turun padang’ yang akan merapatkan dan memantapkan hubungan pemimpin dengan pihak yang
dipimpin. Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda, ‘Anak-anak yang dilahirkan ibarat sehelai kain putih
yang bersih lagi suci. Maka, terpulanglah kepada ibu bapa untuk membentuk akhlak anak-anak sama ada
menjadi Yahudi, Majusi atau Nasrani’. Melalui sabda Rasulullah S.A.W. ini, dapatlah kita simpulkan bahawa
anak-anak ataupun para murid merupakan manusia yang memerlukan bimbingan dan dorongan daripada
semua pihak. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi anak-anak. Sesetengah
murid yang mempunyai masalah tidak mendapat perhatian daripada ibu bapa yang sibuk bekerja akan
melepaskan perasaan tidak puas hati mereka itu di sekolah dengan melanggar peraturan sekolah
bermotifkan dendam untuk menyakitkan hati kedua ibu bapa. Saya berpendapat bahawa dengan cara
mendekati para murid serta bertanyakan masalah mereka, akan mengurangkan rasa ingin memberontak
dalam diri mereka. Dengan memberi nasihat dan menyelesaikan masalah mereka melalui kaedah yang
betul, hal ini secara tidak langsung akan menarik minat mereka untuk menjadi murid-murid yang berdisiplin
dan berwawasan. Oleh itu, peranan seperti ini perlulah dimainkan agar masyarakat kamil dapat diwujudkan.

Dalam pada itu, mengajak dan mendorong rakan-rakan melakukan kebaikan merupakan satu
tanggungjawab yang sepatutnya saya lakukan bersama dengan murid-murid yang lain. Allah swt. amat
menyukai hamba-Nya melakukan kebaikan dengan penuh ketakwaan. Justeru kita boleh memberi
panduan, bimbingan dan dorongan serta perangsang kepada para murid yang ingin melakukan kebaikan
dengan harapan mereka akan seronok dan teruja melakukan amalan murni ini kerana ada orang atau pihak
yang menyokong setiap perbuatan yang dilakukan mereka di samping mereka mendapat ganjaran
daripada Allah swt. Selain itu, saya akan berusaha sedaya upaya untuk sentiasa menanamkan sifat-sifat
mahmudah dalam diri mereka. Ramai pemikir termashyur seperti Confucius dan Socrates juga amat
menekankan penyemaian nilai-nilai moral dalam diri setiap manusia. Jadi, dengan langkah itu, para murid
akan lebih tertarik untuk melakukan kebaikan berbanding keburukan. Izharnya, modus operandi seperti ini
seharusnya saya lakukan demi memastikan murid yang berdisiplin dapat dibentuk bak kata pepatah, ‘Di
mana ada kemahuan, di siru ada jalan’.

Peranan saya yang terakhir adalah memastikan bahawa saya berfungsi sebagai perantara yang
berkesan antara para murid dengan pihak sekolah. Saya seharusnya berupaya menyampaikan maklumat
yang jelas kepada murid tentang pelaksanaan peraturan dan undang-undang sekolah agar murid
memahami dan menerima perkara tersebut dengan sebaik mungkin. Manakala pihak sekolah yang terdiri
daripada pengetua dan lembaga disiplin sekolah serta kaunselor akan saya dan rakan-rakan pengawas
yang lain nyatakan permasalahan murid dengan penuh hikmah dan sempurna. Saya merasakan bahawa
kemampuan berkonikasi secara berkesan dengan rakan murid dan guru merupakan suatu aset penting.
Apabila bercakap dengan murid yang nakal, seharusnya saya menunjukkan sikap yang tegas. Apabila
menyampaikan pengumuman semasa perhimpunan, saya akan berusaha menyampaikan informasi
dengan jelas. Dengan ini, mesej pihak sekolah akan dapat difahami oleh semua pihak. Jelasnya, peranan
ini akan memantapkan hubungan murid dengan pihak sekolah yang akhirnya membentuk disiplin murid.

Kesimpulannya, tiada penyakit yang tiada ubatnya, dan tiada racun yang tiada penawarnya.
Maka, modus operandi yang konkrit, sistematik dan pragmatik perlu diimplementasikan secara berterusan
agar murid yang berdisiplin dapat dibentuk. Saya dan beberapa pihak yang lain seperti badan pengawas
dan pihak sekolah akan sentiasa menacri jalan atau alternatif untuk memastikan murid yang berdisiplin
dapat dibentuk dan hasrat kerajaan untuk melihat ‘sifar masalah disiplin’ dapat direalisasikan pada tahun
2020. Hasrat kerajaan untuk memperkukuh gagasan 1Malaysia akan tercapai dengan terbentuknya murid
yang berdisiplin berteraskan nilai perpaduan dan ketaatan. Saya berharap agar peranan yang saya
kemukakan tadi akan dapat saya realisasikan dan diadaptasi oleh rakan pengawas yang lain serta pihak-
pihak yang lain.
Belakangan ini, isu kenakalan remaja hangat diperkatakan dan membawa petanda yang tidak
baik kepada generasi akan datang.
Huraikan peranan anda sebagai seorang remaja dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji.
(Soalan 1 Percubaan SPM 2011 MRSM)

Karangan
Gunakanlah masa yang ada

Dengan sebaiknya

Kuatkanlah tekad di hati

Memajukan diri

Tiada kejayaan yang datang

Tanpa usaha yang gigih

Bersusah-susahlah dahulu

Bersenang kemudian

Jadilah warga yang berguna

Pada keluarga, masyarakat jua negara


Sebahagian daripada lirik lagu ‘Remaja’ persembahan kumpulan nasyid Unic saya petik

untuk menggambarkan kemaslahatan peranan remaja pada masa ini. Lagu yang menyuntik

semanagat ini menyeru para remaja agar menggunakan masa dengan sebaiknya dan

mempunyai azam yang kuat demi memajukan diri masing-masing . Melalui usaha yang gigih dan

tabah tanpa mengenal jemu dalam bidang yang diceburi serta memiliki sahsiah yang terpuji ,

remaja akan menjadi warga yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan nusa. Hal ini

demikian kerana menurut Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek, belakangan

ini, remaja begitu terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran sama ada dari segi pengaruh media

massa, pengaruh atau desakan daripada rakan sebaya serta ibu bapa dan masyarakat ataupun

konflik pergolakan antarabangsa yang semakin hari semakin mendapat liputan meluas di dada-

dada akhbar seluruh negara. Pergolakan antarabangsa yang berlaku sedikit sebanyak

mempengaruhi akidah remaja kita. Remaja yang rata-ratanya mempunyai semangat inkuiri atau

ingin tahu yang tinggi berserta perlakuan untuk mencuba sedaya upaya sehingga berjaya bak

kata pepatah alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, perlu dipandu dan

ditarbiah ke jalan yang benar baik melalui diri sendiri, ibu bapa, guru-guru, masyarakat mahupun

kerajaan memandangkan remajalah yang bakal memegang tampuk pemerintahan negara ini

lantas mencorakkannya menjadi sebuah negara yang unggul dan terbilang. Negara memerlukan

remaja yang mempunyai nilai mandiri dan jati diri yang utuh di samping berdaya saing serta

berfikiran kreatif dan inovatif. Namun demikian, amatlah malang kepada negara kita jika remaja

yang diharap-harapkan akan sentiasa mendukung panji ‘Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi

Tiang Negara’ kini dikaitkan dengan isu kenakalan. Perbuatan yang melanggar norma, aturan

atau hukum dalam masyarakat yang dilakukan pada usia remaja ini dikatakan membawa petanda

yang tidak baik kepada generasi akan datang bak kata pepatah, air perabung mengalir ke cucur

atap. Isu ini begitu hampir dengan saya memandangkan saya juga seorang insan yang bergelar

remaja justeru saya mempunyai peranan dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji agar

memiliki ciri-ciri remaja cemerlang dambaan negara.


Sebagai seorang remaja, dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji, saya akan

mendalami ilmu agama dan mencintai Allah. Ilmu agama merupakan ilmu yang mendekatkan diri

seseorang kepada Maha Pencipta iaitu Allah swt. Tiada ilmu yang lebih mulia melainkan ilmu

agama di dunia ini iaitu ilmu dan pengetahuan Islam yang syumul. Perkara ini boleh dibuktikan

melalui pernyataan rasa yang disuarakan oleh ilmuan sains yang terkenal iaitu Albert

Einstein (walaupun beliau tidak beragama Islam) yang menyatakan bahawa agama tanpa ilmu

adalah buta , ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Jelas dapat dilihat bahawa ilmu dan agama

mempunyai hubung kait yang sangat akrab. Seseorang yang mendalami ilmu tetapi tidak

berlandaskan atau berpaksikan agama tidak akan merasai nikmat yang telah dikurniakan oleh

Allah swt. Saya akan mendalami ilmu agama dengan membaca dan memahami Al-

Quran, mengkaji hadis-hadis dan menyelami sirah nabi serta para sahabat. Akhlak Rasulullah

yang terpuji dan sempurna yang terkandung dalam Al-Quran dan hadis itu pastinya akan menjadi

sumber primer saya bagi membina pemahaman yang kukuh tentang kemuliaan dan kehebatan

memiliki sahsiah yang terpuji. Pembelajaran melalui pembacaan dan penelaahan yang

mendalam sebegini mampu memberi input yang berguna seperti memahami nilai yang perlu

dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari . Nilai-nilai seperti ketakwaan, kesabaran, kegigihan,

keikhlasan dan bertanggungjawab semuanya memandu diri saya membina peribadi mulia .

Pengajaran daripada Al-Quran dan hadis mampu merobah mana-mana perlakuan saya yang

sebelum ini yang dianggap bejat atau kurang memuaskan kepada perlakuan yang positif atau

terpuji. Jikalau saya tidak memahami kandungan Al-Quran ataupun hadis, saya akan berjumpa

dengan ustaz atau ustazah yang mempunyai pengetahuan yang luas berkaitan dengan agama

yang suci ini. Saya akan meluangkan masa untuk pergi ke perpustakaan bagi mendalami ilmu

agama kerana di perpustakaan, suasananya yang hening mampu menenangkan fikiran dan

mendamaikan jiwa. Dengan mendalami ilmu agama, saya yakin saya mampu membentuk

sahsiah diri yang terpuji kerana saya akan memperlihatkan kesopanan berbudi bahasa,

kemanisan berkata-kata dan kemampuan memberikan buah fikiran dengan penuh tertib serta
matang berlandaskan akhlak Nabi Muhammad saw. Jelasnya, saya akan terhalang daripada

menjadi penyumbang petanda yang tidak baik kepada generasi akan datang.

Selain itu, satu lagi modus operandi yang sepatutnya saya lakukan adalah dengan

menumpahkan ketaatan sepenuhnya kepada ibu bapa saya. Ibu bapa merupakan dua insan yang

paling dekat dengan diri saya kerana sesudah saya dilahirkan di muka bumi ini, saya ditatang

bagai minyak yang penuh oleh mereka. Begitu besar pengorbanan ibu bapa terhadap saya

bermula dengan ibu yang mengandungkan saya dengan jerih payahnya selama sembilan bulan

sepuluh hari ditambah pula dengan jasa bapa yang bertungkus lumus mencari nafkah bagi

menyara keluarga. Walaupun cuma untuk sesuap nasi tetapi itulah titik peluh ikhlas yang

dilakukan oleh bapa kepada saya. Saya tidak ingin hidup menjadi seperti Si Tanggang atau

Si Malim Kundang yang merupakan anak derhaka terhadap ibunya. Saya akan taat kepada ibu

bapa dengan cara mendengar dan menerima nasihat yang diberikan mereka dengan tangan yang

terbuka dan hati yang lapang. Jika saya tidak bersetuju sekalipun, saya tidak akan memberontak

dan meninggikan suara ketika memberikan pendapat malah saya akan berbincang dengan cara

yang paling baik atau bertatasusila bagi menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku

sesuai dengan peribahasa buang yang keruh ambil yang jernih. Allah telah memberikan

kedudukan tinggi kepada ibu bapa dan menyuruh setiap anak berbuat baik kepada mereka.

Perkara ini jelas diterangkan melalui firman Allah dalam Surah Al-Israk ayat 23 yang menyuruh

kita berbakti kepada ibu bapa. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk

Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam satu wawancara menyatakan bahawa remaja boleh membina

peribadi mulia dengan mentaati ibu bapa melalui perbuatan yang baik, melaksanakan hak-hak

mereka dan menjauhkan diri daripada perilaku yang boleh menyakiti hati dan kehidupan mereka.

Taat kepada ibu bapa adalah amalan wajib ditunaikan setiap anak. Ketaatan adalah cara paling

baik mendekatkan diri kepada Allah kerana taat kepada ibu bapa bererti mentaati perintah-Nya

juga. Berbakti kepada ibu bapa membawa berkat. Terdapat hadis Rasulullah saw. yang

bermaksud : “Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya, maka

hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali silaturahim." Jelaslah
bahawa mentaati ibu bapa mampu menjadikan saya individu yang mempunyai sahsiah diri yang

terpuji dan terhalang daripada melakukan perkara-perkara yang merosakkan moral.

Di samping itu, prakarsa ataupun peranan lain yang dapat saya laksanakan adalah

dengan menghormati guru-guru. Sepanjang pembelajaran saya hatta sekalipun saya tidak lagi

bergelar pelajar, saya akan menghormati guru-guru saya sebagai tanda terima kasih kepada

mereka kerana mereka telah bersungguh-sungguh mengajar sehingga saya mampu berdiri dan

berpijak di bumi yang nyata menjadi insan yang sebaiknya dan berguna. Guru telah banyak

berkorban demi memartabatkan ilmu dan banyak berjasa bermula daripada mereka mengajar

kita membaca, menulis dan mengira. Mereka tidak pernah mentertawakan kesalahan yang saya

lakukan malah membetulkan setiap satu daripadanya lantas menepati mutiara kata cendekiawan

Wellington iaitu, ‘Usah merendahkan diri seseorang kerana tabiat buruknya tetapi bimbinglah ia

ke jalan yang lebih baik”. Saya akan menerima dan menjadikan nasihat, bimbingan dan tunjuk

ajar daripada guru sebagai insentif dan motivasi untuk saya berjaya menjadi insan berguna yang

mampu mendaki menara gading . Bukan sahaja guru ialah ibu, bapa, pengajar, pendidik,

pengasuh, penasihat dan pembimbing malahan guru adalah segalanya bagi seorang pelajar.

Segala kesusahan yang ditempuhinya dalam mendidik anak-anak muridnya sepatutnya dikenang

dan dihargai kerana tanpa jerih payah seorang guru itu, pelajarnya akan menjadi manusia yang

tidak berguna di dunia dan akhirat. Dengan ilmulah manusia diangkat menjadi makhluk termulia

di sisi Allah swt. sehingga dijadikan sebagai khalifah-Nya di muka bumi. Semua ini tidak akan

tercapai kecuali dengan kita menjaga peradaban dan rasa hormat yang ikhlas terhadap

penyampai ilmu tersebut iaitu guru, pewaris para nabi. Justeru dengan menghormati guru, saya

mencetuskan rasa insaf dalam diri dan bertatih membentuk sahsiah diri yang terpuji.

Dalam pada itu, saya akan menjalinkan hubungan yang baik dengan rakan-rakan dan

taulan. Secara perbandingannya, seorang remaja akan meluangkan masa yang lebih bersama

rakan-rakannya berbanding dengan ibu bapa atau saudaranya. Hal ini demikian kerana selain

keluarga tercinta yang dekat di hati, rakan merupakan tempat mengadu, mencurah perasaan dan

berkongsi masalah. Sehubungan itu, saya akan menjaga atau memelihara hubungan yang baik
dengan rakan tidak kira sama ada rakan saya berlainan agama, kaum mahupun warna kulit.

Seseorang yang mempunyai sahsiah diri yang terpuji harus seimbang dari segi jasmani, emosi,

rohani dan intelek. Saya juga sedaya upaya tidak akan menimbulkan isu sensitif terutama isu

agama. Saya akan mengambil iktibar daripada peristiwa 13 Mei 1969 yang telah mengorbankan

banyak nyawa yang berpunca daripada rusuhan kaum. Saya akan memberikan pertolongan

kepada rakan yang memerlukan bantuan kerana dia merupakan rakan yang baik dan telah

membantu ketika saya dalam kesusahan. Dalam kehidupan yang singkat ini, saya perlu berbaik-

baik dengan semua orang dan bekerjasama dalam semua bidang kerana yang berat sama

dipikul, yang ringan sama dijinjing. Kita digalakkan mencari teman yang baik dan meramaikannya

seperti kata pepatah ‘berkawan biar seribu tetapi musuh jangan sesekali dicari.’ Saya akan

menjadi seseorang yang dapat memberi manfaat segi dorongan, nasihat, ilmu dan sebagainya

kepada orang lain. Rakan-rakan juga tidak akan berasa kekok apabila berkawan dengan saya

sekiranya saya tidak bersikap bagai buntal kembung. Apabila saya menjalinkan hubungan baik

dengan rakan-rakan, masalah kebejatan moral tidak akan ada dalam kamus rutin hidup saya

sejajar dengan visi saya untuk menjadi remaja yang mempunyai sahsiah terpuji.

Peranan saya yang terakhir adalah dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk

mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan tidak bermoral

. Seorang yang ingin mempunyai sahsiah diri yang terpuji tidak bisa melakukan perkara yang

negatif yang mampu keruntuhan akhlak lantas menjatuhkan imej diri sendiri, keluarga, bangsa

dan negara. Saya tidak akan mudah terpedaya oleh hasutan syaitan yang membisikkan ‘kata-

kata bermadu’ kepada anak Adam agar melakukan dosa. Saya sentiasa awas bahawa syaitan

telah berjanji akan menyesatkan umat manusia dek sebab Allah swt. telah mencampakkannya

keluar dari syurga kerana tidak mahu sujud kepada Nabi Adam. Kesombongan merajai hati

syaitan dengan alasan dia diciptakan daripada api manakala Adam daripada tanah. Kedegilan

syaitan kian hari kian diwarisi manusia hingga pelbagai kebejatan moral dan perlakuan

hedonisme mewarnai kehidupan menjadikan nilai-nilai nurni jelas nyata dikesampingkan. Saya

tidak mahu terjebak dalam kancah yang serba ‘menyesakkan nafas’ dan boleh memusnahkan
visi dan misi saya sebagai seorang Muslim yang cemerlang dan memiiki sahsiah yang terpuji.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Chee pernah menyuarakan pendapat bahawa ,

“Para belia harus diasuh dan dididik agar memainkan peranan penting dalam mempamerkan

akhlak yang baik sesuai dengan imej di mana-mana sahaja pada bila-bila masa”. Akhlak yang

baik termasuklah menghindarkan diri daripada pergaulan bebas, mengamalkan gaya hidup sihat,

menjaga batas-batas aurat dan menjaga hubungan baik sesama individu di sekeliling kita. ‘First

impression’ orang lain terhadap kita amat penting kerana dari situlah orang lain akan dapat

menilai diri kita yang sebenar”.

Kesimpulannya, gagasan dan tugas untuk memupuk, membangunkan dan meningkatkan

mutu akhlak dalam kalangan remaja adalah suatu tanggungjawab besar. Tugas ini tidak dapat

dilakukan dengan jayanya kecuali oleh manusia yang berjiwa besar dan mempunyai kualiti

kemanusiaan yang tinggi. Saya yakin berlandaskan lima prinsip yang saya pegang di atas,

dengan izin Allah, saya dapat membentuk sahsiah diri yang terpuji. Pemupukan sahsiah diri ini

saya yakin akan membentuk saya menjadi seorang yang beriman dan bertakwa, mempunyai

iltizam yang tidak berbelah bahagi, mempunyai kerohanian yang amat tinggi serta mewarisi ciri-

ciri akhlak perjuangan Rasulullah saw.Mutiara kata ulamak tersohor Hamka akan saya jadikan

pedoman dalam meniti kehidupan ini. Katanya, “Aku hairan melihat orang menyisir rambutnya

setiap hari, tetapi tidak pernah menyisir otaknya, memperkemas dadanya teapi tidak pernah

mencuci hatinya. Digosok kasutnya tetapi tidak akalnya.” Tidak akan saya lakukan perkara yang

sia-sia yang bisa menyesatkan saya daripada landasan yang benar sebaliknya pemurnian hati,

pemantapan akhlak, ilmu dan akidah akan terus menjadi pegangan perjalanan hidup saya.

Semoga isu kenakalan remaja akan lenyap agar tidak lagi menebarkan sayap negatif kepada

generasi akan datang bak kata peribahasa ‘Sebab nila setitik rosak susu sebelanga’
Karangan Berpandu diubahsuai daripada karangan Hasilan Nurul Ashikin bt. Abdullah ( Tingkatan 5 Ibnu
Haitham) Pelajar Tingkatan 5 Wajib Menyalin Karangan Di bawah.
Huraikan pendapat anda tentang cara-cara mengamalkan gaya hidup sihat. Panjang karangan anda
hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Dalam meniti arus kemodenan yang berteraskan sains dan teknologi maklumat, faktor kesihatan

masyarakat pada hari ini berada pada tahap yang membimbangkan pihak berkuasa terutamanya

Kementerian Kesihatan Malaysia. Semakin hari, masalah wabak pelbagai penyakit semakin menjalar

dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia tua atau muda. Jika dahulu masalah darah

tinggi dan kencing manis merupakan penyakit yang sering dihadapi oleh golongan tua tetapi pada hari ini

golongan kanak-kanak juga sering dihantui penyakit berkenaan. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh

Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2011, angka pesakit yang menghadapi masalah kesihatan

telah meningkat sebanyak 200 000 orang pesakit melebihi bilangan pesakit pada tahun sebelumnya.

Sebenarnya masalah kesihatan masyarakat mampu diatasi dengan pelbagai cara terutamanya dengan

kemudahan prasarana berkaitan kesihatan semakin banyak disediakan oleh pihak kerajaan. Klinik desa,

Klinik 1 Malaysia, Hospital Desa, Hospital Besar merupakan tempat masyarakat mendapat kemudahan

rawatan kesihatan. Persoalannya, mengapakah kadar pertambahan bilangan pesakit yang tidak mengenal

usia berlaku pada zaman sekarang? Bak kata pepatah, setiap penyakit ada ubatnya, setiap masalah pasti

ada jalan keluarnya. Salah satu daripadanya adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat sebagaimana

yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagaimanakah caranya untuk kita mengamalkan

gaya hidup sihat?

Mari kita capahkan lensa perbincangan kita kepada skop yang lebih khusus di bawah kata kunci

pengambilan makanan seimbang. Kebanyakan rakyat Malaysia mengganggap pengambilan makanan

seimbang ialah diet. Sebenarnya, tanggapan masyarakat mengenai perkara tersebut adalah salah sama

sekali.Hal ini kerana pengambilan makanan seimbang bermaksud pengambilan makanan oleh seseorang

individu yang mengandungi semua nutrien dan vitamin yang diperlukan oleh tubuh badan secara seimbang.

Jika kita merujuk piramid makanan, pembahagian pemakanan terbahagi kepada beberapa bahagian

mengikut keperluan makanan berdasarkan seorang manusia normal. Bahagian bawah piramid makanan

merupakan kumpulan makanan mengandungi karbohidrat, diikuti dengan kumpulan makanan yang

mengandungi vitamin, mineral, dan serat, seterusnya kumpulan makanan yang mengandungi protin, dan

terakhir bahagian atas ialah kumpulan makanan mengandungi lemak. Piramid makanan juga merupakan

panduan kepada pengguna dengan mengurangkan pengambilan makanan berlemak di bahagian atas
sekali, seperti lemak dan gula,. Oleh sebab itu, makanan berlemak hanya perlu kita ambil dalam kuantiti

sedikit. Berbanding kandungan karbohidrat perlu diambil dalam kuantiti yang banyak kerana makanan

seperti ini membekalkan kita tenaga untuk menjalani kehidupan seharian, contohnya nasi, roti, dan bijirin.

Seorang ahli falsafah Yunani iaitu Socrates berkata " Aku makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan."

Tegasnya, kita boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengambil makanan seimbang setiap hari.

Seterusnya, mari kita lebarkan lensa perbincangan dengan memperkatakan gaya hidup sihat iaitu

menjalankan aktiviti rekreasi. Sebagai mana yang kita sedia maklum, kegiatan rekreasi merupakan aktiviti

yang berfaedah terutama untuk mengisi masa senggang, merehatkan minda dan mengelakkan stress,

selain menyehatkan badan. Pada abad milenium ini, banyak tempat rekreasi, sama ada bertemakan air,

alam sekitar dan sebagainya. Dengan adanya pusat rekreasi, anak muda atau remaja boleh menyertai

aktiviti berkenaan dengan mandaftar diri dan menyertai program yang dianjurkan seperti kursus berkayak,

mendaki gunung, , menyelam, "jungle tracking" dan sebagainya. Bagaimana kegiatan rekreasi ini dapat

menyihatkan tubuh badan? Aktiviti rekreasi merupakan aktiviti mencabar. Sebelum melakukan aktiviti

berkenaan, peserta selalunya diminta untuk melakukan aktiviti regangan agar seluruh sendi dan sistem

kardivaskular kita bersedia terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti berkenaan. Bahkan juga, dengan

adanya aktiviti regangan dan pemanasan badan, kadar pengaliran darah dan pergerakan jantung akan

stabil sebelum peserta melakukan aktiviti yang berat. Selain itu, kelenjar endokrin dan kelenjar adrenalina

akan merembeskan peluh yang mengandungi toksin untuk disingkirkan daripada badan. Oleh sebab itu,

badan kita akan menjadi sihat dan sukar untuk dijangkiti patogen-patogen penyakit. Kebiasaanya, seorang

fasiltator akan memberi penerangan kepentingan melakukan regangan dan peringatan mengenai langkah-

langkah menjaga keselamatan sepanjang program rekreasi diadakan untuk mengelak sebarang

kemalangan atau kecederaan. Bak kata pepatah, malang tidak berbau dan sediakan payung sebelum

hujan. Justeru, tahap keselamatan peserta lebih terjamin semasa melakukan aktiviti lasak tersebut. Hal ini

jelas menunjukkan aktiviti berekreasi merupakan satu cara untuk kita mengamalkan gaya hidup sihat dalam

kehidupan.

Mari kita meneruskan perbincangan menggunakan minda pelajar kelas pertama dalam

membicara aktiviti sukan sebagai amalan gaya hidup sihat. Sebagaimana kita maklum, remaja tidak lari

daripada melakukan aktiviti sukan dalam kehidupan mereka sejajar dengan usaha Kementerian Pelajaran

Malaysia memperkenalkan pelaksanaan Program 1 Murid 1 Sukan yang mewajibkan pelajar sekurang-
kurang menyertai satu aktiviti sukan di sekolah. Bahkan juga,Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah

10% syarat kemasukan ke universiti berdasarkan pencapaian pelajar dalam bidang kokurikulum antaranya

sukan permainan. Namun, pelaksanaan program ini belum mencapai objektifnya kerana sebilangan pelajar

masih belum membudayakan diri mereka untuk bersukan dan penglibatan mereka dalam aktiviti berkenaan

hanya sekadar untuk penyertaan bukan sebagai budaya. Sebenarnya, pucuk pangkal permasalahan

berkenaan terus berlaku akibat masyarakat masih belum mengetahui akan manfaat dan kepentingan sukan

dalam kehidupan mereka. Dengan bersukan, masyarakat akan mendapat manfaat iaitu selain menyihatkan

badan, mereka juga akan dapat mencergaskan minda mereka. Hal ini kerana ketika bersukan oksigen akan

diserapkan ke dalam badan dengan lebih cepat dan akan mengaktifkan sel-sel badan menjalankan proses

respirasi, disamping aliran oksigen ke otak akan lebih aktif. Secara langsung neuron-neuron otak juga akan

bersambung dan badan akan menerima cas-cas positif yang berfungsi untuk menyihatkan badan dan

mencerdaskan otak. Kebaikannya kepada pelajar, mereka tidak akan mudah mengantuk semasa berada

di dalam kelas dan sudah pasti proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih bermakna. Pepatah Arab

ada mengatakan bahawa minda cerdas lahir daripada badan yang sihat. Justeru, kita boleh mengamalkan

gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti bersukan.

Akhir sekali, sudah terang lagi bersuluh bahawa pemeriksaan dan rawatan kesihatan adalah

penting dalam memastikan tahap kesihatan kita sentiasa berada di bawah paras bahaya. Masyarakat

Malaysia perlu bersyukur kerana kerajaan terutamanya di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan

Malaysia amat mengambil berat dalam menyediakan prasarana dan kemudahan kesihataperkhidmatan

bertaraf dunia. Hal ini boleh kita lihat di setiap pelusuk negara terdapat pusat rawatan sama ada klinik desa,

Klinik 1 Malaysia, Hospital Desa dan Hospital Besar sentiasa terbuka untuk dikunjungi oleh rakyat yang

sedar akan kepentingan kesihatan mereka. Bahkan juga, pengamal perubatan yang sedia merawat pesakit

adalah lepasan universiti dikerah berkhidmat di pusat rawatan daerah, dan negeri agar setiap masyarakat

mudah untuk mendapat perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. Berbading suatu ketika dahulu, pesakit

yang memerlukan rawatan daripada seorang doktor hanya boleh mendapat perkhidmatan mereka di

hospital desa atau hospital besar. Rawatan kesihatan amat penting supaya setiap warganegara akan tahu

tahap dan darjah kesihatan mereka dari semasa ke semasa. Apabila kita melakukan rawatan kesihatan

secara berskala sekurang-kurangnya tiga bulan sekali perkembangan kesihatan kita boleh dipantau oleh

pengamal perubatan atau doktor dengan sebaik-baiknya. Natijahnya cukup positif kerana pengesanan

penyakit secara awal akan memudahkan mereka mendapat rawatan yang sepatutnya. Secara langsung
pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa kerana kadang kala penyakit menyerang tanpa disedari

terutama penyakit tiga serangkai iaitu darah tinggi, kecing manis dan serangan jantung. Contohnya,

sekiranya pesakit mengalami penyakit kencing manis para doktor berpengalaman akan menasihatkan

pesakit mengawal kaedah pemakanan yang sesuai dan sekiranya pesakit mengalamai masalah diabetis

yang kronik suntikan insulin akan dilakukan untuk mengawal paras gula dalam badan. Pepatah ada

menyebut " mencegah lebih baik daripada merawat." Tegasnya mendapat pemeriksaan dan rawatan

kesihatan adalah sangat penting dalam memastikan tahap kesihatan masyarakat dalam keadaan baik.

Kesimpulannya, pengamalan gaya hidup sihat merupakan inisiatif kita sendiri. Jika kita inginkan

kesihatan kita sentiasa sihat, kita perlulah melibatkan diri dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh

menyihatkan tubuh badan kita seperti pengambilan makanan seimbang, melakukan aktiviti rekreasi,

menyertai aktiviti sukan dan mendapatkan rawatan kesihatan secara sempurna. Oleh itu, untuk menyokong

kerajaan dalam merealisasikan Wawasan 2020, kita perlulah memastikan tahap kesihatan kita dalam

keadaan terbaik kerana pekerja, pentadbir, dan pemimpin yang sihat jasmani, rohani, emosi dan inteleknya

sahaja yang akan dapat membantu menggapai cita-cita pemimpin untuk memastikan Malaysia mampu

untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain. Justeru, kesihatan

merupakan aset paling penting sebagai warganegara Malaysia kerana bak kata pepatah, kesihatan itu

lebih penting daripada wang ringgit yang menggunung.


Amalan Menabung
Faedah Menabung

Menabung merupakan satu amalan proaktif berpaksikan kesedaran seseorang dalam


membuat persediaan bagi menjamin masa depan yang cerah. Pada zaman
pascaglobalisasi ini, menyimpan wang tabungan di bank merupakan prakarsa yang
efektif untuk memastikan wang tabungan disimpan dengan selamat berbanding dengan
menyimpan wang secara konvesional di rumah. Malah terdapat juga tabungan yang
dibuat melalui skim pelaburan yang menjanjikan dividen yang tinggi. Amalan
menabung ini perlu dijadikan instrumen dalam mendepani kos hidup yang semakin
kompleks dan mencabar. Walaupun amalan menabung ini merupakan perkara yang
positif, masih ramai golongan remaja yang memandang sepi akan faedah menabung
kepada mereka. Pelbagai pihak perlu membuka mata akan faedah menabung kepada
seseorang apatah lagi dalam era ledakan maklumat dan bahang industrialisasi kini.

Aktiviti menabung membolehkan seseorang merencana masa depan dengan ekonomi


yang kukuh dan mapan. Hal ini kerana menabung merupakan alternatif untuk
menambah pendapatan dengan menyimpan wang di bank secara berterusan dan dalam
jangka masa panjang. Melalui penyimpanan ini, pendeposit akan memperoleh faedah
atau dividen daripada pihak bank mahupun agensi pelaburan. Apabila wang sudah
terkumpul, seseorang individu tidak akan berdepan dengan masalah ketirisan wang
sehingga boleh menjejaskan keselesaan hidup mereka. Amalan gali lubang tutup lubang
dengan meminjam daripada rakan-rakan atau saudara mara akan dapat diatasi. Amalan
ini bukan sahaja boleh merosakkan institusi kekeluargaan malah boleh merenggangkan
persahabatan apabila pinjaman tidak dapat dibayar semula. Sebagai contohnya,
seseorang individu boleh menggunakan wang tabungan untuk membeli hartanah dan
membiayai kos pembelian termasuklah urusan jual beli yang pastinya tidak melibatkan
wang yang sedikit jumlahnya. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh, menabung
merupakan inisiatif positif yang perlu menjadi budaya hidup seseorang kerana boleh
merencana masa depan yang kukuh.

Pada zaman yang serba canggih dengan kepesatan kemajuan sains dan teknologi ini
memaksa kita mendapatkan pendidikan yang sempurna agar dapat bersaing di pentas
global. Hal ini kerana melalui tabiat menabung, kita akan mendapat pelbagai limpahan
nikmat terutamanya apabila hendak melanjutkan pelajaran ke menara gading. Hasil
tabungan boleh digunakan untuk membiayai kos pendidikan dan mentaliti
kebergantungan kepada wang bantuan dapat dikesisikan daripada terus menjadi
pegangan hidup. Sebagai contohnya, ibu bapa yang ,membuat tabungan melalui
insurans pendidikan tidak akan menghadapi masalah apabila anak-anak mereka
ditawarkan mengikuti pengajian di universiti. Para remaja juga boleh menggunakan
wang tabungan untuk membeli buku rujukan yang boleh membantu meningkatkan
tahap intelektualisme mereka. Kursus-kursus pengajian yang ditawarkan tentu sahaja
memerlukan kos yang tinggi. Oleh itu, amalan menabung sedikit-sedikit lama-lama jadi
bukit akan membantu kita membiayai kos pendidikan yang sempurna bagi menjana
kemajuan negara agar dapat duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara
maju yang lain.

Putaran kehidupan akan mengubah seseorang daripada kanak-kanak kepada remaja


dan akhirnya menjadi dewasa. Semasa menjangkau usia dewasa, komitmen hidup
semakin kompleks kerana perlu menyara kerluarga. Hal ini kerana dalam zaman
milineum ini, kos kehidupan dijangka semakin meningkat dan memerlukan kebestarian
akal dalam menghadapinya. Wang tabungan amat penting dan perlu direncanakan
secara sistematik agar pendapatan bulanan dapat dibelanjakan secara berhemah. Kek
pendapatan perlu dibahagikan dengan bijak dan memastikan sebahagiannya disimpan
sebagai wang tabungan. Kehidupan berkeluarga amat bernilai dan kemenjadian anak-
anak menjadi satu harapan bagi semua insan yang bergelar ibu dan bapa. Sehubungan
dengan itu,, anak-anak perlu mendapat pendidikan yang sempurna bagi melengkapkan
mereka dengan ilmu dan kemahiran menguasai kemahiran teknologi. Sebagai
contohnya, selain diberikan pendidikan wajib dan formal di sekolah, ibu bapa juga perlu
menghantar anak-anak menghadiri kelas tambahan . dan memastikan tanggungjawab
menjaga dan menanggung keperluan asas anak-anak seperti pakaian, makanan dan
tempat tinggal yang selesa. Oleh itu, amalan menabung perlu subur di dalam jiwa
kerana boleh dijadikan sumber untuk menyara keluarga .

Keselesaan dan kesenangan hidup tentunya menjadi impian setiap insan. Sesebuah
keluarga memerlukan bukan sahaja rumah yang selesa malah kemudahan yang moden
dan efisien. Hal ini kerana kos untuk memiliki semua ini bukanlah sedikit. Selain harga
rumah yang melebihi ratusan ribu ringgit, peralatan elektrik, bil elektrik dan air
merupakan perkara wajib yang mesti dimiliki dan dibayar dengan segera. Justeru,
untuk memiliki kesempurnaan hidup ini, amalan menabung merupakan langkah bijak
dan mendatangkan impak yang besar. Kemampuan untuk membeli peralatan rumah
secara tunai sebenarnya jauh lebih murah daripada jika dibeli secara ansuran. Segai
contohnya, kita boleh menyimpan dalam jangka waktu tertentu untuk memiliki
barangan idaman tanpa perlu berhutang. Kebijaksanaan dalam membuat belanjawan
kewangan dan membuat tabungan merupakan cara yang paling bijak untuk membeli
barangan yang berkualiti sesuai dengan alah beli menang memakai. Bagaimanapun,
amalan ukur baju di badan sendiri perlu menjadi keutamaan dalam menggunakan wang
tabungan. Oleh itu, amalan menabung menjamin keselesaan dan kesenangan hidup
kita.

Hidup ini bagai roda dan kita tidak dapat menduga masa depan kita. Menabung boleh
dijadikan instrumen untuk mempersiapkan diri menghadapi sebarang kemungkinan
seperti kata pepatah sediakan payung sebelum hujan. Hasil tabungan kita boleh
dijadikan cagaran pada waktu kesusahan, kecemasan dan kesempitan. Walaupun kita
berusaha untuk menjauhi sebarang kesusahan namun malang tidak berbau dan langit
tidak selalu cerah. Apabila awan mendung menyelubungi kehidupan, wang yang
disimpan boleh digunakan untuk membiayai kos rawatan perubatan atau saat
kecemasan. Kealpaan untuk menabung merupakan satu kesilapan yang perlu diteladani
daripada pengalaman hidup orang lain. Kita tidak mahu meminta-minta apabila
ditimpa musibah. Sebagai contohnya, apabila keupayaan dan kudrat terbatas akibat
penyakit atau usia yang semakin bertambah, wang tabungan boleh digunakan. Kita
menjadikan wang simpanan sebagai perisai menghadapi risiko dan tidak menjadi
seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Oleh itu, menabung boleh menjadi medium
penyelamat bagi kita menghadapi sebarang kemungkinan dalam kehidupan.

Menabung boleh dijadikan sebagai wahana mendisiplinkan keluarga. Hal ini kerana
amalan menabung membolehkan kita nmenyemai dan menyuburkan amalan berjimat
cermat dan berpegang kepada peribahasa ingat sebelum kena jimat sebelum habis.
Anak-anak yang masih kecil perlu dididik untuk menabung boleh mendorong anak-
anak menjauhi pembaziran, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kesederhanaan
dalam kehidupan dapat dibentuk memandangkan fitrah anak-anak yang mudah
dibentuk jika diberikan teladan yang baik. Sebagai contohnya,ibu bapa boleh
membelikan tabung atau membawa anak-anak mengunjungi institusi perbankan agar
mereka dapat melihat sendiri akan iklim sihat yang perlu diikuti. Dengan cara ini anak-
anak akan terdedah dengan budaya hidup sihat dan mengenali pengurusandunia
kewangan dan impaknya kepada ekonomi diri, keluarga dan kepentingannya di
peringkat sarwajagat.Kemaslahatan menabung juga perlu diwara-warakan dengan
sebaik-baiknya agar anak-anak yang masih kecil dapat menghayati konsep tabungan
dengan lebih jelas lagi. Oleh itu, amalan menabung boleh menjadi salah satu prakarsa
yang pragmatik untuk mendisiplinkan keluarga sekaligus melahirkan keluarga yang
sejahtera

Natijahnya, menabung merupakan amalan mulia yang perlu dijadikan budaya hidup
dan dipraktikkan. Amalan ini boleh menjana kestabilan ekonomi seseorang individu
dan mengekalkan keseimbangan negara secara efektif. Perspektif negatif seperti biar
papa asal bergaya perlu diubah agar setiap individu mempunyai visi untuk keluar
daripada belenggu kehidupan yang begitu mencabar. Menabung boleh dijadikan
benteng untuk mendepani realiti dunia baru yang pantas berubah dan berkembang.
Semua pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi memastikan obligasi
terhadap amalan menabung terus subur dalam diari ekonomi setiap individu agar
kemakmuran diri dan negara dapat dikekalkan momentumnya.

Anda mungkin juga menyukai