Anda di halaman 1dari 26

KARANGAN KEPERIHALAN

"CARA-CARA MENGHORMATI GURU"

Soalan:
Guru seumpama ibu bapa kepada murid-murid semasa berada di sekolah. Oleh yang
demikian guru perlu dihormati.Tulis sebuah karangan bertajuk Cara-cara menghormati
guru.

Semasa kita berada di sekolah, gurulah yang menjaga dan mendidik kita. Guru
seumpama ibu bapa kepada kita sepanjang masa kita berada di sekolah. Kerana
peranan yang sebegini besar maka guru amat perlu dihormati sepanjang masa.

Pelbagai cara boleh kita lakukan untuk menghormati guru. Salah satu caranya
adalah dengan mengucapkan salam ketika kita bertemu dengan guru. Seorang guru
akan merasa senang hati apabila murid-murid mengucapkan salam dan mendoakan
kesejahteraanya.

Seterusnya, sikap tekun belajar dan mendengar dengan teliti setiap ajaran guru
ketika berada di dalam kelas juga merupakan satu cara untuk menghormati guru. Guru
akan berasa bahagia dan dihargai apabila kita mendengar dengan teliti ketika
mereka mengajar. Guru kita pasti akan mengajar kita dengan penuh kesungguhan.

Selain itu, kita juga boleh menghormati guru dengan cara bersikap sopan santun
dan berbudi bahasa ketika bercakap dan bertanyakan soalan kepada guru. Murid yang
berbudi bahasa dan bersopan santun juga akan lebih disayangi oleh guru. Sekiranya kita
bersikap biadap ketika bercakap dan bertanyakan soalan kepada guru, sudah pasti
akan membuatkan guru berasa terhina dan tidak dihormati. Oleh yang demikian kita
hendaklah menjaga kelakuan kita ketika bercakap dengan guru.

Di samping itu, jika kita melakukan kesilapan atau terlupa menyiapkan tugasan
yang diberi oleh guru, kita hedaklah memohon maaf. Sebagaimana di rumah, sekiranya
kita tersilap maka kita meminta maaf daripada ibu bapa kita. Demikian juga ketika
berada di sekolah. Murid yang meminta maaf dan mengakui kesilapan yang dilakukan
akan membuatkan guru berasa senang hati dan berasa lebih dihargai dan dihormati.

Kesimpulannya, banyak cara yang boleh kita lakukan untuk menghormati guru.
Oleh yang demikian kita hendaklah sentiasa menghormati guru-guru kita kerana mereka
telah menjalankan tanggungjawab mereka mendidik kita.
KARANGAN CERITA

"PENGALAMAN BERCUTI DI KAMPUNG"

Soalan:

Pada cuti sekolah yang lalu, kamu telah bercuti di kampung datuk dan nenek kamu.

Ceritakan pengalaman kamu sepanjang berada di sana.

Pada cuti sekolah yang lalu, saya telah berpeluang pulang ke kampung datuk dan
nenek saya yang terletak di Pasir Puteh Kelantan. Saya bertolak ke sana pada awal
pagi dengan menaiki bas dari Kota Bharu. Datuk menunggu saya di stesen bas Pasir
Puteh.

Setibanya di rumah datuk, nenek sedang menunggu dengan hidangan makan


tengahari. Saya makan dengan berselera sekali kerana terlalu lapar, tambahan pula
masakan ikan haruan dan puyu yang nenek sediakan amat menyelerakan.

Setelah berehat dan bersolat Zohor, datuk mengajak saya ke sungai yang
terletak tidak jauh dari rumahnya untuk memancing dan melihat lukah yang ditahannya.
Saya sangat seronok kerana inilah aktiviti yang amat saya tunggu-tunggu. Datuk
mengajar saya teknik memancing ikan di sungai. Saya bersorak kegembiraan apabila
dapat memancing seekor ikan sebarau yang agak besar. Datuk hanya tersenyum
melihat gelagat saya.

Pada sebelah petang pula, datuk mengajak saya ke sawahnya. Sawah


datuk sangat luas. Di sini, saya berpeluang melihat beberapa orang petani bekerja di
sawah mereka. Ada yang sedang merumput, membaja dan membaiki batas-batas
sawah. Datuk mengatakan bahawa padi-padi tersebut akan dituai pada bulan hadapan.
Saya berasa agak kecewa kerana tidak berpeluang melihat kerja-kerja menuai padi.

Keesokan harinya, beberapa orang sepupu saya mengajak saya ke hutan untuk
mencari buluh. Mereka bercadang untuk membuat wau. Saya berasa sangat teruja
kerana ini adalah peluang keemasan kepada saya untuk belajar membuat wau.
Sepupu-sepupu saya mengajar saya menebang buluh, membelah, dan meraut buluh
untuk dibuat wau. Setelah seharian bertungkus-lumus, saya berjaya membuat sebuah
wau kucing yang sederhana besarnya. Wau-wau yang kami buat akan kami terbangkan
di padang berhampiran rumah datuk.

Setelah seminggu berada di rumah datuk dan nenek, ayah dan ibupun datang
menjemput saya pulang kerana cuti akan berakhir tidak beberapa lama lagi. Walaupun
agak keberatan untuk meninggalkan kampung datuk dan nenek, tetapi saya berasa
amat gembira kerana mendapat pelbagai pengalaman menarik pada cuti kali ini.
KARANGAN PERBINCANGAN

"CARA-CARA UNTUK MENGATASI STRES"

Soalan:

Stres amat berbahaya kepada kita jika tidak ditangani dengan betul.

Bincangkan cara-cara untuk mengatasi stress.

Stres atau tekanan ialah gangguan emosi dari segi pemikiran dan fizikal kita. Hal ini
berlaku apabila kita merasa terbeban terhadap sesuatu perkara. Stres yang keterlaluan
amat berbahaya kerana ia memudaratkan kesihatan mental dan fizikal kita. Oleh sebab
itu kita perlu mengatasinya dengan betul.

Antara cara mengatasi stres ialah dengan bangun awal setiap hari. Apabila kita
bangun awal untuk ke sekolah kita tidak akan terburu-buru atau tergopoh-gapah untuk
bersiap dan menguruskan diri. Sekiranya kita bangun lewat, kita akan merasa tertekan
untuk bersiap-siap ke sekolah kerana bimbang terlambat atau ketinggalan bas.

Selain itu, kita perlu belajar dan tidur di dalam bilik yang selesa dan kemas.
Sekiranya bilik kita berselerak ia akan menyebabkan kita merasa tertekan dan tidak
selesa untuk belajar. Kita juga tidak mendapat tidur yang cukup dan berkualiti.
Sekiranya tidur kita tidak mencukupi maka kita akan mudah merasa letih dan tertekan.

Di samping itu kita boleh mengatasi stres dengan membuat persediaan awal untuk
menghadapi peperiksaan. Kita akan merasa risau dan bimbang sekiranya lewat
membuat persediaan untuk menghadapi sesuatu peperiksaan. Kebimbangan sebegini
akan menyebabkan stres atau tekanan.

Kita juga boleh mengatasi stres dengan berkongsi atau menceritakan masalah
yang dihadapi kepada ibu bapa kita. Jika kita memendamkan masalah yang dihadapi,
lama-kelamaan ia akan menyebabkan kita merasa tertekan atau stres. Dalam hal
ini, Ibu bapa kita sudah pasti mempunyai banyak pengalaman untuk membantu kita
mengatasi sesuatu masalah.

Kesimpulannya, kita perlu mengatasi stres atau tekanan yang dihadapi dengan
cara yang betul agar tidak memudaratkan kesihatan kita.
KARANGAN LAPORAN

“LAPORAN LAWATAN SAMBIL BELAJAR”

Soalan:

Persatuan Bahasa Melayu sekolah kamu telah mengadakan satu lawatan sambil belajar
ke sebuah kilang membuat kain batik. Sebagai setiausaha Persatuan Bahasa Melayu,
kamu dikehendaki menulis sebuah laporan tentang lawatan tersebut.

Tulis laporan itu selengkapnya.

Laporan Lawatan Sambil Belajar Ke Kilang Batik

Pada 3 Jun 2017 yang lalu, Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Jalan Bintang
telah mengadakan satu lawatan sambil belajar ke Kilang Batik Piasau Jaya yang terletak
di Kawasan Perindustrian Piasau

Tujuan utama lawatan tersebut adalah untuk menambahkan pengetahuan ahli-ahli


persatuan cara-cara membuat kain batik. Selain itu, lawatan ini juga bertujuan untuk
memberi pendedahan kepada ahli-ahli persatuan tentang kepentingan perusahaan
batik kepada ekonomi penduduk setempat.

Lawatan yang disertai oleh tiga puluh orang ahli persatuan dengan diiringi oleh
tiga orang guru ini telah bertolak dari sekolah dengan sebuah bas. Kami bertolak pada
pukul 10.00 pagi dan tiba di kilang batik tersebut pada pukul 10.30 pagi.

Setibanya di sana, kami telah diberi taklimat oleh pengurus kilang tersebut. Dalam
taklimatnya, pengurus kilang iaitu Encik Osman Ahmad mengucapkan terima kasih atas
kesudian kami melawat ke kilang batiknya. Setelah selesai taklimat kami diiringi oleh
dua orang penyelia kilang tersebut untuk melihat cara-cara memproses kain batik.

Kami sangat terpesona melihat kemahiran para pekerja mencanting dan melukis
batik. Corak-corak batik yang dihasilkan sangat menarik dan bermutu tinggi. Ahli-ahli
persatuan juga mendapat pengetahuan baru apabila diberi peluang mencanting dan
mewarna batik.

Sebelum pulang, Pihak kilang batik telah memberikan cederamata berupa sehelai
kain batik yang dilukis khas untuk Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Jalan
Bintang. Kami amat gembira menerima cenderahati tersebut.
Laporan disediakan oleh, 10 JUN 2017.

Amar

(AMAR MUHAIMIN)

Setiausaha,

Persatuan Bahasa Melayu,

Sekolah Kebangsaan Jalan Bintang, Miri.


KARANGAN CERITA (PENGALAMAN)

"MENYAKSIKAN MAJLIS PERKAHWINAN"

Soalan:

Kamu dan sekeluarga telah menghadiri satu majlis kenduri perkahwinan sepupu kamu.

Ceritakan pengalaman kamu sepanjang kenduri perkahwinan itu.

Pada cuti sekolah yang lepas, saya dan keluarga telah menghadiri satu majlis
perkahwinan sepupu saya di kampung. Kami bertolak ke sana sehari sebelum majlis
perkahwinan berlangsung.

Pada awal pagi hari majlis perkahwinan itu berlangsung, saya melihat saudara-
mara sibuk bergotong –royong membuat pelbagai persiapan. Kaum lelaki dan
wanita sibuk memasak makanan dan lauk-pauk yang akan dihidangkan kepada para
jemputan dan rombongan pengantin lelaki. Sesetengah yang lain pula sibuk menghias
bilik pengantin.

Apabila lauk-pauk dan makanan siap dimasak, saya membantu saudara-mara


menghidangkan makanan dan minuman di atas meja. Menjelang tengahari, tetamu
dan jemputan tiba untuk menikmati hidangan. Suasana ketika itu sangat sibuk. Ayah
dan Pak Long tidak menang tangan melayan para tetamu yang datang bersalaman dan
mengucapkan tahniah.

Kira-kira pada pukul 3.00 petang, rombongan pengantin lelaki tiba. Ketibaan
mereka disambut dengan paluan kompang dan pertunjukan seni silat. Kemudian kedua-
dua pengantin disandingkan di atas pelamin. Suasana ketika itu sungguh meriah. Saya
dan adik-adik tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama pengantin.

Menjelang senja, majlis persandingan pun tamat. Saya dan saudara-mara yang
lain membantu mengemas meja, pinggan mangkuk dan peralatan yang digunakan.
Kami bekerjasama agar segala-galanya dapat dikemas dan dibersihkan sebelum
malam menjelang.

Kami sekeluarga bertolak pulang menjelang malam. Walaupun letih, saya berasa
seronok kerana dapat menyaksikan satu majlis perkahwinan yang sangat meriah.
KARANGAN PERIBAHASA

“NASI SUDAH MENJADI BUBUR”

Soalan:

Tulis sebuah karangan berdasarkan peribahasa “Nasi sudah Menjadi Bubur”.

Amirul seorang anak tunggal. Bapanya, Pak Razif telah meninggal dunia. Arwah
bapanya meninggalkan banyak harta pusaka seperti tanah sawah dan rumah-rumah
sewa. Amirul dan ibunya Mak Limah hidup mewah daripada hasil harta-harta tersebut.

Sebagai anak tunggal, segala kemahuan Amirul dituruti oleh Mak Limah. Bagi Mak
Limah, tiada salahnya dia menghabiskan wang untuk memenuhi segala kemahuan
Amirul kerana Amirullah tempat dia menumpahkan segala kasih sayang. Banyaklah
perkara yang bukan-bukan diminta oleh Amirul dan ditunaikan oleh Mak Limah.

Oleh sebab dipenuhi kemewahan, Amirul tidak memberikan perhatian terhadap


pelajarannya. Dia bersikap seperti melepaskan batuk di tangga. Di dalam kelas
pula, Amirul selalu meyakiti hati kawan-kawannya dengan menunjuk-nunjuk barang-
barang yang dibeli oleh ibunya. Tambahan pula kebanyakan rakan-rakan sekelasnya
anak orang miskin.

Mak Limah tidak menyedari bahawa dia melakukan kesilapan dalam mendidik
dan membesarkan Amirul. Sikap Mak Limah ini membuatkan Amirul semakin degil dan
keras kepala. Dia mula melawan nasihat guru-guru di sekolah kerana beranggapan
pelajaran tidak penting. Amirul juga kerap ponteng sekolah dan mula bercampur
dengan remaja yang tidak bersekolah.

Amirul meminta ibunya membelikannya sebuah motosikal . Alasan Amirul, dia


penat mengayuh basikal ke sekolah. Oleh sebab sayangkan Amirul, Mak Limah menuruti
kehendaknya. Semenjak memiliki motosikal, Amirul langsung tidak pergi ke sekolah. Dia
lebih gemar berpeleseran dengan rakan-rakannya yang lebih dewasa dan tidak
bersekolah.

Pada suatu hari, ketika Amirul memboncengkan kawannya untuk ke Bandar, dia
telah ditahan oleh polis di satu sekatan jalan raya. Apabila diperiksa, pihak polis
mendapati Amiru tidak memiliki lesen motosikal kerana baru berusia 12 tahun. Selain
itu, rakan Amirul pula memilikki beberapa biji pil khayal. Akibatnya mereka berdua
ditahan dan dibawa ke balai untuk disoal siasat.

Apabila mengetahui hal ini Mak Limah sangat menyesal kerana terlalu mengikut
kehendak Amirul. Namun segalanya telah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur.
KARANGAN PERIBAHASA

“BAGAI AUR DENGAN TEBING”

Soalan:

Tulis sebuah karangan untuk menjelaskan maksud peribahasa “ Bagai aur dengan
tebing”.

Kampung Pasir ialah sebuah perkampungan yang terletak di tebing sungai Kelantan.
Kebanyakan penduduk kampung ini bekerja sebagai penoreh getah. Terdapat juga
antara mereka yang bekerja sebagai nelayan sungai.

Penduduk Kampung Pasir hidup bersatu-padu. Mereka saling menolong dan


bekerjasama. Segala masalah mereka selesaikan bersama-sama secara bijaksana.
Walaupun sekali-sekala berlaku perselisihan pendapat, namun mereka tidak pernah
bermasam muka.

Sekiranya ada antara penduduk yang mengadakan kenduri-kendara, mereka


akan beramai-ramai menolong menyediakan peralatan seperti memasang khemah,
menyusun kerusi meja, dan memasak nasi serta lauk-pauk. Begitu juga jika berlaku
kematian. Mereka akan membantu menguruskan jenazah sehingga selesai
dikebumikan.

Pada penghujung tahun lepas, Kampung Pasir telah dilanda banjir besar. Hujan
yang lebat menyebabkan air Sungai Kelantan melimpahi tebing. Banjir besar ini telah
menghanyutkan beberapa buah rumah penduduk. Banyak juga rumah yang rosak
teruk. Ramai penduduk terpaksa berpindah ke sekolah di Kampung Pasir. Ketika berada
di pusat pemindahan, penduduk Kampung Pasir bekerjasama memasak makanan.

Setelah banjir tersebut surut, penduduk Kampung Pasir bekerjasama


membersihkan kawasan kampung dan rumah-rumah mereka daripada sampah-sarap
dan lumpur. Mereka juga bergotong-royong membaiki rumah-rumah yang rosak. Selain
itu, mereka juga membina pondok-pondok sementara untuk penduduk yang kehilangan
rumah kerana dihanyutkan banjir. Mereka tidak pernah mengeluh walaupun terpaksa
mengorbankan masa dan tenaga.

Demikianlah keadaan hidup penduduk Kampung Pasir. Sikap kerjasama dan


saling membantu dalam kalangan mereka amat sesuai dengan maksud peribahasa
“Bagai aur dengan tebing”. Sikap sebegini juga amat bertentangan dengan satu lagi
peribahasa Melayu yang berbunyi “ Bagai enau di dalam belukar”.
"KARANGAN UCAPAN

“UCAPAN HARI GURU"

Soalan:
Sebagai ketua murid kamu diminta menyampaikan ucapan sempena sambutan hari
guru di sekolah kamu. Tulis ucapan kamu itu selengkapnya.

Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar Sekolah
Kebangsaan Pengkalan Chepa, guru-guru dan rakan-rakan. Terlebih dahulu saya
mengucapkan terima kasih atas kepercayaan semua memberikan saya ruang dan
peluang untuk berucap sempena sambutan Hari Guru peringkat sekolah kita.

Hadirin yang dimuliakan,

Tanggal 16 Mei setiap tahun para guru di seluruh negara merayakan satu
sambutan khas. Sambutan ini bertujuan menghargai dan memartabatkan jasa para guru.
Hal ini demikian kerana guru adalah insan-insan yang telah diamanahkan menaburkan
jasa dan bakti mereka untuk mendidik kita. Tanpa guru, siapalah kita pada hari ini.

Jasa dan bakti para guru tidak terbalas oleh kita. Mereka sanggup berkorban
masa , tenaga dan kadangkala wang ringgit untuk mencurahkan ilmu kepada kita.
Setiap pengorbanan yang mereka lakukan tidak mengharapkan sebarang balasan.
Para guru akan berasa gembira apabila melihat kita mencapai kejayaan. Kejayaan
yang kita peroleh adalah kebahagiaan kepada mereka.

Rakan-rakan yang dikasihi,

Sebagai murid kita sepatutnya menanamkan rasa hormat kepada semua guru.
Sikap merendah diri dan bercakap secara sopan- santun setiap kali berhadapan dengan
guru-guru perlu sentiasa diamalkan. Amalan sebegini amatlah digalakkan dalam
agama dan budaya kita. Murid yang mengamalkan sikap sebegini juga akan mendapat
keberkatan dan kejayaan dalam hidupnya.

Selain itu, kita juga perlulah sentiasa menumpukan perhatian setiap kali guru
mengajar dan memberi nasihat. Setiap patah perkataan yang diluahkan oleh guru-guru
kita sudah tentu bertujuan untuk memberi ilmu dan panduan yang berguna kepada kita.
Percayalah rakan-rakan, murid yang sentiasa menumpukan perhatian ketika guru
mengajar akan mencapai kejayaan dalam pelajarannya.
Pada hari yang mulia ini saya perhatikan ramai antara kita yang membawa
pelbagai hadiah untuk diberikan kepada guru-guru sebagai tanda penghargaan
terhadap jasa mereka. Hal ini sangat baik kita amalkan walaupun kita sedia mengetahui
bahawa para guru tidak mengharapkan sebarang hadiah daripada kita. Tetapi sebagai
murid kita juga ingin menghargai jasa dan sumbangan para guru kita.

Sebagai mengakhiri ucapan pada pagi ini, terimalah serangkap pantun daripada
saya:
Panglima Megat orangnya perkasa,
Menentang musuh dari seberang;
Guru kita banyak berjasa,
Mendidik kita dengan kasih sayang.

Sekian, terima kasih.


KARANGAN SURAT KIRIMAN RASMI

Soalan:

Persatuan Bahasa Melayu sekolah kamu akan menganjurkan pertandingan syarahan


antara kelas. Sebagai setiausaha persatuan, kamu ditugaskan menulis sepucuk surat
kepada guru besar untuk meminta kebenaran menggunakan dewan dan peralatan
untuk pertandingan tersebut.

Tulis surat tersebut selengkapnya.

Persatuan Bahasa Melayu,

Sekolah Kebangsaan Jalan Bintang,

98000 Miri,

Sarawak.

Guru Besar,

Sekolah Kebangsaan Jalan Bintang,

98000 Miri,

Sarawak. 29 MAC 2017.

Tuan,

Memohon Kebenaran Menggunakan Dewan dan Peralatan

Merujuk kepada perkara di atas, Persatuan Bahasa Melayu Sekolah


Kebangsaan Pengkalan Chepa akan menganjurkan satu pertandingan syarahan
antara kelas. Oleh yang demikian, pihak persatuan ingin memohon kebenaran
untuk menggunakan dewan sekolah dan peralatan yang berkaitan.

2. Berikut adalah butiran pertandingan tersebut:

Tarikh : 5 April 2017


Masa : 8.00 hingga 10.30 pagi

Tempat : Dewan Sekolah

Bilangan Murid : 60 orang

Bilangan guru : 4 orang

3. Tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk mencungkil bakat murid-murid


dalam menyampaikan syarahan di samping mencari peserta yang berkebolehan untuk
mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan peringkat daerah pada bulan Mei akan
datang.

4. Kami berjanji akan menggunakan dewan dan peralatan sebaik mungkin. Kami
juga akan membersihkan dewan dan mengemas peralatan selepas digunakan.

5. Besarlah harapan kami agar permohonan kami ini mendapat perhatian yang
sewajarnya daripada pihak tuan. Pertimbangan dan perhatian pihak tuan, kami dahului
dengan ucapan terima kasih.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

Nurhusnina

(NURHUSNINA BT ZAIDI)

Setiausaha,

Persatuan Bahasa Melayu,

Sekolah Kebangsaan Jalan Bintang, Miri.


KARANGAN BERFORMAT

"FAEDAH AMALAN BERJIMAT CERMAT"

Soalan:
Tulis sebuah karangan tentang faedah amalan berjimat cermat ini.

Berjimat cermat membawa maksud berhemat atau berhati-hati dalam penggunaan


wang, elektrik, air ataupun lain-lain keperluan seharian kita. Amalan berjimat cermat
merupakan satu amalan yang terpuji dan membawa pelbagai faedah kepada kita.

Antara faedah amalan ini ialah kita dapat mengurangkan perbelanjaan harian
kita. Sekiranya kita berjimat cermat sudah tentu perbelanjaan harian kita sekeluarga
dapat dikurangkan dan kita mempunyai lebihan wang. Lebihan wang ini boleh kita
simpan untuk keperluan pada masa kecemasan.

Seterusnya, amalan berjimat cermat dapat memupuk sikap berdikari dalam diri
setiap orang. Hal ini demikian kerana orang yang mengamalkan sikap berjimat cermat
sudah pasti akan berusaha melakukan sendiri atau menyelesaikan sendiri sesuatu
perkara atau masalah tanpa mengupah orang lain. Keadaan ini bukan sahaja
menjimatkan wang tetapi juga menambahkan pengalaman.

Selain itu, amalan berjimat juga boleh membantu negara menjimatkan


sumber. Sebagai contoh, sekiranya kita berjimat cermat dalam penggunaan elektrik, air,
dan petrol sudah pasti sumber terpenting kehidupan kita ini akan dapat dijimatkan.
Secara tidak langsung kita membantu mengurangkan perbelanjaan negara.

Di samping itu, melalui amalan yang mulia ini juga kita dapat menambahkan
wang simpanan kita. Wang simpanan sangat penting dalam kehidupan kita. Orang yang
mempunyai simpanan akan terjamin masa depannya. Wang simpanan juga amat
diperlukan sekiranya berlaku sesuatu musibah kepada kita atau orang-orang terdekat
dengan kita.

Kesimpulannya, amalan berjimat cermat perlu menjadi amalan setiap orang.


Amalan yang mulia ini jika diamalkan membawa seribu kebaikan.
KARANGAN SYARAHAN

"FAEDAH AMALAN GOTONG-ROYONG"

Soalan:
Kamu telah mewakili kelas kamu dalam pertandingan syarahan antara kelas. Tajuk
syarahan yang akan kamu sampaikan ialah "Aktiviti Gotong-royong Banyak Faedahnya".
Tulis syarahan kamu itu selengkapnya.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar Sekolah
Kebangsaan Pengkalan Chepa, guru-guru penolong kanan, barisan hakim yang arif lagi
bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan. Pada pagi yang ceria ini, izinkan saya
menyampaikan syarahan bertajuk "Aktiviti Gotong-royong Banyak Faedahnya".

Hadirin yang dihormati,


Menurut Kamus Dewan edisi kedua, bergotong-royong membawa maksud sama-
sama mengerjakan sesuatu, atau saling membantu ketika membuat sesuatu. Daripada
huraian Kamus Dewan ini, fahamlah kita bahawa aktiviti gotong-royong adalah
membuat sesuatu pekerjaan atau perkara secara bersama-sama.

Masyarakat kita pada zaman dahulu banyak melakukan amalan bergotong-


royong ini. Semua kegiatan yang melibatkan kepentingan ramai akan dilakukan secara
secara gotong-royong. Hal ini demikian kerana amalan ini banyak faedahnya.
Melalui aktiviti gotong-royong ini, sesuatu pekerjaan dapat disiapkan dengan cepat.
Sesuatu pekerjaan yang sukar ataupun berat dapat diselesaikan dengan lebih cepat
apabila banyak tenaga dan buah fikiran dapat digembelengkan untuk
menyelesaikannya. hal ini sepertimana dijelaskan oleh peribahasa "bukit sama didaki,
lurah sama dituruni".

Warga dewan yang dikasihi,


Di samping itu, aktiviti gotong-royong juga boleh mengeratkan hubungan dalam
kalangan masyarakat setempat. Kita tahu, pada hari ini masyarakat kita amat sibuk
dengan pelbagai urusan harian. Keadaan ini menyebabkan kebanyakan orang tidak
berkesempatan untuk saling mengenali antara satu sama lain. Sekiranya diadakan
aktiviti gotong-royong seperti membersihkan kawasan tanah perkuburan atau masjid,
maka masyarakat setempat berpeluang mengenali dan bertanya khabar antara satu
sama lain. Jadi, aktiviti gotong-royong ini sudah pasti dapat mengeratkan hubungan
dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, dengan bergotong-royong juga wang dapat dijimatkan. Amalan


bergotong-royong ini adalah aktiviti sukarela yang tidak diberi sebarang upah berupa
wang ringgit. Oleh yang demikian, kos untuk menyelesaikan sesuatu pekerjaan adalah
lebih murah. Sebagai contoh amalan bergotong-royong semasa kenduri-kendara. Tuan
rumah hanya mengeluarkan belanja untuk membeli alatan dan bahan mentah sahaja.
kerja-kerja memasak dan mendirikan khemah dilakukan secara bergotong-royong oleh
jiran-jiran sekampung. keadaan ini sudah tentu menjimatkan wang.

Hadirin-hadirat yang dikasihi,


Sebagai kesimpulannya, amalan gotong-royong ini adalah amalan warisan
nenek-moyang kita. Oleh yang demikian, setiap orang berperanan
mempertahankannya kerana ia membawa banyak kebaikan kepada kita. hal ini
diungkapkan oleh nenek- moyang kita melalui peribahasa yang terkenal iaitu "berat
sama dipikul ringan sama dijinjing". Sekian, terima kasih.
Karanagn “catatan sambutan hari guru di sekolah”
Soalan:

Baru-baru ini sekolah kamu telah mengadakan sambutan Hari Guru peringkat sekolah.
Tulis catatan kamu sepanjang sambutan tersebut.

Isnin, 16 Mei 2016

8.00 pagi

Semua guru dan murid berhimpun di Dewan Gemilang Sekolah Kebangsaan Pengkalan
Chepa. Pada pagi ini semua guru memakai baju batik bertemakan warna
merah. Sebelum acara sambutan hari guru bermula, Cikgu Mazlan selaku pengerusi
majlis pada hari itu sibuk mencuba pembesar suara.

8.15 pagi

Semua murid dan guru berdiri tegak. Kami sama-sama menyanyikan Lagu Negaraku,
Lagu Selamat Sultan dan Lagu Sekolahku Berjaya. Setelah selesai menyanyikan lagu-
lagu tersebut, semua murid dan guru dibenarkan duduk.
Kemudian, Cikgu Mazlan yang mempengerusikan majlis meminta semua guru berdiri
di atas pentas untuk menyanyikan lagu Kami Guru Malaysia dan diikuti dengan bacaan
ikrar.

8.45 pagi
Ketua Murid tampil ke depan untuk menyampaikan ucapan. Dalam ucapannya Ketua
Murid mengucapkan terima kasih atas jasa dan pengorbanan para guru. Dia juga
mendoakan kesejahteraan guru-guru.

9.00 pagi
Guru Besar dipersilakan menyampaikan ucapan dan membaca perutusan Menteri
Pendidikan. Semua guru dan murid memberi tumpuan dan mendengar dengan teliti.
Setelah itu Guru Besar merasmikan sambutan Hari Guru peringkat sekolah 2016.

9.30 pagi
Acara sukan yang melibatkan guru-guru dan murid-murid diadakan di padang sekolah.
Guru lelaki bermain bola sepak dan lumba lari dalam guni manakala guru-guru
perempuan pula bermain bola jaring serta berjalan dengan terompah gergasi. Kami
sangat terhibur melihat telatah para guru.

11.00 pagi
Selepas rehat murid-murid dan guru-guru berkumpul semula di Dewan Gemilang. Acara
seterusnya ialah persembahan murid-murid. Ramai murid yang mengambil bahagian
dalam pelbagai acara seperti nyanyian, deklamasi sajak, lakonan dan lawak jenaka.
Suasana dewan agak gamat dengan gelak
ketawa kami melihat aksi-aksi lucu rakan-rakan yang membuat persembahan.

12.00 tengah hari


Seterusnya diadakan pula acara pemberian hadiah oleh murid-murid kepada guru-guru.
Inilah kemuncak acara sambutan hari guru pada tahun ini. Murid-murid berebut-rebut
memberikan hadiah kepada guru-
guru. Pelbagai barangan yang terbungkus rapi dijadikan hadiah oleh murid-murid untuk
para guru

1.00 tengah hari


Semua acara sambutan hari telah berakhir. Kami semua dibenarkan pulang setelah
mengemas semula dewan dan peralatan yang telah digunakan. Hari ini saya berasa
sangat seronok kerana berpeluang merayakan sambutan Hari Guru peringkat sekolah.
Karangan UPSR "Faedah Hidup Bersatu Padu"

Soalan:

Rakyat negara kita, Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yang hidup bersatu padu.
Tulis sebuah karangan tentang faedah hidup bersatu padu dalam kalangan pelbagai
kaum.

Malaysia ialah negara yang unik kerana warganya terdiri daripada pelbagai bangsa
dan suku kaum yang dapat hidup dengan harmoni. Walaupun setiap bangsa dan suku
kaum ini mengamalkan agama, adat-resam dan cara hidup yang berbeza, namun
mereka dapat hidup dengan semangat perpaduan yang tinggi.

Banyak faedah yang diperoleh apabila rakyat Malaysia hidup dalam keadaan
bersatu-padu. Antaranya ialah kita dapat hidup dengan aman dan tenteram. Kesannya
kita dapat belajar dengan tenang dan selesa di sekolah tanpa rasa bimbang akan
keselamatan diri. Hal sebegini tidak dapat dinikmati oleh anak-anak di sesetengah
negara. Ramai antara mereka tidak dapat ke sekolah kerana bimbang akan
keselamatan diri.

Seterusnya, melalui perpaduan yang jitu, rakyat Malaysia dapat bekerja dan mencari
rezeki dengan baik dan selesa. Hal ini demikian kerana perpaduan yang wujud dalam
kalangan rakyat pelbagai kaum dapat membantu pihak kerajaan dan swasta
mewujudkan pelbagai kemudahan dan peluang pekerjaan untuk rakyat. Kita juga tidak
berasa takut untuk keluar bekerja di mana-mana sahaja.

Selain itu, perpaduan yang teguh dalam kalangan rakyat juga telah mewujudkan
kestabilan dari segi politik dan ekonomi. Hal ini sudah pasti menarik minat para pelabur
asing melabur dalam pelbagai sektor di negara kita. para pelabur tidak perlu risau akan
mengalami kerugian dalam pelaburan kerana perpaduan yang wujud menjamin
keamanan. Pelaburan ini akan membantu meningkatkan ekonomi negara kita.

Akhir sekali, perpaduan yang wujud dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum
juga telah menarik minat pelancong asing untuk melancong di negara kita. Para
pelancong tidak risau akan keselamatan diri mereka sepanjang berada di negara kita.
Mereka juga dapat menikmati pelbagai budaya yang ada di negara kita. Kedatangan
pelancong asing ini memberi banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negara kita
seperti dalam sektor perhotelan, pengangkutan dan bidang kraftangan.

Kesimpulannya, perpaduan kaum yang wujud di negara kita telah banyak


memajukan negara kita dalam pelbagaai bidang. Oleh yang demikian, semua warga
perlu memelihara dan mengekalkan semangat hidup bersatu-padu ini.
Sekolah kamu mengadakan minggu kesedaran kesihatan peringkat sekolah. Sempena
dengan minggu tersebut, kamu dikehendakki menyampaikan sebuah ceramah yang
bertajuk" Pentingnya Menjaga Kesihatan Diri".

Tulis ceramah kamu itu selengkapnya.

Terima kasih diucapkan kepada Tuan pengerusi Majlis, Yang Berusaha Guru Besar,
guru-guru, dan rakan sekalian. Bersempena dengan minggu kesedaran kesihatan
ini, saya akan menyampaikan sebuah ceramah yang bertajuk "Pentingnya menjaga
kesihatan diri.

Aspek penjagaan kesihatan diri yang paling asas ialah menjaga kebersihan diri sendiri.
Kita perlu memastikan rambut, gigi, dan tubuh badan kita sentiasa dalam keadaan
bersih. Tubuh badan yang tidak bersih sudah pasti mudah dihinggapi pelbagai penyakit
seperti penyakit kulit, kepala berkutu dan gigi serta gusi bermasalah.

Tangan yang tidak bersih juga menyebabkan kita mudah mengalami keracunan
makanan. Sekiranya tangan kita kotor, makanan yang kita pegang akan berkuman.
Kuman ini akan masuk ke dalam perut kita apabila kita memakan makanan tersebut.
Akibatnya, kita akan mengalami sakit perut dan cirit-birit yang boleh membawa maut.

Selain itu, kita juga perlu memakan makanan yang seimbang. Dalam hal ini, kita
boleh menjadikan piramid makanan sebagai panduan. Makanan yang seimbang
membantu kita mendapatkan zat, vitamin, dan lain-lain keperluan badan kita agar
mencukupi. Pemakanan yang terkawal juga dapat mengelakkan kita menjadi obersiti.

Hadirin yang dikasihi,

Bersenam dan bersukan juga amat penting kita amalkan. Melalui bersenam, kita
dapat meningkatkan daya tahan kardiovaskular. aktiviti berjoging dan senaman
berbentuk larian dapat menguatkan jantung. Jantung yang kuat dan sihat amat penting
kepada setiap orang.

Akhir sekali, aspek kesihatan mental juga amat penting diberikan perhatian. Hal ini
demikian kerana kesihatan mental mempengaruhi mutu kehidupan seseorang. Setiap
daripada kita perlu mengelakkan tekanan dan kemurungan. Tekanan yang berlebihan
akan mengundang pelbagai penyakit berbahaya yang lain seperti tekanan darah tinggi,
sakit jantung dan kemurungan.

Oleh yang demikian, amatlah penting kepada setiap orang untuk menjaga
kesihatan diri. Sesungguhnya, orang yang prihatin terhadap kesihatan dirinya akan
menikmati hidup yang berkualiti.

Sekian, terima kasih.


soalan:

Kamu telah mewakili kelas dalam pertandingan syarahan sempena kempen minggu
celik IT peringkat sekolah. Tajuk syarahan kamu ialah "Kepentingan menguasai komputer
Dan Internet"

Tulis syarahan kamu itu selengkapnya.

Yang Di Hormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar Sekolah
Kebangsaan Pengkalan Chepa, Encik Hamzah Hassan, Barisan panel hakim yang arif lagi
bijaksana, guru-guru dan rakan sekalian. Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya
ucapkan. Pada pagi yang ceria ini saya akan menyampaikan sebuah syarahan yang
bertajuk "Kepentingan Menguasai Komputer Dan Internet".

Sidang hadirin sekalian,

Komputer adalah sejenis alat elektronik yang boleh menerima data, memproses
data, menyimpan data serta menghasilkan maklumat. Manakala internet pula ialah satu
rangkaian komputer yang menghubungkan berjuta-juta komputer di seluruh dunia untuk
berkongsi sumber dan maklumat, berkomunikasi dan saling berhubungan antara satu
sama lain.

Daripada definisi ini, kita dapat memahami bahawa komputer dan internet sangat
penting untuk kita kuasai. Dengan menguasai komputer kita dapat menyelesaikan
sesuatu tugasan dengan cepat, tepat dan kemas. Pelbagai aplikasi yang datang
bersama komputer dapat membantu kita membuat pelbagai tugasan. Contohnya, kita
dapat mengira, dan menyediakan data yang tepat dan kemas dalam masa yang
singkat menggunakan aplikasi hamparan elektronik seperti Microsoft Office Excel.

Selain itu, dengan penguasaan teknologi ini juga kita dapat berhubung dengan orang
lain di seluruh dunia dengan lebih cepat. Kita dapat menyampaikan berita dan
berbincang tentang sesuatu isu dengan pantas. Dalam hal ini aplikasi media sosial
seperti "Facebook, dan Whatsapp", sangat berguna kepada kita. Murid-murid juga dapat
menggunakan laman-laman sosial ini untuk berbincang dan menyelesaikan sesuatu
tugasan berkaitan pelajaran.

Hadirin yang dihormati,

Pelbagai urusan harian juga dapat kita selesaikan dengan cepat dan mudah
sekiranya kita menguasai kemahiran komputer dan internet. Perbankan elektronik, dan
perniagaan dalam talian adalah antara contohnya. Melalui perbankan elektronik, kita
dapat memindahkan wang ke dalam akaun orang lain seperti keluarga dan rakan-rakan
kita dengan cepat tanpa perlu pergi ke bank. Kita juga dapat menjual dan membeli
sesuatu barangan dalam talian. Hal ini sudah tentu menjimatkan masa dan tenaga kita.
Warga dewan yang dikasihi,

Kesimpulannya, pelbagai manfaat dapat kita peroleh jika menguasai komputer dan
internet. Kemajuan teknologi maklumat amat penting untuk kita kuasai sekiranya ingin
maju dan bersaing pada zaman yang serba moden dan bergerak pantas ini.

Sekian, terima kasih

Anda mungkin juga menyukai