Anda di halaman 1dari 1

SEMANGAT CINTA AKAN NEGARA

Sebagai warganegara Malaysia pelbagai cara boleh dilakukan bagi menunjukkan


semangat cinta akan negara Malaysia. Antara cara yang boleh ditonjolkan bagi membuktikan
bahawa kita mencintai negara Malaysia adalah melalui perlakuan, percakapan yang ditonjolkan
kepada masyarakat.
Hal ini sedikit sebanyak dapat dijadikan tauladan dan ikutan kepada orang
ramai. Contohnya melalui sikap kita mengibarkan bendera Malaysia di kenderaan, rumah mahu
pun kelas kita belajar.

Percakapan kita yang berkaitan kebanggaan dan kesyukuran mendiami negara yang


aman dan mewah juga membuktikan rasa cinta kita pada tanah air. Kesemua ini membuktikan
bahawa kita mempunyai semangat patriotisme yakni cinta akan negara.

Selain itu, kita dapat membuktikan bahawa kita mempunyai semangat cinta akan negara
dengan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Hal ini jelas dibuktikan oleh Dato`
Nicol Ann David yang pernah mengharumkan nama Malaysia dalam bidang sukan. Ini jelas
menunjukkan semangat cinta akan negara yang terdapat pada jiwa Dato` Nicol. Begitu juga kita
dapat mengharumkan Malaysia melalui penglibatan dalam beberapa acara bertaraf dunia atau 
memadai memberi sokongan kepada perjuangan mereka terutama semasa pertandingan
diadakan.

Seterusnya, kita dapat menunjukkan cinta akan Malaysia melalui penglibatan


dalam perarakan hari kemerdekaan. Sedikit sebanyak ianya menunjukkan bahawa kita
mempunyai semangat patriotisme yang tinggi. Hal ini dapat menyumbangkan kemeriahan
Sambutan Hari Merdeka yang setahun sekali disambut di merata tempat.

Di samping itu, kita juga dapat menunjukkan bahawa kita mencintai negara Malaysia
dengan mengadakan kempen-kempen kesedaran kepada remaja masa kini yang semakin
dijajah minda melalui pelbagai cara yang tanpa disedari langsung. Kita wakilkan diri bagi
menyedarkan mereka kembali kepada jati diri Malaysia sebenar.

Akhir sekali, kita dapat menunjukkan semangat cinta akan negara Malaysia dengan
mengadakan laman-laman web dan blog mengenai kehebatan, keindahan, keistimewaan
negara Malaysia. Hal ini kerana, pada zaman kini, remaja lebih banyak meluangkan masa lapang
dengan melayari internet. Dengan wujudnya laman web yang bersifat patriotisme ini, akan
terubahlah sedikit pandangan masyarakat mengenai cara-cara menunjukkan cinta akan negara
Malaysia. Ini akan membawa ke arah lebih bersemangat memperjuangkan negara Malaysia
agar Malaysia terus maju, aman dan makmur.

Anda mungkin juga menyukai