Anda di halaman 1dari 3

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel Hakim yang arif lagi

bijaksana yang sedang menjunjung mahkota keadilannya, penjaga masa yang


sentiasa peka dengan detak waktunya, para peserta yang saya kagumi serta
hadirin dan hadirat yang saya hormati.
Berdirinya saya di atas persada indah tidak lain dan tidak bukan, kerana ingin
menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk, Belanja Berhemat Poket Selamat.
Sebelum lancang menuju ke muara, sebelum kita membelah bicara, sebelum isi
menyusur hujah, izinkan saya mendefinisikan frasa yang membina tajuk pidato
agar hadirin terbuka minda, agar hakim tidak terpinga-pinga, dan saya petah
berkata-kata, seperti kata orang dahulu kala:
Yang buta tidak teraba-raba,
Yang pekak tidak tertanya-tanya,
Yang kecil tidak terambin-ambin,
Yang pendek tidak tertinjau-tinjau.
Secara umumnya, belanja secara berhemat adalah sikap menjimatkan wang
dan berbelanja dengan berhati-hati. Pengguna yang berhemat merupakan
pengguna yang bijak merancang perbelanjaan, melakukan perbandingan harga
dan mendahulukan keperluan daripada kemahuan apabila membeli barang.
Terdapat beberapa cara mengurangkan belanja atau tidak berbelanja pada
hari-hari tertentu.
Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian, wacana saya yang pertama, amalan
yang digalakkan bagi berjimat cermat adalah melakukan rancangan
perbelanjaan. Langkah pengurusan kewangan ini adalah untuk memastikan
aliran wang yang dibelanjakan berbaloi dan tidak merugikan kita. Sebagai
pengguna yang bijak, kita seharusnya menetapkan matlamat kewangan yang
menggambarkan perkara yang ingin dikecapi dengan wang sendiri dalam
jangka masa tertentu. Jika tiada bimbingan dan panduan yang betul dalam
merancang perbelanjaan, kelak nanti beban kewangan akan memakan diri
sendiri. Selain menetapkan matlamat kewangan dalam jangka masa yang
diinginkan, kita perlu menyenaraikan semua jenis perbelanjaan kita. Hal ini
demikian kerana rekod kewangan adalah bukti tabiat perbelanjaan dan mudah
untuk kita menganalisis perbelanjaan yang betul dan yang salah.
Para hadirin sekalian,
Dalam masa yang sama, kita juga hendaklah mementingkan keperluan
daripada kehendak. Senario ini dilihat menjadi kelaziman anak muda hari ini
apabila kehendak diri diutamakan sehingga sanggup berhutang keliling
pinggang hanya untuk mendapat kepuasan atau pujian daripada orang lain.
Pengaruh media sosial oleh golongan berharta dalam menunjukkan
kemewahan menjadi antara penyebab ramai di antara anak muda yang
berbelanja untuk mendapatkan kehidupan yang mewah seperti selebriti.
Sebaliknya, golongan muda khususnya yang baru mendapat pekerjaan perlu
berjimat cermat dengan membeli barang keperluan dan menyimpan atau
melabur wang bagi kemudahan di masa hadapan. Pakaian berjenama,
percutian ke luar negara dan kereta mewah bukanlah keperluan sebaliknya ia
adalah bonus kepada sesetengah orang yang mampu untuk memilikinya tetapi
tanpa perlu berhutang.
Rakan-rakan yang dikasihi,
Seterusnya, amalan berjimat-cermat yang boleh diamalkan adalah dengan
melakukan perbandingan harga sebelum membeli-belah. Mutakhir ini, terdapat
pasaraya yang menjual secara borang dan pasaraya yang menjual barangan
import berkualiti tinggi. Maka, pengguna perlulah bersikap bijak dengan
membeli produk yang berbaloi dari segi kualiti dan juga berpatutan pada
harganya. Pengguna masa kini juga mempunyai pilihan yang lebih baik
berbanding waktu dahulu kerana kita boleh memilih untuk membeli di
pasaraya atau membeli secara maya di atas talian. Kehadiran aplikasi
perniagaan secara atas talian bukan sahaja memudahkan pengguna malah
mampu memberikan harga yang lebih murah berbanding harga produk yang
dikehendaki di pasaran. Kesannya, perbandingan harga produk sebelum
membeli adalah amalan yang tepat bagi meringankan beban kewangan kita
hari ini.
Akhir sekali, amalan berjimat cermat boleh diimplementasikan dengan
menyediakan bekalan makanan sendiri ke tempat kerja dan juga kepada anak-
anak di sekolah. Membawa bekalan makanan secara sendiri dari rumah
memberikan pelbagai manfaat kepada kita antaranya adalah menjimatkan
wang. Sejak dua, tiga tahun kebelakangan ini, harga makanan di restoran
semakin meningkat terutamanya di rangkaian restoran makanan segera. Oleh
itu, dengan membeli bahan masakan dan barang mentah sendiri serta
memasak juadah yang diinginkan, kita dapat meneliti jumlah perbelanjaan
yang digunakan. Penyediaan bekalan makanan secara sendiri juga membantu
kita dalam mengamalkan makanan berkhasiat dan secara tidak langsung
memberikan manfaat kesihatan kepada diri dan juga keluarga tersayang.
Kekangan masa mungkin menjadikan amalan ini sukar untuk dilakukan namun
pepatah melayu ada berkata hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.
Sebagai penutup akhir bicara ini, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa
terdapat beberapa kebaikan yang boleh diperolehi daripada amalan berbelanja
secara berhemah. Sikap berbelanja secara berhemah ini patut diamalkan setiap
masa. Pada pendapat saya, ibu bapa mestilah menunjukkan contoh amalan
berbelanja secara berhemah kepada anak-anak sejak kecil lagi. Jika semua
lapisan masyarakat mengamalkan sikap berbelanja secara berhemah, saya pasti
negara juga dapat manfaatnya.
Sekian sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon maaf sekiranya
tersilap kata dan terdapat tutur bicara yang kurang sopan semasa saya
menyampaikan pidato tadi.
Sekian, terima kasih

Anda mungkin juga menyukai