Anda di halaman 1dari 1

Lihat ilustrasi di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang ciri-ciri pengguna yang bijak.

Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
membuat perbandingan harga
membeli barangan yang berkualiti
membuat senarai barang
Mutakhir, isu berkaitan dengan pengguna yang bijak saban waktu diuar-uarkan dalam media
arus perdana malah sering menjadi polemik yang hangat diperdebatkan di negara kita. Justeru, semua
pihak mestilah beriltizam dan komited untuk menjadi seorang pengguna yang bijak kerana di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan. Persoalannya, apakah ciri-ciri pengguna yang bijak?
Pada hemat saya, antara ciri yang paling dominan adalah dengan membuat perbandingan
harga. Hal ini demikian kerana, harga sesuatu barangan yang dibuat perbandingan terlebih dahulu dapat
mengelakkan pengguna daripada dieksploitasi oleh peniaga yang bersifat lintah darah. Dengan berbuat
demikian, pengguna yang bijak dapat memilih barangan pada harga yang lebih murah tetapi berkualiti.
Sebagai contoh, seseorang pengguna tidak terlalu ghairah dengan pelbagai tawaran menarik daripada
jualan murah yang dipromosikan. Sebaliknya, mereka perlulah membuat perbandingan harga barangan
tersebut terlebih dahulu kerana biar alah membeli asal menang memakai. Tegasnya, pengguna yang
membuat perbandingan harga terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk membeli sesuatu
barangan dapat dikategorikan sebagai pengguna yang bijak.
Selain itu, membeli barangan yang berkualiti juga merupakan antara kriteria pengguna yang
bijak. Saya berpendapat demikian kerana barangan berkualiti yang dibeli oleh pengguna dapat memberi
kepuasan yang maksimum kepada mereka berbanding dengan barangan tiruan. Dalam konteks ini,
pengguna yang membeli barangan yang berkualiti tidak berkira tentang harga sesuatu produk asalkan
mereka memperoleh nilai faedah yang tinggi daripada barangan tersebut. Cuba kita bayangkan, jika
pengguna tidak membeli barangan yang berkualiti mungkin mereka akan terdedah kepada pelbagai risiko
penipuan. Buktinya, kerajaan sentiasa menyarankan para pengguna supaya membeli barang yang
berkualiti melalui pelbagai media massa dan dalam masa yang sama, kerajaan amat serius dalam
membanteras barangan tiruan. Bagaikan sudah terang lagi bersuluh, pengguna yang mengutamakan
pembelian barangan yang berkualiti dapat digolongkan sebagai pengguna yang bijak.
Elemen-elemen pengguna bijak yang berikutnya ialah membuat senarai barang sebelum
membeli. Analoginya cukup mudah. Senarai barang yang dibuat sebelum membeli akan banyak membantu
pengguna daripada membeli secara boros dan membazir kerana perbuatan membazir itu adalah amalan
syaitan. Hal ini bermaksud, seseorang pengguna seharusnya merancang pembelian terlebih dahulu agar
mereka tidak mudah terpesona dengan pelbagai tawaran yang ada kalanya bersifat ada udang di sebalik
batu. Realitinya pada hari ini, pengguna sudah kurang membuat senarai barangan untuk dibeli kerana
mereka terpengaruh dengan kaedah beli-belah yang bersifat window shopping yang menjadi trend
masyarakat pada hari ini. Justeru, saya optimis pengguna yang membuat senarai barangan terlebih dahulu
sebelum membeli merupakan pengguna yang menepati ciri-ciri pengguna yang bijak.
Sebagai natijahnya, setiap pengguna mestilah berusaha untuk menjadi pengguna yang bijak
supaya tidak mudah dieksploitasi dan dimanipulasi oleh peniaga yang sentiasa mengintai peluang untuk
mengaut keuntungan dengan cara yang tidak bermoral. Kita mestilah menggembleng tenaga untuk
merealisasikannya kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya!

Anda mungkin juga menyukai