Anda di halaman 1dari 3

Pengguna-pengguna hari ini berhadapan dengan pelbagai masalah yang membebankan

mereka dan keluarga. Antara masalahnya ialah kenaikan harga barangan dan
kekurangan bekalan makanan di pasaran. Masalah ini, jika gagal ditangani dengan
segera boleh menimbulkan pelbagai masalah yang serius terhadap masyarakat dan
negara.
Bincangkan langkah-langkah untuk menangani masalah ini supaya tidak terus berlarutan
dan menjadi semakin serius.

Mutakhir, kita sering dikejutkan dengan isu kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan
makanan di pasaran. Isu-isu tersebut seakan-akan tidak pernah engsot dari bibir masyarakat,
bak kata pepatah, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Selari dengan kegawatan
ekonomi, masalah kenaikan harga barangandan kekurangan bekalan makanan di pasaran bukan
sahaja merunsingkan masyarakat malahan membebankan rakyat jelata. Bayangkan betapa
susahnya kehidupan rakyat apabila dihimpit dua masalah serentak. Walau bagaimanapun,
pelbagai mekanisme dapat diaplikasikan untuk menangani permasalahan ini. Persoalannya,
bagaimanakah cara terbaik menangani masalah yang menjadi duri dalam daging kepada
masyarakat kita hari ini?
Pada hemat saya, kerajaan memainkan peranan yang signifikan dalam
usaha menangani masalah kenaikanharga barangan dan kekurangan bekalan makanan di
pasaran. Langkah pemantauan harga barangan dan penetapanharga siling harus dilaksanakan
secara istiqamah dan berkesan. Tindakan ini bertujuan untuk memastikan tiada peniaga yang
akan menaikkan harga barangan sesuka hati dan yang paling penting adalah dengan
menetapkanharga barangan pada kadar yang ditentukan oleh pihak kementerian berkenaan
seperti harga gula RM2.20 sekilogram. Tidak terkecuali, kerajaan juga harus menguatkuasakan
undang-undang tertentu atau memperketat undang-undang yang sedia ada. Kita sememangnya
difahamkan bahawa undang-undang yang luwes tidak dapat mengubah keadaan. Sebaliknya
dengan penguatkuasaan undang-undang yang ketat, seperti hukuman penjara, denda yang
setimpal atau lesen perniagaan ditarik balik, barulah peniaga-peniaga akan sentiasa berwaspada
dan berasa serik untuk menaikkan harga barangan atau menyorokkan bekalan makanan sesuka
hati. Dalam konteks yang sama, kerajaan juga harus memperkasa peranan Tribunal Tuntutan
Pengguna serta melindungi hak pengguna dari semasa ke semasa, tanpa mengira apa-apa cara
sekalipun. Tindakan pantas terhadap laporan kenaikan hargabarangan sesuka hati atau
kekurangan bekalan makanan di pasaran haruslah diambil supaya kebajikan dan hak rakyat
sebagai pengguna dipelihara. Bukan itu sahaja, kerajaan juga bertanggungjawab menggiatkan
aktiviti Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta aktiviti pertanian. Hal ini bertujuan memastikan
rakyat mendapat bekalan makanan yang berterusan. Sementelahan itu, kerjaaan perlu
meningkatkan import makanan sekiranya masih berlakunya kekurangan seperti bekalan gula
dan beras. Untuk menjayakan usaha ini, Taman Kekal Pengeluaran Makanan boleh diwujudkan
dan kerajaan juga wajib meningkatkan teknologi pertanian seperti penggunaan mesin,
pengusahaan tanah pertanian pada skala besar, menggiatkan tanaman aeroponik, hidroponik
atau organik bagi mempercepat dan memperbanyak hasil pertanian yang menyumbang kepada
kelangsungan bekalan makanan. Jelasnya, peranan kerajaan amat penting
dalam menangani masalah kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di
pasaran.
Selain itu, tidak dinafikan bahawa media massa juga memainkan peranan yang dominan
dalam menanganimasalah ini. Berperanan sebagai saluran informasi terkini, media massa
haruslah mendedahkan isu kenaikan hargabarangan serta masalah kekurangan bekalan
makanan di pasaran kepada masyarakat. Informasi atau berita tersebut boleh disampaikan
menerusi kaca televisyen, iklan, surat khabar, majalah mahupun internet dan sebagainya.
Dengan itu, masyarakat akan membuat persediaan awal dalam menghadapi kemelut tersebut.
Senarai barangankawalan juga harus didedahkan kepada masyarakat untuk pengetahuan
pengguna, terutamanya semasa hari perayaan. Misalnya, barang-barang yang disenaraikan
sebagai barang kawalan adalah seperti daging ayam, gula, telur ayam, tepung dan sebagainya.
Implikasinya, masyarakat akan menjadi lebih berpengetahuan dan mampu menjadi pengguna
yang bijak serta tidak mudah diperdaya oleh peniaga. Sekiranya berlaku perubahan atau
pindaan dalam senarai barang kawalan, maka maklumat tersebut perlu diumumkan supaya hak
pengguna tidak tergugat. Kempen-kempen yang efektif juga tidak boleh dikesampingkan
misalnya, media massa boleh menggiatkan serta menggerakkan kempen berjimat cermat,
kempen pertanian sebagai perniagaan dan sebagainya. Hal ini akan dapat melatih masyarakat
agar sentiasa bersedia dan tidak panik ketika masalah kenaikan harga barangan dan kekurangan
bekalan makanan di pasaran berlaku. Kempen pertanian sebagai perniagaan juga akan dapat
merangsangkan minat golongan muda untuk bergiat aktif dalam bidang pertanian atau
menerimanya sebagai kerjaya. Hal ini demikian kerana dengan bertani, kita juga boleh mengaut
keuntungan jika dilakukan secara gigih dan merupakan salah satu profesion yang dapat
menjamin peningkatan ekonomi. Sekiranya sektor pertanian digiatkan, nescaya bekalan
makanan di pasaran akan meningkat. Izharnya, kita sedia maklum betapa pentingnya peranan
media massa dalam menangani masalah-masalah ini.
Sementelahan itu, peranan individu dan masyarakat juga tidak boleh diabaikan. Peranan dan
kerjasama mereka amat signifikan untuk menangani masalah-masalah ini. Mereka harus faham
akan kebaikan amalan bijak berbelanja dan mengamalkan budaya berjimat cermat dalam
kehidupan. Segala perbelanjaan yang tidak diperlukan haruslah dikurangkan bagi mengelakkan
pemborosan dan pembaziran. Apabila melakukan pembelian atau semasa membeli-belah,
masyarakat haruslah menyenaraikan barang yang hendak dibeli dan tidak
membeli barangan secara berlebihan. Tindakan bijak ini membolehkan pengguna
membeli barangan yang diperlukan sahaja dan dapat mengelakkan perbelanjaan boros, bak kata
pepatah, sambil berdiang, nasi masak. Tambahan pula, masyarakat juga harus mengetahui hak-
hak sebagai pengguna. Mereka harus memastikan barangan yang dibeli berkualiti
dengan harga yang berpatutan supaya tidak mudah dieksploitasi oleh peniaga. Kalau mendapati
peniaga yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang, maka kita sebagai mata dan
telinga pihak kerajaan harus segera melaporkan hal tersebut kepada pihak berkuasa supaya
tindakan tegas seperti penggantungan lesen, penyitaan premis perniagaan mahupun hukuman
penjara boleh dijatuhkan jika didapati bersalah. Sebagai pengguna, kita berhak menggunakan
kuasa untuk memboikot barangan, peniaga mahupun kedai yang berkaitan apabila berlaku
ketidakadilan ekoran perbuatan tidak bertanggungjawab peniaga. Masyarakat juga dinasihati
supaya mengelak pembelian panik kerana tindakan sebegini hanya akan menyebabkan
stok barangan seperti minyak masak atau gula berkurangan di pasaran. Keadaan inilah biasanya
diambil kesempatan oleh peniaga untuk menaikkan hargabarangan, bak kata
pepatah, menangguk di air keruh. Oleh itu, sebagai tulang belakang negara, kita juga digalakkan
melibatkan diri dalam sektor pertanian. Kita seharusnya percaya bahawa segala keringat dalam
menjana hasil pertanian adalah penting untuk membanteras kekurangan bekalan makanan di
pasaran.
Tidak kurang pula, peranan peniaga-peniaga dalam mematuhi peraturan dan undang-
undang. Segala urusan perniagaan haruslah dijalankan mengikut piawaian perniagaan dan
bukan secara sesuka hati. Paling penting peniaga-peniaga juga tidak harus mengabaikan
kepentingan orang lain. Misalnya, bersikap individualistik dan hanya mementingkan keuntungan
bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Apabila telah tersemai nilai-nilai
murni dalam diri dan mengamalkan etika perniagaan yang jujur dan adil, maka peniaga tidak
akan menyorok barangan mahupun menaikkan harga barangan sewenang-
wenangnya. Lantaran itu, segala kebajikan dan hak pengguna akan dapat dipenuhi dan dijaga.
Pengusaha dalam sektor pertanian juga harus bersikap inovatif, terutamanya dalam
meningkatkan pengeluaran bekalan makanan. Penyelidikan dan pembangunan atau R&D untuk
meningkatkan hasil keluaran haruslah dijalankan kerana kaedah ini merupakan suatu
mekanisme untuk menanganimasalah kekurangan bekalan makanan. Kaedah ini bukan sahaja
akan dapat meningkatkan hasil keluaran malah, kualiti produk yang dihasilkan juga akan lebih
baik. Maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa tanggungjawab peniaga dan pengusaha sektor
pertanian penting dalam usaha menangani masalah kenaikan harga barangan dan kekurangan
bekalan makanan di negara ini.
Akhirulkalam, memandangkan kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di
pasaran mencetuskan banyak masalah kepada masyarakat, pelbagai pihak haruslah
menggembleng kudrat untukmenangani masalah ini, bak kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke
lurah sama dituruni dalam menanganimasalah tersebut hingga ke akar umbi.

Anda mungkin juga menyukai