Anda di halaman 1dari 3

Langkah Dan Usaha Membendung Kenaikan Harga Barang Di Pasaran

Isi-isi penting :-

 Menetapkan harga siling barang


 Pengeluaran mengikut unjuran permintaan
 Amalan berjimat-cermat
 Menguatkuasakan undang-undang
 Memboikot barang atau pasaraya yang menaikkan harga
 Melaksanakan kempen yang berkesan

Pendahuluan :-

Sejak akhir-akhir ini, kenaikan harga barang telah menjadi bualan


masyarakat akibat pergolakan ekonomi yang melanda. Polemik ini menjadi
antara faktor kos sara hidup di Malaysia meningkat dari tahun ke tahun.
Namun, kadar gaji dan peluang kerja yang ditawarkan masih berada di takuk
yang sama pada 10 tahun yang lalu. Masalah ini mungkin timbul oleh sikap
tamak peniaga, pengilang atau kapitalis yang mengawal ekonomi dan bersikap
seperti lintah darat. Sekiranya sikap mengaut keuntungan ini tidak
dihentikan, jurang antara golongan berpendapatan tinggi dan berpendapatan
rendah akan semakin menjarak. Oleh itu, apakah inisiatif yang boleh
dilaksanakan bagi membendung kenaikan harga barang terus berlaku dan
menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat konvensional?

Isi-isi :-

Prakarsa utama yang boleh dilakukan adalah dengan memperkenalkan


mekanisme kawalan terhadap harga barang terutamanya barang keperluan asas
seperti beras, minyak masak dan gula. Kerajaan yang intelektual dan prihatin
dengan kelangsungan hidup rakyat sewajarnya menetapkan harga siling terhadap
barang-barang asas yang lazimnya mendapat permintaan tinggi daripada
pengguna. Tindakan ini pernah dilaksanakan tetapi hanya apabila hari
perayaan berlangsung dan tidak dikekalkan untuk tempoh yang lama. Justeru,
pihak berkuasa perlu menjalankan kajian bagi mencari senarai barang
keperluan yang penting untuk penduduk tempatan dalam kehidupan seharian.
Kesannya, rakyat dapat membeli barang keperluan bagi meneruskan kehidupan
masing-masing walaupun ekonomi negara terumbang-ambing akibat daripada
pergolakan negara-negara yang berkuasa.
Selain daripada itu, pembendungan kenaikan harga barang boleh
dilakukan dengan memastikan pengeluaran barang mengikut unjuran permintaan
pengguna. Usaha ini memerlukan kerjasama dan etika daripada pihak pembekal
dan pengeluar produk. Hal ini demikian kerana pada musim perayaan atau
krisis, permintaan pengguna akan bertambah dan terdapat segelintir pihak
yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang. Pihak berkuasa
perlu menjalankan kajian dan menganalisis unjuran permintaan masyarakat
saban tahun untuk mengeluarkan jumlah jangkaan pengguna pada masa hadapan.
Oleh itu, produktiviti perlu dilipatgandakan bagi menampung kekurangan yang
ada pada waktu-waktu tertentu. Tambahan pula, pemberian subsidi kepada
pengeluar dapat membantu pengeluaran yang mencukupi untuk menampung
permintaan rakyat yang semakin bertambah.

Dari sudut pandang pengguna pula, kenaikan harga barang boleh


dielakkan dengan amalan berjimat cermat. Dewasa ini, pengguna kebanyakannya
berbelanja mengikut kehendak dan lebih daripada keperluan masing-masing.
Situasi ini berlaku rentetan pengaruh media massa dan selebriti yang
menggunakan media sosial untuk menunjukkan kemewahan hidup. Golongan marhaen
sepatutnya membuat perbandingan harga antara pasaraya dan kedai sebelum
membuat pembelian. Kehadiran pasaraya yang menjual pada harga borong dan
berpatutan perlu diperbanyakkan pada kawasan-kawasan tertentu terutamanya
kawasan luar bandar. Pengguna juga digalakkan untuk mengamalkan kitar semula
dengan menggunakan barang lama dan terpakai. Pelbagai tutorial yang telah
dimuat naik secara atas talian yang membantu kita untuk menukar barangan
lama kepada barangan yang berguna untuk digunakan pada ketika ini. Justeru,
amalan berjimat cermat bukan sahaja mengurangkan kenaikan harga barang malah
membantu menyelamatkan alam sekitar.

Pada masa yang sama, penguatkuasaan undang-undang adalah penting dalam


membendung kenaikan harga barang. Pihak berkuasa perlu melakukan pemantauan
lebih kerap atau menyediakan medium yang mudah untuk masyarakat melaporkan
sebarang kenaikan harga yang berlaku di kawasan mereka. Selain itu, pihak
berkuasa juga perlu menggesa peniaga mempamerkan tanda harga pada setiap
produk yang dijual bagi mengelakkan pengguna daripada tertipu. Penetapan
Akta Kawalan Harga yang lebih menyeluruh serta hukuman yang lebih berat
wajar dilaksanakan supaya peniaga sedar tanpa pengguna, mereka tidak dapat
menjalankan perniagaan mereka. Jika tiada usaha daripada pihak kerajaan,
peniaga akan terus menaikkan harga barang dan masyarakat akan ditindas.
Tuntasnya, pemantauan daripada pihak berkuasa terhadap peniaga yang
menaikkan harga barang amat diperlukan kerana ianya adalah salah satu
langkah untuk membendung kenaikan harga barang.

Penutup:-

Konklusinya, pelbagai usaha yang boleh digarap untuk membendung


kenaikan harga barang yang semakin merunsingkan masayrakat hari ini. Isu ini
pasti dapat diselesaikan dengan baik sekiranya semua pihak bekerjasama bagai
aur dengan tebing untuk memainkan peranan masing masing. Sebagai rakyat,
kita hendaklah bertindak seperti ke bukit sama-sama didaki dan ke lurah
sama-sama dituruni untuk mencari jalan bagi menyelesaikan kemelut yang
berlaku. Semoga pihak berkuasa konsisten dalam memperjuangkan isu yang dekat
dengan realiti kehidupan masyarakat hari ini agar kemakmuran bersama dapat
dicapai secara saksama.

Anda mungkin juga menyukai