Anda di halaman 1dari 1

PUNCA DAN LANGKAH MENGATASI MASALAH PENINGKATAN KOS SARA HIDUP

Masalah kos sara hidup yang semakin mendadak dari hari ke hari di negara kita disebabkan oleh
pelbagai punca. Oleh itu, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah untuk mengatasi masalah
tersebut.

Antara punca berlakunya masalah peningkatan kos sara hidup adalah peningkatan harga barangan
dan perkhidmatan. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila harga barangan keperluan serta bil utiliti
meningkat, maka masyarakat terpaksa membayar kos-kos tersebut dengan harga yang tinggi oleh kerana
mereka memerlukannya untuk meneruskan kehidupan harian. Sebagai contohnya, masyarakat terpaksa
membeli makanan walaupun harganya adalah tinggi supaya dapat meneruskan kehidupan. Tegasnya,
peningkatan harga barangan dan perkhidmatan menyebabkan peningkatan kos sara hidup.

Selain itu, peningkatan kos sara hidup berlaku akibat pengurusan kewangan yang salah.
Masyarakat yang tidak mempunyai pengetahuan dalam menguruskan kewangan sering berbelanja
melebihi kemampuan pendapatan mereka. Sebagai contohnya, mereka sering mengutamakan barangan
kehendak melebihi barangan keperluan yang menyebabkan perbelanjaan adalah di luar kawalan. Jelaslah
bahawa peningkatan kos sara hidup adalah disebabkan oleh perbelanjaan yang melampaui kemampuan
pendapatan.

Langkah-langkah yang diambil oleh pihak kerajaan bagi mengurangkan beban masyarakat dalam
peningkatan kos sara hidup adalah mengadakan kempen pengurusan kewangan. Hal ini akan membantu
rakyat meningkatkan pengetahuan mereka dalam menguruskan kewangan. Sebagai contohnya, konsultan
pengurusan kewangan peribadi oleh pihak profesional boleh diberikan kepada masyarakat supaya mereka
memahami cara menguruskan pendapatan mereka dalam kehidupan harian. Jelaslah kempen ini dapat
mengurangkan masalah peningkatan kos sara hidup dalam kalangan masyarakat.

Seterusnya, kerajaan juga memperkasa penguatkuasaan undang-undang bagi mengurangkan


masalah peningkatan kos sara hidup. Hal ini dikatakan demikian kerana, segelintir premis jualan
meletakkan harga yang terlalu tinggi untuk sesuatu barangan yang menyebabkan masyarakat terbeban
untuk membayarnya. Sebagai contohnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
Pengguna menjalankan operasi memantau premis-premis supaya dapat memastikan harga yang ditetapkan
untuk setiap barangan adalah berpatutan supaya masyarakat mampu membelinya. Tuntasnya,
penguatkuasaan undang-undang adalah penting bagi meringankan masalah peningkatan kos sara hidup.

Selanjutnya, kerajaan juga memberi bantuan kepada rakyat bagi mengurangkan beban
peningkatan kos sara hidup. Hal ini dikatakan demikian kerana, bantuan yang diberikan pasti akan
mengurangkan beban masyarakat dalam membeli barangan keperluan. Sebagai contohnya, kerajaan
memberi bantuan berbentuk wang seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia atau bantuan berbentuk barangan
seperti menyediakan bank simpanan makanan. Sememangnya bantuan kepada masyarakat akan
mengurangkan masalah peningkatan kos sara hidup.

Kesimpulannya, masalah peningkatan kos sara hidup mesti ditangani supaya kehidupan
masyarakat adalah lebih sejahtera. Jadi, setiap pihak perlulah berganding bahu dalam menyelesaikan
masalah ini secara muafakat

Anda mungkin juga menyukai