Anda di halaman 1dari 3

Harga petrol yang meningkat di seluruh dunia telah menyebabkan

kenaikan harga bahan bakar tersebut tidak dapat dielakkan dan turut
meningkat di negara kita. Kenaikan tersebut telah memberikan kesan
negatif kepada pengguna kerana banyak barang yang meningkat
harganya. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan telah memainkan
peranan dengan mengambil langkah yang perlu dan meningkatkan usaha
untuk menangani masalah tersebut. Hasilnya, kesan tersebut dapat
ditangani dengan bijaksana dan masih boleh dihadapi oleh anggota
masyarakat. Walau bagaimanapun, kesannya masih dirasai oleh
pengguna dan langkah lain perlu diambil untuk menanganinya.

Kenaikan harga barangan telah memberikan kesan kepada semua orang,


antaranya ialah masalah ini akan menyebabkan kehidupan golongan
yang berpendapatan rendah semakin terhimpit. Hal ini dikatakan
demikian kerana kuasa beli mereka semakin berkurangan dan
pendapatan mereka menjadi semakin berkurangan. Sebagai contohnya,
barang-barang keperluan dapur semakin meningkat dan dianggarkan
meningkat dalam lingkungan 20 hingga 50 peratus daripada harga yang
sebelumnya. Perkara ini sudah tentu akan mendatangkan kesan kepada
mereka kerana pendapatan mereka sebelum ini cuma cukup makan
sahaja. Tegasnya, kehidupan masyarakat semakin sukar akibat kenaikan
harga barang.

Kesan lain yang melibatkan semua pengguna ialah kadar inflasi akan
meningkat di negara kita. Apabila kadar inflasi meningkat. sudah tentu
ekonomi kita akan menghadapi masalah untuk berkembang dan
seterusnya pertumbuhan ekonomi akan lembab. Sebagai contohnya,
sebelum bulan Jun 2008 kadar inflasi di negara kita masih berada di
bawah paras 3 peratus, tetapi apabila harga petroleum meningkat pada
bulan Jun, kadar inflasi juga meningkat hingga melebihi 7 peratus. Oleh
itu, kesan inflasi ini sudah tentu akan menimbulkan masalah kepada
semua golongan masyarakat. Jadi, jelaslah bahawa masalah inflasi akan
terus mencengkam pengguna akibat kenaikan harga barang.

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh pihak kerajaan dan
anggota masyarakat di negara kita untuk menangani masalah ini.
Langkah tersebut ialah pihak kerajaan perlu menjalankan kempen jimat
cermat dalam kalangan pengguna. Hal ini dikatakan demikian kerana
kempen yang dijalankan akan menyebarkan mesej kerajaan untuk
menggalakkan masyarakat supaya berjimat cermat akan mendatangkan
hasil. Kempen tersebut boleh dijalankan melalui media massa arus
perdana seperti televisyen, radio, dan juga media cetak. Kempen tersebut
juga sekurang-kurangnya diharapkan dapat memberikan kesedaran
tentang perbelanjaan berhemat kepada para pengguna. Dengan cara itu,
kesan kenaikan harga barang akan dapat ditangani dengan lebih
berkesan dalam kalangan pengguna.

Langkah seterusnya ialah para pengguna perlu merancang perbelanjaan


seharian dengan lebih berhemat. Hal ini akan menjadikan para pengguna
di negara kita lebih bijak semasa berbelanja iaitu mereka cuma perlu
membeli barang-barang yang diperlukan sahaja. Barang-barang yang
kurang diperlukan tidak perlu dibeli atau mungkin ada barangan
alternatif yang lain dan lebih murah harganya di pasaran. Para pengguna
boleh membeli barang makanan yang dimakan setiap hari sahaja
berbanding dengan makanan sampingan yang kurang penting. Oleh itu,
wang yang digunakan untuk membeli barang-barang yang kurang
diperlukan itu dapat dijimatkan dan digunakan untuk keperluan lain
yang lebih penting. Perkara ini serterusnya dapat mengurangkan masalah
yang timbul akibat kenaikan harga barang yang dihadapi oleh semua
pengguna.

Anggota masyarakat yang juga merupakan pengguna digalakkan untuk


menanam sayur-sayuran bagi menjimatkan perbelanjaan harian. Dengan
cara ini, para pengguna tidak perlu lagi membeli sayur-sayuran di pasar
setiap hari. Sebagai contohnya, anggota masyarakat boleh menanam
sayur-sayuran yang mudah ditanam di belakang rumah ataupun di dalam
pasu seperti cili, kangkung, sawi, kunyit, serai, tomato dan sebagainya.
Selain untuk kegunaan sendiri, sayur-sayuran itu juga boleh diberikan
kepada jiran-jiran yang berhampiran. Sudah tentu tindakan ini akan
menjimatkan perbelanjaan dan secara tidak langsung, cara ini juga boleh
merapatkan hubungan sesama jiran dan seterusnya dapat melahirkan
masyarakat yang harmoni.

Sebagai kesimpulannya, para pengguna hendaklah menjadikan amalan


berjimat cermat sebagai budaya dalam kehidupan seharian. Oleh itu,
semua pengguna perlulah sedar akan kesan buruk akibat kenaikan harga
barang sekiranya tidak diambil endah oleh anggota masyarakat.
Sekiranya para pengguna tidak membudayakan amalan berjimat cermat,
sudah tentulah kenaikan harga barang akan menimbulkan masalah yang
serius kepada mereka sendiri. Jadi, kita tidak mahu perkara itu berlaku
dan langkah yang proaktif perlulah diambil agar tidak menjadi seperti
peribahasa nasi sudah menjadi bubur  baru hendak bertindak. Kita berharap agar
masalah kenaikan harga barang yang hangat diperkatakan pada masa ini
akan dapat ditangani dengan berkesan demi kesejahteraan dan
kemakmuran rakyat.

Anda mungkin juga menyukai