Anda di halaman 1dari 2

PERPADUAN TERAS KEJAYAAN NEGARA

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan para hakim yang arif lagi bijaksana, rakan-rakan
seperjuangan yang saya kagumi serta hadirin dan hadirat yang saya kasihi sekalian.

Kalau tidak kerana bintang,

Tak akan bulan kelihatan tinggi,

Kalau tidak kerana syarahan,

Tak akan saya berada di sini.

Hadirin sekalian,

Pada pagi yang mulia ini, saya ingin mengajak semua atma yang berada di sini mendengar
syarahan saya yang bertajuk “Perpaduan Teras Kejayaan Negara”.

Adat kelaziman bicara, pendefinisian tajuk syarahan sebagai pembuka. “Perpaduan” membawa
maksud satu proses penggabungan atau penyatuan anggota masyarakat dan negara. “Teras
kejayaan negara” pula merujuk kepada asas kemakmuran, ekonomi, politik dan sosial sesebuah
negera. Justeru itu, dalam syarahan saya hari ini, saya ingin mengajak hadirin sekalian menilai
kepentingan perpaduan sebagai teras kejayaan negara.

Sidang pendengar sekalian,

Kata orang, sudah lulus maka hendak melantai. Setelah ditimpa sesuatu kesusahan, baru
kita sedar akan sakit dan peritnya akibat mengabaikan sesuatu perkara. Begitulah sifatnya
dengan perpaduan. Kita telah menyaksikan beberapa negara di dunia yang menderita akibat
rusuhan kaum. Rakyat di negara itu tidak berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi secara
diplomasi. Akibatnya demonstrasi, pergaduhan, keganasan dan lain-lain berlaku saban hari.
Adakah kita ingin menjadi seperti mereka? Semestinya TIDAK! Bahkan peristiwa 13 Mei 1969
akan kekal terpahat sebagai noda hitam dalam lipatan sejarah negara kita. Tepuk dada tanyalah
selera.

Tuan tuan dan puan puan,

Seandainya kita dapat menyatupadukan masyarakat menjadi satu rakyat dengan satu
impian, maka kita akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih kuat, gagah
berkasa dan berjaya. Para pemimpin negara kita saban hari dan setiap ketika menyeru rakyat
Malaysia agar bersatu teguh menentang anasir-anasir luar dan menjaga keharmonian bersama.

Justeru, sebagai seorang rakyat Malaysia yang mempunyai jati diri yang tinggi, kita
haruslah menghargai kemerdekaan yang telah diperoleh ini. Berusahalah mengukuhkan lagi
semangat perpaduan dalam jiwa kita demi kemakmuran negara. Jangan sampai segala yang kita
genggam hari ini terlepas semuanya kerana sikap mementingkan diri.

Sidang hadirin yg dihormati

Ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya, generasi muda Malaysia perlu meninggalkan
syak wasangka dan menghapuskan fahaman prejudis. Kita perlulah bersangka baik antara satu
sama lain dan menghindari sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi kaum.
Walaupun rakyat Malaysia diberi hak kebebasan bersuara, namun kita tidak sepatutnya
mengambil kesempatan dengan mencetuskan isu-isu sensitif dan kontroversi di media sosial
seperti Facebook, Instagram, Twitter dan lain-lain.

Intihannya, janganlah kita bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-
masing kerana perpaduan itu hanya akan wujud apabila semua kaum menjalankan
tanggungjawab masing-masing dengan sempurna dan bertolak ansur. Sebelum saya
mengundurkan diri, hayatilah pantun ini bersama:

Cincin suasa cincin pusaka,

Disimpan rapi dalam peti,

Cintai negara sayangi bangsa,

Kekalkan perpaduan tanpa sangsi.

Sekian terima kasih

Anda mungkin juga menyukai