Anda di halaman 1dari 2

Pusat Sumber sekolah merupakan gedung ilmu iaitu tempat untuk mendapatkan pelbagai informasi yang

diperlukan oleh setiap warga sekolah. Namun, sejak akhir-akhir ini isu para pelajar kurang mengunjungi pusat
sumber sekolah sering diperkatakan dalam media massa sama ada media cetak atau media elektronik. Hal ini
membimbangkan semua pihak kerana para pelajar merupakan pelapis yang bakal menerajui negara pada masa
hadapan, bak kata peribahasa pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Oleh itu, pusat sumber sekolah perlu
diurus secara sistematik dan efisien untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar agar menjadi pelajar
yang berilmu dan bermaklumat selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Persoalannya, apakah usaha-usaha
untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah?
Selaku pengawas pusat sumber sekolah, terdapat banyak usaha yang dapat saya lakukan untuk membantu
meningkatkan penggunaan pusat sumber di sekolah saya. Salah satunya ialah saya akan memastikan pusat sumber
sentiasa berada dalam keadaan kemas dan menarik. Saya akan bekerjasama dengan pengawas pusat sumber yang
lain untuk mengemas kini pusat sumber. Aktiviti gotong-royong membersihkan pusat sumber akan diadakan secara
berkala agar pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan bersih . Saya juga akan memastikan buku-buku disusun
atur dengan kemas di atas rak-rak buku mengikut kategori dan jenis buku. Dengan ini keadaan harmoni dan selesa
dapat diwujudkan. Situasi ini dapat memberi keselesaan kepada seseorang pelajar semasa mengulang kaji pelajaran
di pusat sumber. Jelaslah, situasi yang kemas, bersih dan menarik mampu menarik para pelajar berkunjung ke pusat
sumber.
Selain itu, saya akan membantu guru pusat sumber melaksanakan program Nilam untuk meningkatkan
penggunaan pusat sumber sekolah. Sebagai contohnya, saya boleh membantu mencari dan menyediakan buku-buku
yang sesuai serta menarik untuk kegunaan para pelajar semasa program Nilam. Oleh itu, program Nilam dapat
dijalankan dengan lancar dan berkesan. Hal ini dapat membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah
dan juga menyemai budaya membaca dalam kalangan pelajar. Program Nilam merupakan salah satu usaha
Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memupuk dan meningkatkan amalan membaca dalam kalangan pelajar.
Budaya membaca amat penting dan melambangkan ketinggian tamadun sesuatu bangsa. Dengan membaca,
seseorang itu akan mendapat pelbagai ilmu pengetahuan sebagai pedoman hidup, bak kata peribahasa membaca
jambatan ilmu. Justeru, pelaksanaan program Nilam yang berkesan menjadi daya penarik kepada para pelajar untuk
mengunjungi pusat sumber.
Seterusnya, saya akan mengesyorkan kepada pihak sekolah agar menyediakan kemudahan yang lengkap di
pusat sumber. Saya akan menulis surat kepada pihak pengurusan agar dapat menyediakan kemudahan yang lengkap
di pusat sumber untuk kebaikan pelajar. Saya akan meminta pihak pengurusan menyediakan komputer yang boleh
diguna pakai oleh pelajar untuk melayari Internet bagi mendapatkan pelbagai informasi terkini.Saya akan membantu
dari segi penyediaan buku-buku yang baharu dan menarik. Dengan adanya pelbagai buku yang baharu dan terkini,
pengunjung dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. Pihak sekolah juga perlu menyediakan pendingin hawa
untuk memberi keselesaan kepada para pelajar. Secara tidak langsung keadaan ini lebih mewujudkan suasana yang
kondusif dan menggalakkan para pelajar berkunjung ke pusat sumber sekolah.
Di samping itu, sebagai pengawas pusat sumber juga, saya akan mengamalkan budaya mesra pelanggan
semasa menjalankan tugas. Saya akan bersikap sopan, berbudi pekerti mulia dan berhemah tinggi serta sentiasa
bersedia memberikan pertolongan sekiranya pengunjung menghadapi masalah tanpa mengira bangsa dan agama ,
bak kata peribahasa budi bahasa budaya kita. Layanan mesra daripada pengawas menggembirakan para
pengunjung dan merupakan salah satu kunci untuk menarik para pelajar mengunjungi pusat sumber. Saya juga akan
membantu pihak sekolah mempromosikan buku-buku di pusat sumber agar dapat dipinjam oleh pelajar. Saya juga
perlu bersikap adil dan tegas kepada semua pelanggan terutama sekiranya mereka lewat atau sengaja tidak
memulangkan buku yang dipinjam mengikut tarikh yang ditetapkan.
Selaku pengawas pusat sumber juga, saya akan mencadangkan kepada pihak sekolah agar menyediakan
sistem pinjaman buku yang sistematik dan berkesan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber
sekolah saya. Contohnya penggunaan ICT khususnya komputer dalam urusan pinjaman dan pemulangan buku dapat
menjimatkan masa dan tenaga. Penggunaan sistem berkod merupakan langkah bijak kerana semua bahan bacaan
berbentuk buku akan direkodkan secara berkod yang memudahkan urusan pinjaman dan pemulangan buku yang
dilakukan secara ‘ scaning’. Kaedah ini akan mewujudkan sistem pengurusan pusat sumber yang sistematik kerana
para pelajar tidak perlu menunggu terlalu lama untuk urusan pinjaman dan pemulangan buku. Jelaslah sistem
pinjaman yang sistematik dan efektif adalah penting untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah.
Kesimpulannya, pusat sumber sekolah menyediakan perkhidmatan dan sumber pembelajaran dalam pelbagai
bentuk bagi membolehkan warga sekolah menjadi pengguna yang bermaklumat dan pemikir yang kreatif serta
kritis. Justeru, terpulang pada pelajar sendiri sama ada mahu menggunakan atau sebaliknya, tepuk dada tanyalah
minda. Semua pihak perlulah berganding bahu dalam usaha meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah bak
kata peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Anda mungkin juga menyukai