Anda di halaman 1dari 6

KEPENTINGAN PUSAT SUMBER

Pusat Sumber Sekolah ialah tempat berlakunya segala kegiatan memperoleh sesuatu
maklumat atau pengetahuan yang bertujuan untuk mempertingkat taraf profesionalisme
keguruan. Sehubungan itu, ia merupakan suatu unit bersepadu yang bertugas untuk
mengumpul, memilih, menyusun dan menyebarkan alat atau bahan pengajaran dan
pembelajaran sama ada dalam bentuk bercetak atau bukan bercetak dengan aktif dan
bermakna bagi memenuhi kehendak kedua-dua pihak, iaitu guru dan murid. Di pihak sekolah,
pusat sumber memainkan peranan penting bagi mempertingkat taraf pengajaran dan
pembelajaran serta prestasi pencapaian akademik. Pusat Sumber Sekolah hendaklah
berkhidmat sebagai tempat untuk memperoleh, menghasilkan, mengorganisasi dan
mengedarkan bahan untuk proses pengajaran dan pembelajaran yang diperlukan oleh guru
dan murid-murid.

Kepentingan pusat sumber yang pertama adalah membantu proses pengajaran dan
pembelajaran. Pusat sumber sering dijadikan sebagai pusat interaksi di antara guru dan
pelajar semasa mahupun tamat sesi persekolahan sebagai tempat penerangan, penyebaran
maklumat serta sumber dan tempat untuk memperolehi bahan pengajaran dan pembelajaran
dengan mudah. Dengan adanya pusat sumber sekolah, proses pengajaran dan pembelajaran
akan. berjalan dengan lebih sistematik dan berkesan. Penggunaan alatan dan bahan di pusat
sumber dapat membantu seseorang guru menerangkan sesuatu hukum, konsep dan hujah
dengan lebih berkesan. Ini dapat memperkaya pengalaman murid-murid dan juga guru.

Kepentingan pusat sumber yang kedua adalah menganjurkan aktiviti untuk


merangsang pelajar-pelajar supaya lebih berminat untuk belajar. Apabila para pelajar
mengikuti aktiviti tersebut, mereka akan lebih mudah untuk memahami dan menguasai
sesuatu proses atau konsep pembelajaran. Hal ini kerana tumpuan pelajar lebih kepada
perkara-perkara yang menarik. Selain itu, aktiviti-aktiviti yang telah dianjurkan oleh pusat
sumber dapat mengaktifkan sikap pelajar yang selalu berdiamkan diri apabila guru bertanya
didalam kelas. Ini mengubahkan sikap pelajar itu ke arah yang lebih baik. Kemungkinan
pelajar ini hanya mendiamkan diri kerana tidak mempunyai keyakinan diri untuk
memberikan pendapat di khalayak ramai. Melalui aktiviti ini, pelajar tersebut dapat
berpeluang untuk memberikan pendapatnya di khalayak ramai.

Kepentingan pusat sumber yang ketiga adalah pusat penempatan bahan-bahan


sumber. Ini bermaksud bahan-bahan itu boleh dicari dan digunakan dengan mencukupi dan
mudah. Para guru dan murid-murid boleh mendapatkan sumber-sumber yang dimiliki oleh
sekolah dan yang ada kena-mengena dengan pelajaran. Bahan-bahan rujukan seperti buku,
pelbagai alat bantu mengajar seperti radio, televisyen dan pelbagai bahan rekreasi sekolah
seperti buku cerita, majalah, surat khabar dan sebagainya ada di sini. Selain itu, pusat sumber
ini juga memberi panduan kepada guru dan murid-murid untuk mencari, memiliki,
menghasilkan dan menggunakan bahan selaras dengan keperluan dan tujuan masing-masing.
Contohnya, seorang guru yang inginkan bahan dari pusat sumber untuk mengajar sesuatu
kemahiran atau mata pelajaran tertentu akan mencari bahan-bahan atau alat-alat bantu
mengajar yang tepat dan sesuai dengan mata pelajaran itu di sini.

Akhir sekali, dengan menggunakan pusat sumber, pengajaran dan pembelajaran yang
disampaikan menjadi lebih dekat, lebih `detail dan spesialis’ serta menjadi lebih menarik dan
bermakna. Sesuatu perkara yang berlaku atau terdapat di luar bilik darjah dapat disampaikan
dengan menggunakan sumber yang ada. Hal ini menjadikan perkara di luar bilik darjah lebih
hampir kepada murid-murid kerana perkara tersebut boleh dipindahkan ke dalam bentuk
media dan dibawa masuk ke dalam bilik darjah. Contohnya, jika kita ingin memberitahu
tentang kenderaan kepada murid-murid yang belum pernah melihat kenderaan tersebut,
terutamanya murid-murid di kawasan pedalaman, penggunaan sumber dapat membantu guru.
Ini akan menggalakkan perubahan tingkah laku yang diingini. Pembelajaran yang
berdasarkan penggunaan sumber ini sebenarnya boleh menyeronokkan murid-murid kerana
persekitaran di dalam bilik darjah adalah stabil dan selesa, di samping adanya pelbagai media
perangsang.
PERANAN GURU PUSAT SUMBER

Pusat Sumber Sekolah (PSS) merupakan penjana pembentukan masyarakat yang


berilmu pengetahuan, gemar membaca dan berkemahiran maklumat sejajar dengan kepesatan
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Perkembangan pesat dunia pendidikan telah
memberikan impak yang positif kepada perkembangan Pusat Sumber Sekolah. Adalah
menjadi dasar dan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk meningkatkan mutu
pendidikan di negara ini sehingga mencapai pendidikan bertaraf dunia. Sehubungan dengan
itu, perjawatan Guru Perpustakaan dan Media Sekolah telah dapat memberi fokus ke arah
memantapkan Pusat Sumber Sekolah. Jadi, untuk melancarkan program ini, guru pusat
sumber perlu memainkan peranan yang penting.

Peranan yang pertama adalah merancang dan mengurus program pembacaan


(program nilam). Ini untuk memastikan program nilam dapat dilaksanakan dan berjalan
dengan lancar. Yang kedua adalah merancang dan melaksanakan Program Kemahiran
Maklumat dan perkhidmatan Pusat Sumber Sekolah yang dapat menyokong pelaksanaan
pengajaran dan pembelajaran. Ini adalah untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran
kemahiran maklumat dan juga mengintegrasikan literasi maklumat dalam pengajaran dan
pembelajaran.

Seterusnya adalah merancang dan mengurus program promosi pusat sumber sekolah.
Hal ini dapat menarik minat guru dan pelajar untuk menyertai setiap aktiviti yang dianjurkan.
Selain itu, ia dapat mengalakkan penggunaan pusat sumber sekolah dalam kalangan warga
sekolah. Peranan guru pusat sumber yang keempat adalah bekerjasama dengan guru-guru
dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran berasaskan sumber. Contohnya seperti
membantu guru dalam penggunaan bahan sumber dan juga menyediakan bahan yang ingin
digunakan oleh guru tersebut. Peranan guru yang kelima pula adalah merancang dan
menguruskan belanjawan tahunan pusat sumber sekolah bersama AJK kurikulum sekolah.
Melalui belanjawan tersebut, wang peruntukan itu dapat diagih mengikut keperluan dan juga
menggunakan peruntukan mengikut arahan yang telah ditetapkan.

Akhir sekali, dapat dilihatlah bahawa pentingkan peranan guru pusat sumber untuk
melancarkan aktiviti dan program yang dijalankan di sekolah. Selain itu, guru-guru pusat
sumber juga banyak membantu guru-guru yang lain untuk sesi pengajaran dan pembelajaran
berlangsung. Ini menunjukkan bahawa pusat sumber dan juga guru pusat sumber mempunyai
peranan yang penting untuk menjalankan sesuatu program dan aktiviti yang dianjurkan oleh
pihak sekolah.

AKTIVITI YANG DIJALANKAN OLEH PUSAT SUMBER

Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi, pelajar sudah tidak lagi
berminat untuk membaca buku mahupun menjejakkan kaki ke pusat sumber sekolah. Pusat
sumber sekolah boleh didefinisikan sebagai gedung ilmu dan khazanah informasi. Seperti
yang kita ketahui, pusat sumber sekolah merupakan destinasi dominan untuk warga sekolah
yang dahagakan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan sangat penting bagi setiap manusia
yang hidup di muka bumi ini. Saidina Ali bin Abu Talib, seorang tokoh Islam terkemuka
telah menyenaraikan 10 kepentingan ilmu. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya ilmu
pengetahuan dan kita perlu mengetahui bahawa ilmu tidak akan habis walaupun sudah
diterokai sedalam-dalamnya jika dibandingkan dengan harta yang akan habis dibelanja.
Dengan adanya aktiviti yang dijalankan oleh pusat sumber, pelajar akan sering datang ke
pusat sumber.

Aktiviti pertama yang dijalankan oleh pusat sumber adalah aktiviti Galakan
Membaca. Ini untuk memantapkan budaya pembacaan yang berkualiti dalam kalangan
pelajar untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan penguasaan literasi maklumat.
Justeru itu, pusat sumber perlulah dilengkapi dengan pelbagai bahan ilmiah dan rujukan yang
bervariasi dan menarik.  Umum mengetahui bahawa generasi muda  tidak begitu menggemari
membaca buku yang tidak mempunyai sebarang gambar tetapi mereka lebih menggemari
buku yang penuh dengan gambar, ilustrasi yang  berwarna-warni. Sebagai contohnya, novel,
majalah, ensiklopedia dan buku rujukan perlulah disediakan oleh pihak sekolah untuk
diletakkan di dalam pusat sumber.  Oleh hal yang demikian, bahan-bahan yang disediakan
hendaklah yang terkini supaya murid didedahkan dengan perkembangan semasa.   Dengan
berbuat demikian, pelajar tidaklah dikatakan seperti katak di bawah tempurung yang tidak
tahu tentang perkara yang berlaku di sekeliling mereka. 

Aktiviti yang kedua adalah program peningkatan kemahiran. Peningkatan tahap


kognitif, afektif dan psikomotor pelajar untuk terus menjana dan melahirkan idea kreatif dan
inovatif melalui tabiat membaca berkualiti untuk menyedia dan mempersiapkan pelajar-
pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing diperingkat
global. Selain itu, pihak sekolah perlulah menyediakan ruang bacaan yang luas supaya pelajar
berasa selesa untuk menimba ilmu dan menjalankan aktiviti di pusat sumber dan pihak
sekolah juga perlu menampal gambar-gambar tokoh yang berkaitan dengan pelbagai ilmu
untuk menceriakan persekitaran di dalam pusat sumber serta ini akan memperbanyakkan lagi
ilmu pengetahuan kepada diri pelajar. Contoh tokoh ilmuan yang boleh dipaparkan di pusat
sumber ialah Ibnu Khaldun, Ibnu Sina, Albert Einstein dan Isaac Newton. Impaknya, pusat
sumber sekolah dapat mewujudkan persekitaran yang selesa dan tenang untuk menjadikan
faktor penarik bagi merangsang pelajar mengunjungi pusat sumber.

Aktiviti yang dijalankan ketiga adalah lawatan sambil belajar. Melalui lawatan sambal
belajar ini, pelajar akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Sebagai contoh, jika pelajar
melawat ke muzium negara, pelajar akan memperolehi banyak pengetahuan tentang sejarah
negara. Hal ini akan membuka minda pelajar untuk mengetahu tentang sejarah-sejarah di
negara ini dengan lebih mendalam. Ini akan memupuk minat pelajar untuk sentiasa mencari
maklumat. Pelajar itu juga dapat mencari maklumat selepas lawatan itu dijalankan di pusat
sumber sekolah. Guru-guru pusat sumber perlu mengasingkan bahan-bahan ilmiah mengikut
kategori tertentu supaya tidak menyukarkan pelajar untuk mencari bahan bacaan yang ingin
dibaca.

Akhir sekali, dengan aktiviti yang telah dijalankan ini  minat membaca dapat disemai
dalam kalangan murid dan seterusnya melahirkan generasi yang cinta akan ilmu.   Amalan
membaca perlu dipupuk dalam kalangan pelajar kerana dengan membaca, generasi yang
berilmu pengetahuan dapat dilahirkan. Sekiranya ingin mengetahui masa depan bagi
sesebuah negara, lihatlah generasi muda pada masa ini kerana merekalah yang akan
menerajui tampuk pemerintahan negara pada masa akan datang. Oleh itu, usaha yang
dilaksanakan itu perlulah bersungguh-sungguh serta berterusan bukannya sekadar ‘hangat-
hangat tahi ayam’ mahupun ‘melepaskan batuk di tangga’ sahaja. Marilah kita menjangkau
sehabis tangan untuk mencorakkan masa depan negara dengan warna seindah pelangi dalam
merealisasikan misi dan visi Wawasan 2020. 

Anda mungkin juga menyukai