Anda di halaman 1dari 8

Forum 1 _PSS

Pusat sumber sekolah memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan seseorang pelajar.
Pusat sumber sekolah menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan kepada pelajar untuk
mengakses pelbagai bahan bacaan bagi menyokong proses pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik
darjah. Dengan kata lain, pusat sumber sekolah menjadi tempat untuk mengumpul, menyusun dan
menyebarkan bahan pembelajaran dan pengajaran sama ada secara bercetak atau bukan bercetak bagi
memenuhi keperluan pelajar dan guru. Oleh hal itu, pelbagai usaha boleh diambil untuk meningkatkan
penggunaan pusat sumber sekolah dalam kalangan pelajar dan guru.

Suasana yang kondusif perlu diwujudkan bagi meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah.
Susunan rak buku yang memudahkan pergerakan pelajar untuk mencari bahan bacaan yang
dikehendaki, kedudukan meja komputer yang teratur, ruang membaca yang selesa dan suasana yang
tenang serta ceria mampu menarik pelajar-pelajar mengunjungi pusat sumber sekolah. Hal ini demikian
kerana suasana yang kondusif dapat menenangkan fikiran, sekali gus mendorong pelajar-pelajar untuk
membuat rujukan dengan lebih fokus. Mereka akan berasa selesa kerana dapat membuat rujukan
secara kendiri serta mampu merancang keperluan mengikut kehendak masing-masing. Sebagai contoh,
Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah mengingatkan pengurusan sekolah supaya
memerkasakan pusat sumber sekolah kerana langkah tersebut dapat membantu dan meningkatkan
kualiti pendidikan untuk memberikan asas yang kukuh bagi membentuk masyarakat yang
berpengetahuan luas. Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa suasana yang kondusif mampu
meningkatkan penggunaan pusat sumber dalam kalangan pelajar dan guru.

Selain itu, memperbanyak bahan bacaan dan rujukan juga mampu meningkatkan penggunaan pusat
sumber sekolah. Pusat sumber sekolah yang dilengkapi dengan pelbagai bahan bacaan seperti buku,
majalah, akhbar dan komputer dengan kemudahan internet dapat memudahkan pelajar-pelajar
membuat rujukan. Pusat sumber yang lengkap dan menepati kehendak pelanggannya dapat
membolehkan proses capaian maklumat dilaksanakan dengan berkesan. Sebagai contoh, jika guru mata
pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan meminta pelajar-pelajar melakukan kajian tentang
tokoh-tokoh negara seperti sumbangan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Muhammad, mereka
dapat mengakses maklumat yang diperlukan dengan cepat melalui kemudahan komputer dan internet
yang disediakan di pusat sumber sekolah. Pelajar-pelajar dapat menjimatkan masa kerana mereka tidak
perlu ke kedai buku untuk mencari maklumat yang diperlukan oleh guru. Langkah ini ibarat sambil
menyelam minum air kerana pelajar juga dapat menjimatkan wang kerana bahan rujukan yang
diperlukan terdapat di pusat sumber sekolah. Jadi, jelas menunjukkan bahawa pusat sumber sekolah
yang lengkap dengan bahan bacaan dapat menarik minat pelajar dan guru untuk mengunjunginya.

Seterusnya, mengadakan pertandingan banyak membaca juga mampu meningkatkan penggunaan pusat
sumber sekolah. Pertandingan membaca seperti bahan-bahan bacaan berunsur fiksyen bahasa Melayu
dan bahasa Inggeris serta bahan bacaan bukan fiksyen bahasa Melayu dan bahasa Inggeris berupaya
mendorong pelajar-pelajar mengunjungi pusat sumber sekolah. Hal ini kerana mereka akan
mengunjungi pusat sumber untuk meminjam bahan bacaan bagi menyahut program yang dianjurkan
oleh pihak sekolah. Mereka akan membaca seberapa banyak bahan bacaan untuk dipenuhkan dalam
Buku Rekod Membaca yang disediakan oleh pihak penganjur. Sebagai contoh, program Nadi Ilmu
Amalan Membaca (NILAM) mampu mendorong pelajar-pelajar membaca seberapa banyak bahan
bacaan kerana pada akhir tahun pelbagai anugerah akan diberikan kepada pelajar-pelajar yang
menunjukkan rekod bacaan yang paling banyak. Anugerah seperti emas, perak dan gangsa berserta sijil
dan wang tunai mampu menggalakkan pelajar-pelajar mengunjungi pusat sumber sekolah untuk
meminjam bahan bacaan. Oleh hal itu, pertandingan banyak membaca dapat meningkatkan
penggunaan pusat sumber dalam kalangan pelajar.

Kesimpulannya, pusat sumber sekolah yang merupakan gedung ilmu perlu diperkasakan kerana ilmu
dalam pelbagai bidang yang terdapat di situ mampu melahirkan modal insan yang berilmu pengetahuan.
Modal insan inilah yang akan memacu negara untuk merealisasikan aspirasi kerajaan menjadi sebuah
negara yang berpendapatan tinggi pada tahun 2020 nanti. Kita mahu negara Malaysia duduk sama
rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain pada tahun tersebut. Oleh hal itu,
usaha untuk menjana modal insan berminda kelas pertama perlu digembleng oleh semua pihak agar
aspirasi ini dapat direalisasikan dengan jayanya.

FORUM 2_PSS

Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi, pelajar sudah tidak lagi berminat
untuk membaca buku mahupun menjejakkan kaki ke pusat sumber sekolah. Pusat sumber
sekolah boleh didefinisikan sebagai gedung ilmu dan khazanah informasi. Seperti yang kita
ketahui, pusat sumber sekolah merupakan destinasi dominan untuk warga sekolah yang
dahagakan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan sangat penting bagi setiap manusia yang hidup
di muka bumi ini.

Persoalannya kini, apakah peranan saya sebagai Guru PSS untuk menggalakkan murid-murid
berkunjung ke pusat sumber sekolah?

Cadangan pertama ialah supaya mewujudkan suasana pusat sumber sekolah yang kondusif
untuk dikunjungi oleh murid-murid khususnya. Dalam konteks ini, pihak sekolah perlulah
merancang susun atur rak buku, meja, dan kerusi dengan kemas serta teratur. Hal ini perlu bagi
memudahkan pergerakan murid untuk mencari bahan bacaan. Bahan-bahan ilmiah perlu
diasingkan mengikut kategori tertentu supaya tidak menyukarkan pelajar untuk mencari bahan
bacaan yang ingin dibaca. Sekiranya pihak sekolah melakukan seperti yang saya cadangkan, saya
akan memastikan buku-buku itu akan sentiasa tersusun dengan kerjasama daripada pengawas
pusat sumber sekolah yang lain untuk mewujudkan sistem penyusunan buku yang sistematik.
Selain itu, pihak sekolah perlulah menyediakan ruang bacaan yang luas supaya pelajar berasa
selesa untuk menimba ilmu di pusat sumber. Saya juga mencadangkan agar pihak sekolah
menampal gambar-gambar tokoh yang berkaitan dengan pelbagai ilmu untuk menceriakan
persekitaran di dalam pusat sumber. Contoh tokoh ilmuan yang boleh dipaparkan di pusat
sumber ialah Ibnu Khaldun, Ibnu Sina, Albert Einstein dan Isaac Newton. Impaknya, pusat
sumber sekolah dapat mewujudkan persekitaran yang selesa dan tenang untuk menelaah dan
menjadi faktor penarik bagi merangsang murid mengunjungi pusat sumber.

Suatu hakikat yang tidak dapat dikesampingkan ialah saya mencadangkan agar pihak sekolah
memperbanyakkan bahan bacaan dan rujukan serta mewujudkan sudut komunikasi dan teknologi
maklumat(ICT). Justeru, cadangan kedua saya ialah pusat sumber perlulah dilengkapi dengan
pelbagai bahan ilmiah dan rujukan yang bervariasi dan menarik. Umum mengetahui bahawa
generasi muda tidak begitu menggemari membaca buku yang tidak mempunyai sebarang
gambar tetapi mereka lebih menggemari buku yang penuh dengan gambar, ilustrasi
yang berwarna-warni. Sebagai contohnya, novel, majalah, ensiklopedia dan buku rujukan
perlulah disediakan oleh pihak sekolah untuk diletakkan di dalam pusat sumber. Oleh hal yang
demikian, bahan-bahan yang disediakan hendaklah yang terkini supaya murid didedahkan
dengan perkembangan semasa. Dengan berbuat demikian, pelajar tidaklah dikatakan seperti
katak di bawah tempurung yang tidak tahu tentang perkara yang berlaku di sekeliling
mereka. Selain itu, pihak sekolah perlulah menyediakan sudut ICT dan komputer bagi murid
mengakses maklumat dengan pantas yang kini hanya di hujung jari. Secara tidak langsung,
kemudahan ini dapat membantu murid yang kurang berkemampuan untuk menggunakan
komputer. Dengan adanya pelbagai bahan ilmiah di pusat sumber akan membantu murid
daripada keluarga yang kurang berkemampuan untuk meminjam dan menggunakan buku-buku
rujukan agar kemiskinan tidak menjadi penghalang kejayaan buat mereka. Pada masa yang sama
kemudahan yang disediakan di pusat sumber pasti dapat menarik murid untuk mengunjungi
pusat sumber dengan lebih kerap lagi.
Cadangan ketiga ialah pihak sekolah perlulah memperkasakan program Nadi Ilmu Amalan
Membaca(NILAM). Hal ini adalah kerana, program ini mampu menggalakkan murid untuk
membaca dan seterusnya menarik minat mereka supaya berkunjung ke pusat sumber yang
menyediakan pelbagai jenis bahan bacaan yang menarik. Seperti yang kita ketahui, program
NILAM telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan satu misi
berwawasan iaitu menggalakkan murid membaca dan seterusnya menjadikan amalan membaca
sebagai sebahagian daripada rutin seharian mereka. Oleh itu, pihak sekolah telah mewajibkan
setiap murid untuk memiliki sebuah buku NILAM dan membuat catatan sebarang bahan bacaan
sama ada bahan bacaan berbentuk fiksyen ataupun bahan bacaan bukan fiksyen yang telah
dibaca. Peranan guru pula, terutamanya guru yang mengajar subjek Bahasa Melayu dan Bahasa
Inggeris perlulah membawa murid-murid ke pusat sumber untuk memberikan peluang pelajar
membaca dan membuat sinopsis bahan bacaan mereka dalam buku NILAM. Guru Bahasa
Melayu juga boleh menyuruh murid untuk membuat sinopsis ringkas setelah selesai membaca
buku. Wajarlah bagi pihak sekolah untuk memberikan anugerah sebagai motivasi kepada murid
untuk berkunjung ke pusat sumber. Anugerah Gangsa, Perak, Emas dan NILAM akan diberikan
kepada pelajar mengikut jumlah buku yang telah dibaca. Jadi, pemerkasaan program NILAM
dapat meningkatkan jumlah pelajar yang berkunjung ke pusat sumber.

Cadangan keempat ialah pihak sekolah perlulah menganjurkan pelbagai aktiviti untuk menarik
minat murid supaya mengunjungi pusat sumber sekolah. Bertitik tolak daripada itu, pihak
sekolah hendaklah merangka aktiviti-aktiviti dengan baik agar aktiviti yang dijalankan berjaya
membuatkan murid sering mengunjungi pusat sumber. Bagi setiap program yang dianjurkan,
iklan-iklan mengenai ptogram tersebut perlulah disebarkan. Iklan-iklan bagi mempromosikan
aktiviti yang dianjurkan mestilah disediakan dalam pelbagai bentuk seperti kain pemidang,
banting, poster, risalah dan brosur. Jawatankuasa pusat sumber sekolah hendaklah membantu
menyebarkan risalah dan brosur kepada pelajar agar mereka maklum dengan aktiviti yang
dijalankan. Program-program yang boleh dianjurkan ialah kempen 'Jom Berkunjung ke Pusat
Sumber' dan kempen '1 Murid 1 Buku' bagi menggalakkan amalan membaca dan seterusnya
mengajak murid berkunjung ke pusat sumber. Dengan perkataan lain, iklan-iklan yang
disediakan perlulah menarik minat setiap mata yang memandang untuk memastikan program
yang dijalankan mendapat sambutan hangat daripada murid. Pertandingan bercerita, menulis
esei, kuiz dan membuat buku skrap perlu dijalankan sepanjang kempen mempromosikan pusat
sumber. Di samping itu, hadiah yang lumayan juga perlu disediakan untuk menggalakkan
penyertaan murid-murid. Tegasnya, penganjuran pelbagai aktiviti dan kempen dapat
menggalakkan murid-murid berkunjung ke pusat sumber sekolah.

Amalan membaca perlu dipupuk dalam kalangan pelajar kerana dengan membaca, generasi yang
beilmu pengetahuan dapat dilahirkan. Sekiranya ingin mengetahui masa depan bagi sesebuah
negara, lihatlah generasi muda pada masa ini kerana merekalah yang akan menerajui tampuk
pemerintahan negara pada masa akan datang.
FORUM 3_PSS

Pusat Sumber Abad ke 21

1. Ruang yang fleksibel


Ruang PSS yang mesra pengajaran dan pembelajaran (PDP) , pengguna Pusat Sumber Sekolah
(PSS) menjadikan PSS sebagai pusat mencari maklumat dengan pelbagai cara, tidak semestinya
buku. Sediakan ruang untuk perbincangan, mencari maklumat melalui teknologi, ruang untuk
audio visual, skrin dan projektor yang kemas kini. Tempat perbincangan yang santai dan masa
operasi PSS yang fleksi. Ini kerana PDPD PA21 memerlukan pelajar bergerak cergas, boleh
berkomunikasi dan berkolaborasi serta kritis dan kreatif.
2. PSS bukan gudang buku
Jika membeli bahan untuk PSS pastikan relevan dengan kehendak mata pelajaran semasa. Tukar
rekabentuk PSS lebih moden dan mesra pengguna. Tukar warna dan susun atur menjadi lebih
minimalis. Kurangkan warna garang dan pelbagai warna. Elakkan PSS menjadi khemah majlis
perkahwinan dengan kerusi meja yang beropol ropol.

Susunan buku juga perlu praktikal. Apa guna menyusun buku setinggi awan dan berkunci tetapi
tidak pernah digunakan. Gunakan prinsip eye level dan mudah akses. Buku yang lupus boleh
dijadikan hiasan dalaman yang menarik.

Cuba layari laman web e-book percuma seperti Project Gutenberg dan sekutunya yang lebih
daripada 100,000 public domain dan Google telah mengimbas lebih 30 juta judul melalui library
projectnya. Muat turun judul yang relevan dan sudah tentu sekolah dapat menambah koleksi
digital percuma ini

3. Infrastruktur
Guru Perpustakaan dan Media perlu bekerjasama dengan pentadbir. Jika perubahan fizikal mahu
dilakukan rancang untuk jangka masa panjang. Jika simen sudah dibancuh dan marmar telah
dilekat, peluang untuk mengubahsuai akan padam. Plug, soket, papan interaktif, skrin perlu ada
perancangan.

PSS menjadi pusat media perlu cukup peralatannya dan jangan lupa WIFI dengan kelajuan tinggi
serta sistem rangkaian cloud based.

Pencahayaan semulajadi dan aliran udara juga sebahagian daripada infrastruktur PSA21. PSS
tidak lagi kelam dengan rak buku dan perabot yang banyak.

4. Keceriaan vs Penggunaan
PSA21 perlu realistik dan berfungsi. Tidak perlu hiasan yang mahal dan berserabut dengan
bunga-bungaan serta ropol di sana sini. Biarkan ruang terbuka supaya fungsi pelajar datang ke
PSS adalah untuk mendapatkan maklumat, berbincang, berdebat dan membuat persembahan
secara berkumpulan atau individu.

Ruang PSS adalah ruang kerja bukan ruang pameran. GPM dengan kerjasama panitia perlu
memikirkan aktiviti yang ada hubung kait. Terutama aktiviti yang melibatkan projek di dalam
peperiksaan seperti PT3, SPM dan STPM.

Trend untuk mengadakan Kafe Buku juga perlu dilihat objektifnya. Jika pelajar datang , borak-
borak, skrol FB, Twit, You Tube dan membaca email sambil minum-minum nampak cool
tetapi adakah relevan dengan PDP.

5. Luar PSS
Manfaatkan pondok bacaan dan ruang luar bilik darjah. Aktiviti membaca santai juga boleh
berlaku di luar bilik darjah. Pencahayaan semulajadi dengan keindahan alam sangat membantu
PDP murid. Suasana jadi berbeza dan tekanan guru juga boleh hilang. Forest Library boleh
diwujudkan di dalam kawasan sekolah.

6. Latihan dan Pendedahan


GPM perlu mendapat latihan dan pendedahan berkaitan PSA21. Tidak cukup dengan ceramah
dan teori PAK21, tetapi tidak mengaplikasikannya kepada diri dan murid. GPM perlu dibenarkan
melawat ke sekolah atau mana -mana lokasi yang boleh membuka minda mereka tidak kira
dalam atau luar negara.

Oleh kerana trend pencarian maklumat telah berubah maka sekolah juga perlu berubah seiring
dengan keperluan generasi Z .
Forum 4_PSS

PKG

Pusat Kegiatan Guru (PKG) merupakan jalinan rancangan prasarana pendidikan yang memberi
perkhidmatan kepada guru-guru setempat bagi hal-hal professional dan mengutamakan
perlaksanaan kurikulum berlandaskan teknologi pendidikan selaras dengan Falsafah Pendidikan
Negara. PKG juga dahulunya dikenali sebagai Pusat Sumber Pendidikan Daerah.

MATLAMAT PKG

Matlamat PKG adalah untuk meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah-sekolah melalui


peningkatan taraf profesionalisme guru-guru berdasarkan kepada Falsafah Pendidikan Negara.
PKG akan merealisasikan individualiti guru sehingga dapat melaksanakan amanah dengan baik
dalam setiap peringkat dan bidang kehidupan bagi menghadapi cabaran dan wawasan 2020
selaras dengan dasar pembangunan negara.

OBJEKTIF dan PERANAN PKG

a. Meningkatkan mutu pendidikan dengan kegiatan berpusat kepada proses pengajaran dan
pembelajaran di sekolah.

b. Menyebarkan maklumat, pengetahuan dan inovasi proses pengajaran dan pembelajaran.

c. Merapatkan hubungan keperluan pendidikan di sekolah terhadap perkhidmatan dan


bantuan pendidikan.

d. Menjadi pusat rujukan, penghasilan dan perkhidmatan sumber kepada guru-guru dari
semasa ke semasa.

e. Mempertingkatkan kemahiran guru melalui program latihan dalam perkhidmatan.

f. Memupuk ikhtiar dan minat di kalangan guru ke arah mempertingkatkan taraf


profesionalisme mereka.

g. Menyediakan kemudahan untuk guru-guru ber interaksi dan bekerjasama


menjalankan kegiatan sosial.

Anda mungkin juga menyukai