Anda di halaman 1dari 2

Peranan Pusat Sumber Sekolah

Pusat Sumber Sekolah ialah tempat berlakunya segala kegiatan memperoleh sesuatu maklumat atau
pengetahuan yang bertujuan untuk mempertingkat taraf profesionalisme keguruan. Sehubungan itu,
ia merupakan suatu unit bersepadu yang bertugas untuk mengumpul, memilih, menyusun dan
menyebarkan alat atau bahan pengajaran dan pembelajaran sama ada dalam bentuk bercetak atau
bukan bercetak dengan aktif dan bermakna bagi memenuhi kehendak kedua-dua pihak, iaitu guru
dan murid.

Di pihak sekolah, pusat sumber memainkan peranan penting bagi mempertingkat taraf pengajaran
dan pembelajaran serta prestasi pencapaian akademik. Pusat Sumber Sekolah hendaklah
berkhidmat sebagai tempat untuk memperoleh, menghasilkan, mengorganisasi dan mengedarkan
bahan untuk proses pengajaran dan pembelajaran yang diperlukan oleh guru dan murid-murid.

Selain itu, Pusat Sumber Sekolah berkhidmat sebagai pusat penempatan bahan-bahan sumber dan
dapat pula digunakan secara individu atau berkumpulan. Ini bermaksud bahan-bahan itu boleh dicari
dan digunakan dengan mencukupi dan mudah. Para guru dan murid-murid boleh mendapatkan
sumber-sumber yang dimiliki oleh sekolah dan yang ada kena-mengena dengan pelajaran. Bahan-
bahan rujukan seperti buku, pelbagai alat bantu mengajar seperti radio, televisyen dan pelbagai
bahan rekreasi sekolah seperti buku cerita, majalah, surat khabar dan sebagainya ada di sini.

Pusat Sumber Sekolah dapat bertindak sebagai bank atau gedung ilmu penngetahuan, iaitu bahan
pelajaran dapat dipilih untuk penggunaan di dalam kelas atau di rumah. Selain itu, pusat sumber ini
juga memberi panduan kepada guru dan murid-murid untuk mencari, memiliki, menghasilkan dan
menggunakan bahan selaras dengan keperluan dan tujuan masing-masing. Contohnya, seorang guru
yang inginkan bahan dari pusat sumber untuk mengajar sesuatu kemahiran atau mata pelajaran
tertentu akan mencari bahan-bahan atau alat-alat bantu mengajar yang tepat dan sesuai dengan
mata pelajaran itu di sini.

Dengan adanya Pusat Sumber Sekolah, proses pengajaran dan pembelajaran akan. berjalan dengan
lebih sistematik dan berkesan. Penggunaan alatan dan bahan di pusat sumber dapat membantu
seseorang guru menerangkan sesuatu hukum, konsep dan hujah dengan lebih berkesan. Ini dapat
memperkaya pengalaman murid-murid dan juga guru. Memandangkan murid-murid di negara ini
tidak pernah melihat salji, sebuah filem yang menunjukkan tentang salji dan persekitarannya akan
menambahkan pengalaman murid-murid tersebut. Hal ini menggambarkan murid-murid itu sendiri
yang mengalami persekitaran itu setelah mendapat gambaran yang jelas, penerangan yang baik dan
spontan yang dapat dilihat oleh murid-murid.

Dengan menggunakan sumber, pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan menjadi lebih
dekat, lebih `detail dan spesialis’ (detail and specialise) serta menjjadi lebih menarik dan bermakna.
Sesuatu perkara yang berlaku atau terdapat di luar bilik darjah dapat disampaikan dengan
menggunakan sumber yang ada. Hal ini menjadikan perkara di luar bilik darjah lebih hampir kepada
murid-murid kerana perkara tersebut boleh dipindahkan ke dalam bentuk media dan dibawa masuk
ke dalam bilik darjah. Contohnya, jika kita ingin memberitahu tentang kenderaan kepada murid-
murid yang belum pernah melihat kenderaan tersebut, terutamanya murid-murid di kawasan
pedalaman, penggunaan sumber dapat membantu guru. Ini akan menggalakkan perubahan tingkah
laku yang diingini. Pembelajaran yang berdasarkan penggunaan sumber ini sebenarnya boleh
menyeronokkan murid-murid kerana persekitaran di dalam bilik darjah adalah stabil dan selesa, di
samping adanya pelbagai media perangsang.

Keseluruhannya, dapatlah dikatakan bahawa Pusat Sumber Sekolah memainkan peranan yang
penting dalam menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran. Tanpa Pusat Sumber Sekolah,
pengajaran mungkin tidak mencapai matlamatnya dengan menyeluruh.

Anda mungkin juga menyukai