Anda di halaman 1dari 2

Kebaikan dan keburukan internet kepada masyarakat.

Internet merupakan teknologi asas dalam pembangunan teknologi maklumat. Kini, internet merupakan
salah satu saluran rangkaian penghubung dunia yang telah mengecilkan dunia. Dunia tanpa sempadan
dimungkinkan dengan adanya jaringan internet ini. Walau bagaimanapun, teknologi internet ini kerap
disalahgunakan sehingga menjadi saluran yang boleh membawa kemudaratan.
Internet merupakan saluran ilmu pengetahuan kepada semua pengguna. Kini, pelbagai pengetahuan
terkini dapat disalurkan melalui internet. Internet merupakan khazanah ilmu yang membantu berjuta-
juta pelajar untuk mendapatkan maklumat dalam proses pembelajaran dan penyelidikan. Tugas guru
juga dipermudah melalui penggunaan internet yang membekalkan pelbagai ilmu terkini dan mudah.
Perkembangan sains dan teknologi serta ilmu canggih dipaparkan dalam internet. Ia juga membantu
dalam proses penyelidikan dan pembangunan.
Selain itu, internet merupakan saluran komunikasi antarabangsa. Teleperubatan dimungkinkan dengan
adanya internet. Pakar-pakar perubatan dapat berkomunikasi dan berinteraksi dengan adanya internet.
Pelbagai pembedahan dan diagnosis dimungkinkan melalui internet. Komunikasi dalam aspek ekonomi
dan politik pula dapat dimungkinkan dengan telekonferens. Ini memudahkan sesuatu urusan
komunikasi dalam usaha membuat keputusan tanpa pergi ke sesuatu tempat. Di samping itu, pendidikan
jarak jauh juga dapat dijalankan dengan adanya kemudahan internet. Internet ini memberi faedah
kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk melanjutkan pengajian mereka tanpa menjejakkan kaki ke
menara gading.
Internet juga memudahkan urusan harian manusia di mana pembayaran bil elektrik, air, kad kredit dan
bil-bil lain dapat dilakukan dengan mudah. Hubungan dengan agensi-agensi kerajaan dan badan-badan
pendidikan antarabangsa untuk memohon kemasukan ke kursus pengajian atau peluang kerja dapat
dibuat melalui internet. Urusan menerusi internet bukan sahaja menjimatkan masa, tetapi juga dapat
memastikan kesesakan lalu lintas dan tekanan kerja dapat diuruskan dengan mudah.
Walau bagaimanapun, internet juga memudaratkan manusia jika disalahgunakan. Kemudahan ini boleh
digunakan untuk menceroboh dan mengganggu seperti `hacking’ yang kini banyak berlaku. Laman-
laman web kerajaan mudah diceroboh untuk tujuan mengganggu. Keselamatan negara juga sukar
dikawal kerana segalanya dihubungkan melalui rangkaian antarabangsa. Beberapa tahun kebelakangan
inn, pusat keselamatan negara Amerika Syarikat, Pentagon diceroboh oleh seorang kanak-kanak berusia
dua belas tahun. Ini memudaratkan aspek keselamatan negara dan dunia.
Selain itu, virus komputer yang menjadi bahan bualan sejak kebelakangan ini juga disebarkan melalui
internet. Kini, banyak virus komputer yang dicipta boleh mengakibatkan data-data dalam komputer
hilang dan ada juga virus yang mengakibatkan kerosakan komputer. Ini akan mengakibatkan sesebuah
syarikat atau agensi kerajaan lumpuh kerana sistem dan data-data mereka terganggu. Aspek kesihatan
juga dikaitkan dengan penggunaan internet. Seseorang yang menggunakan komputer akan duduk di
hadapan skrin komputer untuk tempoh masa yang lama. Ini akan membawa masalah kesihatan seperti
penyakit mata, sakit tulang belakang dan sebagainya.
Kesimpulannya, internet mempunyai banyak kebaikan dan keburukan. Para pengguna perlu memahami
kegunaan internet dan memastikan is digunakan untuk kebaikan sahaja. Kawalan dan pengawasan ibu
bapa dan guru adalah penting agar generasi muda memanfaatkan internet demi melahirkan masyarakat
berilmu di negara ini.

Anda mungkin juga menyukai