Anda di halaman 1dari 2

CIRI-CIRI REMAJA BERWAWASAN

(TEMA) Dalam meniti arus globalisasi ini, generasi yang berwawasan merupakan
pelapis dan peneraju kepada kemajuan dan pembangunan negara kerana ahli
pujangga pernah berkata bahawa generasi berwawasan sebagai pemangkin
pembangunan negara. Generasi berwawasan dapat ditafsirkan sebagai golongan
muda yang mempunyai cita-cita tinggi untuk menjadikan negara kita maju selaras
dengan saranan yang terkandung dalam Wawasan 2020. (ISU) Dewasa ini, isu
generasi berwawasan telah mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat kita.
Isu generasi berwawasan menjadi amat penting untuk diberikan perhatian dan
tumpuan yang sewajarnya kerana mereka merupakan nadi negara. Oleh itu, usaha
untuk melahirkan remaja yang berwawasan semakin diberikan keutamaan.
(ARAHAN) Persoalannya, apakah ciri-ciri seseorang remaja yang dikategorikan
mempunyai wawasan?

(ISI 1) Kecemerlangan dari segi akademik merupakan salah satu elemen yang
maslahat untuk menelurkan remaja yang berwawasan. (MENGAPA) Intelek
merupakan faktor perdana untuk menjanakan kecemerlangan tamadun bangsa.
Remaja yang mempunyai ilmu pengetahuan yang mencakupi semua bidang dapat
membuat penilaian dan keputusan yang bijak dalam menghadapi kehidupan yang
penuh dengan onak dan duri ini. (BAGAIMANA)Sehubungan dengan itu, remaja kita
perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut
segala pengetahuan, terutamanya ilmu sains dan matematik melalui pelbagai
wahana, seperti membaca buku , melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan
sebagainya. (KESAN) Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai
kecemerlangan akademik dan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Tidak
dapat dinafikan bahawa tanpa keputusan yang cemerlang, remaja sukar
melanjutkan pelajaran ke menara gading untuk merealisasikan segala impian
mereka. Oleh itu remaja tidak harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu
terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah
peribahasa, “Ikut hati mati, ikut rasa binasa.” (PENEGAS) Tegasnya, remaja yang
berwawasan sentiasa memastikan dirinya tidak jemu menimba ilmu untuk memiliki
mentaliti kelas pertama.

(ISI) Selain itu, remaja yang berwawasan juga perlu sentiasa dinamik dan progresif
dalam menjalankan sesuatu tugas. Dinamik dapat diertikan sebagai perubahan yang
lebih baik daripada sebelumnya. (MENGAPA)Hal ini dikatakan demikian kerana
negara yang pesat membangun seperti Malaysia memerlukan generasi yang
memiliki ciri-ciri ini untuk mencapai kemajuan dalam setiap aspek. (BAGAIMANA)
Individu yang dinamik tidak memiliki ciri-ciri negatif seperti berputus asa sebaliknya
bersemangat tinggi. Dalam mengejar kejayaan, individu yang berwawasan
seharusnya gigih menghadapi cabaran tanpa berputus asa kerana tiada kejayaan
yang datang bergolek bak kata pepatah, yang bulat tidak datang bergolek, yang
pipih tidak datang melayang. (KESAN)Ekoran daripada itu, remaja yang dinamik
dan progresif sudah pasti dapat mencapai cita-cita yang diimpikan. (PENEGAS)
Pendek kata, remaja yang berwawasan sudah pasti akan memastikan dirinya
berubah untuk memajukan diri dan negaranya.

(ISI) Dalam nada yang sama, remaja yang berwawasan perlu berkreatif dan
berinovatif untuk memacu kegemilangan negara. (MENGAPA)Hal ini terjadi
demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori
bidang yang baru dapat mengecap kejayaan yang terbilang. Dalam industri teknologi
komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba akan
menikmati buah kejayaan yang manis. (BAGAIMANA) Rentetan daripada itu,
remaja kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli
dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan
galakan yang tidak terhingga jika anak mereka melontarkan impian mereka. Namun
demikian, impian itu bukan rekaan mat jenin yang tidak berasas tetapi perlu
disokong dengan praktikalnya. (KESAN)Dalam konteks ini, penglibatan remaja
dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau
keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi. Ketika berkhayal di
awang-awangan, pastikan kita mampu menjejakkan kaki di angkasa lepas kelak.
(PENEGAS) Sesungguhnya, pemikiran yang kreatif dan inovatif merupakan ciri
remaja yang berwawasan.

(ISI) Jika kita telusuri dari dimensi yang berbeza, remaja yang berwawasan
seharusnya cinta akan negara. (MENGAPA)Remaja yang berjiwa patriotik ini akan
menjadi bakal pemimpin yang akan menerajui tampuk pemerintahan negara.
Sebagai bakal pemimpin negara sudah pasti mereka perlu sentiasa berusaha untuk
memelihara imej negaranya daripada tercemar dan menjadi bahan cemuhan
masyarakat luar. (BAGAIMANA) Oleh itu, mereka haruslah menghormati lagu
kebangsaan negara iaitu lagu Negaraku dan mengamalkan prinsip-prinsip yang
terkandung dalam Rukun Negara. Mereka tidak akan sekali-kali menjadi
pengkhianat negara dan tidak akan melibatkan diri dalam gejala sosial yang akan
mencemarkan imej negara. (KESAN) Jiwa patriotik remaja yang menebal ini akan
menjamin keharmonian negara dan sekali gus berupaya menjaga maruah negara di
pentas global. (PENEGAS)Ringkasnya, remaja yang berwawasan sentiasa
bersemangat patriotik untuk mengekalkan keharmonian dan kedaulatan nusa
tercintanya.
(PENUTUP) Sebagai intihanya, terdapat banyak ciri yang memaparkan seseorang
remaja itu mempunyai wawasan yang tinggi. Remaja sebagai tunjang yang bakal
menerajui kepimpinan negara kita harus terlepas daripada belenggu angkara sosial.
Generasi yang berwawasan menjadi akar pada pertumbuhan dan pembangunan
modal insan yang menjadi agenda utama negara kita. (CADANGAN)Oleh itu,
golongan remaja perlulah sentiasa bermuhasabah dan membaiki kelemahan diri
sebelum terlewat bak kata pepatah, sesal di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.
Golongan remaja kita perlulah melakukan anjakan paradigma untuk menjadi remaja
kelas pertama dan memangkinkan kecemerlangan negara. (HARAPAN)Diharapkan
kelahiran remaja berwawasan dapat merealisasikan segala aspirasi negara di
samping dan menyerbakkan keharuman negara kita di persada antarabangsa

Anda mungkin juga menyukai