Anda di halaman 1dari 5

Tazkirah Syawal - Adab-adab menyambut Aidilfitri

ADAB MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI

Sebagai hadiah kemenangan orang-orang Islam dalam perjuangan mengengkang hawa nafsu di bulan
Ramadhan Allah Subhanahu wa Ta'ala membalasnya dengan satu hari yang dinamakan 'Idulfitri atau Hari Raya
Fitrah, di mana Allah Subhanahu wa Ta'ala menghalalkan mereka berbuka puasa dan mengharamkan berpuasa
pada hari tersebut.

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya yang mulia adalah wajar ianya disambut mengikut lunas- lunas yang
digariskan oleh Syara' dan tidak dicampurbaurkan dengan perkara-perkara yang dilarang atau yang
diharamkan.

Hari Raya memang tidak boleh disamakan dengan sambutan perayaan- perayaan yang lain, kerana ianya
merupakan kurniaan Allah Subhanahu wa Ta'ala khusus kepada hamba- hamba yang beribadat dan berjuang
melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadhan.

Apakah adab-adab dan perkara-perkara sunat yang dilakukan ketika menyambut kedatangan Hari Raya?

Banyak fadilat atau kelebihan yang terdapat pada malam Hari Raya. Oleh sebab itu, di antara adab-adab dan
perkara-perkara sunat yang telah digariskan oleh Syara' untuk kita melakukannya ialah menghidupkan malam
Hari Raya itu dengan melakukan amal-amal ibadat seperti mendirikan sembahyang fardhu secara berjemaah,
melakukan sembahyang sunat, bertakbir, memanjatkan doa ke hadrat Ilahi dan melakukan apa- apa jua bentuk
perkara yang berkebajikan.

1. Berdoa di malam raya

Al-Imam Al-Syafie Rahimahullahu Ta'ala telah menegaskan bahawa malam Hari Raya itu adalah di antara
malam-malam yang mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya Al-Umm:
"Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada
lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam Rajab dan malam
Nisfu Sya'ban.

Perlu diingat juga, kelebihan menghidupkan malam Hari Raya itu tidak akan diperolehi melainkan dengan
mengisi dan menghidupkan sebahagian besar malam tersebut, sebagaimana mengikut pendapat yang shahih.

2. Bertakbir Sepanjang Malam sehingga sebelum Solat Sunat Aidilfitri

Kemeriahan Hari Raya lebih dirasai apabila laungan takbir bergema. Namun begitu, tidak bermakna takbir itu
semata-mata untuk memeriahkan suasana tetapi lebih dari itu, ianya lebih bersifat untuk melahirkan rasa
kesyukuran dan mengagungkan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Allah memerintahkan kepada kita mengakui akan
kebesaran dan keagunganNya dengan mengucapkan takbir.

Ucapan takbir pada malam Hari Raya itu merupakan ibadah yang kita lakukan untuk melepaskan Ramadhan
dan untuk menyambut kedatangan 'Idulfitri. Oleh sebab itu, disunatkan kepada kita mengucapkan takbir
dengan mengangkat suara, bermula waktunya dari terbenam matahari malam Hari Raya sehingga imam
mengangkat takbiratul ihram sembahyang Hari Raya. Firman Allah Ta'ala:

Tafsirnya: "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas
petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur."

(Surah Al-Baqarah : 185)

3. Mandi Sunat Aidilfitri


Di pagi Hari Raya pula disunatkan mandi kerana Hari Raya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas
dan Al-Fakih bin Sa'd Radhiallahu 'anhum bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam melakukan mandi
pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha. Hadits ini dikeluarkan oleh Ibnu Majah.

4. Memakai Pakaian yang Terbaik, menghilangkan bau yang tidak elok

Di samping itu disunatkan juga memakai pakaian yang sebagus-bagusnya, memakai harum-haruman dan
menghilangkan segala bau-bau yang tidak elok. Tidak kira sama ada orang itu hendak keluar pergi ke masjid
untuk menunaikan sembahyang Hari Raya ataupun duduk sahaja di rumah, kerana hari tersebut merupakan
hari untuk berhias-hias dan berelok-elok. Diriwayatkan daripada Ja'far bin Muhammad daripada bapanya
daripada datuknya:

Maksudnya: "Bahawasanya Shallallahu 'alaihi wasallam memakai kain yang bergaris-garis (untuk
diperselimutkan pada badan) pada setiap kali Hari Raya."

(Hadits riwayat Al-Syafi'e dan Al-Baghawi)

5. Makan terlebih dahulu (seeolk-eloknya makan kurma dalam bilangan ganjil)

Sebelum keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Fitrah disunatkan makan dan
minum terlebih dahulu kerana mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam
sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu 'anhu, beliau berkata:

Maksudnya: "Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga Baginda
makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil."

(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Ahmad)

6. Mengucapkan tahniah

Selain itu, Hari Raya merupakan hari kemenangan dan kegembiraan, maka sebab itu disunatkan bagi sesama
muslim saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain dengan mengucapkan:

Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimaNya daripada awak."

Daripada Jubair bin Nufair, di mana beliau merupakan salah seorang Tabi'en (orang-orang yang datang setelah
Sahabat Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam) telah berkata (maksudnya): "Sahabat- sahabat Rasulullah Shallallahu
'alaihi wasallam apabila mereka berjumpa di Hari Raya, setengahnya mengucapkan kepada setengah yang lain:

Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kami dan menerimaNya daripada awak."

Menurut pandangan jumhur ulama bahawa mengucapkan tahniah di Hari Raya merupakan sesuatu perkara
yang disyari'atkan di dalam Islam.

Al-Imam Al-Qalyubi menaqalkan daripada Al-Imam Ibnu Hajar bahawa memberi atau mengucapkan tahniah
pada hari-hari raya, bulan-bulan dan tahun- tahun (kerana ketibaannya) merupakan perkara yang disunatkan.
Al-Imam Al-Baijuri mengatakan: Inilah yang yang dii'timadkan.(Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyyah, Juz 14, m.s. 100)

7. Ziarah menziarahi

Manakala itu pula, amalan saling ziarah menziarahi rumah terutama sekali saudara mara terdekat dan sahabat
handai merupakan suatu tradisi yang sentiasa diamalkan ketika menyambut Hari Raya. Amalan ini juga
sebenarnya termasuk di dalam perkara yang digemari dan disyariatkan di dalam Islam.

Dalil yang menunjukkan pensyariatannya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu 'anha,
beliau berkata:
Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam masuk kepadaku, dan di sisiku ada dua orang anak
perempuan yang menyanyi dengan nyanyian Bu'ats. Lalu Baginda baring di atas hamparan dan memalingkan
mukanya, dan kemudian Abu Bakar masuk, lalu mengherdikku dengan berkata: "Seruling syaitan di sisi (di
tempat) Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam!" Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menghadap kepada Abu
Bakar lalu berkata: "Biarkan mereka berdua itu." Melalui riwayat Hisyam Baginda menambah: "Wahai Abu
Bakar, masing-masing kaum ada hari rayanya, dan hari ini adalah Hari Raya kita."

(Hadits riwayat Al-Bukhari)

Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-'Asqalani menerangkan di dalam kitabnya Fath Al-Baari bahawa kedatangan atau
masuknya Abu Bakar Radhiallahu 'anhu ke dalam rumah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menunjukkan
seolah-olah Abu Bakar Radhiallahu 'anhu datang sebagai pengunjung atau penziarah selepas masuknya
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam ke dalam rumah Baginda.

(Al-Fath Al-Baari, Juz 3, m.s. 116 & Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyyah, Juz 31, m.s. 117)

Sehubungan dengan perkara ziarah menziarahi ini, adalah ditekankan kepada orang yang pergi berziarah
supaya sentiasa komited terhadap etika ziarah yang ditetapkan oleh Islam. Umpamanya hendaklah meminta
izin atau memberi salam sebelum masuk, tidak menghadapkan muka langsung ke arah pintu, menjaga adab
kesopanan ketika berada di dalam rumah orang yang diziarahi, memilih waktu yang sesuai untuk berziarah dan
sebagainya.

8. Tetap menjaga disiplin sebagai seorang Islam yang beriman

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya, perlu diingat jangan sekali-kali sampai lupa kewajipan kita kepada
Allah Ta'ala iaitu mendirikan sembahyang fardhu, dan kerana terlalu seronok jangan pula adanya berlaku
perlanggaran batasan-batasan agama.

Apa yang di harapkan daripada sambutan Hari Raya sebenarnya bukannya semata-mata kegembiraan atau
keseronokan tetapi yang lebih penting dan lebih utama lagi ialah mendapatkan keberkatan dan keredhaan
Allah Subhanahu wa Ta'ala. Semoga kita semuanya mendapat keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu wa
Ta'ala kerana menghidupkan, membesarkan dan mengagungkan Hari Raya Idulfiri.
Menghayati Peristiwa Nuzul Al-Quran
Bismillahirrahmanirahim…

Salam semua pembaca Kalam Abu Musaddad, sedar tak sedar kita sudah pun berada
dipertengahan bulan ramadhan. Hari ini tanggal 17 Ramadhan 1429H bersamaan 17
September 2008 adalah satu tarikh penting yang perlu diingati dan dihayati oleh seluruh
umat Islam iaitu sempena peristiwa nuzul al-Quran.

Peristiwa Nuzul al-Quran adalah antara perkara penting yang harus diingat dan direnung
Muslim kerana bermula dengan peristiwa itu zaman jahiliah (kegelapan) telah disinari
cahaya, kesesatan digantikan kebenaran dan umat yang hidup bertuhankan hawa nafsu
berubah bertuhankan Allah Yang Esa.

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada
keputeraan Nabi Muhammad SAW perlu diingati dengan penuh keinsafan oleh umat Islam.
Al-Quran mengandungi lebih 6,000 ayat adalah himpunan wahyu dan kitab panduan
terakhir daripada Allah, diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun kepada Rasul-
Nya, Muhamad supaya menjadi petunjuk kepada seluruh umat.

Waktu penurunan al-Quran adalah mengikut perancangan dan ketentuan Ilahi. Sesuai
dengan kitab itu yang sungguh mulia, Allah juga memilih penghulu segala bulan yang
terkenal dengan bulan keampunan, rahmat dan keberkatan iaitu Ramadan untuk
menurunkannya. Firman Allah bermaksud:

“Ramadan adalah bulan diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan
daripada pembeza (antara yang hak dan batil).” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Perlu kita ketahui juga, Nabi SAW menerima wahyu daripada Allah SWT dalam pelbagai cara
dan keadaan antaranya ialah :

1. Malaikat memasukkan wahyu ke dalam hatinya. Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW
tidak melihat sesuatu pun, hanya berasa ia sudah berada dalam kalbunya.

2. Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW berupa lelaki yang berkata kepadanya
sehingga beliau mengetahui dan hafal kata-kata itu.

3. Wahyu datang seperti gemerincingnya loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi
SAW. Kadangkala pada keningnya keluar peluh walaupun ketika itu musim sejuk. Ada
kalanya, unta yang Baginda tunggangi terpaksa berhenti dan duduk kerana berasa amat
berat apabila wahyu itu turun. l Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW dalam
rupanya yang asli.

Selain itu, kenapa Allah SWT turunkan al-Quran secara beransur-ansur ? Sudah tentu
menpunyai hikmah-hikmahnya tersendiri. Antara hikmah al-Quran diturunkan secara
beransur-ansur itu ialah :
Lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Orang tidak akan melaksanakan suruhan dan
larangan jika diturunkan sekali gus dengan banyak.
Antara ayat itu ada yang nasikh dan mansukh, sesuai dengan permasalahan waktu itu. Ini
tidak dilakukan jika al-Quran diturunkan sekali gus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan
ada nasikh dan mansukh)
Turun ayat sesuai dengan peristiwa yang berlaku lebih mengesankan dan berpengaruh di
hati.
Memudahkan penghafalan. Orang Musyrik bertanya mengapakah al-Quran tidak diturunkan
sekali gus seperti disebut dalam al-Quran yang bermaksud: “Mengapakah al-Quran tidak
diturunkan kepadanya sekali gus? Dijawab dalam ayat itu sendiri: Demikianlah, dengan
(cara) begitu Kami hendak menetapkan hatimu.” (Surah al-Furqan, ayat 32)
Ada antara ayat itu jawapan daripada pertanyaan atau penolakan suatu pendapat atau
perbuatan seperti dikatakan Ibnu Abbas. Hal ini tidak dapat terlaksana jika al-Quran
diturunkan sekali gus.
Sehubungan itu, peristiwa Nuzul al-Quran harus dihayati umat Islam kerana ia menjadi asas
keimanan terhadap al-Quran bahawa ia adalah kalam Allah. Bahkan, ia dilihat asas utama
dalam pengakuan umat Islam terhadap kerasulan Nabi Muhammad SAW serta keyakinan
Islam itu agama benar, satu-satunya agama yang diredai di sisi Allah.

Rujukan : Buku Peristiwa Bersejarah Bulan Ramadan

_______________________________________

© IBNISMAIL.WORDPRESS.COM (2008 – 2010) Hak cipta terpelihara. Setiap artikel @ penulisan yang tersiar di
laman blog ini dihasilkan untuk tujuan perkongsian ilmu dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin
dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun mohon kerjasama agar segala bahan sama ada
berbentuk artikel, video dan lain-lain yang di ambil daripada laman blog ini diberikan “kredit” dengan
meletakkan alamat https://ibnismail.wordpress.com sebagai sokongan anda. Perlu ditegaskan di sini juga,
sekiranya terdapat pertentangan dengan fakta terutamanya al-Quran dan al-Hadith, maka penulisan ini adalah
terbatal dan tidak sah dengan sendirinya. Selain itu, pemilik blog Kalam Abu Musaddad tidak
bertanggungjawab sekiranya berlaku kerosakan atau masalah pada system komputer pelawat semasa @
sesudah melawat laman ini. Mohon ampun dan maaf juga sekiranya terdapat artikel @ penulisan di laman ini
yang menyentuh dan tidak disenangi hati para pelawat.

Anda mungkin juga menyukai