Anda di halaman 1dari 3

AMALAN INTEGRITI TERAS KEMAJUAN BANGSA

Bismillahirrahmanirrahim,

Ketika kita masih kecil, saya tertanya-tanya mengapa agaknya pungguk rindukan bulan? Oh
rupanya pungguk terlalu cinta dan tenang melihat bulan. Ketika kita perlahan lahan
memijakkan kaki ke alam dewasa, saya tertanya-tanya lagi dan lagi kenapa beribu jalan kerja
yang halal untuk mendapatkan wang, ada saja manusia yang tetap memilih jalan yang haram
mengamalkan rasuah untuk mendapatkan wang?? Maka timbul di benak fikiran saya, integriti
telah lama mati dalam bibit-bibit jiwa manusia. Maka ayuh bersama dengan saya untuk
mendengarkan pidato tentang betapa pentingnya nilai integriti dalam hidup manusia.
Terimalah mauduk pidato berbunyi “ Amalan integriti teras kemajuan bangsa”.

Terima kasih saudara pengerusi majlis, barisan saf kehakiman bervisi dan seterusnya hadirin
dan hadirat yang saya sanjungi lagi dekat di hati.

Saudara dan saudari, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi menakrifkan bahawa amalan integriti
in membawa maksud rakyat yang mempunyai nilai-nilai amanah,boleh dipercayai, jujur dam
sifat-sifat peribadi yang teguh dalam jiwa mereka. Maka untuk menjadikan amalan integriti
sebagai kayu ukur kemajuan bangsa, amalan ini perlu diamal dan dimiliki oleh setiap rakyat
Malaysia tanpa mengira lapisan umur, masyarakat dan bangsa.

Namun persoalannya, bagaimanakah amalan integriti ini mampu menjadi amalan dan memacu
kemajuan bangsa rakyat Malaysia?

Saudara dan saudari, pragmatik saya yang pertama AMALAN INTEGRITI DISEMAI
MELALUI INSTITUSI KELUARGA.

Keluarga merupakan sebuah institusi yang berperanan sangat penting dalam masyarakat kerana
segala asuhan didikan bermula daripada keluarga. Ibu bapa perlu mendidik anak mereka
dengan sifat-sifat yang baik bermula daripada kecil lagi. Ibarat kata pepatah “ anak-anak ibarat
kain putih dan ibu bapalah yang berperanan untuk mencorakannya”. Prof Syed Naquib Al Atas
menerangkan bahawa institusi keluarga sangat penting dalam pembentukan masyarakat.
Amalan integriti dalam keluarga bolehlah dipupuk melalui didikan kepada anak untuk bersifat
jujur dan melatih mereka untuk amanah dalam menjalankan tugas. Contohnya, ibu bapa
berikan tugas kepada anak seperti meminta bantuan untuk menolong buat kerja, belikan barang
dan berikan sejumlah wang untuk mereka belanja. Selepas itu, ibu bapa hendaklah memantau
dan bertanyakan soalan tentang contohnya ke mana wang mereka belanjakan dan beli apa
sebagainya. Melalui aktiviti ini, sifat amanah dan jujur boleh dipraktikkan oleh anak-anak
dalam institusi keluarga masing-masing. Sekiranya ibu bapa malas dan bersifat acuh tak acuh
dalam memberikan didikan integriti ini, pastinya anak mereka tidak dapat menjadi bangsa yang
maju. Hal ini demikian kerana, integriti tonggak utama dalam pembentukan sesebuah bangsa
masyarakat Malaysia.

Sidang hadirin sekalian

Isi saya yang kedua ialah PENDIDIKAN ASAS AMALAN INTEGRITI BANGSA.

Untuk membina sebuah rumah yang teguh, kita memerlukan tapak asas yang mencukupi untuk
rumah kita. Begitu juga diibaratkan dalam membina rumah integriti bangsa. Kita memerlukan
pendidikan sebagai asas tapak rumah ini. Kita perlu sedar bahawa dengan pendidikanlah yang
mampu untuk mengubah dan menjadi asas dalam pembentukan bangsa kita. Kita sedar
pendidikan elemen penting yang dekat dengan masyarakat kita. Namun realitinya? Sepandai-
pandai dalam pendidikan, sekecil-kecil penipuan integriti tetap juga berlaku dalam sekeliling
kita. Cukuplah dengan isu yang kita alami tiap tahun seperti kes kebocoran soalan-soalan
peperiksaan besar seperti UPSR,PT3 dan SPM yang sering berlaku. Isu-isu inilah yang
sebenarnya menjadi gunting dalam lipatan yang merosakkan bangsa kita. Bermula daripada
sekolah, universiti dan akhirnya menjadi penipu dalam bidang pekerjaan sendiri. Justeru itu,
pendidikan agama, sivik dan moral dan sejarah perlu diperkasakan oleh guru-guru di sekolah.
Terutamanya pendidikan tentang nilai integriti. Integriti ini ialah cahaya. Cahaya yang
melambangkan peribadi seseorang. Jika rosak integriti seseorang itu, maka malap dan sirnalah
cahayanya. Lantaran itu, muncullah golongan masyarakat yang menjadi barah integriti negara.
Oleh itu, amatlah penting untuk guru menjadi murabbi penunjuk ajar cahaya pendidikan kepada
murid-muridnya. Lantaran itu, akan lahirlah individu berpendidikan mempunyai nilai integriti
yang mencukupi sebagai seorang manusia.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Isi saya yang ketiga, PERANAN MEDIA MASSA DALAM MENINGKATKAN NILAI
INTEGRITI.

Jika kita melihat kepada dunia media massa kita kini, teknologi memainkan peranan yang
sangat penting dalam kehidupan kita. Melalui media massa kita dapat tahu perkembangan isu-
isu semasa yang berlaku dalam negara kita seperti isu politik, pecah amanah, sukan, dan
pelbagai isu lain. Namun satu perkara kita sering terlepas pandang ialah menapis isu dan berita-
berita yang tular di laman media sosial kita. Hari ini, kalau kita melihat kepada facebook kita,
pelbagai cerita tentang perkauman sering dibangkitkan oleh mereka-mereka yang dengki
kepada keamanan negara kita. Dengan kes yang berlaku kepada anggota bomba, allahyarham
Adib yang katanya dipukul oleh perusuh kaum india ketika ingin menyelamatkan kuil, isu
spekulasi pecah amanah oleh mantan perdana menteri kita dalam kes 1MDB, sehinggalah
kepada kes penghinaan Sultan Agong kita oleh segelintir kaum cina. Sebagai seorang rakyat
Malaysia yang berintegriti, kita perlulah bijak dalam menilai isu yang berlaku hari ini. Mampu
untuk membezakan mana kaca dan permata juga mampu untuk membezakan mana kebenaran
dan yang mana kepalsuan berita yang disampaikan. Kita seharusnya bersyukur, kerana pihak
kerajaan terutamanya pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menggibal
akta Komunikasi dan Multimedia agar menyekat berita-berita yang tidak mempunyai integriti.
Sebagai rakyat Malaysia, kita perlulah menyambut baik usaha kerajaan ini dengan turut sama
menjayakan program ini ibarat peribahasa melayu “ berat sama dipikul ringin sama dijinjing”.

Kesimpulannya, sahabat-sahabat sekalian., amalan integriti ini merupakan teras asas kemajuan
bangsa kita. Rakyat yang berintegriti akan dapat memacu negara ke arah kecemerlangan bebas
penipuan dan amalan-amalan yang tidak baik untuk bangsa kita. Nilai integriti ini, perlu
disemai dalam diri setiap rakyat Malaysia. Ibarat “cuit paha kiri, paha kanan turut terasa sama”
begitulah simpulan bahasa yang menggambarkan nilai integriti yang perlu dirasai,dinikmati
dan diamalkan bersama-sama. Saya percaya, amalan integriti ini asas kemajuan bangsa
tamadun kita negara Malaysia.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai