Anda di halaman 1dari 10

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/312621638

Indeks Keprihatinan Pengguna Bukan Muslim Terhadap Produk Makanan


Halal di Malaysia

Conference Paper · December 2015

CITATIONS READS

0 1,712

2 authors:

Yazid Isa Shahrul Nizam Ahmad


Universiti Utara Malaysia Universiti Utara Malaysia
10 PUBLICATIONS   11 CITATIONS    8 PUBLICATIONS   37 CITATIONS   

SEE PROFILE SEE PROFILE

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

Keberkesanan agihan zakat dalam mengurangkan kadar kemiskinan pelajar: Satu analisis di UUM View project

Emerald case study View project

All content following this page was uploaded by Yazid Isa on 24 January 2017.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


Indeks Keprihatinan Pengguna Bukan Muslim Terhadap
Produk Makanan Halal di Malaysia

Mohamad Yazid Isa


Pusat Pengajian Perniagaan Islam
Universiti Utara Malaysia
yazid@uum.edu.my

Shahrul Nizam Ahmad


Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan
Universiti Utara Malaysia
shahrul@uum.edu.my

Abstrak

Kajian ini menilai tahap keprihatinan pengguna bukan muslim terhadap produk
makanan halal di Malaysia. Menggunapakai indeks yang dibangunkan oleh
Technometrica Institute of Policy and Politics (TIPP) dapatan kajian dari 52
responden menunjukkan nilai indeks bagi tiga pembolehubah ( pengetahuan,
sikap dan kesihatan) adalah pada tahap yang sangat baik (melebihi 75 mata).
Responden juga menunjukkan sikap toleransi yang amat baik bagi aspek
pemakanan dalam pergaulan bersama rakan muslim. Namun begitu
pengetahuan dalam penyediaan makanan halal di kalangan pengguna bukan
muslim masih lagi berada pada tahap sederhana. Pihak berkuasa seharusnya
mempertingkatkan usaha dalam memberi kesedaran kepada pengguna bukan
muslim mengenai makanan halal terutama bagi mereka yang terlibat secara
langsung dalam pengeluaran makanan halal di Malaysia.

Kata Kunci : Indeks Keprihatinan, Pengguna, Makanan, Halal

1.0 Pendahuluan

Makanan mempunyai pengaruh yang besar terhadap tahap kesihatan tubuh manusia dan
kebanyakan manusia mengambil berat tentang makanan yang mereka makan. Pengambilan
makanan secara berlebihan misalnya, boleh menyebabkan mereka terdedah kepada penyakit
seperti hipertensi (darah tinggi), diabetes mellitus (kencing manis) dan lain-lain lagi. Dari
sudut yang lain, kekurangan makanan pula menjadikan manusia kelaparan dan ia
menyebabkan badan manusia menjadi letih dan tidak bermaya. Kepentingan makanan dalam
kehidupan menyebabkan manusia akan memilih makanan yang berkualiti dan berkhasiat.

Islam menuntut umatnya supaya berhati-hati dalam memilih makanan dan ia jelas disebut
dalam beberapa ayat Al-Quran antaranya: “Wahai manusia makanlah yang halal dan baik
dari apa yang terdapat di muka bumi..” (Al-Baqarah; 168)….”maka makanlah yang halal
lagi baik dari rezeki yang Allah telah berikan kepada kamu..” (An-Nahl 114). Ayat-ayat ini
memberi penekanan tentang kewajipan dalam memilih makanan yang halal. Halal merujuk
kepada perkara yang dibenarkan atau dizinkan dalam Islam (Kamus Dewan 2005) dan istilah
ini telah digunakan dalam industri makanan bagi menggambarkan produk makanan yang
bebas dari unsur-unsur yang dilarang dalam Islam. Menurut Al-Ghazali (2000) halal dalam
makanan juga merujuk kepada sesuatu yang baik dari segi kandungannya dan bersih dari segi
penyediaannya. Secara umumnya prinsip asas makanan dalam Islam adalah semua makanan
dibenarkan kecuali ada larangan dalam Al-Quran dan Sunnah yang melarangnya. Kaedah ini
memberi kebebasan untuk umat Islam memilih apa jua makanan yang mereka suka selagi ia
tidak dilarang dalam Islam. Beberapa panduan umum dalam pemilihan makanan dalam Islam
antaranya:
1. Larangan mengambil makanan yang dilarang Allah
2. Memastikan makanan diperolehi dari sumber yang halal
3. Menghindari makanan yang boleh memudaratkan kesihatan
4. Memastikan proses penyediaan makanan tidak mengandungi elemen najis dan perkara
yang dilarang dalam Islam.

Perangkaan tahun 2014 menunjukkan lebih 70% produk makanan halal di pasaran Malaysia
adalah dihasilkan oleh pengeluar bukan beragama Islam (http://www.halaljakim.gov.my).
Populasi pengguna muslim yang melebihi 17 juta orang di Malaysia
(http://pmr.penerangan.gov.my) merupakan antara faktor yang menjadikan produk makanan
halal mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan dari pihak pengeluar makanan. Di
samping itu kebolehpasaran produk makanan halal ini menyebabkan mereka berlumba-lumba
mendapatkan sijil pengesahan halal memandangkan ia juga boleh dipasarkan di negara-negara
lain terutama negara umat Islam di Timur Tengah (Zainalabidin et al., 2008).

Jika dilihat dari strategi pemasaran, potensi produk makanan halal tidak terhad untuk pasaran
pengguna muslim akan tetapi ia juga meliputi pengguna bukan muslim (Zakiah et al., 2014).
Secara prinsipnya, Islam tidak melarang pengguna bukan muslim untuk menggunakan produk
yang ditawarkan berlandaskan garis panduan yang disarankan dalam Islam. Misalnya produk
kewangan Islam boleh dilanggan oleh pengguna bukan muslim, begitu juga bagi produk
makanan halal, di mana Islam tidak menghadkan produk makanan yang halal untuk dinikmati
oleh pengguna muslim sahaja. Menurut Al-Ghazali ( 2000) makanan halal bukan sahaja boleh
digunakan oleh bukan muslim, malahan mereka juga boleh menghasilkan makanan halal
untuk dinikmati oleh pengguna muslim dengan syarat ia mematuhi segala prinsip yang
digariskan oleh Islam.

Namun timbul persoalan, adakah pengeluar makanan yang terdiri dari mereka yang bukan
beragama Islam mempunyai pemahaman yang jelas tentang persoalan halal dalam
pemakanan? Ini berikutan timbul keraguan di kalangan pengguna apabila sesuatu produk
makanan yang mempunyai pengesahan sijil halal dari pihak berkuasa, akan tetapi ia ditarik
balik kesan dari ketidakpatuhan mereka dalam memenuhi prosedur halal dalam penyediaan
makanan. Menurut Sanep et al (2014) masalah ini timbul apabila konsep halal tidak difahami
dalam konteksnya yang sebenar. Halal bukan sahaja terhad kepada arak dan khinzir semata-
mata akan tetapi ia meliputi aspek kandungan makanan dan juga dari aspek penyediaan
makanan. Pemahaman yang jelas tentang aspek halal dalam pemakanan adalah penting bagi
memastikan pengguna terutama yang beragama Islam yang membeli produk ini mendapat
produk yang diyakini status halalnya.

Sehubungan itu kajian ini akan menilai tahap keprihatinan pengguna bukan muslim dari aspek
pengetahuan, sikap dan kesihatan terhadap produk makanan halal. Aspek pengetahuan
terhadap makanan halal akan dianalisa bagi mengenalpasti tahap pemahaman mereka tentang
persoalan halal. Di samping itu aspek sikap dalam pembelian produk makanan juga akan
dianalisa samada elemen halal itu sendiri mempengaruhi tabiat mereka dalam pembelian
samada untuk diri sendiri mahupun untuk rakan-rakan muslim yang lain. Kajian ini juga akan
melihat peranan halal dan faktor kesihatan dalam mempengaruhi tabiat pembelian responden.

2.0 Metodologi

Keprihatinan merujuk kepada kesungguhan atau perhatian terdapat sesuatu perkara (Kamus
Dewan 2005). Ia menunjukkan sikap ambil berat seseorang terhadap sesuatu perkara yang
kadangkala perkara tersebut tiada kaitan secara lansung dalam kehidupannya. Sebagai contoh
keprihatinan seorang terhadap keselamatan rumah jirannya serta keprihatinan seorang tentang
kesihatan kawannya. Menurut Idris & Noor (2013) keprihatinan dapat digambarkan melalui
pengetahuan serta perlakuan seseorang dan ia dapat diukur dengan menggunakan beberapa
kaedah antaranya soalselidik dan temubual. Maklumat ini kemudiannya boleh dianalisa dan
dipersembahkan dalam pelbagai bentuk samada secara diskreptif (Sabri & Yong 2006 dan
Chelliah 1983) mahupun dalam bentuk indeks (Idris & Noor 2013).

Indeks merupakan salah satu pendekatan dalam mengukur sesuatu tingkahlaku dan ia banyak
digunakan dalam bidang ekonomi serta sosial. Pada kebiasaannya indeks digunakan dalam
kajian kuantitatif seperti mengukur perubahan harga saham (indeks saham) dan mengukur
perubahan harga barang (indeks harga pengguna). Namun begitu kajian dalam bidang
kualitatif juga mempunyai pendekatan yang tersendiri dalam menggunakan indeks. Data
kualitatif berbentuk pendapat dan persepsi responden misalnya boleh diukur dengan beberapa
kaedah antaranya Indeks Keyakinan Pengguna (Consumer Confidence Index), Indeks
Keselesaan Pengguna (Consumer Comfort Index) dan Indeks Perspektif Kebangsaan
(National Perspective Index).

Kajian ini mengadaptasi Indeks Perspektif Kebangsaan yang digunakan oleh TechnoMetrica
Institute of Policy and Politics (TIPP) dalam menilai persepsi dan sikap pengguna. TIPP
menjelaskan bahawa indeks yang mempunyai data skala ordinal boleh dibentuk dengan
menggunakan kaedah seperti Indeks Perspektif Kebangsaan. Menerusi pendekatan ini,
jawapan responden akan dibahagikan kepada dua jawapan bersifat positif (sangat setuju dan
setuju) serta dua jawapan yang bersifat negatif (sangat tidak setuju dan tidak setuju) dengan
menggunakan formula (1) berikut

(1)

Di mana p++ merujuk kepada peratusan jawapan sangat setuju, p—adalah peratusan jawapan
sangat tidak setuju, p+ peratusan jawapan setuju dan p- peratusan jawapan tidak setuju.
Formula (1) dapat diperincikan lagi pada Formula (2) berikut

(2)
Di mana P5 merujuk kepada bilangan responden yang memberi jawapan sangat setuju, P1
bilangan responden yang memberi jawapan sangat tidak setuju, P4 bilangan responden yang
memberi jawapan setuju, P2 bilangan responden yang memberi jawapan tidak setuju dan n
merujuk kepada bilangan keseluruhan responden. Indeks Keprihatinan Pengguna akan dikira
berdasarkan purata bagi setiap aspek pembolehubah dan skala indeks berikut digunakan bagi
menggambarkan tahap keprihatinan responden terhadap produk makanan halal.

0 tahap keprihatinan tiada


1 hingga 49 tahap keprihatinan kurang baik
50 tahap keprihatinan sederhana
51 hingga 75 tahap keprihatinan baik
76 hingga 100 tahap keprihatinan sangat baik

Kajian ini menggunakan kaedah temubual dan soalselidik di mana responden terdiri dari 52
orang mahasiswa yang bukan beragama Islam di utara Malaysia. Responden dipilih secara
rawak samada di dewan kuliah dan dewan penginapan. Soalselidik merangkumi 2 bahagian
iaitu Bahagian A tentang butiran responden dan Bahagian B tentang tahap keprihatinan
reponden berkaitan produk makanan halal merangkumi aspek Pengetahuan (8 soalan), Sikap
(6 soalan) dan Kesihatan (5 soalan). Soalan soalselidik diadaptasi berdasarkan Idris & Noor
(2013) yang mengkaji keprihatinan pengguna muslim terhadap isu halal dan haram. Kajian
mereka menilai indeks keprihatinan pengguna berdasarkan lima aspek iaitu Keimanan,
Persekitaran, Pengetahuan, Sikap dan Kesihatan. Namun begitu kajian ini hanya
mengambilkira tiga aspek (Pengetahuan, Sikap dan Kesihatan) sahaja memandangkan soalan
berkaitan Keimanan dan Persekitaran hanya relevan untuk pengguna muslim.

Pengetahuan merujuk kepada pemahaman responden berkaitan ajaran Islam serta halal dan
haram dalam pemakanan. Walaupun responden merupakan bukan penganut agama Islam
namun pendedahan maklumat menerusi pembelajaran serta pergaulan dengan rakan-rakan
beragama Islam menjadi medium utama bagi mereka mengetahui tentang ajaran Islam.
Kehidupan masyarakat yang berbilang kaum dan agama menjadikan sistem interaksi sosial di
Malaysia semakin unik. Ini berikutan menerusi interaksi ini perkongsian budaya, cara hidup
serta pemahaman sesuatu agama dapat difahami oleh kaum dan penganut agama yang lain.

Aspek kedua dalam indeks keprihatinan ialah sikap dan ia merupakan manifestasi
pengetahuan seseorang tentang sesuatu perkara. Pengguna bukan muslim yang mengetahui
tentang persoalan halal dan haram dalam Islam diandaikan mempunyai sikap saling hormat
menghormati dalam pergaulan dengan rakan muslim mereka. Aspek yang terakhir adalah
kesihatan dan ia menjadi objektif utama dalam pemakanan; untuk mendapatkan tubuh badan
yang sihat. Pemakanan seseorang seharusnya mengambilkira faktor kebersihan dalam
penyediaan makan, keperluan kepada nutrisi yang seimbang dan lain-lain lagi. Prinsip halal
dalam Islam bukan sahaja menekankan keperluan halal dari aspek sumber makanan akan
tetapi ia juga menitiberatkan tentang prosedur penyediaan makanan yang bersih dan
berkualiti.

Kajian ini mempunyai 19 pemboleubah yang mengukur keprihatian pengguna bukan muslim
dari aspek pengetahuan, sikap dan kesihatan terhadap produk makanan halal. Responden
diberi pilihan jawapan iaitu 5=sangat setuju, 4=setuju, 3=tidak pasti, 2=tidak setuju dan
1=sangat tidak setuju. Terdapat 4 pembolehubah berbentuk negatif dalam soal selidik ini iaitu
pembolehubah 4,5,7 dan 19. Dalam membina indeks, 4 pembolehubah ini akan dipositifkan
bagi mendapatkan gambaran sebenar indeks keprihatinan pengguna.
3.0 Dapatan Kajian

3.1 Profil Responden

Jadual 1 menunjukkan 52 orang responden yang terdiri dari mahasiswa yang bukan beragama
Islam yang berusia antara 20 hingga 27 tahun. Daripada jumlah ini 33% adalah reponden
lelaki dan 67% adalah responden perempuan. Kebanyakan responden adalah berbangsa Cina
(56%), manakala bangsa India sebanyak 37% dan selebihnya (7%) adalah lain-lain bangsa.

Jadual 1 : Profile Responden


Perkara Bilangan (Peratusan)
Jantina Lelaki 17 (33%) Perempuan 35 (67%)
Umur 20 tahun hingga 27 tahun
Bangsa Cina 29 (56%) India 19 (37%) Lain-Lain 4 (7%)
Sumber : Soalselidik

3.2 Indeks Keprihatinan

Jadual 2 menunjukkan indeks keprihatinan pengguna bukan muslim berkaitan produk


makanan halal. Purata bagi aspek yang membentuk indeks ini menunjukkan keputusan yang
sangat baik (78.70) di mana ia disumbangkan oleh aspek pengetahuan dengan skor 82.09,
aspek sikap 77.24 dan aspek kesihatan 76.77. Secara umumnya pengguna bukan muslim di
Malaysia mempunyai pengetahuan yang sangat baik mengenai persoalan halal dan haram
berkaitan produk makanan. Walaupun dapatan kajian menunjukkan penggunaan produk halal
tidak mempengaruhi secara langsung kelakuan pembelian mereka, ia bukan menjadi halangan
kepada pengguna bukan muslim untuk mengetahui tentang produk makanan halal.

Jadual 2: Indeks Keprihatinan Pengguna Bukan Muslim Terhadap Produk Makanan Halal
Aspek Indeks
Aspek Pengetahuan 82.09
Aspek Sikap 77.24
Aspek Kesihatan 76.77
Purata Indeks 78.70
Sumber : Soalselidik

Pengetahuan yang baik mengenai aspek halal menyebabkan pengguna bukan muslim lebih
menghormati pengguna muslim dalam pergaulan dan ia dibuktikan dengan purata wajaran
yang amat baik bagi aspek sikap. Ini menunjukkan toleransi dan sikap saling memahami
wujud di kalangan pengguna bukan muslim dalam pergaulan mereka dengan rakan-rakan
muslim. Aspek kesihatan juga menunjukkan keputusan yang sangat baik (melebihi 75 mata)
dan ini memberi gambaran bahawa pengguna bukan muslim mengambil berat soal kesihatan
dalam pemakanan. Logo halal juga berperanan sebagai satu alternatif bagi pengguna dalam
memilih produk makanan yang berkualiti dan bersih dari segi penyediaan.

3.2.1 Aspek Pengetahuan

Jadual 3: Perincian Indeks Keprihatinan Pengguna Bukan Muslim Terhadap Produk Makanan Halal
Aspek Pengetahuan P5 P1 P4 P2 Indeks
P1. Islam pentingkan halal dan haram 39 0 13 0 93.75
P2. Khinzir adalah haram 42 0 7 0 93.75
P3. Arak adalah dilarang 40 0 9 0 92.79
P4. Makanan ada campuran sedikit arak adalah dibolehkan 20 6 20 1 72.60
P5. Daging halal boleh disimpan bersama daging khinzir 22 1 12 3 74.52
P6. Sembelihan orang muslim boleh dimakan oleh bukan muslim 27 3 18 2 80.77
P7. Kuali masakan khinzir boleh digunakan untuk masakan orang muslim 23 1 14 4 75.96
P8. Hanya logo JAKIMdiiktiraf di Malaysia 21 2 13 4 72.60
Purata Pengetahuan 82.09
Aspek Sikap P5 P1 P4 P2 Indeks
P9. Logo halal baik untuk strategi pemasaran 20 0 26 1 81.25
P10. Saya meneliti kandungan makanan sebelum membeli 16 3 22 3 71.63
P11. Saya membeli makanan dengan logo halal untuk kegunaan saya 11 3 11 12 57.21
P12. Saya memilih makanan berlogo halal untuk raikan rakan muslim saya 31 1 15 1 85.58
P13. Saya tidak mengambil makanan tidak halal ketika makan bersama rakan
27 3 11 1 77.88
muslim saya
P14. Saya memastikan makanan halal dihidangkan kepada rakan muslim saya 36 0 12 1 89.90
Purata Sikap 77.24
Aspek Kesihatan P5 P1 P4 P2 Indeks
P15. Saya mengambil berat soal kesihatan dalam pemakanan 28 1 17 3 82.69
P16. Logo halal JAKIM adalah antara logo keselamatan makanan terbaik
19 0 16 0 75.96
dalam pasaran
P17. Saya yakin makanan dengan logo halal JAKIM adalah bersih dan
21 0 18 0 78.85
berkualiti
P18. Makanan yang tiada logo halal diragui kebersihan dan kualitinya 9 4 10 12 53.85
P19. Makanan halal yang tidak bersih penyediaannya boleh mendapat logo
19 6 9 7 63.46
halal JAKIM
Purata Kesihatan 76.77
Sumber : Soalselidik P5= Sangat Setuju P1= Sangat Tidak Setuju P4= Setuju P2=Tidak Setuju

Jadual 3 menunjukkan secara terperinci pembolehubah aspek pengetahuan dalam


pembentukan indeks dan ia memberi gambaran bahawa responden mempunyai pengetahuan
yang sangat baik berkaitan persoalan halal dan haram dalam pemakanan. Pengetahuan asas
seperti pengharaman makanan dan minimuman seperti khinzir dan arak dalam Islam amat
difahami oleh pengguna bukan muslim dengan indeks keprihatinan yang sangat baik iaitu
melebihi 90 mata. Begitu juga persoalan berkaitan aspek penyediaan makanan seperti
percampuran antara unsur halal dan haram juga menunjukkan pemahaman yang agak baik;
percampuran sedikit arak dalam makanan (72.60), perkongsian tempat simpanan daging
(74.52) dan penggunaan peralatan memasak bagi makanan halal dan haram (75.96). Namun
begitu indeks bagi ketiga-tiga pembolehubah ini perlu ditangani dengan sebaik mungkin bagi
memberi kesedaran kepada masyarakat bukan Islam mengenai ketegasan agama Islam
berkaitan percampuran elemen halal dan haram dalam makanan.

3.2.2 Aspek Sikap

Jadual 3 juga menunjukkan dapatan kajian tentang pembolehubah aspek sikap pengguna
bukan Muslim berkaitan produk makanan halal. Ia mengukur tingkahlaku mereka dalam
pembelian produk makanan berlogo halal dan tingkahlaku pemakanan mereka semasa bergaul
dengan kenalan beragama Islam. Keputusan menunjukkan indeks yang tinggi (81,25) dalam
menyatakan bahawa logo halal adalah merupakan satu strategi pemasaran yang baik untuk
menarik pengguna dalam pembelian produk makanan. Begitu juga dalam tingkahlaku
pemakanan responden semasa bergaul dengan rakan beragama Islam, keputusan menunjukkan
skor yang sangat baik (85.59, 77.88 dan 89.90) bagi pembolehubah 12, 13 dan 14. Ini
menunjukkan sikap keprihatinan yang tinggi di kalangan pengguna bukan Muslim semasa
berinteraksi dengan rakan berlainan agama. Namun demikian dapatan kajian menunjukkan
bahawa faktor kandungan makanan (P10) dan faktor halal (P11) bukan merupakan faktor
utama dalam mempengaruhi responden semasa membuat pembelian produk makanan untuk
kegunaan sendiri. Ia selari dengan dapatan kajian pada Jadual 4 dalam melihat keutamaan
responden berdasarkan tingkahlaku pembelian produk makanan. Min bagi faktor harga dan
faktor jenama menunjukkan keputusan yang lebih tinggi berbanding faktor-faktor lain. Ini
menjadikan harga dan jenama antara faktor terpenting dalam membuat pembelian berbanding
faktor kandungan makanan dan faktor halal.

Jadual 4 : Faktor berikut mempengaruhi anda memilih produk makanan (skala 1 hingga 4)
Faktor Min
Harga 3.7
Jenama 3.2
Kandungan 3.0
Logo Halal 2.2
Sumber : Soalselidik 1 : Tidak Pernah, 2: Sangat Jarang, 3: Kadang-Kadang & 4: Selalu

3.2.3 Aspek Kesihatan

Aspek yang terakhir dalam mengukur indeks keprihatinan pengguna ialah aspek kesihatan.
Dapatan kajian dalam Jadual 3 menunjukkan kebanyakan responden mengambil berat soal
kesihatan dalam pemakanan (82.69). Hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa faktor
makanan menjadi penyumbang utama kepada peningkatan penyakit seperti kencing manis,
darah tinggi dan lain-lain lagi. Disebabkan itu, masyarakat masakini bukan sahaja memilih
makanan yang seimbang akan tetapi kecenderungan mereka terarah kepada pembelian
makanan yang berasaskan organik, tiada bahan kimia dan bersifat alami. Dalam hal ini,
responden bersetuju bahawa kewujudan logo halal juga membantu mereka dalam memilih
makanan yang berkualiti dan bersih (P17). Logo halal JAKIM juga dianggap sebagai antara
logo keselamatan makanan yang terbaik yang ada dalam pasaran (P16) dan mereka bersetuju
bahawa makanan yang tidak bersih penyediaannya tidak akan mendapat kelulusan sijil halal
dari JAKIM (P19) . Namun begitu responden beranggapan bahawa makanan tanpa logo halal
tidak semestinya mengabaikan aspek kebersihan dan kualiti (P18) dan ini menyebabkan
kecenderungan mereka membuat pembelian produk makanan adalah berasaskan faktor harga,
jenama dan kandungan berbanding faktor halal seperti dapatan kajian dalam Jadual 4.

4.0 Kesimpulan

Islam menuntut umatnya supaya memberi perhatian kepada kualiti makanan yang mereka
ambil. Al-Quran mempunyai banyak perintah yang mengarahkan mereka memilih makanan
yang halal dan baik. Selain itu, prinsip-prinsip Islam dalam penyediaan dan pengedalian
makanan yang mementingkan aspek kebersihan dan keselamatan menjadikan makanan halal
bukan sahaja bermanafat untuk pengguna muslim, akan tetapi ia juga memberi kelebihan
kepada pengguna bukan muslim.

Kajian ini menilai keprihatinan pengguna bukan muslim terhadap produk makanan halal dan
secara umumnya mereka mempunyai tahap keprihatinan yang amat baik tentang aspek halal
dan haram dalam makanan. Persoalan asas seperti pengharaman khinzir dan arak serta
keperluan penyembelihan binatang dalam pemakanan difahami oleh pengguna bukan muslim.
Kefahaman ini timbul kesan dari faktor pembelajaran secara formal ataupun kesan dari
interaksi sosial yang wujud di Malaysia. Perkongsian budaya dan cara hidup antara kaum
Melayu, Cina, India dan lain-lain lagi telah melahirkan satu masyarakat yang memahami
antara satu sama lain. Ini dapat dizahirkan menerusi sikap saling hormat menghormati di
mana pengguna bukan muslim akan meraikan rakan mereka yang muslim dalam aspek
pemakanan. Begitu juga dari segi kesihatan, pengguna bukan muslim mengganggap makanan
yang berlogo halal diyakini bersih dan berkualiti dan ia berperanan sebagai logo keselamatan
makanan yang boleh dijadikan asas dalam membuat keputusan dalam pembelian.

Suatu ketika dulu, kebanyakan masyarakat bukan muslim menganggap makanan adalah tidak
halal jika ia mengandungi daging khinzir semata-mata. Namun demikian pengetahuan dan
kesedaran mengenai makanan halal semakin meningkat kesan dari usaha berterusan kerajaan
mempromosi produk halal di pasaran. Usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hub halal
antarabangsa secara tidak langsung meningkatkan kesedaran pengguna di Malaysia tentang
kepentingan makanan halal. Namun usaha ini perlu dipertingkatkan lagi memandangkan
masih terdapat pengusaha yang mengabaikan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan
walaupun mereka telah memperolehi sijil pengesahan halal dari pihak berkuasa. Kempen
secara berterusan bukan sahaja dapat mempromosi produk makanan halal malahan ia juga
mampu membentuk satu masyarakat yang harmoni yang saling hormat menghormati antara
satu sama lain.
Rujukan

Al-Ghazali (2000) Halal dan Haram dalam Islam. Kuala Lumpur. Jasmin Enterprise

Arshia, M. & Muhamad, M.B. (2012) Intention to Choose Halal Products, The role of
Religiosity. Journal of Islamic Marketing. 3 (2) 108-120

Chelliah, T. (1983) Enviromental Awareness in Malaysia. Alam Sekitar 9 (1) 26-29

Golnaz, R., Zainalabidin, M., Mad Nasir, S. & Eddie, C.F.C. (2010) Non-Muslims’
awareness of Halal principles and related food products in Malaysia. International Food
Research Journal 17: 667-674

Hayati, A.T, Khairul,A.M.A & Khairur, R.J. (2008) Quality Assurance in Halal Food
Manufacturing in Malaysia: A Preliminary Study. Proceedings of International Conference
on Mechanical & Manufacturing Engineering, 21– 23 May 2008, Johor Bahru, Malaysia.

Idris, N.A. & Noor, M.A. (2013) Analisis Keprihatinan Pengguna Muslim Terhadap IsuHalal
dan Haram Produk Melalui Pembantukan Indeks. Prosiding PERKEM. Johor Bharu 7-9 Jun
2013.

Kamus Dewan (2005) Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka

Laman sesawang JAKIM (http://www.halaljakim.gov.my)

Laman Sesawang Kementerian (http://pmr.penerangan.gov.my)

Norizah, M. & Chris, B. (2014). Framework for the Development of Halal Food Products in
Malaysia. Proceedings of the International Conference on Industrial Engineering and
Operations Management Bali, Indonesia, January 7 – 9, 2014

Sabri,M.F. & Yong,T.Y (2006) Tahap Keprihatinan Alam Sekitar dan Amalan Kepenggunaan
Hijau. Pertanika Journal Social Sciences and Humanity 14(2): 95-109

Sanep, A., Mohd, A.M.N. & Lidia, F. (2014) Ketekalan Gelagat Pengguna Muslim Terhadap
Status Halal. Prosiding PERKEM 736-746

Technometrica Market Intelligence website http://www.technometrica.com/

Zakiah, S. Amal, H.I., Nurul, H.K. (2014) Understanding the Development of Halal Food
Standard: Suggestion for Future Research. International Journal of Social Science and
Humanity, 4 (6):482-486

Zainalabidin, M., Golnaz, R., Mad Nasir,S. & Eddie,C.F.C. (2008) Halal Logo and Cosumers’
Confidence. Economic and Technology Management Review. 3 37-45

View publication stats

Anda mungkin juga menyukai