Anda di halaman 1dari 9

PENDAHULUAN

Proses pengajaran dan pembelajaran menjadi satu elemen penting dalam


perkembangan pendidikan. Perkembangan kemajuan dalam zaman ICT telah membawa
jauh alam pendidikan dengan perisian-perisian yang sangat tercanggih. Kaedah –
kaedah lama semakin jauh ketinggalan di telan zaman. Walaubagaimanapun kita masih
terikat dengan model-model pengajaran dan teori-teori yang ada hubungkaitnya dalam
psikologi pendidikan. Menurut Griffith W. Williams psikologi adalah satu cabang
penyiasatan tingkah laku manusia dalam suasana pembelajaran . Kajian saintifik
terhadap tingkahlaku individu adalah berkait rapat terhadap prinsip dan kaedah
pengajaran dan pembelajaran yang digunapakai untuk menyelesaikan masalah (Smith
1978). Dapatan-dapatan ini akhirnya menghasilkan satu teori atau kaedah dalam
perolehan ilmu pengetahuan.
Pengajaran adalah satu proses penyebaran ilmu pengetahuan atau kemahiran
supaya dapat dipelajari dengan berkesan. Daripada tidak tahu kepada lebih tahu pelajar
akan berubah dan menukar tingkah laku kepada sesuatu yang baru. Drisoll(1994)
menghuraikan bahawa pembelajaran pula adalah satu proses pembaharuan prestasi
secara berterusan dalam diri manusia hasil interaksi pembelajaran dengan alam
sekitar. Pembelajaran adalah satu proses perolehan ilmu pengetahuan melalui
pengalaman, membuat penerokaan, mendapat latihan sehingga berlaku perubahan
tingkah laku dalam diri pelajar. Oleh itu pembelajaran itu adalah satu proses yang
mengubah keadaan, sikap, pengetahuan manusia melalui pengalaman
Pada asasnya konsep pengajaran dan pembelajaran adalah berlandaskan kepada
teori-teori pembelajaran masa kini. Teori-teori pembelajaran terdiri daripada kognitif,
konstruktivitisme, behaviorisme dan humanistic. Pengalaman ilmu pengetahuan yang
diperolhi dalam proses pembelajaran berlaku secara berperingkat-peringkat yang
menghasilkan satu perubahan tingkahlaku manusia.

TEORI PEMBELAJARAN KOGNITIF.


Teori adalah berkaitan dengan proses mental yang melibatkan pengamatan,
pengetahuan dan pemahaman. Ahli-ahli psikologis yang terkenal seperti Kohler,
Koffa,Piaget,Brunner, Ausuble,dan Gagne. Mereka semua berpendapat proses
pembelajaran adalah satu proses dalaman yang berlaku dalam akal fikiran yang tidak
dapat diperhatikan secara langsung daripada tingkah laku manusia. Proses celik akal,
pemprosesan maklumat menggunakan struktur dalaman kognitif dari pelbagai peringkat
umur dan kebolehan murid. Semua maklumat yang di terima di padankan dengan
makluamat yang sedia ada, diubahsuai dan disusun semula seterusnya menghasilkan
sesuatu maklumat yang baru.
PRINSIP-PRINSIP KOGNITIF:
1. Bahan –bahan pembelajaran di susun daripada mudah ke susah.
2. Memahami pembelajaran lebih baik daripada hafazan.
3. Pengetahuan sedia ada murid digunapakai dan disesuaikan dengan pembelajaran
yang baru.
4. Isi pelajaran perlu disusun mengikut pola-pola yang tertentu supaya murid lebih
mengingati.
5. Setiap murid mempunyai perkembangan individu yang berbeza.

PENDEKATAN TEORI KOGNITIF.


1. Menekankan kepada proses mental dalam yang bermaksud maklumat yang di
terima diproses melalui perbandingan, peniruan dan penyatuan dengan maklumat lain
yang sedia ada, diubahsuai pula dan disusun semula.
2. Menekankan kepada proses pengamatan, ingatan, pemikiran, dan penyelesaian
masalah.

TEORI PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVITISME.


Teori ini adalah berkaitan dengan pengajaran yang berdasarkan kepada
penyelidikan dan pengalaman. Pembelajaran terbina daripada hasil pencatuman
maklumat dengan pengetahuan sedia ada. Proses pembelajaran di bawah teori ini juga
menggalakan pelajar berkomunikasi dengan bahan untuk mendapatkan jawapan. Murid
di beri peluang meneroka sepuas-puasnya dan mendapatkan jawapan serta
kesimpulan sendiri. Tokoh-tokoh yang terkenal terdiri daripada Jean Piaget, Bruner,
Lev Vygotsky dan John Dewey. Kesemua tokoh-tokoh ini melihat proses pembelajaran
sebagai aktivfiti pembinaan mental yang dicantumkan dengan maklumat baru. Teori ini
menekankan kepada penglibatan pelajar dalam menyelesaikan masalah. Pelajar akan
membina pengetahuan sendiri untuk menjana idea dengan berdasarkan pengetahuan
sedia ada. Semua maklumat baru yang ada akan diolah dan disesuaikan dengan satu
kerangka maklumat baru yang dinamakan Konstruktivistime.

PRINSIP-PRINSIP PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVISME


Proses pembelajaran yang berlaku adalah proses sesuatu aktiviti yang aktif.
Semasa proses pembelajaran berlaku , ianya melibatkan aktiviti sosial dan
perkembangan bahasa sesama murid. Contohnya aktiviti yang dijalankan secara
kumpulan ketika bermain lego.
Murid akan belajar dan mendapat sesuatu input yang baru semasa proses belajar
dilangsungkan.
Aktiviti yang dijalankan melibatkan perkembangan minda, pergerakan fizikal dan
pengetahuan sedia ada murid.
Guru sebagai fasilitator dalam proses aktiviti pengajaran dan pembelajaran dijalankan.
Pengetahuan dan idea setiap murid akan digunapakai dalam proses pembelajaran.

IMPLIKASI TEORI PEMBELAJARAN KOGNITIF DAN KONSTRUKTIF DALAM PENGAJARAN


DAN PEMBELAJARAN.
Guru perlu menggunakan bahasa yang sesuai dengan tahap kebolehan murid supaya
mudah difahami dan murid memahami objektif yang hendak dicapai oleh guru.
Guru perlu bersedia dengan bahan-bahan yang dapat meransang minda murid dan
senantiasa diubahsuai mengikut aktiviti yang akan dijalankan.
Guru semestinya peka kepada kesesuaian persekitaran pembelajaran terutama dalam
bilik darjah supaya dapat mendorong atau memotivasikan murid untuk terlibat dalam
aktiviti pembelajaran.
Proses pembelajaran yang berlaku perlu mengambilkira pengetahuan sedia ada murid
dan menggunakan pengetahuan tersebut dalam pembelajaran yang baru. Contohnya
aktiviti makan dan minum yang telah dipelajari dirumah, disekolah guru boleh
mengukuhkan lagi dengan menerapkan adap-adap semasa makan.
Guru bertindak sebagai pemudah cara dan sentiasa menbantu murid dalam aktiviti
pembelajaran.
Keadah pembelajaran secara koperatif dan kolaboratif sangat efektif digunakan dalam
proses pembelajaran.
Penilaian secara tradisi sangat tidak sesuai digunakan lagi, dan teknik pembelajaran
seperti hafazan dan syarahan tidak menjadi begitu efektif berbanding aktiviti
berkumpulan.
TEORI PEMBELAJARAN JEAN PIAGET
Teori pembelajaran Piaget lebih menekankan kepada konsep perkembangan,
pertumbuhan kecerdasan yang dipengaruhi oleh lingkugan sosial dan kematangan. Ahli
psikologis yang berasal dari Switzerland menyatakan bahawa semua kanak-kanak
mempunyai kecenderungan yang berbeza mengikut keupayaan dan kebolehan masing-
masing. Menurut Piaget ada 4 tahap perkembangan yang akan dilalui oleh semua
kanak-kanak.
1) Tahap sensorimotor iaitu dari lahir sehingga berumur 2 tahun dimana kanak-kanak
akan memerhati dan melalui pengalaman akan mempelajari sesuatu yang dilihat,
dirasa dan disentuh.Pada peringkat ini kanak-kanak akan menggunakan deria motor
untuk memahami dan berinteraksi dengan persekitaran. Pada tahap ini juga tiada
konsep pengekalan kerana kebolehan mental sangat terhad kepada objek yang dapat
dilihat sahaja.
2) Tahap pra-operasi iaitu dari 2 tahun hingga 7 tahun dimana kanak-kanak mula
menggunakan kecekapan kemahiran motor kasar dan halus untuk meneroka sesuatu
yang baru. Pada peringkat ini kanak-kanak mula memahami symbol dan keupayaan
berbahasa yang sangat terhad untuk mengambarkan sesuatu konsep. Perkembangan
kognitif akan menjadi lebih pesat apabila kanak-kanak mula fasih bertutur.
3) Tahap operasi konkrit iaitu dari 7 tahun hingga 11 tahun dimana kanak-kanak
mula menggunakan pengetahuan dan akal fikiran untuk mempelajari sesuatu yang
konkrit. Kebanyakannya pada tahap ini kanak-kanak memerlukan objek dan peristiwa-
peristiwa sebelum dapat menyelesaikan beberapa masalah. Pada peringkat ini juga
kanak-kanak sudah boleh mempelajari lebih daripada satu perkara dalam satu masa.
Namun demikian keupayaan berfikir secara logik masih terbatas kepada konkrit sahaja.
4) Tahap operasi formal iaitu berumur 11 tahun ke atas yang akan lebih mempelajari
sesuatu yang lebih abstrak.( dari konkrit ke abstrak).Ini adalah peringkat
perkembangan kognitif yang paling penting di mana kanak-kanak akan berusaha
menyelesaikan masalah yang konkrit dan abstrak. Penglibatan kanak-kanak yang lebih
aktif akan menggalakan perkembangan pemikiran dan membuat penaakulan.
Merujuk kepada tahap-tahap perkembangan di atas, Piaget telah menunjukkan
semua kanak-kanak cuba mengadaptasikannya mengikut kepada pengalaman dan
kesesuaian keadaan. Adaptasi dan keseimbangan adalah saling berkait dan saling
mempengaruhi antara satu sama lain. Urutan setiap tahap tersebut tidak dapat diubah
dan saling berkaitan secara tidak langsung.Menurut Piaget proses perubahan
tingkahlaku individu untuk mengadaptasikan diri dalam alam sekitar adalah sebenarnya
proses pembelajaran. Proses asilimasi di mana semua pengalaman lalu akan akan
dikaitkan dengan pengalaman yang baru untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baru.
Pengalaman yang baru tersebut pula dinamakan akomodasi iaitu satu proses yang
merubah struktur kognitif.

IMPLIKASI TEORI PEMBELAJARAN PIAGET DALAM PROSES PENGAJARAN DAN


PEMBELAJARAN.
1. Pengetahuan sedia ada digunakan dalam proses pembelajaran untuk menghasilkan
satu sistem maklumat yang baru.
2. Isi pelajaran akan dikembangkan dan dikaitkan dengan mengikut peringkat kognitif
kanak-kanak dan tahap keupayaan masing-masing.Contohnya dalam mata pelajaran
Bahasa Melayu dengan tema buah-buahan. Murid akan diberi penerangan mengenai
jenis –jenis buah-buahan tempatan, serta dikaitkan dengan rasanya. Pada tahap ini
murid-murid akan memberikan berbagai cerita atau pendapat berdasarkan pengalaman.
3. Isi pelajaran akan disusun daripada konkrit ke abstrak iaitu dari senang ke susah.
Contoh dalam matapelajaran matematik. Konsep pra nombor akan diajar dulu sebelum
mempelajari nombor.
4. Penglibatan kanak-kanak adalah secara aktif dalam aktiviti kumpulan digalakkan
dan mereka saling berinteraksi antara satu sama lain. Komunikasi dua hala dan
bertukar pendapat semasa menjalankan aktiviti menggalakkan perkembangan bahasa.
5. Motivasi secara instrinsik dipupuk supaya kanak-kanak dapat digerakkan secara
aktif dalam aktiviti. Contohnya dengan memberi pujian , kata-kata galakan, dan
sokongan dapat merangsang mereka.

TEORI PEMBELAJARAN LEV VYGOTSKY.


Lev Vygotsky adalah seorang ahli psikologis, dan karyanya sangat terkenal di dunia
barat pada tahun 1960an. Teori Vygotsky lebih menekankan kepada interaksi antara
aspek internal dan eksternal dalam pembelajaran . Menurut Vygotsky sistem sosial
sangat penting dalam perkembangan kognitif kanak-kanak. Mereka akan berinteraksi
dan berkolaborasi untuk mengembangkan sesuatu yang baru. Vygotsky menekan
bahawa perkembangan kognitif seseorang kanak-kanak sangat dipengaruhi oleh sosial
dan budaya . Teori beliau juga ada menyebut mengenai “scaffolding” iaitu
memberikan sejumlah besar bantuan pada tahap awal pembelajaran dan kemudian
mengurangi bantuan tersebut dan memberikan kesempatan kepada kanak-kanak
mengerjakan sendiri. Bantuan yang diberi adalah seperti peringatan, petunjuk dan
dorongan sehingga kanak-kanak tersebut boleh melakukannya. Dalam teori ini
menyatakan potensi murid dapat dikembangkan melalui usaha dan pengalaman sendiri
dalam proses pembelajaran, sehingga ke satu peringkat kanak-kanak akan boleh
melakukannya sendiri tanpa bantuan orang lain.
KONSEP KONSTRUKTIVISME VYGOTSKY
Merujuk kepada gambarajah di atas , Vygotsky telah menerangkan mengenai konsep
“scaffolding” . Kanak –kanak mempunyai had perkembangan individu yang berbeza.
Setiap kanak-kanak akan melalui proses pembelajaran dengan bantuan rakan dan guru
sehingga berjaya menguasai dengan sendiri. Proses ini akan berulang-ulang berkali-kali
sehingga kanak-kanak mempunyai keyakinan untuk melakukannya sendiri walaupun
masih mengharapkan bimbingan daripada orang lain. Pada peringkat ini kanak-kanak
akan menunjukkan kebolehan menyelesaikan masalah melebihi daripada kebolehan diri
sendiri. Pada satu peringkat dimana kanak-kanak berjaya melakukan aktiviti-aktiviti
yang sukar tanpa bantuan orang lain berdasarkan pengalaman masing-masing.

IMPLIKASI TEORI PEMBELAJARAN VYGOTSKY TERHADAP PENGAJARAN DAN


PEMBELAJARAN.
1. Pembelajaran dijalankan secara koperatif supaya murid-murid dapat berinteraksi
antara satu sama lain. Contoh dalam mata pelajaran sains, murid akan diminta
membuat satu uji kaji mengenai tumbuhan dalam kumpulan. Mereka akan berbincang
dan mengeluarkan pendapat masing-masing dengan menggunakan pengetahuan sedia
ada untuk mencapai satu keputusan.
2. Konsep bantu sepenuhnya dan cuba sendiri dalam pembelajaran merupakan satu
interaksi pengalaman yang berkesan. Contohnya ada sekumpulan murid dalam ujikaji
sains seperti diatas memerlukan bantuan guru untuk memberi idea dan menggerakkan
mereka dalam aktiviti tersebut sehingga mencapai satu keputusan.
3. Perkembangan kognitif murid akan lebih teransang sekiranya pengetahuan sedia
ada digunakan dalam proses pembelajaran. Contohnya dalam aktiviti seperti di atas
juga, murid akan cuba menggunakan pengalaman masing-masing untuk di adaptasikan
dalam ujikaji sains tersebut. Semasa proses ini berlansung pelbagai percubaan yang
berulangkali dilakukan sehingga objektif dapat dicapai.

IMPLIKASI TEORI PEMBELAJARAN KOGNITIF DAN KONSTRUKTIVITSME DALAM


PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS.
1. Pengalaman –pengalaman belajar perlu disesuaikan dan dikembangkan dengan
keperluan kognitif kanak-kanak Ini bermaksud sebelum memulakan proses pengajaran
dan pembelajaran guru perlu mengetahui pengetahuan sedia ada murid agar sesuai
dengan isi pelajaran yang akan disampaikan. Contohnya dalam aktiviti kemahiran hidup
iaitu komponen berkebun. Bersoal jawab hendaklah berkaitan dengan tanaman atau
sayuran yang biasa dilihat oleh kanak-kanak dirumah. Sekiranya kanak-kanak tersebut
suka memakan sayuran kacang panjang sudah tertentu ianya akan begitu teruja
hendak belajar cara-cara menanam pokok kacang panjang. Isi pelajaran akan lebih
bermakna dan kanak-kanak akan mendapat mengembangkan satu maklumat baru yang
berkait dengan pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada.
2. Pemusatan perhatian seharusnya lebih ditumpukan kepada proses kognitif kanak-
kanak dan tahap keupayaan yang berbeza. Walaupun aktiviti dijalankan dalam
kumpulan namun tahap mereka sangat berbeza. Kepakaran guru sangat diperlukan
supaya kanak-kanak tidak berasa dipinggirkan. Contohnya dalam kumpulan murid
tersebut diberi tajuk yang sama tetapi aktiviti setiap satunya berbeza. Misalan dalam
matapelajaran matematik, dengan tajuk nombor 0-5. Jadi dalam satu kumpulan
tersebut ada murid yang akan membilang nilai nombor dengan menggunakan alat
pembilang atau yang lain akan menggunakan plastesin untuk membentuk nombor.
Sementara yang lain pula akan mewarna atau menyambung garisan putus-putus yang
berkaitan dengan nombor tersebut. Dalam proses ini guru dapat memberi tumpuan
sepenuhnya kepada setiap orang murid secara individu untuk mencapai objektif
pembelajaran.
3. Keutamaan harus diberikan kepada penglibatan murid yang aktif dan berusaha
sendiri dalam aktiviti pembelajaran. Ini bertujuan memberi ruang kepada murid untuk
berinteraksi dengan rakan dan bahan-bahan pembelajaran secara meluas. Contoh
dapat dilihat dalam aktiviti kemahiran manipultif. Kanak-kanak akan diberi peluang
bermain dengan lego, berbincang dan bekerjasama dengan rakan untuk mencipta
sesuatu binaan. Guru perlu menghidupkan suasana pembelajaran tersebut dengan
pelbagai kaedah supaya kanak-kanak merasa ada keinginan untuk melakukannya.
4. Perbezaaan individu perlu diambil kira supaya setiap aktiviti dapat disusun
mengikut tahap keupayaan masing-masing. Pengalaman sebagai guru Pendidikan Khas,
kita perlu mengetahui sedikit sebanyak latar belakang kanak-kanak tersebut. Ianya
banyak membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Contohnya seorang
kanak-kanak autisme yang terlalu sukar untuk difahami. Kadang kala beliau akan
menjadi pasif dan terlalu aktif dalam setiap masa. Berbanding dengan seorang kanak-
kanak perkembangan lambat (slow learner) yang boleh dikategorikan dalam kumpulan
yang boleh belajar. Oleh yang demikian bahan –bahan dan aktiviti pembelajaran yang
berkaitan adalah sangat berbeza antara keduanya. Guru perlu tahu kehendak dan mood
kanak-kanak ini sebelum memulakan pengajaran. Mood dan kehendak itu pula perlu
diubahsuai dengan objektif dan aktiviti pembelajaran supaya kanak-kanak tersebut
tidak rasa rendah diri dan terasing.
5. Guru perlu mendorong dan memotivasikan kanak-kanak berkeperluan khas ini
dalam proses pembelajaran. Mendekati mereka dengan penuh kepercayaan dan kasih
sayang akan membuat mereka rasa dihargai dan rasa diterima. Lenggok dan bahasa
badan guru bukan sahaja dapat memberikan keyakinan kepada mereka bahkan
melenyapkan sedikit sebanyak rasa rendah diri yang ada dalam diri mereka. Secara
tidak langsung mereka akan mempercayai guru adalah rakan yang baik dan boleh
menerima mereka. Penggunaan bahasa yang sesuai dengan aras mereka serta mudah
difahami banyak membantu menyampaikan maksud atau hasrat yang hendak
disampaikan oleh guru. Selain daripada itu ganjaran dari segi materialistik seperti gula-
gula, biskut, kata-kata pujian dan senyuman guru akan turut memotivasikan kanak-
kanak tersebut. Objektif pembelajaran akan lebih cepat tercapai jika guru dapat
menggunakan barang-barang permainan sebagai bahan bantu mengajar. Kanak-kanak
akan cepat teransang dan dapat digerakkan untuk melakukan akitviti-aktiviti
pembelajaran.
6. Bagi kanak-kanak berkeperluan khas, bantuan akan diberikan sepenuhnya pada
peringkat awal, yang akan dikurangkan secara beransur-ansur sehingga kanak-kanak
tersebut boleh berdikari dengan sendirinya. Contohnya dapat dilihat dengan jelas dalam
aktiviti pengurusan diri iaitu memakai pakaian. Pada peringkat pertama guru akan
membantu kanak-kanak tersebut memakai pakaian mengikut langkah-langkah betul.
Aktiviti ini akan dilakukan secara latihtubi sehingga kanak-kanak tersebut berkeyakinan
untuk melakukan sendiri. Akhirnya kanak-kanak tersebut akan diberi ruang dan masa
memakai pakaian dengan sendiri sehingga berjaya. Guru pada ketika itu hanya
memberikan arahan sahaja supaya kanak-kanak tersebut dapat mengingati semula
langkah-langkah yang telah dipelajari.
7. Bagi kebanyakan kanak-kanak berkeperluan khas penilaian di buat lebih kepada
pemerhatian. Berdasarkan pengalaman saya, penilaian secara pemerhatian banyak
membantu guru mengkaji dan memahami perlakuan kanak-kanak tersebut.
Pemerhatian boleh dibuat samada secara individu atau ketika kanak-kanak tersebut
dalam kumpulan. Perubahan tingkah laku yang ditunjukkan akan memberikan jawapan
kepada guru semasa membuat pemerhatian. Perubahan tingkah laku tersebut boleh
berlaku juga apabila kanak-kanak berinteraksi dengan bahan-bahan pengajaran atau
bahan media.
8. Peranan guru pendidikan khas adalah sama dengan tugas guru di arus perdana.
Sebelum menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran, perancangan perlu
dilakukan dengan teliti supaya objektif dapat dicapai sepenuhnya. Guru mesti
memainkan peranannya sebagai pemudah cara atau penolong dalam setiap aktiviti
pembelajaran. Guru perlu mahir memilih bahan-bahan yang sesuai dengan aktiviti yang
dirancang. Guru juga berperanan sebagai pembimbing yang sentiasa membantu murid-
murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
RUMUSAN.
Keseluruhannya teori – teori yang telah dibincangkan di atas telah menyentuhkan
banyak perkara dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kedua-dua teori tersebut
saling berkait antara perkembangan kognitif dan proses penyelidikan, proses meneroka
dan cuba jaya. Perubahan tingkah laku yang positif akan dicapai setelah berlakunya
proses pengajaran dan pembelajaran yang memberi impak kepada pengukuhan
pengetahuan dalam memori. Struktur pengetahuan akan berkembang dengan
bertambahnya pengetahuan ke dalam ingatan jangka panjang. Teori – teori ini sangat
sesuai untuk diaplikasikan dengan kanak-kanak berkeperluan khas. Perkembangan
kognitif mereka sangat berkait dengan pengetahuan sedia ada untuk membentuk satu
pengalaman yang baru. Proses pengajaran dan pembelajaran perlu memberikan ruang
kepada kanak-kanak meneroka sendiri bagi meningkatkan lagi keyakinan diri dan
proses interaksi dengan rakan dan bahan. Berdasarkan teori yang telah dibincangkan
di atas, saya berpendapat adalah sangat perlu bagi guru-guru mengaplikasikan kaedah
dan teknik dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Murid-murid diberi peluang
bergerak bebas menjalankan aktiviti dan berinteraksi dengan bahan dan guru. Akhir
sekali keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran saling bergantung bersama
antara murid, guru dan bahan.

Anda mungkin juga menyukai