Anda di halaman 1dari 2

Terima kasih Pengacara Majlis,

Yang Berusaha Haji Mazlan bin Haji Alli, Guru Besar SK Nanga Abu,
Barisan Guru-guru Penolong Kanan, Guru-guru SK Nanga Abu, murid-
murid yang diraikan dan seterusnya ibu bapa serta para hadirin yang
saya muliakan.

Saya rasa bertuah dan bersyukur kerana pada pagi yang penuh
bermakna ini kita dapat berkumpul bersama-sama bagi memberikan
pengiktirafan kepada para murid yang telah memperoleh tahap
pencapaian yang cemerlang sepanjang tahun 2019. Di samping itu
juga, majlis pada pagi ini turut meraikan majlis Apresiasi tamat sekolah
Tahun 6 dan Prasekolah. Sesungguhnya majlis indah yang telah
disusun atur oleh pihak pengurusan sekolah ini merupakan satu agenda
pendidikan yang bertujuan untuk menghargai kejayaan-kejayaan yang
telah diperoleh para murid kita. Ucapan syabas dan tahniah kepada
Jawatankuasa Pengelola Majlis yang tentunya telah berusaha dengan
gigih supaya majlis ini akan berjalan dengan lancar dan teratur
seterusnya mencapai matlamatnya. Kita sedar bahawa majlis
seumpama ini amat perlu dilaksanakan untuk memberi makna dan
penghargaan kepada kehidupan anak-anak generasi pewaris masa
depan negara. Saya percaya kerjasama yang padu serta sokongan
yang berterusan daripada ibu bapa dan pihak sekolah akan
meningkatkan lagi semangat warga sekolah untuk terus mencatat
kejayaan yang membanggakan.
Para hadirin yang dirahmati Allah sekalian,
Sekalung tahniah juga untuk semua guru yang telah bekerja keras demi
menyediakan dan menyampaikan pembelajaran yang berkualiti supaya
pada akhirnya murid yang menerima pembelajaran di sekolah ini dapat
menyumbang terhadap jati diri dan daya saing negara seterusnya
mampu menjadi insan yang cemerlang dan dapat membangunkan
negara sejajar dengan kehendak semasa pada masa akan datang.
Syabas diucapkan kepada semua guru yang sememangnya tidak
pernah jemu dan sentiasa bekerja keras untuk melaksanakan
perubahan dan pendekatan baharu dalam sistem penyampaian
pengajaran dan pembelajaran untuk menggembleng bakat dan potensi
murid secara optimum. Syabas juga kepada ibu bapa kerana turut
memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan anak-
anak mereka. Namun demikian, pada hemat saya yang paling utama
kejayaan ialah semangat yang ada pada diri murid itu sendiri agar
sentiasa mempunyai komitmen dan motivasi diri yang tinggi sekiranya
ingin mengecapi kecemerlangan.
Para hadirin sekalian,
Sebagaimana yang telah saya nyatakan di awal tadi bahawa majlis ini
merupakan satu pengiktirafan kepada para murid yang berjaya . Oleh
itu, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua penerima
anugerah pada hari ini. Saya berharap agar kejayaan para murid ini
akan berterusan dan akan menjadi pembakar semangat kepada para
murid yang lain untuk sentiasa mempunyai sikap daya saing untuk
mempertingkatkan mutu pencapaian mereka dalam bidang akademik
bahkan dalam bidang kokurikulum juga. Bagi pihak PIBG, saya
mendoakan agar murid-murid akan terus melakar kejayaan yang bakal
membanggakan diri sendiri, keluarga , sekolah, masyarakat, bangsa dan
negara.
Akhir kata, saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada
semua penerima anugerah dan terima kasih daun keladi kepada
jawatankuasa Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan
Nanga Abu.
Ikan sembilang sepat dan kelah,
Guna bubu biasa di hujung,
Pencapaian cemerlang dapat hadiah,
Petanda ilmu sentiasa dijunjung.

Sekian sahaja ucapan saya. terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai