Anda di halaman 1dari 2

Cahaya Junjungan saw.

Hari Jumaat digalakkan kita untuk memperbanyakkan sholawat dan


salam atas Junjungan Nabi s.a.w. Sholawat itu amalan yang amat penting dalam
kehidupan seorang Muslim yang mengaku dirinya pengikut dan umat Rasul teragung ini.
Para ulama dan shulaha` sentiasa memperingatkan kita untuk banyak-banyak bersholawat
ke atas Rasul Junjungan s.a.w. Mereka yang memperbanyakkan sholawat akan
memperolehi manfaat dan kelebihan yang besar daripada Rabbul Jalil azza wa jalla. Buat
nukilan sempena hari yang berkat ini, aku nukilkan tulisan Syaikh Zainuddin bin 'Abdul
'Aziz bin Zainuddin al-Malibari dalam kitabnya "Irsyadul 'Ibaad ilaa Sabiilir Rasyaad".
Syaikh Zainuddin ini adalah anak murid Imam Ibnu Hajar al-Haitami dan beliau adalah
ulama Syafi`i yang besar dan merupakan pengarang kitab "Fathul Mu`in" yang masyhur.
Pada halaman 65 kitab tersebut beliau menulis:-

Dalam kitab "Syaraful Musthofa" bagi Abu Sa`id dinyatakan bahawa satu ketika sedang
Sayyidatina 'Aisyah r.'anha menjahit di waktu sahur, jarumnya terjatuh dan lampu
rumahnya terpadam. Kemudian masuk Junjungan Nabi s.a.w. dalam rumahnya maka
bercahayalah rumah tersebut dengan cahaya baginda s.a.w. sehingga Sayyidatina 'Aisyah
r.'anha dapat mencari dan mendapat semula jarumnya yang jatuh tadi. Sayyidatina
'Aisyah r.'anha berkata: "Alangkah bersinarnya wajahmu, wahai Rasulallah." Junjungan
Nabi s.a.w. bersabda: "Kebinasaanlah bagi sesiapa yang tidak dapat melihatku."
Sayyidatina 'Aisyah r.'anha bertanya: "Siapa yang tidak dapat melihatmu?" Junjungan
s.a.w. menjawab: "Orang bakhil." Sayyidatina 'Aisyah r.'anha bertanya lagi: "Siapakah
orang bakhil?" Junjungan Nabi s.a.w. menjawab: "Orang yang tidak bersholawat ke
atasku apabila mendengar namaku."
Kisah yang serupa juga disebut oleh Kiyai Agung dalam
"Nafahatul Miskiyyah" yang diterjemah oleh Fadhilatul Ustaz Taha as-Suhaimi dengan
jodol "Hembusan Kasturi", di mana pada halaman 20 dinyatakan:-

Telah diriwayatkan daripada Sitti 'Aishah bahawa ia telah berkata: "Sedang aku menjahit
baju pada waktu sahor (suboh sebelum fajar) maka jatuhlah jarum daripada tanganku
tiba-tiba kebetulan lampu pun padam, lalu masuklah padaku Rasulullah s.a.w. maka aku
telah dapat memungut jarum itu daripada cahaya wajahnya, lalu aku berkata: "Hai
Rasulullah, alangkah bercahaya wajahmu," dan seterusnya aku bertanya: "Siapakah yang
tidak akan melihatmu pada Hari Kiamat?" Jawab Rasulullah: "Orang yang bakhil
(lokek)." Aku bertanya lagi: "Siapakah orang yang bakhil itu?" Jawab Rasulullah:
"Alladzi dzukirtu 'indahu fa lam yushalli 'alayya" ertinya "Dialah orang yang ketika
disebut namaku di sisinya ia tiada mengucapkan selawat bagiku."

Allahu ... Allah, bertuahlah sesiapa yang memandang dan mengambil manfaat dengan
cahaya Junjungan Nabi s.a.w. Siti 'Aisyah sebagaimana segala sahabat semuanya
memandang dan melihat cahaya nubuwwah pada diri Junjungan s.a.w. dan mereka
mendapat manfaat bagi kehidupan duniawi dan ukhrawi dalam mencapai redha Ilahi.
Sedangkan Abu Lahab yang dahulunya saban hari melihat dan memandang Junjungan
s.a.w. telah gagal melihat dan memanfaatkan cahaya tersebut kerana Abu Lahab hanya
melihat Muhammad si anak yatim dan bukannya Muhammad Rasulullah s.a.w. Lalu
bagaimana pandangan kita terhadap Junjungan Nabi s.a.w.? Mudah-mudahan kita
memandang baginda sebagaimana para sahabat memandangnya.

Allahumma sholli wa sallim 'alaihi wa 'ala alihi wa ashhabih.

Anda mungkin juga menyukai