Anda di halaman 1dari 2

PENGENALAN

Pendidikan Seni Visual merupakan salah satu mata pelajaran wajib di peringkat sekolah
rendah. Mata pelajaran ini disampaikan kepada pelajar dengan tujuan ianya dapat membentuk
keperibadian generasi Malaysia yang celik budaya kesenian. Kurikulum Pendidikan Seni Visual
sekolah rendah merangkumi empat bidang iaitu menggambar, membuat rekaan dan corak,
membentuk dan membuat binaan dan kraf tradisional. Kurikulum Pendidikan Seni Visual
memberi penekanan kepada nilai murni dan semangat patriotik bagi menyedarkan pelajar akan
peranan dan tanggungjawab mereka sebagai warganegara maju dan masyarakat berilmu. Melalui
mata pelajaran ini, para pelajar diasuh untuk berfikir, berilmu pengetahuan luas, bertata etika
tinggi, bijaksana, serta dapat menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi secara berkesan.
Apa yang diharapkan adalah ia dapat melahirkan pelajar yang berkeyakinan dan tabah mengatasi
segala rintangan dan cabaran dalam kehidupan.
Jika dahulu ia dikenali dengan nama Pendidikan Seni, namun kini ia digantikan dengan
Pendidikan Seni Visual kerana ia dirasakan lebih sesuai. Dalam hubungan seni di sekolah,
Pendidikan Seni Visual lebih menjurus kepada seni tampak atau visual, dan tidak merujuk
kepada seni yang lain seperti seni muzik, seni sastera, seni tari atau seni mempertahankan diri.
Ianya bertujuan memberi peluang kepada pelajar untuk memupuk minat, memperkembang
keperibadian, memberi kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan alam sekitar
serta kaitannya dengan mata pelajaran lain.
Pendidikan Seni Visual memainkan peranan memperkembang sifat kreatif, ekspresif dan
aktif pelajar sekolah rendah melalui persepsi visual, imaginasi dan daya pemikiran. Kegiatan
pemikiran, penerokaan dan reka bentuk dalam pelbagai jenis seni visual akan membolehkan
mereka menyatakan idea dan ekspresi diri. Pengalaman ini penting kerana ia membantu pelajar
membina keyakinan diri, membuat penilaian dan mengenali cita rasanya sendiri.
Bilik darjah merupakan tempat berlansungnya proses pengajaran dan pembelajaran serta
tempat yang terpenting yang perlu ada pada sesebuah sekolah kerana tanpa bilik darjah tidaklah
bangunan itu bergelar sekolah. Ia juga merupakan medan perjuangan utama bagi kerjaya
seseorang guru. Umumnya, bilik darjah adalah bilik- bilik di sekolah di mana sekumpulan murid
atau pelajar mengikuti pelajaran atau belajar sesuatu mata pelajaran yang diajar oleh guru. Untuk
konsep yang lebih meluas, bilik darjah tidak semata- mata merupakan ruang untuk proses
pengajaran dan pembelajaran, tetapi mencakupi pelajar- pelajar dan guru yang belajar dan
mengajar dan berinteraksi antara satu sama lain di dalamnya.
Oleh itu keperluan akan wujudnya sebuah bilik seni visual adalah penting bagi
membolehkan pelajar mencipta pengalaman belajar yang penuh bermakna. Pentadbiran dan
pengurusan bilik seni visual merupakan suatu aspek utama dalam konteks proses pengajaran dan
pembelajaran Pendidikan Seni Visual. Guru Pendidikan Seni Visual perlu bijak memainkan
peranan penting dalam aspek ini agar dapat mewujudkan keadaan dan suasana yang sesuai bagi
proses kelangsungan pengajaran dan pembelajaran. Suasana dalam bilik seni visual seharusnya
berjaya menjadi daya penarik dan sumber ilham bukan hanya kepada para pelajar dan guru
bahkan seluruh warga sekolah dan pelawat yang bertandang ke bilik tersebut.

Anda mungkin juga menyukai