Anda di halaman 1dari 4

Ilmu Tauhid

Perbahasan ilmu tauhid turut menjadi perbincangan dan isu yang timbul di Malaysia
sebagaimana ilmu fiqh dan ilmu tasawuf. Namun, kepentingan perbincangan ilmu tauhid ini
tidaklah seluas berbanding perbahasan ilmu fiqh dalam konteks di Malaysia. Kepentingannya
ilmu tauhid untuk dibahaskan bukan menjadi keutamaan dalam pemikiran reformisme
tradisional di Malaysia walaupun dalam gerakan reformasi yang asal itu bidang tauhid
menjadi perjuangan utama.

Gerakan reformasi pada zaman moden yang menekankan bidang tauhid ini
diperjuangkan oleh Muhammad Ibn Abdul Wahab (1703-1797). Beliau telah membuat
perjanjian dengan Amir Muhammad ibn Saud pada tahun 1744, yang mana dengan kekuatan
tentera Berjaya menguasai seluruh tanah Hijaz. Ketika mana kerajaan Turki Uthmani dengan
bantuan Mesir dapat mengusai Makkah dan Madinah pada tahun 1813, bermulalah siri-siri
penguasaan semula tentera “Wahabi”. Bermulanya dengan penguasaan terhadap Riyadh pada
tahun 1901 oleh Malik Abdul Aziz ibn Saud, ibukota Ha’il pada tahun 1912, seterusnya
pendudukan semula Makkah dan Hijaz pada tahun 1924, akhirnya beliau juga diakui sebagai
Raja Hijaz dan Nejd serta jajahan takluknya pada tahun 1926. Kemudiannya, semua daerah
tersebut disatukan menjadi sebuah kerajaan Arab Saudi pada tahun 1932.

Perkembangan dan kejayaan gerakan “Wahabi” tersebut turut mempengaruhi umat


Islam di Malaysia, apabila berita mengenai kejayaan gerakan itu turut dilaporkan di dalam
majalah-majalah ketika itu. Pengaruh aliran reformisme dalam bentuknya yang murni dan
betul tidaklah berkembang di Malaysia, kecuali secara umum adalah melalui slogan-slogan
yang menyeru ke arah kembali kepada ajaran Tauhid Salafiyyah, dan menjauhi amalan serta
kepercayaan yang membawa kepada syirik.

Antara cabaran yang pernah dibuat adalah terhadap ajaran tauhid tradisional ynag
mengajarkan “Sifat 20” yang dianggap tidak berdasarkan ajaran Islam yang sebenarnya,
sebaliknya berasaskan logika Aristotles yang berkisarkan secara teori semata-mata. Kalaupun
ada ajarannya dalam Islam, sepatutnya sifat-sifat tersebut berjumlah 13 sifat sahaja, bukannya
20 sifat. Ini kerana sifat ma’nawiyah yang ditambah kemudiannya itu sudah tersimpul di
dalam 13 sifat tersebut. Tidak perlu bila kita berkata: “Allah bersifat Berkuasa (Qudrat)”,
kemudian ditambah dengan mengatakan “Allah dalam keadaan Berkuasa (Kaunuhu
Qadiran)”. Ini kerana kalua Dia Berkuasa sudah tentulah Dia dalam keadaan Berkuasa
Mutlak. Dengan menambah kalimat “keadaan (kaunuhu)” itu, jika boleh dipandang sifat,
sudah tentu 6 sifat pertama juga perlu ditambah dengan “kaunuhu”, padahal tidak ada ulama
yang berpendapat demikian.

Kaum Reformis seterusnya mengemukakan ajaran tauhid baru yang dianggap benar
dan lebih mudah yang mana tebahaginya ajaran Tauhid kepada dua jenis; Tauhid Rububiyah
dan Tauhid Uluhiyah. Tauhid Rububiyah adalah bermaksud mempercayai keesaan Allah
SWT dalam kekuasaan mencipta dan mentadbir alam seluruhnya. Tauhid ini dikatakan juga
terdapat pada kaum Jahiliah, bahkan hampir kebanyakan bangsa di dunia ini mengakui
adanya pencipta dan pentadbir alam ini. Bagaimanapun mereka tetap dianggap kafir dan
musyrik kerana kepercayaan mereka hanya setakat itu sahaja. Mereka tidak menyembah atau
beribadah kepada Allah SWT sebaliknya kepada yang lain-Nya. Jadinya, timbullah konsep
Tauhid Uluhiyah iaitu mempercayai keesaan Allah SWT dengan menyembah dan beribadah,
berdoa serta memohon pertolongan dari-Nya sahaja. Ia juga dinamakan dengan Tauhid
Ubudiyyah, iaitu memberi hak pengabdian kepada Allah SWT semata-mata. Tauhid inilah
yang tidak terdapat pada kaum Jahiliah dan kafir kerana mereka menyembah dan meminta-
minta selain dari-Nya, seperti berhala dan sebagainya dengan alasan ianya menghampirkan
mereka kepada Allah.

Fenomena syirik juga telah meluas pada zaman kini disebalik kewujudannya dari
zaman dahulu lagi. Maka usaha memerangi dan membanterasnya itu merupakan perjuangan
utama kaum reformis. Golongan tradisionalis juga turut menentang gejala syirik ini walaupun
gerakan mereka tidak selantang golongan reformis seperti Syeikh Muhammad Idris al-
Marbawi pernah menggesa pihak pemerintah menghapuskan golongan bomoh dan pawing,
ahli-ahli nujum dan ramal sehinggakan baginya ahli-ahli sihir wajib dibunuh menurut jumhur
ulama. Ini juga ditegaskan Datuk Haji Abdullah bin Abdul Rahman dengan menyatakan
perbuatan syirik mereka itu yang dianggap berkuasa menyebabkan sakit atau sampuk dan
sebagainya. Hubungan mereka dengan jin dan syaitan bukan sahaja kesalahan bomoh dan
pawang ini, akan tetapi kerana tindakan mereka mengubah susunan ayat-ayat al-Quran tanpa
mengikut hukum tajwid yang betul.

Hakikatnya, adat-adat tradisi dan kepercayaan telah lama berkembang dalam


masyarakat Melayu, di mana ianya dianggap bercanggah dengan aqidah Tauhid oleh
kalangan reformis dan membawa kepada syirik. Antara adat-adatnya seperti memuja pantai,
mandi Safar, mandi membuang sial, melenggang perut dan sebagainya. Mengenai mandi
Safar, ianya berlaku kerana orang Melayu percaya bahawa hari rabu akhir bulan Safar akan
turunnya bala atau nahas, maka mereka mengadakan upacara mandi untuk menolak bala itu.
Bagi golongan reformis, amalan ini tidak pernah dilakukan, diperintahkan atau dibolehkan
oleh Rasulullah dan para Sahabatnya bahkan Imam-imam mazhab empat tidak juga
mengerjakannya, maka perbuatan ini merupakan bid’ah yang mungkar atau keji yang
dilarang oleh Islam. Tradisi ini popular di negeri Melaka khususnya di pantai Tanjung
Keling. Malangnya, pihak kerajaan Melaka tidak menghapuskannya walaupun jelas
bercanggah dengan aqidah, sebaliknya mengukuhkannya dengan nama baru “Pesta Budaya
Negeri”.

Manakala, di negeri-negeri pantai timur pula sejak lama berkembang adat memuja pantai,
memuja kampung, atau memuja semangat padi. Memandangkan adat memuja pantai ini
mengancam aqidah tauhid, maka ianya telah diharamkan sepenuhnya setelah PAS dapat
menguasai semula Kelantan pada tahun 1990. Kemudiannya, satu peristiwa menggemparkan
masyarakat Melayu yang berkaitan dengan persoalan Tauhid dan syirik ini ialah kemunculan
semula Pahlawan Mat Kilau pada tahun 1969, dan dengan itu terbitlah buku Kitab Mat Kilau
(1970) yang mengandungi ilmu kebatinan dan seumpamanya. Lalu berlakunya protes
daripada guru-guru agama Maktab Mahmud, Alor Setar disebabkan ajarannya banyak
memakai jampi dan mantera, tangkal dan azimat dan menganggapnya sebagai perbuatan
syirik. Terjadi juga kontroversi tentang isu ini setelah pihak penebitnya cuba
mempertahankan kesahihannya. Seterusnya, isu yang hampir sama tercetus pada tahun 1977
mengenai kegiatan silat Nasrul Haq yang dipimpin oleh Joehannes Choeldi dan penaungnya
Datuk Samad Idris iaitu Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Pada mulanya, Nasrul Haq
tidak menimbulkan sebarang masalah apalagi disebutkan tujuan mereka ialah untuk
kepentingan bangsa, negara, dan agama. Namun selepas itu, timbulnya kritikan daripada
tokoh-tokoh agama yang mendakwanya menggunakan ilmu kebatinan dan kuasa ghaib,
menyeleweng bahkan membawa kepada syirik. Akhirnya, kegiatan silat ini dilarang sama
sekali oleh setiap Jabatan Agama Islam Negeri setelah fatwa dikeluarkan melalui persidangan
Ketua-ketua Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri yang berlangsung pada 11 April 1978.
Muhammad ibn Abdul Wahab. 1979. Kitab al-Tauhid, terj. Surabaya: PT Bina Ilmu.

H.C. Armstrong. 1986. Jejak Sang Penguasa: Riwayat Hidup Ibnu Saud Pendiri Kerajaan
Arab Saudi, terj. Jakarta: Pustaka Firdaus.

A. Hassan. 1959. Kitab al-Tauhid. Penang: Persama Press.

Hashim A.Ghani. 1986. Intisari Tauhid. Kuala Pilah: KTF Institut.

Muhammad Idris Abdul Rauf al-Marbawi. 1933. Bahr al-Mazi, jld. 3. Cairo: Matbaah al-
Marbawi.

Datuk Haji Abdullah bin Abdul Rahman. 1952. Risalah al-Tauhid. Johor: Pejabat Agama
Johor.

Ismail Awang. 1983. Adat Orang-Orang Melayu yang Bertentangan dengan Aqidah Islam.
Kota Bharu: Pustaka Aman Press.

Abdullah Taib. 1985. Asas-Asas Antropologi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hj. Abdullah bin Hj. Wahab. 1985. Tentangan dan Cabaran kepada Islam di Sepanjang
Zaman. Selangor: Penerbit Awas.

Anda mungkin juga menyukai