Anda di halaman 1dari 9

PENGGONDOLAN DAN PEMOTONGAN BUKIT: DILEMA DALAM ETIKA

BERKAITAN TANAH DI MALAYSIA

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak


menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. Mereka berkata: Mengapa Engkau hendak
menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan
menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan
mensucikan Engkau?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak
engkau ketahui”. (Al Baqarah 2:30)

Mazlan Mohamad Zain

(P51280)

Pembangunan yang pesat di Malaysia pada masa kini menyebabkan pemintaan terhadap
gunatanah semakin meningkat dari hari ke hari. Pertambahan terhadap permintaan gunatanah ini
adalah berasas kerana jumlah populasi penduduk yang semakin meningkat menyebabkan
keperluan untuk perumahan, kemudahan awam, industri, pertanian dan pengangkutan menjadi
turut meningkat. Kekurangan tanah yang landai dan rata untuk dibangunkan menyebabkan
pembangunan dibuat di kawasan yang berbukit-bukau. Untuk mendapatkan ruang dan platform
yang sesuai bagi pembangunan di kawasan berbukit ini, penggondolan dan pemotongan
terhadapnya perlu dilakukan. Penggondolan dan pemotongan terhadap bukit-bukau ini biasanya
akan melibatkan juga penebangan pokok-pokok yang akhirnya membawa kepada masalah
terhadap alam sekitar seperti tanah runtuh, juga banjir lumpur, hakisan tanah dan pemendapan.

Pada 26 Februari 2005, rakyat Malaysia telah dikejutkan mengenai kegiatan pembangunan yang
agresif dan keterlaluan berhampiran kawasan berbukit dan hutan di Selayang, Selangor setelah
satu ancaman yang hangat diperdebatkan mengenai kemusnahan sistem ekologi di Taman
Pertanian Malaysia, Bukit Cahaya Seri Alam, Selangor. Ia meliputi kawasan berhampiran
Bandar Baru Selayang menganjur sehingga ke Taman Rimba Templer. Kemusnahan bagi tujuan
pembangunan itu hanya terletak beberapa ratus meter dari Pejabat Tanah Gombak dan Pejabat
Majlis Perbandaran Selayang (MPS). Taman Rimba Templer merupakan satu `tangki oksigen'
bagi penduduk Lembah Klang yang perlu dipelihara. Tinjauan dari udara yang dibuat dengan
helikopter mendapati kemusnahannya dahsyat kerana ia melibatkan kawasan berhampiran
empangan - sumber air minuman manusia. Penebangan kawasan hutan dan bukit yang seolah-
olah berjalan tanpa kawalan itu turut mencetuskan perasaan gelisah dan tidak puas hati Menteri
Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Selayang, Datuk Seri Chan Kong Choy. Kong Choy
yang dihubungi Mingguan Malaysia mengakui menerima aduan dan rungutan orang ramai
berhubung projek berkenaan sehingga menyebabkan beliau secara peribadi terpaksa menulis
surat aduan mengenai perkara tersebut kepada pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS).``Kita
maklumkan kepada MPS betapa mereka perlu mengawal kegiatan pembangunan di situ kerana
projek berkenaan menunjukkan kemusnahan yang ketara.``Saya sebagai wakil rakyat di kawasan
ini berharap benar mereka (MPS) boleh mengambil tindakan yang sepatutnya di atas aduan
berkenaan,'' tegasnya.Hasil tinjauan udara itu menunjukkan gambaran yang sungguh
mengejutkan kerana sebahagian kawasan tersebut hampir gondol bagi tujuan pembinaan ribuan
unit rumah dan kompleks perniagaan komersial. Pokok-pokok ditebang dan bukit-bukit telah
diratakan bagi memberi laluan kepada pembangunan hartanah yang mampu membawa pulangan
berjuta-juta ringgit. Apa yang lebih membimbangkan ialah pembangunan yang bermula dari
kawasan di belakang pejabat tanah Gombak itu kini semakin menghampiri kawasan tadahan air
Empangan Batu. Malah salah satu kawasan berbukit yang kini sedang rancak `digondolkan' itu
hanya terletak kira-kira 500 meter daripada tebing empangan tersebut. Berdasarkan pemerhatian
mata kasar, tidak mustahil satu hari nanti empangan yang dibina pada tahun 1987 dengan kos
RM27 juta, bagi menyalurkan air minuman, pertanian dan industri itu akan menerima kesan
kerakusan manusia yang terlalu mementingkan keuntungan.Mengikut jangkaan menjelang 2010
Selangor akan mengalami krisis air yang meruncing.

Utusan Malaysia bertarikh 7 September 2008 seperti yang dilaporkan oleh Abdul Muin Sapidin
menyatakan bahawa ratusan penduduk sekitar Batu Kawan, Nibong Tebal, Pulau Pinang kini
diancam pelbagai masalah alam sekitar termasuk banjir lumpur dan pencemaran debu yang
serius ekoran kerja-kerja penggondolan bukit secara berleluasa di kawasan tersebut. Malah,
penggondolan bukit yang semakin aktif sejak dua bulan lalu di kawasan itu dikhuatiri
mengundang masalah lebih dahsyat termasuk tanah runtuh kerana ia dilakukan sangat hampir
dengan penempatan penduduk. Tiga kampung yang menerima kesan paling serius ialah
Kampung Masjid, Kampung Tengah dan Kampung Pengkalan selain beberapa taman perumahan
serta penempatan masyarakat India di Estet Batu Kawan di sini.
Dua artikel di atas telah cukup menunjukkan kebimbangan orang ramai di Malaysia mengenai
kesan kepada alam sekitar akibat daripada aktiviti-aktiviti penggondolan dan pemotongan bukit
yang dilakukan secara berleluasa tanpa perancangan dan kawalan yang rapi dari pihak berwajib.
Kejadian tanah runtuh di Taman Hillview yang melibatkan lapan orang mangsa termasuk enam
ahli keluarga bekas Panglima Angkatan Tentera, Jen (B) Tan Sri Ismail Omar, tragedi Highland
Towers yang mengorbankan 48 nyawa pada Disember 1993, tragedi runtuhan tanah di Kampung
Pasir dan Bukit Antarabangsa, Ampang seharusnya cukup memberi pengajaran kepada kita
sebagai manusia supaya menghormati alam sekitar di sekeliling kita dan melakukan
pembangunan secara yang beretika dan bermoral. Di sini kita perlu bertanya, sejauh mana
tragedi ini memberi kesan kepada kita dan membawa kita untuk berfikir sejenak akan nilai alam
sekitar kepada manusia yang inginkan pembangunan. Apakah kita sudah cukup menghargai dan
menghormati alam ini sebagai sebahagian makhluk ciptaan Allah atau kita hanya menunggu ia
`bersuara sendiri' sebagai mana yang telah terjadi .

Daripada laporan di atas juga adalah jelas menunjukkan bahawa manusia telah banyak
melakukan kerosakan di atas muka bumi ini demi untuk memenuhi citarasa mereka dan untuk
kepentingan ekonomi. Tindakan yang membawa kepada kerosakan dan kemusnahan bukit
bukau, hutan dan air tidak diperdulikan. Ini menunjukkan bahawa pandangan antroposentrik di
kalangan penduduk Malaysia masih lagi menebal terutama yang mempunyai pengaruh
kewangan. Perkara ini dapat dilihat daripada segala tindakan yang dilakukan yang menunjukkan
bahawa faktor kemanusian adalah matlamat kepada apa yang dilakukan. Dalam pandangan ini
penekanan kepentingan manusia perlu didahulukan demi ikhtiar hidup mereka pada masa akan
datang. Ini kerana mereka berpendapat manusia adalah entity yang paling penting dalam alam
semesta ini. Mereka ini sebenarnya adalah berfahaman utilitarianisme yang menilai konsep
kebaikan dan keburukan itu berdasarkan sedikit atau banyaknya manfaat bagi sesuatu tindakan
itu kepada manusia.

Tetapi dengan banyaknya berlaku kesan-kesan kemusnahan terhadap alam sekitar akhir-akhir ini
sehingga ada yang melibatkan kehilangan nyawa dan harta benda yang banyak kesan daripada
kerakusan manusia, corak dan aliran pemikiran terhadap etika alam sekitar adalah sedikit
berubah dan menunjukkan ada peningkatan kea rah kebaikan.
Bekas Perdana Menteri Malaysia Y.A.B. Dato' Seri Dr. Mahathir Bin Mohamad dalam
transkrip wawancara bersama Perdana Menteri dengan wakil-wakil media massa dalam
rancangan RTM 'bersama perdana menteri' bertarikh 19 Julai 1995 iaitu ketika beliau masih
lagi menjadi Perdana Menteri Malaysia menyatakan komen beliau mengenai cadangan
pembinaan jalanraya yang menghubungkan tiga tanah tinggi di Malaysia iaitu Genting Highland,
Bukit Fraser dan Cameron Highland. Beliau menyatakan “pembangunan di lereng bukit atau pun
di atas bukit boleh dibuat tetapi mengikut cara-cara yang selamat. Tetapi kalau ditarahnya bukit
itu, dipotongnya kepala bukit itu, sudah tentulah didedahkan tanah itu kepada hujan dan sudah
tentu berlaku tanah runtuh, kita masih mempunyai cadangan ini kerana pada pendapat Kerajaan,
yang penting bukan adanya jalan ini tetapi bagaimana jalan ini dibina. Kalau dibina dengan
cukup mengambilkira keadaan alam sekeliling dan dibina dengan cara yang baik, kita yakin
bahawa tragedy seperti yang berlaku di Genting baru-baru ini tidak akan berlaku walaupun kita
tidak boleh `guarantee` seratus peratus. Hakikatnya ialah di negara-negara lain, di Jepun, di
Switzerland umpamanya, mereka negeri bergunung, tidak ada tempat tanah rata bagi mereka.
Jadi, mereka terpaksa menggunakan gunung-gunung ini untuk penduduk, untuk jalan-jalan dan
mereka membinanya dengan baik dan tidak ada kemalangan berlaku walaupun kadang-kadang
berlaku jugalah. Itu kuasa Tuhan. Kita tidak boleh hendak menentukan sesuatu seratus peratus.
Tetapi kalau dibina jalan ini dengan baik, saya yakin dia tidak akan berbahaya kepada alam
sekeliling ataupun pengguna jalan-jalan ini”.

Mengikut Hipotesis Gaia yang menyatakan bahawa semua kehidupan di bumi ini adalah satu
iaitu lebih daripada campuran bahagian-bahagiannya. Sistem kehidupan mempunyai
kecenderungan untuk mengekalkan dirinya dalam keadaan seimbang tetapi boleh menyesuaikan
diri untuk berkembang dengan masa. Pada masa kini, ahli sains mendapati bahawa bumi ini
mempunyai kecenderungan bertindakbalas iaitu dengan mekanisme tindakbalas ini ia akan
mengekalkan suhu dan tahap oksigen seimbang di atmosfera seperti mana juga badan kita
mengekalkan tahap oksigen dan suhu dalam badan kita. Ia juga menyatakan yang bumi ini hidup
dan kita adalah sebahagian daripadanya. Berdasarkan kepada apa yang berlaku kini, kejadian
seperti tanah runtuh hakisan dan lain-lain lagi musibah yang berlaku apabila pengondolan bukit
dan hutan dibuat dengan berleluasa dan tanpa kawalan adalah kesan daripada tindak balas bumi
ini bagi mengekalkan keseimbanganya.

Hipotesis Gaia ini merupakan salah satu idea dari ekologi mendalam (deep ecology) yang
dinyatakan oleh Arne Naess yang berideakan bahawa kita semua iaitu manusia adalah sebahian
daripada bumi ini dan tidak terpisah dan terasing daripadanya. Oleh itu kita perlu merasai diri
kita adalah sebahgian daripada kehidupan bumi dan mempunyai peranan dalam melindungi
planet ini. Dalam ekologi mendalam, kita melihat diri kita bukan sebagai individu tetapi sebagai
sebahagian daripada bumi. Kita perlu merasakan seperti yang dinyatakan oleh peribahasa melayu
iaitu “cubit paha kiri, paha kanan pun terasa sakit”. Ekologi mendalam adalah satu pendekatan
yang holistic bagi menghadapi masalah-maslah dalam dunia ini yang membawa bersama-
samanya pemikiran (thinking), perasaan (feeling), kerohanian (spirituality) dan tindakan (action).

Adalah tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan yang ingin dilaksanakan manusia adalah
penting bagi perkembangan dan ikhtiar hidup manusia pada masa akan datang. Manusia yang
merupakan makhluk yang berakal dan sentiasa dahagakan perubahan dalam kehidupan mereka
dari satu tahap ke satu tahap yang lebih ke hadapan. Seperti yang telah kita semua maklum,
dalam agama Islam, manusia telah dilantik menjadi khalifah atau pemimpin di atas muka bumi
ini dan tuhan lebih mengetahui tentang apa yang dibuatNya. Manusia telah diberi
tanggungjawab oleh tuhan dalam mentadbir alam ini. Tanggungjawab ini sebenarnya amat berat
dan tidak sanggup diterima oleh makhluk-makhluk lain ciptaan Allah kecuali manusia. Allah
turut berfirman dalam Al Quran surah Ar Rum ayat 30:41 iaitu “Telah nampak kerosakan di darat
dan di laut kerana perbuatan tangan-tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka
sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”.

Di sinilah perlunya pembangunan dijalankan secara lestari. Fahaman atau ideologi


antroposentrik yang menyatakan faktor manusia merupakan faktor yang dipertimbangkan
dalam setiap tindakan menusia kerana faktor manusia adalah matlamat akhir bagi setiap tindakan
yang dilakukan demi ikhtiar hidup manusia pada masa akan datang. Dengan memegang kepada
fahaman ini, semua tindakan manusia di alam ini dilakukan adalah untuk kepentingan manusia
sahaja tanpa menghiraukan kepentingan makhluk-makhluk lain di muka bumi. Oleh itu
pembangunan yang dijalankan seperti penggodolan dan pemotongan bukit untuk pembangunan
adalah tidak menyalahi dari segi moral mengikut fahaman ini. Ini kerana, demi menjaga ikhtiar
hidup manusia pada masa akan datang di mana pembangunan adalah diperlukan bagi
menampung jumlah populasi manusia yang semakin meningkat. Namun begitu, kesan
pembangunan yang tidak terkawal dapat dielakkan oleh manusia apabila fahaman ini berfikiran
bahawa faktor kemanusian adalah matlamat terakhir kerana pembangunan yang tidak terkawal
boleh mennghasilkan bencana kepada manusia seperti tanah runtuh dan banjir lumpur. Oleh itu,
untuk mengelakkan dari kejadian tersebut yang membawa kepada perkara buruk kepada
manusia, fahaman ini akan menjalankan penggodolan dan pemotongan bukit dengan lebih
berhemah dengan mengambil kira kesannya terhadap alam sekitar dan juga manusia.

Sebenarnya pemilik-pemilik aliran pemikiran utilitarianisme apabila dihayati betul-betul akan


konsepnya boleh membawa kepada kebaikan terhadap manusia dan juga alam sekitar. Ini kerana
matlamat akhir setiap tindakan bagi pemilik aliran pemikiran ini adalah manusia. Maka, jika
mereka membuat atau membangunkan kawasan-kawasan bukit yang berisiko dan cenderung
untuk berlakunya bencana yang membawa kemusnahan kepada manusia juga menunjukkan
matlamat akhir tindakannya adalah bukan untuk manfaat dan kebaikan manusia, kerana telah
berlaku kemusnahan terhadap manusia itu sendiri.

Masalah-masalah penggondolan bukit untuk pembangunan ini boleh diselesaikan dengan baik
apabila idea etika Leopold mengenai etika tanah (land ethic) dihayati dan dipraktikan semasa
apabila sesuatu pembangunan hendak dijalankan. Leopold mendakwa langkah seterusnya dalam
evolusi etika adalah pengembangan etika yang merangkumi ahli-ahli bukan manusia ke dalam
komuniti biotik yang merujuk kepada tanah. Leopold turut menyatakan bahawa prinsip asas
bagi etika tanahnya ialah “sesuatu tindakan itu adalah betul apabila ia cenderung untuk
mengekalkan intergiti, kestabilan dan keindahan komuniti biotii dan ianya salah jika sebaliknya”.
Beliau turut menerangkan bahawa “etika tanah memperbesarkan ruang lingkupnya dengan
merangkumi tanih, air, tumbuhan dan binatang atau secara keseluruhannya adalah tanah. Etika
tanah merubah peranan Homo sapiens daripada penakluk komuniti tanah kepada ahli dan
penduduk di atasnya. Ia menunjukkan hormat terhadap ahli-ahli lain dan juga hormat kepada
komuniti”.
Etika tanah daripada Lepold ini adalah satu idea yang amat baik untuk dipraktikan kerana ia
mengandungi rasa hormat manusia terhadap ahli-ahli lain yang terdapat dalam komuniti biotik.
Jika etika ini dijalankan, penebangan hutang dan pengondolan bukit dapat dielakkan atau
dikurangkan kerana wujudnya rasa hormat manusia terhadap ahli komuniti lain. Kesannya akan
dapat megelakkan kemusnahan terhadap bukit-bukau dan hutan yang menjadi pembekal oksigen
kepada manusia.

Peranan manusia sebagai khalifah di atas bumi ini adalah bukannya untuk melakukan
pembangunan dengan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira kesan buruk terhadap dirinya
dan alam sekitar. Peranan manusia adalah untuk patuh kepada Penciptanya dan patuh segala
arahan dan meninggalkan segala larangan. Manusia diberikan akal fikiran untuk memajukan
dirinya dan menjaga alam ini dalam keadaan baik untuk ditinggalkan kepada anak cucunya nakti.
Tetapi malangnya, di zaman di mana manusia menggunakan akalnya untuk membangunkan sains
dan teknologi sehingga tidak pernah terbayang sebelum ini telah banyak membawa kepada
kemusnahan terhadap alam ini. Mereka seharusnya menggunakan sains dan teknologi ini untuk
memahami dan menjaga serta memulihara alam ini dalam keadaan baik. Adalah tidak dinafikan,
manusia diberi hak oleh Penciptanya untuk mentadbir alam ini. Hak ini tidak diberikan kepada
haiwan, tumbuhan dan bukit-bukau. Hak ini diberikan bersama-sama dengan tanggungjawab
untuk mentadbir alam ini dalam keadaan yang baik.

Haiwan, tumbuh-tumbuhan dan bukit-bukau tidak dapat mempertahankan dirinya apabila


dilakukan sesuatu terhadapnya dan tidak mempunyai kebolehan membela diri. Tidak seperti
manusia yang mempunyai kebolehan membela dirinya sendiri apabila sesuatu tindakan
dilakukan ke atasnya. Oleh itu, adalah menjadi tanggung jawab manusia bagi mewakili haiwan,
tumbuh-tumbuhan dan bukit-bukau untuk membela mereka kerana mereka juga mempunyai
nilai-nilai intrinsik yang perlu dijaga dan dibela.

Dalam masa yang sama manusia perlu mengamalkan life boat ethic dalam memilih keutamaan
untuk bertindak. Ini berlaku dalam pembangunan yang dijalankan di mana penebangan hutan dan
pengondolan bukit perlu dilakukan kerana sudah tiada kawasan yang rendah dan lapang untuk
dibangunkan. Kita perlu memilih satu di antara dua, iaitu kita tidak ada pilihan lain lagi. Jika
penebangan hutan dan pengondolan bukit tidak dibuat, manusia akan merempat dan tidak ada
tempat untuk tinggal. Maka, life boat ethic menunjukkan signifikannya di sini di mana
penebangan hutan dan penggondolan bukit boleh dilakukan untuk dibangunkan kemudahan asas
manusia. Tetapi ia perlu dibuat dengan cara yang berhemah dan berdisiplin.

Dalam pembangunan yang melibatkan penggodolan bukit dan penebangan hutan, prinsip-
prinsip keutamaan (priority principle) seperti kesamarataan (proportionality) boleh diguna
pakai apabila keperluan asas (basic interest) bukan manusia bertembung dengan bukan
keperluan asas manusia, maka pertimbagan yang lebih berat perlu diberikan kepada keperluan
asas bukan manusia. Selain itu, jika sesuatu keperluan yang perlu kita dapatkan adalah sangat
penting dan ianya bertembung dengan keperluan asas bukan manusia, konsep meminimakan
kesalahan (minimum wrong) atau kerosakan boleh digunapakai di mana jumlah kerosakan dan
kemusnahan paling minima terhadap bukan manusia. Dalam keadaan lain di mana berlaku
pertembungan antara keperluan asas manusia dan keperluan asas prinsip keadilan agihan
(distributive justice) digunapakai. Namun begitu prinsip ini sukar diamlakan. Maka keadilan
pampasan (restitutive justice) dipraktikan di mana penggantian terhadap apa yang diambil oleh
manusia dibuat dengan kadar yang sama. Ini bermakna jika kawasan hutan dan berbukit terpaksa
ditebang dan dipotong untuk pembinaan rumah manusia akan menyebabkan kehilangan habitat
haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Oleh itu habitat haiwan yang dimusnahkan perlu diganti ditempat
yang lain dan dengan kadar keluasan yang sama. Bagi tumbuhan yang musah, ia perlu ditanam
semula dalam bilangan yang sama banyak dengan yang dimusnahkan.

Di Malaysia, pada masa sekarang pelbagai garis panduan pembangunan di kawasan berbukit
telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan untuk mengelakkan dan mengurangkan pembangunan
yang melibatkan pemotongan bukit dan penebangan hutan. Dengan adanya garis panduan
pembangunan ini, kemusnahan terhadap bukit bukau yang menjadi pasak bumi sedikit sebanyak
telah dapat dikurangkan.

Selain itu, bagi kawasan berbukit yang terpaksa dibangunkan, kerajaan telah mengarahkan pihak
pemaju agar melaksanakan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang merangkumi kaedah-
kaeadah yang dijanjikan oleh pemaju bagi menjaga alam sekitar dari musnah atau sekurang-
kurangnya meminimakan kemusnahan semasa dan selepas sesuatu kawasan dibangunkan.

layanan sama rata (egalitarianisme)


http://www.activeboard.com/forum.spark?aBID=39263&p=3&topicID=2211140

Penggondolan bukit ancam penduduk Batu Kawan http://utusan.com.my/utusan/info.asp?


y=2008&dt=0907&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm

Anda mungkin juga menyukai