Anda di halaman 1dari 9

5.

2 LAPORAN KAJIAN TINDAKAN

Nama pengkaji : Murni Binti Mahayat


Tajuk : Meningkatkan Kemahiran Menulis Karangan dengan Menggunakan Kaedah
Pementoran

ABSTRAK:
Kemahiran membaca dan menulis merupakan tunjang utama dalam menguasai Bahasa Melayu. Tanpa
kemahiran-kemahiran ini, penguasaan bahasa tidak akan dapat berjalan dengan jayanya. Oleh hal yang
demikian, kajian ini bertujuan untuk mengenal meningkatkan penguasaan membaca dan menulis dalam
kalangan murid-murid bermasalah pendengaran dengan menggunakan teknik sumbangsaran.
Responden kajian terdiri daripada 25 orang murid yang merangkumi semua murid tingkatan 1 Melor
dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Puan Habsah. Kajian yang dijalankan ini adalah berbentuk
pemerhatian sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung selain daripada Ujian
Pra dan Ujian Pos. Sehubungan itu, dapatan kajian menunjukkan bahawa kebanyakan murid-murid
atau responden ini yang mempunyai masalah dalam kemahiran membaca dan menulis dapat
meningkatkan penguasaan mereka terhadap kedua-dua kemahiran tersebut. Kesimpulannya, bagi
mengatasi masalah ini, satu kaedah atau pendekatan pemulihan amat penting bagi membantu responden
menguasai kemahiran membaca dan menulis untuk kepentingan mereka pada masa akan datang.

1.0       PENGENALAN
Membaca dan menulis merupakan satu asas yang penting dalam mempelajari sesuatu perkara. Tanpa
bacaan, seseorang itu tidak mungkin akan mendapat sesuatu maklumat dan keadaan ini akan
menyebabkan daya fikiran otak mereka tidak dapat berfungsi dengan baik. Menurut Yahya (2005),
tujuan membaca adalah bagi memahami teks yang dibaca dan kandungan teks yang dibaca memberi
makna kepada pembacanya. Keupayaan membaca merupakan satu kemahiran yang unik dan dinamik
dan keadaan ini perlu ada bagi setiap individu ketika mereka membaca kerana pada masa ini, keupayaan
kognitif mereka secara tidak langsung akan aktif dan dapat memproses sesuatu perkara yang baru.
Membaca juga dikatakan sebagai keupayaan seseorang untuk mengecam bentuk visual dan
menghubungkan antara bentuk dengan bunyi dan melalui pengalaman serta pembaca juga berupaya
untuk mentafsirkan maksud yang dibacanya. Pemahaman bacaan bergantung kepada gabungan dari segi
pengetahuan bahasa, gaya kognitif, dan pengalaman membaca.

Sementara itu, kemahiran menulis juga merupakan satu aspek penting dalam pembelajaran
bahasa. Kemahiran menulis dan membaca tidak dapt dipisahkan jika mempelajari sesuatu bahasa.
Kemahiran ini merupakan suatu budaya intelek yang saling melengkapi antara kemahiran membaca
dengan menulis. Keupayaan menulis merupakan satu proses penyaluran maklumat yang bersifat
mekanikal dan keupayaan ini disalurkan secara bersistem atau berperingkat iaitu mengambil kira
matlamat, penggunaan bahasa, audiens, dan gaya penulisan. Sehubungan itu, keupayaan membaca dan
menulis merupakan suatu kemahiran yang menjadi punca atau asas dalam proses pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan dalam pelbagai bidang di sekolah. Pencapaian dan kebolehan yang tinggi
dalam kemahiran membaca dan menulis pasti dapat meningkatkan penguasaan pembelajaran murid
dalam Bahasa Melayu dan mata pelajaran bahasa yang lain.

Seperti yang kita sedia maklum, bahawa setiap murid adalah berbeza antara satu sama lain iaitu
dari segi pengalaman, tingkah laku, amalan, bakat dan kebolehan mereka masing-masing. Oleh yang
demikian, guru yang mengajar subjek bahasa seharusnya cuba memahami keperluan konsep pemulihan
atau kaedah lain yang dapat membantu murid-murid di dalam bilik darjah bagi mengatasi permasalahan
menguasai kemahiran membaca dan menulis dalam kalangan murid bermasalah pendengaran. Selain
mampu untuk membantu mereka menguasai kemahiran membaca dan menulis, murid-murid juga sekali
gus akan dapat membantu meningkatkan kemahiran kendiri mereka.

Pelbagai usaha telah dijalankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bersama Jabatan Pelajaran
Negeri dengan Pejabat Pelajaran Daerah bagi merangka dan menghasilkan program kecemerlangan
murid. Selain itu, peranan guru-guru yang mengajar subjek bahasa dan bukan bahasa amatlah penting
supaya murid-murid mereka dapat menguasai kemahiran-kemahiran ini seperti murid-murid yang lain.
Perhatian guru yang serius dalam memenuhi tuntutan murid ini dapat membantu mengembangkan
potensi dan meningkatkan keyakinan murid tersebut untuk bersaing dengan rakan-rakan mereka yang
lain.
2.0       REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN LALU
Secara keseluruhannya, para pelajar bagi kelas tingkatan 1 Melor ini agak lemah dalam menguasai isi
pelajaran yang berkaitan dengan kemahiran membaca dan menulis semasa pengajaran dan pembelajaran
dijalankan dalam kelas. Salah satu puncanya ialah mereka kekurangan motivasi untuk belajar dan juga
sokongan daripada guru. Hanya sebahagian kecil pelajar sahaja yang mempunyai minat dan berpotensi
untuk maju dalam mata pelajaran yang diajarkan.

            Sepanjang guru mengajar topik yang melibatkan penulisan karangan, murid-murid tidak
memberikan tumpuan yang sepenuhnya. Tambahan pula, mereka kurang mengetahui makna sesuatu
perkataan dan memerlukan penjelasan daripada guru. Selain itu, keputusan pelajar dalam ujian juga agak
tidak memuaskan guru. Sekiranya perkara ini tidak dibendung dari awal sudah semestinya akan
mendatangkan masalah kepada para pelajar untuk meneruskan pembelajaran kepada topik-topik lain
yang melibatkan penulisan karangan. Sehubungan dengan itu, satu tindakan sistematik dan terancang
melalui kajian tindakan telah diambil bagi mengatasi masalah ini.

3.0       OBJEKTIF KAJIAN


Dalam kajian yang dijalankan ini, objektif umum adalah untuk mengenal pasti masalah dalam kemahiran
membaca dan menulis murid-murid Tingkatan 1 Melor yang rata-ratanya mempunyai masalah
pembelajaran. Manakala, objektif khusus kajian ini adalah seperti berikut:

3.1       Objektif Am
a)      Meningkatkan peratusan kelulusan dalam penulisan karangan.
b)      Memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran topik-topik lain yang berkaitan dengan
penulisan karangan.
c)      Membentuk kaedah yang sesuai dengan keupayaan murid-murid.
3.2       Objektif Khusus
a)      Murid-murid dapat meningkatkan penguasaan membaca dan menulis karangan berdasarkan
kaedah pementoran.
b)      Pelajar dapat menyelesaikan semua soalan lembaran kerja yang diberikan mengikut masa yang
ditetapkan oleh guru.
4.0       KUMPULAN SASARAN
Pelaksanaan kajian tindakan ini melibatkan 25 orang murid dari Tingkatan 1 Melor di Sekolah
Menengah Kebangsaan Tunku Puan Habsah yang merupakan murid-murid dari aliran kelas sederhana.

5.0       PELAKSANAAN KAJIAN


5.1      Tinjauan Masalah
Dalam pelaksanaan kajian ini, tinjauan masalah telah dibuat berdasarkan kepada pemerhatian,
ujian pra, dan ujian pos.
5.1.1    Pemerhatian
Pengkaji telah menjalankan pemerhatian ke atas tingkah laku kumpulan sasaran semasa proses
pengajaran dan pembelajaran dijalankan, iaitu sebelum dan selepas kajian. Sebelum kajian
dijalankan, para pelajar kurang memberi perhatian kepada proses pengajaran dan
pembelajaran yang sedang berlangsung. Keadaan berubah setelah kajian dilaksanakan dalam
kalangan pelajar, iaitu pelajar lebih berminat, lebih yakin dan berusaha menjawab soalan
latihan yang diberikan oleh guru.
5.1.2    Ujian Pra dan Ujian Pos
Pengkaji juga menyediakan set Ujian Pra dan diberikan kepada kumpulan sasaran pada awal
kajian untuk mengesan sejauh mana penguasaan dan kefahaman mereka terhadap kemahiran
membaca dan menulis tanpa melalui kaedah pementoran. Item dalam ujian pra terdiri daripada
lima soalan yang berkaitan dengan proses pembinaan ayat dan pemahaman teks bacaan.
Selepas itu, pelajar diuji lagi dengan ujian pos dengan format soalan yang sama.
  5.2       Analisis Tinjauan Masalah
5.2.1    Analisis pemerhatian
Berdasarkan pemerhatian selepas kajian dijalankan didapati:
a)      Pelajar lebih memahami petikan dan dapat menulis dengan baik.
b)      Suasana pembelajaran dalam kelas lebih bermakna.
  5.2.2   Analisis Ujian Pra
Setelah dianalisis keputusannya, kebanyakan pelajar gagal menguasai kemahiran memahami
petikan dan menulis karangan.
Jadual 1 : Keputusan Ujian Pra

MARKAH JUMLAH PELAJAR


0 - 10 3
11 - 15 8
16 - 20 7
21 - 25 5
26 - 30 2
JUMLAH 25
         
   
Dapatan daripada Ujian Pra di atas menunjukkan bahawa seramai 3 orang murid mendapat
markah sebanyak 0 - 10, 8 orang murid mendapat markah sebanyak 11 - 15, 7 orang murid mendapat
markah sebanyak 16 - 20, 5 orang murid mendapat markah sebanyak 21 - 25 dan 2 orang murid
mendapat markah sebanyak 26 - 30. Hasil ujian ini menunjukkan bahawa tindakan segera perlu diambil
bagi membantu murid-murid meningkatkan penguasaan membaca dan penulis karangan mereka. Oleh
itu, kaedah pementoran digunakan untuk mengatasi masalah ini.

5.3       Tindakan Yang Dijalankan


Pengkaji melakukan tindakan berikut dalam mendapatkan hasil kajian:
a)       Pengkaji menjalankan Ujian Pra kepada para pelajar setelah selesai mengajar topik yang
berkaitan dengan karangan. 
b)      Pelajar-pelajar juga diberi latih tubi dalam membaca dan menulis karangan
c)       Selepas itu, pengkaji menjalankan Ujian Pos apabila semua pelajar telah menguasai
penggunaan teknik bercerita.
d)      Kemudian, pengkaji membuat perbandingan antara hasil dapatan Ujian Pra dan Ujian Pos.

5.4       Pelaksanaan Tindakan, Pemerhatian dan Penilaian


Kajian tindakan ini telah dilaksanakan dalam tempoh tiga minggu. Setiap kali memasuki waktu
mata pelajaran Bahasa Melayu, pengkaji akan membimbing para pelajar untuk meningkatkan
penguasaan bacaan dan menulis karangan dengan menggunakan kaedah pementoran. Pelajar-pelajar
telah menjalani Ujian Pra seminggu sebelum diperkenalkan dengan kaedah pementoran. Manakala Ujian
Pos pula dijalankan sebulan selepas itu. Berdasarkan kepada pemerhatian yang telah dijalankan, didapati
pelajar lebih mudah untuk membaca dan menulis karangan setelah didedahkan dengan kaedah
pementoran. Hal ini demikian kerana guru telah menetapkan seorang mentor iaitu pelajar yang
berkeupayaan tinggi untuk membantu dan membimbing rakannya yang lemah dalam kumpulan masing-
masing. Teknik sumbangsaran telah digunakan sepanjang P&P berlansung. Dengan demikian, setiap
pelajar akan sama-sama menjana idea untuk menyelesaikan sebarang bentuk permasalahan yang diberi.
                                                    
Jadual 2 : Keputusan Ujian Pos

MARKAH JUMLAH PELAJAR


0 - 10 0
11 - 15 0
16 - 20 8
21 - 25 8
26 - 30 9
JUMLAH 25
           

Dapatan daripada Ujian Pos menunjukkan bahawa terdapat 8 orang murid mendapat markah 16 - 20, 8
orang murid mendapat markah sebanyak 21 - 25 dan 9 orang murid mendapat markah sebanyak 26 - 30.
Dapatan ini juga menunjukkan bahawa terdapat peningkatan dalam pemahaman bacaan teks dan
penulisan karangan berdasarkan teknik sumbangsaran yang diperoleh melalui kaedah pementoran.
Dalam erti kata yang lain, pelajar yang berkeupayaan tinggi telah mampu membimbing rakan mereka
yang lemah untuk lebih berdaya maju. Berikut merupakan perbandingan Ujian Pra dan Ujian Pos.

Jadual 3 : Perbandingan Keputusan Ujian Pra dan Ujian Pos

MARKAH Bil Pelajar (Ujian Pra) Bil Pelajar(Ujian Pra)


0 - 10 3 0
11 - 15 8 0
16 - 20 7 8
21 - 25 5 8
26 - 30 2 9
JUMLAH 25 25

5.5       Refleksi Kajian


Dapatan dari kajian yang telah dijalankan menunjukkan bahawa penggunaan teknik sumbangsaran dapat
meningkatkan penguasaan pelajar terhadap mata pelajaran bahasa terutamanya pemahaman bacaan dan
penulisan karangan. Hal ini dapat dikukuhkan dan dibuktikan lagi dengan perbandingan keputusan yang
telah dijalankan iaitu melalui Ujian Pra dan Ujian Pos yang telah dijalankan dalam kalangan pelajar dari
Tingkatan 1 Melor yang merupakan kelas tahap sederhana.

Pencapaian pelajar dalam kedua-dua ujian telah dilaksanakan ini menunjukkan peningkatan
yang baik dan memuaskan. Di samping itu, hasil dapatan kajian bukan sahaja menunjukkan bahawa
kaedah atau cara ini telah membantu para pelajar meningkatkan kefahaman, tetapi juga membina
keyakinan diri terhadap sesuatu yang telah dipelajari oleh pelajar serta menjadikan suasana pengajaran
dan pembelajaran lebih ceria dan bersemangat. Tambahan pula, para pelajar juga memberi respons yang
memuaskan kepada guru dan secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan guru.

Hasil kajian juga mendapati bahawa teknik sumbangsaran ini dapat membantu murid-murid
memahami setiap perkara yang dibaca oleh mereka dan sekali gus dapat menambah perbendaharaan kata
mereka. Penambahan perbendaharaan kata amat penting terutama ketika melibatkan aktiviti penulisan
terutamanya melibatkan penulisan karangan. Kaedah latih tubi yang melibatkan bacaan juga dapat
membantu murid-murid menguasai kemahiran membaca dan ini sekali gus dapat membantu murid-murid
dalam kelancaran ketika membaca. Murid-murid ini juga percaya bahawa penguasaan kemahiran
membaca yang baik dapat menjadikan aktiviti membaca di dalam kelas sebagai suatu aktiviti yang amat
menarik jika dikendalikan dengan betul.

6.0       CADANGAN
Beberapa cadangan yang difikirkan perlu bagi meningkatkan prestasi pengajaran dan potensi
pembelajaran murid untuk meningkatkan kemahiran menulis murid-murid tingkatan satu terutamanya
dari kelas lemah dan sederhana yang mempunyai masalah pembelajaran. Hal ini supaya kemahiran
menulis dan membaca mereka selari dengan murid-murid laindari kelas cemerlang.

            Cadangan yang boleh dilakukan adalah antaranya iaitu pengajaran asas kemahiran membaca dan
menulis seharusnya diberikan penekanan yang serius agar murid-murid dapat menguasai kedua-dua
kemahiran tersebut. Pengajaran Bahasa Melayu seharusnya disampaikan dalam pendekatan yang lebih
menarik dengan kepelbagaian bahan bantu mengajar serta kaedah pengajaran yang menarik dan mampu
memperkembang lagi keupayaan kemahiran membaca dan menulis murid. Kepelbagaian kaedah yang
digunakan oleh guru bahasa dapat membentuk murid supaya tidak cepat bosan dan penat semasa proses
pembelajaran berlaku di dalam bilik darjah terutama untuk aktiviti menulis.

            Selain itu, teknik ini juga boleh digunakan oleh kelas-kelas dari tingkatan yang lain untuk
meningkatkan pemahaman bacaan dan sekali gus dapat membantu murid-murid untuk menulis karangan
dengan baik. Bagi menangani masalah menulis, lembaran-lembaran kerja perlu disediakan sebagai
pengukuhan kepada murid-murid dalam aktiviti menulis. Selain itu, guru juga boleh menggunakan bahan
seperti buku-buku untuk memberi pendedahan kepada murid-murid tentang penulisan terutamanya dalam
penulisan karangan dan rumusan.
           
7.0       KESIMPULAN
Kelemahan murid menguasai kemahiran membaca dan menulis menjejaskan potensi serta motivasi
dalam menguasai pelbagai kemahiran lain dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Dalam usaha
memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, hal ini sewajarnya diberi perhatian yang
lebih serius. Seluruh warga pendidik Bahasa Melayu mesti mempunyai komitmen serta kekuatan untuk
menghadapi cabaran dan seterusnya memanfaatkan pengetahuan dan kemahiran pengajaran Bahasa
Melayu sebaik mungkin. Peningkatan profesionalisme guru Bahasa Melayu merupakan pemangkin
akauntabiliti bahasa dan bangsa Melayu. Ini amat bertepatan dengan saranan Menteri Pelajaran yang
mahu sistem pendidikan negara kita terus maju seiring dengan kemajuan negara berimpak tinggi.

Persepsi guru tentang imej murid bermasalah pembelajaran yang memerlukan perhatian
seharusnya positif dan mempunyai kesedaran bahawa mereka seharusnya dilayan secara saksama dan
berpotensi untuk berjaya sama seperti rakan mereka yang lain. Tambahan lagi, kesabaran serta ketekunan
guru amatlah penting bagi membantu murid yang mengalami masalah ini untuk berjaya. Pihak berkaitan
juga perlu mengadakan lebih banyak kursus khas kepada guru-guru bahasa untuk mengajar murid-murid
yang mengalami masalah pembelajaran.

Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa kesemua responden bersetuju bahawa faktor
kebolehan dan kreativiti guru dapat mengubah persepsi serta kesedaran bahawa mereka juga mempunyai
potensi untuk berjaya dalam pembelajaran. Dalam kerjasama yang melibatkan pihak pengurusan sekolah
diharapkan dapat membina iklim persekolahan yang kondusif, dan persekitaran sekolah yang selamat
dapat merangsang murid bermotivasi untuk terus belajar. Selain itu, faktor guru yang berketerampilan
serta berkeupayaan menyerap kaedah, teknik dan aktiviti serta menstrukturkan tahap pembelajaran
supaya menjadi satu set binaan pengajaran dan pembelajaran yang kreatif dan inovatif dapat memberikan
kesan positif dan bermakna. Faktor ini sememangnya dapat membina pembelajaran yang menggalakkan
hala tuju pengajaran yang hendak dicapai oleh guru.

Anda mungkin juga menyukai