Anda di halaman 1dari 2

Bismillahirrahmanirrahim….

Yg Dihormati barisan pentadbir, PKP, PKH dan PKO


Rakan2 guru serta anak murid SK Kelaboran yang saya sayangi..
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Sejahtera….

Alhamdullillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah
kurnia-Nya, kita dapat berhimpun pada hari ini untuk menyambut Hari Guru sebagai
tanda pengiktirafan kita yang tidak terhingga terhadap jasa dan sumbangan para guru
sekalian. Selaku Guru Besar SK Kelaboran, saya ingin mengambil kesempatan pada
hari yang amat bermakna ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua
guru SK Kelaboran serta guru guru KAFA dan merakamkan ucapan setinggi-tinggi
terima kasih dan penghargaan atas segala pengorbanan dan sumbangan besar guru-
guru dalam meneruskan perjuangan mendidik anak bangsa.
Para guru yang saya hormati sekalian,
Tugas sebagai pendidik ibarat berada di sebuah ladang. Guru menanam benih-benih
keinsanan, menyiram air kasih sayang, membajainya dengan luhur budi agar terus
subur dan membesar dengan sempurna. Pohon yang membesar dengan sempurna itu
pula akan menghasilkan buah bakti yang akan terus memberi manfaat kepada orang
lain. Alangkah besar pengorbanan dan tugas seorang guru. Jika dilaksanakan dengan
penuh keikhlasan, sudah pasti ganjaran yang besar akan menanti di alam yang kekal
abadi.

Kata-kata hikmat sasterawan negara, iaitu Usman Awang pernah menyebut dalam
sajaknya yang masyhur bahawa lahirnya seorang Perdana Menteri, doktor, peguam
dan pensyarah adalah bermulanya daripada seorang guru biasa yang mengajarnya
membaca dan menulis. Pada saya, inilah satu ungkapan yang mengangkat martabat
seorang guru dalam mendidik anak bangsa tanpa mengira masa, tenaga serta wang
ringgit. Kesungguhan para guru dalam mendidik anak-anak murid ada kalanya terpaksa
mengorbankan masa dengan keluarga dan anak-anak mereka sendiri hanya semata-
mata mahu memastikan anak bangsa kita menjadi insan berguna.

Insya-Allah, segala bakti yang dicurahkan oleh para guru akan mendapat ganjaran yang
setimpal, sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak. Keikhlasan itu sangat penting
kerana daripada ikhlasnya guru yang mengajar, maka anak-anak didiknya juga akan
mendapat ilmu yang berkat. Ilmu yang berkat inilah yang akan melahirkan anak-anak
yang mampu menjadi pelapis muda yang berilmu, beriman dan bertaqwa.

Setiap tahun pada 16hb Mei, tarikh ini akan diingati untuk disambut. Ianya tidak lain
adalah bertujuan untuk meraikan kejayaan dan sumbangan guru dalam membentuk
serta melahirkan murid yang cemerlang dan berdaya saing seiring dengan aspirasi
pendidikan. Kerja sebagai guru sangat dipandang mulia dan berperanan penting
dalam membina dan membentuk kualiti anak didik dalam aspek jasmani, emosi, rohani
dan intelek. Gurulah yang menjadi tunjang utama dalam merealisasikan kesejahteraan
diri insan yang dipimpinnya. Gelaran obor hemah kepada guru menggambarkan
tentang kemuliaan, keikhlasan, pengorbanan, tanggungjawab, cabaran, peranan dan
komitmen dalam profesion keguruan

Para guru yang saya hormati sekalian,

Tugas guru hari ini tidak seperti 40 tahun lalu yang mana tahap ‘kehormatan’ dan darjat
guru sangat tinggi. Namun, hari ini kita berada pada zaman yang berbeza. Kita kini
berada pada zaman teknologi yang serba canggih, segala maklumat hanya dihujung
jari. Cara komunikasi antara kita juga kini telah berubah dengan adanya media-media
sosial seperti whatsapp, Facebook, Instagram dan sebagainya. Jika kita masih ingat
zaman persekolahan kita dahulu, hukuman dan rotan adalah satu kaedah untuk
mendidik agar kita mempunyai disiplin dan berubah sikap. Namun, pada zaman ‘viral’
segala macam bentuk hukuman yang bertujuan mendidik akan dieksploitasikan dan
diberi pentafsiran yang negatif. Jadi saya menyeru dan berpesan kepada guru-guru
agar tidak memberi ruang untuk mereka di luar mencari kesilapan kita.

Anak-anak murid yang berada dihadapan kita merupakan anak-anak kita yang masih
belum mengenal erti kehidupan. Maka, Kasihanilah mereka, didiklah mereka dan
lihatlah ke dalam mata mereka betapa mereka sangat memerlukan limpahan ilmu untuk
membentuk mereka menjadi insan yang cermerlang di dunia dan di akhirat.
Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya mengucapkan ribuan terima kasih dan
setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru-guru SK Kelaboran termasuk KAFA di
atas kesempurnaan majlis hari ini. Dikesempatan ini 2 rangkap pantun saya rakamkan
buat warga SK Kelaboran

Subur gaharu pinggiran anjung,


Tempat merbah membuat sarang,
Budimu guru mekar setanjung,
Sepanjang zaman dikenang orang.

Kalau ada pauh di daik,


Bawa sebiji ke tanah seberang,
Kalau ada budi yang baik,
Sampai mati dikenang orang.

Terima kasih Cikgu! Jasamu dikenang, namamu dijulang. Dengan lafaz


Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Sambutan Hari
Guru Peringkat Sekolah SK Kelaboran 2019.
Sekian,
wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum wbt

Anda mungkin juga menyukai