Anda di halaman 1dari 2

1.

5 Falsafah, Ilmu Pengetahuan (Sains) dan Agama

Gambaran yang jelas menyatakan bahawa falsafah, ilmu atau sains dan agama adalah berbeza,
namun ketiga-tiga bidang ilmu tersebut mencari kebenaran. Tiga aspek utama yang membezakan
antara falsafah dan ilmu ialah kajian falsafah bersifat lebih umum dan komprehensif dengan
melihat setiap benda dalam suatu perspektif manakala ilmu menumpukan kepada persoalan
khusus seperti fizik, sejarah dan lain-lain Keduanya, ilmu hanya mengkaji fakta tetapi falsafah
mengkaji fakta dan sistem nilai. Secara mudahnya, nilai didefinisikan sebagai satu ukuran
berdasarkan pandangan manusia tentang sesuatu perkara seperti baik, buruk, jahat, berfaedah,
sia-sia dan sebagainya. Ketiga, falsafah mengkaji kajian itu sendiri sementara ilmuwan dan
saintis mengkaji pelbagai konsep seperti benda, tenaga, ruang dan lain-lain serta tidak mengkaji
kesahihan konsep tersebut atau hakikat tertinggi sesuatu benda. Kemudian, persolan ini akan
dijawab oleh falsafah.

Menurut Russell (1980), falsafah berada di kedudukan antara sains dan agama. Ilmu sains
mencari kebenaran bermula dengan perasaan ingin tahu, diikuti dengan kaedah pemerhatian,
pengalaman (empirikal) dan penyelidikan di makmal-makmal. Falsafah mencari kebenaran
bermula dengan keraguan dan diikuti dengan penaakulan akal-budi secara radikal, menyeluruh,
sistematik dan logik. Kebenaran agama pula bermula dengan keyakinan secara penerimaan
dalam bentuk wahyu. Tidak semua masalah boleh dijawab dengan ilmu kerana keterbatasannya
oleh subjek, objek dan metodologinya. Seterusnya, tidak semua soalan yang gagal dijawab oleh
ilmu dapat dijawab oleh falsafah. Hal ini kerana, jawapan falsafah bersifat spekulatif dan relatif.
Pastinya, manusia tidak akan puas hanya dengan mencapai jawapan yang bersifat spekulatif
kerana mereka memerlukan pegangan hidup yang bersifat mutlak dan abadi agar tidak
terumbang-ambing dalam ketidakpastian di dalam hidupnya. Hanya agama yang mampu
menjawab persoalan kebenaran yang gagal dijawab oleh ilmu dan falsafah secara tuntas. Oleh
itu, ketiga-tiganya diperlukan dalam bentuk hubungan fungsian dalam menyelesaikan persoalan
tentang kemanusian dan kebenaran secara kesuluruhan.

Menurut Haque (1998), tidak dapat dinafikan bahawa agama dan sains merupakan dua
perspektif yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Namun, apabila sains telah mula
diagungkan dan dijadikan sebagai kiblat untuk mencapai kemewahan material dan mencari
hakikat kebenaran sesuatu kejadian tanpa disandarkan dengan nilai agama, ia secara tidak
langsung telah mencalar dan mengurangkan pengaruh agama itu sendiri. Seterusnya, beliau
berpandangan kefahaman terhadap kepercayaan dan keyakinan agama dapat ditangani sekiranya
perkara ini tidak diabaikan dalam pelaksanaan sains masa kini.

Rumusan perkaitan antara ilmu, falsafah dan agama oleh Abdul Rahman (2005)
menyatakan bahawa pengetahuan merujuk kepada hal-hal biasa yang dimiliki oleh setiap orang
dalam kehidupan sehariannya. Selain itu, pengetahuan yang tersusun menurut kaedah dan sistem
tertentu akan meningkat menjadi ilmu atau sains. Ilmu dan sains hanya berusaha menjawab
masalah segera. Di situ, timbullah peranan falsafah untuk menyelesaikannya. Namun, falsafah
hanya mampu memberikan jawapan secara spekulatif dan tidak meyakinkan, maka timbullah
peranan agama untuk memberikan jawapan. Yakni, sebagai seorang manusia, adalah menjadi
kewajipan kita untuk menuntut ilmu dengan penuh dedikasi dan bersungguh-sungguh agar kita
menjadi seorang yang berpengetahuan. Hal ini penting untuk melahirkan individu yang berilmu,
berpengetahuan, berfalsafah, beragama dan juga hebat dalam bidang sains demi kesejagatan
tamadun manusia dan untuk menempuhi arus masa yang mendatang.

Rujukan

Haque, A. (1998). Psychology and Religion: Their Relationship and Integration from an Islamic

Perspective. The American Journal of Islamic Social Sciences, 15(4), 97-109.

Anda mungkin juga menyukai