Anda di halaman 1dari 7

Nama Murid : Sarah binti Azmie

Sekolah : Sekolah Kebangsaan Pangkalan Abai, Kota Belud


Kategori : Bercerita (Tahap 1)
Tajuk Cerita : Kucing Tompok dan Tikus Sawah

Assalamua’laikumwarahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera. Terima


kasih kepada tuan/puan pengerusi majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana,
penjaga masa yang setia pada masanya, para peserta yang disegani, guru-
guru serta rakan-rakan sekalian. Mari dengarkan sebuah cerita daripada saya
yang bertajuk “Kucing Tompok dan Tikus Sawah.”
Pada suatu hari, Kucing Tompok berjalan-jalan di tepi sebuah sawah
terbiar. Ketika itu, Tikus Sawah turut berada di situ untuk mencari makanan.
Kucing Tompok yang melihat Tikus Sawah berkata di dalam hati, “Pasti aku
akan kekenyangan kalau aku dapat tangkap tikus itu “. Tikus Sawah yang
sedang terlonjak-lonjak kerana digigit semut tiba-tiba terpandang Kucing
Tompok yang tidak jauh dari situ. Tikus Sawah cuba melarikan diri tetapi
malang baginya kerana Kucing Tompok bergerak sangat pantas sehingga
dapat menangkapnya.

“Hah, sekarang kau berada di dalam cengkaman aku! Aku tidak sabar
hendak makan kau!” kata Kucing Tompok. Tikus Sawah benar-benar berasa
takut apabila mendengar kata-kata Kucing Tompok. Ia berusaha melepaskan
diri dan merayu kepada Kucing Tompok, “Tolong lepaskan aku, wahai Kucing
Tompok! Janganlah makan aku kerana aku mempunyai anak yang masih
kecil. Kalau aku mati, siapa pula yang akan menjaga anak aku nanti.”

Kucing Tompok berkata “Ah, aku tidak peduli dengan anak kau! Aku mesti
mengutamakan perut aku dahulu!”Tikus Sawah terus merayu dan minta
dikasihani. “Aku berjanji satu hari nanti aku akan menolong kamu jika kamu
ditimpa kesusahan,” kata Tikus Sawah lagi. Kucing Tompok terus ketawa
mendengar kata-kata Tikus Sawah tersebut lalu berkata dengan bongkak,
“Hahaha! Aku kucing yang kuat. Aku tidak memerlukan pertolongan sesiapa.”

Tikus Sawah terus merayu supaya dilepaskan dan berjanji akan


menolong Kucing Tompok suatu masa nanti. Akhirnya, Kucing Tompok pun
lembut hati atas rayuan Tikus Sawah lalu melepaskannya tetapi dengan
syarat. “Baiklah, sekarang aku lepaskan kau. Tetapi ingat, kalau kau mungkir
janji, aku akan bunuh seluruh keluarga kau!” kata Kucing Tompok memberi
amaran. Tikus Sawah sangat bersyukur dan tidak henti-henti berterima kasih
kepada Kucing Tompok kerana melepaskannya kemudian pergi dari situ.

Beberapa hari selepas itu, Kucing Tompok telah terpijak jerat yang
dipasang di sawah terbiar. Akibatnya, Kucing Tompok tergantung pada dahan
pokok dalam keadaan kakinya di atas dan kepalanya di bawah. Kucing
Tompok menjerit-jerit meminta tolong sehingga didengari oleh Tikus Sawah.
Tikus Sawah segera datang ke arah suara Kucing Tompok dan terkejut
melihat keadaan Kucing Tompok yang tergantung itu. “ Bertenang! Biar aku
gigit tali jerat itu,” kata Tikus Sawah.

Kucing Tompok merayu kepada Tikus Sawah agar menolongnya. Tanpa


berlengah, Tikus Sawah pun menggigit tali jerat itu sehingga putus. Setelah
tali jerat itu putus, Kucing Tompok pun terjatuh ke tanah. “ Nasib baik kau
datang menolong aku. Jika tidak, sudah pasti aku mati tergantung di situ,”
kata Kucing Tompok kepada Tikus Sawah.

Kucing Tompok berterima kasih kepada Tikus Sawah kerana


menyelamatkannya. “Aku menolongmu kerana dahulu kamu telah
melepaskan aku daripada cengkaman kamu. Aku masih ingat lagi akan
janjiku kepadamu dahulu. Aku hanya menunaikan janjiku dahulu,” kata Tikus
Sawah dengan riak wajah yang takut. Sejak peristiwa itu, Kucing Tompok
tidak lagi bersikap bongkak dan sering membantu sesiapa sahaja yang
memerlukan bantuannya. Kucing Tompok dan Tikus Sawah pula telah pun
menjadi kawan baik selepas kejadian itu.

Kawan-kawan, pengajaran daripada cerita ini ialah kita tidak boleh


bersikap bongkak seperti sikap Kucing Tompok kerana sikap itu nanti hanya
akan memakan diri kita sendiri sahaja. Selain itu, kita haruslah menepati janji
yang telah kita buat seperti sikap Tikus Sawah yang menepati janjinya
kepada Kucing Tompok agar orang mudah mempercayai dan menyukai kita.
Kita juga perlu bersikap baik hati dan suka menolong orang yang memerlukan
bantuan seperti sikap Tikus Sawah yang membantu Kucing Tompok yang di
dalam kesusahan kerana kita tidak tahu suatu hari nanti mungkin kita yang
memerlukan bantuan daripada orang lain. Sampai di sini sahaja cerita
daripada saya. Semoga cerita ini memberi pengajaran untuk kita semua.
Sekian, wabillahi taufik walhidayah, assalamua’laikum warahmatullahi
wabarakatuh dan terima kasih.
Nama Murid : Nada Naqiyyah binti Suffian
Sekolah : Sekolah Kebangsaan Pangkalan Abai, Kota Belud
Kategori : Bercerita (Tahap 2)
Tajuk Cerita : Sikap Fahmi

Assalamua’laikumwarahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera. Yang


dihormati tuan/puan pengerusi majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana,
penjaga masa yang setia pada waktunya, peserta-peserta yang disegani,
guru-guru serta rakan-rakan sekalian. Berdirinya saya di sini untuk
menyampaikan sebuah kisah yang bertajuk “Sikap Fahmi”.

Fahmi, Siva dan Ah Kim merupakan tiga sahabat karib. Mereka berumur
dua belas tahun dan merupakan murid darjah enam. Mereka bertiga juga
merupakan murid yang bijak dan pintar di sekolah mereka.

Fahmi merupakan anak berada. Ayahnya, Encik Mahmud merupakan


seorang usahawan berjaya, manakala ibunya, Puan Anisah pula merupakan
seorang doktor di sebuah hospital swasta. Dia merupakan anak tunggal. Apa
sahaja kemahuannya, pasti akan ditunaikan oleh ibu dan ayahnya. Berlainan
pula dengan Siva dan Ah Kim. Mereka berdua datang dari keluarga yang
sederhana.

Fahmi selalunya membawa wang saku sebanyak lima puluh ringgit


hingga tiga ratus ringgit sehari ke sekolah. Di sekolah, dia akan
membelanjakan dan menghabiskan wang sakunya sewenang-wenangnya.
Fahmi juga suka menunjuk-nunjuk kemewahan dirinya kepada murid-murid di
sekolahnya.

Pada suatu hari, Fahmi membeli makanan yang banyak di kantin. Dia
memberikan semua makanan itu kepada murid-murid yang ada di kantin.

“Ambillah semua makanan ini. Jangan bimbang, aku belanja!” kata Fahmi
dengan bangganya.

Semua murid yang ada di kantin sekolah menjerit kegembiraan. Fahmi


pula tidak memikirkan tentang sikap borosnya itu akan mengundang kepada
perkara yang tidak disangka-sangka.
“Fahmi, kamu ini boros betullah! Tidakkah kamu berasa sayang dengan
duit yang kamu belanjakan itu?”tanya Siva.

“Aku ada duit yang banyak. Keluarga aku hidup mewah! Setakat dua
ratus ringgit tiada masalah untuk aku belanjakan,” jawab Fahmi dengan
sombong.

“Apa? Banyak sekali wang saku kamu. Kalau aku sudah tentu tidak
mampu. Ibu aku hanya memberikan dua ringgit sahaja sehari kepadaku
untuk belanja sekolah,” kata

“Keluarga kamu hidup susah. Ayah dan ibu kamu hanya kerja makan gaji
sahaja. Berlainan dengan keluarga aku. Hidup aku senang-lenang. Duit kami
tidak pernah tidak cukup. Apa sahaja kemahuanku, pasti akan ayah dan ibuku
tunaikan. Semalam, ayahku membelikan aku sebuah telefon bimbit keluaran
baharu yang berharga tiga ribu ringgit,” kata Fahmi lagi dengan bongkaknya.

“Kamu memang bertuah, Fahmi. Tidak semua orang bernasib baik seperti
kamu,” kata Siva.

“Sudahlah, nanti aku belanja kamu makan di restoran yang tular


berdekatan tempat tinggal kita baru-baru ini. Minta apa sahaja yang kamu
mahu, aku akan bayar,” kata Fahmi.

“Maaflah, Fahmi. Aku perlu pulang awal hari ini. Aku perlu menolong
ibuku menghantar baju yang dijahitnya kepada seorang pelanggan,” kata
Siva.

“Aku pun sama. Hari ini aku ada hal yang perlu diselesaikan. Lain kali
sahajalah,” kata Ah Kim pula.

“Kalau begitu, terpaksalah aku pergi sendiri,” kata Fahmi.

“Eh, bahaya tu! Aku rasa lebih baik kamu batalkan sahaja niat kamu itu,”
kata Siva.

“Aku tetap ingin pergi hari ini juga. Aku teringin makan makanan yang
sedap di restoran itu. Jangan bimbang, tidak akan ada apa-apa yang berlaku
kepada aku,” kata Fahmi lagi.
“Kalau begitu, tidak apalah. Hati-hati ya, Fahmi,” Kata Siva mengakhiri
perbualan mereka.

Petang itu, Fahmi menunggang basikal ke restoran itu. Dia membawa


sejumlah duit yang banyak. Dia menyanyi dengan girangnya tanpa
memikirkan tentang keselamatan dirinya.

Tiba di satu selekoh, Fahmi ditahan oleh seorang lelaki yang berbadan
gempal. Lelaki itu tanpa melengahkan masa mengeluarkan sebilah pisau lalu
diacukan kepada Fahmi.

“Cepat! Keluarkan semua duit kamu!” kata lelaki itu.

“Saya tidak ada duit, bang!” jawab Fahmi menggeletar.

“Penipu! Aku tahu kamu anak orang kaya! Tidak mungkin kamu tidak ada
duit! Cepat serahkan semua duit kamu kepada aku. Jika tidak, aku kerat leher
kamu dengan pisau ini!” ugut lelaki itu bersungguh-sungguh.

“Bbbbbaaikkklah,” kata Fahmi dengan suara terketar-ketar.

Fahmi segera mengeluarkan duit dan telefon bimbit baharunya lalu


menyerahkannya kepada lelaki tersebut. Fahmi berasa sangat takut dan
bimbang dirinya akan diapa-apakan oleh lelaki bengis itu.

“Memang tidak sia-sia aku mengintip kamu!” kata lelaki itu lalu terus
meninggalkan Fahmi.

Setelah itu, Fahmi terus tergesa-gesa mengambil dan kemudian


mengayuh basikalnya dengan laju menuju ke rumahnya. Setelah tiba di
rumah, Fahmi terus menelefon ayah dan ibunya untuk memberitahu tentang
kejadian yang telah menimpa dirinya sebentar tadi.

Ayah dan ibu Fahmi telah pergi ke balai polis yang berdekatan untuk
membuat laporan.

“Kami akan berusaha dengan sebaik mungkin untuk menangkap


penjenayah itu!” kata pegawai polis tersebut kepada ayah dan ibunya.

Pada keesokan harinya, semasa di sekolah, Fahmi telah menceritakan


pengalaman ngerinya kepada Siva dan Ah Kim.

“Mujurlah tidak ada apa-apa yang berlaku. Nyawa lebih penting daripada
wang ringgit. Selepas ini, tidak perlulah kamu boros dan membawa duit yang
banyak lagi,” nasihat Ah Kim kepada Fahmi.

“Ya, Siva. Terima kasih atas nasihat kamu. Mulai hari ini, aku berjanji
tidak akan boros dan menunjuk-nunjuk lagi. Aku juga tidak akan membawa
duit yang banyak lagi ke sekolah. Aku sungguh menyesal. Aku tidak mahu
perkara itu berulang lagi,” kata Fahmi bersungguh-sungguh.

Demikianlah cerita tentang sikap Fahmi yang boros dan suka menunjuk-
nunjuk. Pengajaran daripada cerita ini ialah janganlah kita bersikap boros dan
suka membelanjakan wang sewenang-wenangnya kerana sikap ini hanya
akan merugikan diri kita sendiri. Kita juga tidak boleh bersikap bongkak dan
sombong kerana sikap ini akan membuatkan ramai orang tidak suka
berkawan dan bergaul dengan kita. Selain itu, kita juga perlu berwaspada
sepanjang masa di mana sahaja kita berada agar keselamatan kita sentiasa
terjamin. Sekian sahaja daripada saya,

Wabillahi taufik walhidayah, assalamua’alaikum warahmatullahi


wabarakatuh dan terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai