Teks Ucapan GB Mesyuarat Agung PIBG 2020
Teks Ucapan GB Mesyuarat Agung PIBG 2020
Ramai ibu bapa tidak hadir apabila pihak sekolah mengadakan program
dan majlis ilmu dengan memberi alasan sibuk bekerja. Keadaan ini amat
menyedihkan pihak sekolah kerana ditakuti anak-anak kita akan tersasar jauh.
Jadi, saya mewakili pihak sekolah menyeru supaya ibu bapa memberi kerjasama
yang erat kepada pihak sekolah supaya kita sama-sama dapat berganding bahu
dan sekali gus dapat menyuntik semangat belajar dalam sanubari anak-anak.
Anak-anak amat memerlukan inspirasi dan galakan untuk belajar. Minat
belajar perlu ditanam dan disemai dalam jiwa anak-anak kerana mereka ibarat
kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkan dan mewarnainya. Anak-anak
memerlukan masa untuk bermesra dan berbincang dengan ibu bapa mereka. Ibu
bapa perlu memastikan bahawa mereka mempunyai masa untuk tujuan tersebut.
Hal ini tidak mustahil dilakukan walaupun ibu bapa sibuk bekerja. Ibu bapa
boleh menelefon untuk bertanya khabar atau makan semeja pada waktu yang
berkesempatan. Pokoknya, di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.
Dengan perkembangan semasa yang kita semua sedia maklum, PIBG
menghadapi pelbagai cabaran membantu pihak sekolah dalam semua aspek
khasnya kemajuan dan kecemerlangan pendidikan anak-anak dari semasa ke
semasa. Tanpa kesepakatan dan kerjasama yang jitu amat sukar bagi kita bagi
mencapai kejayaan yang diharapkan. Hasrat ini lebih mudah dicapai apabila
semua pihak termasuk ibu bapa dan ahli komuniti bersatu dan menyokong satu
matlamat, iaitu membantu murid berjaya. Peranan ibu bapa dalam membantu
pembelajaran anak-anak di rumah tidak dapat dinafikan. Apabila ibu bapa
terlibat sama, sekolah mendapat banyak manfaat antaranya pencapaian murid
meningkat, kes disiplin dalam kalangan murid berkurangan dan hubungan pihak
sekolah dengan ibu bapa menjadi lebih baik.
Saya bagi pihak sekolah merakamkan ucapan terima kasih kepada semua
pihak yang telah memberi kerjasama yang baik dalam melaksanakan pelbagai
program sekolah. Hanya dengan kerjasama semua pihak secara berterusan maka
anak-anak didik sekolah ini dapat terbina sebagai insan yang cemerlang dari
segi sahsiah, akademik dan kokurikulum.