Anda di halaman 1dari 9

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/336375332

AMALAN KESANTUNAN BERBAHASA SEBAGAI CERMINAN SANTUN BUDAYA


DALAM MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU

Chapter · January 2015

CITATIONS READS

0 3,855

4 authors, including:

Zuraini Ramli Husna Faredza Mohamed Redzwan


Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
13 PUBLICATIONS   7 CITATIONS    16 PUBLICATIONS   7 CITATIONS   

SEE PROFILE SEE PROFILE

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

Pengukuran.COrT utk pengajaran.BM View project

Translanguaging in Public Universities in Malaysia View project

All content following this page was uploaded by Zuraini Ramli on 10 October 2019.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


AMALAN KESANTUNAN BERBAHASA SEBAGAI CERMINAN
SANTUN BUDAYA DALAM MEMARTABATKAN BAHASA
MELAYU
Zuraini Ramli
Husna Faredza Mohamed Redzwan
Dahlia Janan
KhairulAzamBahari

Universiti Pendidikan Sultan Idris

zuraini@fbk.upsi.edu.my

Abstrak

Dalam bidang linguistik, kesantunan bahasa termasuk dalam subdisiplin pragmatik. Dalam kajian ini,
kesantunan berbahasa dikupas dari sudut pandang pragmatik, untuk melihat amalan kesantunan berbahasa
di sekolah. Berdasarkan kerangka Prinsip Kesopanan yang dikemukakan oleh Leech, G (1993), kajian ini
dijalankan di enam buah sekolah di negeri Perak bagi mendapatkan amalan kesantunan berbahasa dalam
kalangan pelajar, guru, pentadbir dan kakitangan sekolah. Dengan merujuk kepada enam maksim yang
digariskan dalam Prinsip Kesopanan, didapati bahawa wujudnya kesantunan dalam amalan berbahasa di
sekolah. Walau bagaimanapun, dapatan kajian menunjukkan beberapa maksim tidak dipatuhi oleh penutur.
Oleh itu, wajarlah dipertingkatkan usaha dan upaya masyarakat untuk memastikan santun bahasa dan
budaya sebati dalam amalan berbahasa semua generasi di negara ini.

PENGENALAN

Makalah ini membincangkan kesantunan berbahasa dari perspektif pragmatik. Melihat


dari sudut pragmatik, kesantunan dalam berbahasa terangkum dalam budaya santun
sesebuah masyarakat. Hal ini demikian kerana bahasa merupakan elemen budaya,
manakala budaya merupakan elemen bahasa. Asmah Haji Omar menjelaskan
kesalingbergantungan kedua-dua aspek ini dalam konteks ketamadunan sesuatu bangsa
sebagai “Language and culture together form an index to civilisation. In this role the two
have to be taken together, not separately.” (2003; 83). Oleh itu, memilih bahasa yang
santun dalam pelbagai konteks haruslah didasari oleh budaya yang sopan dalam sesebuah
masyarakat. Sungguhpun terdapatnya perbezaan dan kepelbagaian definisi santun
menurut bahasa dan budaya yang berlainan, keseiringan aspek santun dalam bahasa dan
budaya mampu menyerlahkan keupayaan penutur untuk berbahasa dengan halus dan
santun. Nilai sosial dan budaya sesebuah masyarakat juga dilambangkan oleh kesantunan
sebagai asas kepada amalan berbahasa untuk mewujudkan keramahan dan penghormatan
kepada seseorang (Zaitul Azma Zainon Hamzah, 2012: 63).
Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk melihat amalan kesantunan berbahasa dari
aspek pragmatik sebagai cerminan santun budaya dalam masyarakat. Kajian ini
melibatkan sampel kajian yang terdiri daripada pelajar, guru, pentadbir dan kakitangan
daripada enam buah sekolah di negeri Perak. Data diperoleh melalui kaedah pemerhatian
dan rakaman di lapangan, yang ditranskripsi secara verbatim untuk digunakan sebagai
contoh dalam bahagian perbincangan.
554 | Bahasa Melayu dalam Konteks Budaya

KESANTUNAN BERBAHASA DARI SUDUT PRAGMATIK

Aspek pragmatik dalam penggunaan bahasa memberi tumpuan kepada tujuan penggunaan
bahasa, iaitu kesan yang ingin disampaikan dan tindakan lanjutan dari kesan itu. Jika
seseorang itu menguasai aspek pragmatik dalam penggunaan bahasa, maka dia boleh
menjalankan kehendaknya ke atas sasarannya dengan halus dan berkesan (Asmah Haji
Omar, 2000: 111-113). Oleh itu, yang dimaksudkan penggunaan bahasa dengan halus
adalah dengan menggunakan bahasa yang santun.
Dalam berkomunikasi, di samping menerapkan Prinsip Kerjasama (Cooperative
Principle) dengan empat maksim percakapannya, iaitu maksim kualiti, maksim relevansi,
maksim cara, kita juga harus menerapkan Prinsip Kesopanan (Politeness Principle)
dengan enam maksimnya yang terdiri daripada maksim santun atau kebijaksanaan,
maksim kedermawanan, maksim sokongan atau penghargaan, maksim kerendahan hati
atau kesederhanaan, maksim persetujuan atau permuafakatan dan maksim simpati (Leech,
G. 1993: 158). Maksim ini digunakan untuk menunjukkan kesopanan bahasa dalam
bidang pragmatik. Namun begitu, maksim yang dikemukakan oleh Leech (1993) ini lebih
menekankan kesantunan bahasa dalam bahasa Inggeris.

Maksim Kebijaksanaan

Maksim santun atau kebijaksanaan ini mementingkan aspek meminimumkan kos bagi
orang lain dan maksimum manfaat bagi orang lain (Leech, G. 1993: 158). Dalam maksim
ini, tindak ilokusi amat penting. Tindak ilokusi ini dibahagikan kepada beberapa jenis
berdasarkan kepada fungsi dan kriteria. Menurut Leech (1993), tindak ilokusi
berdasarkan fungsi melibatkan aspek kompetitif, konvivial, kolaboratif dan konfliktif.
Bagi tindak ilokusi berdasarkan kepada kriteria, kategori ini dikemukakan oleh J.R.
Searle (1979), iaitu asertif, direktif, komisif, ekspresif dan deklaratif (Tarigan, Henry
Guntur, 1990: 45). Maksim kebijaksanaan ini bermaksud seseorang penutur perlu
memikirkan dan mengujarkan kata-kata yang baik dan sopan dengan bijak. Jelasnya,
maksim kebijaksanaan ini yang mengutamakan kearifan bahasa.

Maksim Kedermawanan

Maksim kedermawanan pula menekankan kepada meminimumkan manfaat bagi diri


sendiri dan memaksimumkan kos bagi diri sendiri. Maksim ini berbeza dengan maksim
kebijaksanaan kerana maksim ini berpusat kepada diri sendiri, manakala maksim
kebijaksanaan berpusat kepada orang lain. Hal ini bermaksud penentuan sesuatu ujaran
berdasarkan kepada maksim ini ditentukan oleh diri sendiri untuk menunjukkan
kesopanan kepada orang lain. Pelaksanaan maksim ini dalam bahasa atau perbuatan
mampu mengelakkan daripada timbulnya perasaan iri hati, sifat dengki, marah dan
sebagainya.

Maksim Penghargaan

Bagi maksim penghargaan, aspek yang disarankan adalah minimumkan cacian terhadap
orang lain dan maksimumkan pujian terhadap orang lain. Sesuatu kata atau ujaran yang
diujarkan mestilah ujaran yang baik atau manis serta menghindari daripada mengatakan
hal-hal yang tidak menyenangkan seperti cacian, umpatan dan sebagainya. Cacian hanya
akan merendahkan orang lain, manakala pujian pula akan menunjukkan kita menghargai
orang lain.
Amalan Kesantunan Berbahasa sebagai Cerminan Santun Budaya... | 555

Maksim Kesederhanaan

Seterusnya adalah maksim kerendahan hati atau kesederhanaan. Maksim ini menekankan
aspek meminimumkan pujian terhadap diri sendiri dan memaksimumkan cacian terhadap
diri sendiri. Hal ini bermaksud kata-kata yang diujarkan tidak menyokong pujian orang
lain sebaliknya menafikan pujian yang diterima daripada orang lain.

Maksim Permuafakatan

Maksim persetujuan dan permuafakatan mementingkan aspek meminimumkan


perbalahan antara diri sendiri dengan orang lain dan memaksimumkan persetujuan antara
diri sendiri dengan orang lain. Seseorang penutur haruslah menyokong dan memberi
persetujuan terhadap percakapan orang lain sama ada secara sepenuhnya atau separa dan
tidak menafikan bulat-bulat percakapan orang lain sebagai tanda kita bersetuju dengan
apa yang diperkatakan.

Maksim Simpati

Maksim simpati pula menekankan aspek minimumkan antipati antara diri sendiri dengan
orang lain dan maksimumkan simpati antara diri sendiri dengan orang lain. Leech (1993)
menjelaskan ucapan tahniah dan ucapan takziah adalah lakuan yang beradab. Walaupun
ucapan takziah menunjukkan seseorang berada dalam kedukaan, namun ucapan ini tetap
dianggap sopan.
Berdasarkan kepada keenam-enam prinsip sopan santun ini, jelas dapat dilihat
bahawa kesopanan dan kesantunan bahasa akan terhasil sekiranya kesemua maksim ini
dilaksanakan. Walaupun maksim yang dikemukakan oleh Leech (1993) ini menggunakan
contoh bahasa Inggeris dan mengambil pendekatan dari barat, namun maksim ini juga
dapat digunakan untuk menunjukkan kesantunan dalam bahasa Melayu.

DAPATAN KAJIAN

Analisis Kesantunan Berbahasa dari Aspek Pragmatik

Dari perspektif kerangka ilmu bidang pragmatik, kesantunan bahasa dilihat berdasarkan
enam maksim, iaitu (1) maksim kebijaksanaan, (2) maksim kedermawanan, (3) maksim
penghargaan, (4) maksim kesederhanaan, (5) maksim permuafakatan, dan (6) maksim
simpati.

Maksim Kebijaksanaan

Berpandukan pada Prinsip Kesopanan yang pertama, iaitu maksim kebijaksanaan, penutur
mestilah cuba untuk meminimumkan kos bagi orang lain, dan memaksimumkan manfaat
bagi orang lain. Dengan kata lain, untuk menjadi penutur yang santun, seseorang haruslah
memastikan orang lain mendapat manfaat daripada pertuturannya. Penutur juga mestilah
mengelakkan kerugian pada pihak pendengar.
Dalam data-data yang dikutip, dapat diperhatikan bahawa dalam kebanyakan
situasi, penutur mematuhi maksim kebijaksanaan tersebut. Sebagai contohnya:
556 | Bahasa Melayu dalam Konteks Budaya

1. Kenapa muka bermuram durja? (T3A116)


2. Letak je kat bilik Kak Mah, kunci kot. Letak je kat bilik Cikgu Puteri.
(T3A213)
3. Boleh ke Yati tak datang? (T6A294)
4. Teruskan membaca. Kawan-kawan lain dengar dengan teliti. Ok, teruskan
Jony. (T113)
5. Bincanglah, kenapa buat kerja sendiri? (T7A10)

Dalam contoh-contoh yang diberikan di atas, penutur akur dengan maksim


kebijaksanaan, iaitu mengujarkan ungkapan yang beradab. Dengan cara tersebut, penutur
melakukan tindak ilokusi impositif dan komisif, seperti menyuruh, memerintah,dan
memberi arahan tanpa perlu menyinggung perasaan pendengar.
Dalam ayat (1), penutur menggunakan bahasa berlapik untuk bertanyakan soalan
kepada pendengar. Bermuram durja merupakan Bahasa Melayu Klasik yang jarang
sekali digunakan dalam pertuturan masyarakat yang menggunakan Bahasa Melayu
Moden. Penutur boleh menggunakan istilah lain seperti masam mencuka untuk menegur
pendengar tersebut. Walau bagaimanapun, atas dasar kebijaksanaan penutur memelihara
kesantunannya, dia menggunakan bahasa berlapik supaya tidak dianggap biadab.
Dalam contoh ayat (2) dan (5), penggunaan je dan kot menjadikan arahan tersebut lebih
halus. Begitu juga dengan penggunaan partikel -lah. Hal ini merupakan budaya dalam
masyarakat Melayu, iaitu memberikan arahan kepada seseorang atau sesuatu pihak
dengan cara yang lebih sopan dan lembut.
Sungguhpun begitu, terdapat juga beberapa ungkapan yang dikesan tidak mematuhi
maksim kebijaksanaan ini. Antara contohnya:

6. Cepatla, awak ni lambat betul! (T2A33)


7. ...cepat, bangun la lelaki pemalas, tengah hari baru masa pertama dah malas,
serius sikit. (T2A37)

Dalam contoh ayat (6) dan (7), perkataan seperti lambat dan pemalas merupakan
label yang berkos tinggi kepada pendengar. Perkataan tersebut juga boleh menimbulkan
konflik antara penutur dengan pendengar. Oleh yang demikian, ungkapan sebegitu
seharusnya dielakkan kerana bertentangan dengan maksim kebijaksanaan, dan
menjadikan penutur itu seorang yang tidak santun dalam komunikasinya.

Maksim Kedermawanan

Berlawanan dengan maksim yang dibincangkan di atas, maksim kedermawanan pula


berpusat pada diri penutur. Untuk memelihara kesantunan berbahasa, orang yang bertutur
perlu meminimumkan manfaat dan memaksimumkan kos bagi dirinya. Contohnya:
8. Petang ni datang rumah ya Mie.. (T10A7)
9. Makan, cikgu. (T7A149)
Dah, cikgu dah makan dah tadi. (T7A150)
10. Cikgu dah makan dah? (T9A241)
Dah. (T9A242)
Saya baru nak pelawa cikgu. (T9A243)
11. Hem, Kak Ani. Pinjam cap kat luar ya. (T10A137)

Dalam contoh-contoh ayat di atas, maksim kedermawanan dipatuhi dengan cara


penutur menawarkan sesuatu kepada pendengar. Atas penawaran tersebut, penutur
Amalan Kesantunan Berbahasa sebagai Cerminan Santun Budaya... | 557

menanggung kos tertentu dan mendapat kurang manfaat untuk dirinya. Hal ini
menunjukkan bahawa, dalam komunikasi yang berlaku di sekolah, penutur masih
berpegang kepada konsep kesantunan dan keberadaban.
Ketika berbicara, adalah kurang manis sekiranya penutur meminta-minta kepada
pendengar. Untuk meminta sesuatu pun, seharusnya ujaran yang dinyatakan tidak
membebankan orang yang mendengar. Hal ini dapat dilihat dalam contoh-contoh data
yang berikut:

12. Ok Ros, awak bawa timun ya... (T7A54)


13. ... Man, awak boleh bagi soalan tak?... (T7A55)
14. Milah, ada ni tak... paper apa ya... paper apa... bagi satu-satu... (T7A59)
15. Kak Ina, Kak Ina nanti call sayalah. (T7A72)
16. Minta peluru stapler. (T5A178)

Berpandukan pada Maksim Kedermawanan, sebarang permintaan yang


dikemukakan haruslah mendatangkan kos kepada penutur. Pendengar tidak wajar
dibebani dengan sebarang kos, walaupun pada hakikatnya penutur dikehendaki
menyumbangkan sesuatu dalam tindakannya kelak. Oleh itu, contoh-contoh tersebut
menunjukkan bahawa, dalam sebahagian situasi, maksim ini tidak dipatuhi oleh penutur.

Maksim Penghargaan

Maksim Penghargaan menyarankan penutur supaya meminimumkan cacian terhadap


orang lain dan memaksimumkan pujian terhadap orang lain. Ujaran yang lahir daripada
penutur mestilah ujaran yang baik dan menyenangkan hati pendengar. Dalam hal ini,
penutur perlu menghindarkan gejala seperti mengata, mengumpat, mengeji dan mencaci
orang lain. Memuji pihak yang mendengar merupakan perkara yang lebih baik untuk
dilakukan, serta mampu menyeronokkan orang yang mendengar ungkapan tersebut. Hal
itu juga melambangkan bahawa penutur orang yang beradab dan menghargai orang lain.
Sebagai contohnya:

17. Ok! Cantik-cantik gambar korang berdua. (T6A17)


18. Mesti kau orang baik-baik je. (T6A23)
19. Best... mantap... best dia baik (T9A8)
20. ... ini bermaksud Amir memberi pendedahan tentang dunia luar kepada
masyarakat orang asli di Pulau Kery. Bagus Amir ni. (T9A40)
21. Haa.. ada lontong... sedap.. sape buat? Dia buat? (T7A36)

Data-data di atas mempamerkan bahawa pujian dan penghargaan sememangnya


menjadi amalan dalam perbualan di sekolah. Cantik-cantik, orang baik-baik, best,
mantap, baik, bagus dan sedap merupakan kata-kata pujian dan penghargaan yang
menyenangkan hati pihak yang mendengar. Sesiapapun akan menerima penghargaan
tersebut dengan senang hati. Kesannya, perbualan dapat berjalan dengan lancar dan
mesra.
Sebaliknya, sekiranya penutur mengungkapkan perkataan-perkataan yang mampu
menyinggung perasaan pengguna, perbualan akan berlangsung dalam suasana yang tidak
selesa. Dapat juga diperhatikan beberapa contoh yang menunjukkan maksim ini diingkari
oleh penutur.
22. Budak ni bodoh hai, buat lubang macam ni (T7A15)
23. Kau jangan dengar kata-kata setan ni. (T8A150)
558 | Bahasa Melayu dalam Konteks Budaya

24. Hoi, apa ni? (T8A48)


Takkan tak pernah tengok walkman (bo)doh! (T8A49)
Lagu apa? (T8A50)
Bukan lagu, itu rakam suara kau. (T8A51)
Ha, bongok! (T8A52)
25. Bodoh la dia ni! (T8A236)

Ungkapan seperti bodoh, bongok dan setan adalah ungkapan yang menunjukkan
cacian penutur terhadap pendengar. Dalam perbualan, ungkapan tersebut seharusnya
dihindari untuk memelihara keharmonian hubungan antara penutur dan pendengar.
Cacian dan kejian hanya akan menimbulkan rasa kurang senang dan tidak puas hati dalam
kalangan pendengar. Oleh itu, perlulah gejala ini diberi perhatian dan dielakkan dalam
perbualan untuk menimbulkan suasana komunikasi yang santun dan beradab.

Maksim Kesederhanaan

Dalam Maksim Kesederhanaan, penutur perlulah mengurangkan pujian terhadap dirinya,


dan membanyakkan cacian terhadap dirinya. Dengan kata lain, penutur diminta untuk
memberi perhatian terhadap diri sendiri. Caranya adalah dengan menafikan pujian orang
lain terhadap dirinya. Dalam budaya Melayu, hal ini menjadi amalan dalam perbualan,
iaitu merendah diri dan tidak membangga-banggakan kelebihan diri sendiri. Contohnya:

26. Yang seterusnya, ok sebelum itu kita ulas ya. Cikgu tak bawa selotape, sorry,
maafkan cikgu kita tak boleh nak lekat. Kecuaian cikgu... (T4A29)
27. Itulah, nampak sangat la aku kurang pengetahuan. (T8A157)
28. ...cikgu terbawa salah tu. Maafkan cikgu...kecuaian cikgu, masalah teknikal...
(T4A33)

Contoh-contoh di atas menunjukkan bahawa penutur mengakui kelemahan dan


kekurangan diri sendiri. Hal ini juga mempamerkan bahawa penutur seolah-olah mencaci
diri sendiri, dan ini mematuhi perkara yang disarankan dalam Maksim Kesederhanaan.

Maksim Permuafakatan

Maksim Permuafakatan menyarankan penutur supaya mengurangkan perbalahan dengan


orang lain dan meningkatkan persetujuan dengan orang lain. Pendengar perlulah diberi
sokongan sama ada secara sepenuhnya atau sebahagiannya. Kurang santun untuk
seseorang penutur itu menidakkan sepenuhnya ujaran yang dikemukakan oleh pendengar.
Contohnya:

29. Ooo... benda kat dalam, keluarnya satu, yang ni keluarnya kat sini la. Kalau
yang ni keluar hadni sini, hadni sini boleh tak? Boleh tak hadni keluar hadni?
(T10A9)
Boleh juga, tapi paip sebelah asing la. (T10A10)
30. Tapi sekarang dia tak dijamin la, kita boleh pergi mana-mana. (T7A356)
Pergi tu boleh, tapi sekolah belah-belah Sabah Sarawak. (T7A357)
31. Belum mati lagi mahu kahwin dulu. (T13A326)
Ooo... (T13A327)
Mana boleh tak kahwin kan? (T13A328)
Entah... (T13A329)
Amalan Kesantunan Berbahasa sebagai Cerminan Santun Budaya... | 559

32. Aah... sedap ke lagu ni? (TA119)


Hem, sedap! Lagu lama-lama sedap... kita pun orang lama. (TA120)

Contoh-contoh ayat (29) hingga (32) jelas menunjukkan bahawa maksim


permuafakatan dipatuhi oleh penutur dan pendengar. Kedua-dua pihak mampu
menunjukkan persetujuan dengan ujaran yang didengar daripada pihak yang dilawan
bercakap. Dalam ayat (29) misalnya, pendengar sebenarnya kurang bersetuju dengan
ujaran penutur tersebut. Walau bagaimanapun, untuk memelihara kesantunan dalam
perbualan, penutur menerima pandangan penutur dengan ungkapan boleh juga, dan
menyatakan pandangannya dengan kata hubung pertentangan tetapi. Cara ini lebih sopan
daripada penutur menggunakan ungkapan salah atau tidak boleh secara terus. Begitu
juga dalam contoh ayat (30) yang menunjukkan bahawa penutur tidak bersetuju
sepenuhnya dengan ungkapan pendengar, tetapi dia cuba untuk bersetuju secara
sebahagiannya sahaja. Dengan cara tersebut, penutur dapat mengelakkan konflik dengan
orang yang dilawan bercakap.

Maksim Simpati

Dalam Maksim Simpati, penutur mestilah menunjukkan rasa simpati terhadap pendengar,
dan mengurangkan antipati terhadap diri penutur sendiri. Sewajarnya penutur
memperbanyakkan ungkapan yang memaparkan rasa kasihan terhadap pendengar dalam
sebarang bentuk keadaan. Contohnya dalam perbualan yang berikut:

33. Lia mana? (T3A142)


Lia di Penang. (T3A143)
Kahwin ke dah dia? (T3A144)
Belum lagi. (T3A145)
Hu ala, kesian dia. (T3A146)

Ungkapan kesian dia dalam ayat (33) menunjukkan rasa simpati penutur terhadap
subjek yang diperkatakan. Menunjukkan rasa simpati juga merupakan satu lagi tindakan
yang beradab, khususnya ketika memperkatakan sesuatu perkara yang menyedihkan.
Walau bagaimanapun, contoh yang diperoleh agak terhad, disebabkan oleh kurangnya isu
yang melibatkan perkara-perkara sedih diperbualkan oleh sampel yang dikaji.

RUMUSAN

Daripada keseluruhan perbincangan tentang kesantunan berbahasa dari aspek pragmatik


di sekolah, didapati bahawa kesantunan itu wujud dalam kebanyakan situasi. Keenam-
enam maksim dalam Prinsip Kesopanan dipatuhi, walaupun dalam sesetengah keadaan,
ada maksim yang dilanggari. Hal inilah yang seharusnya dilihat dengan lebih teliti agar
budaya berbahasa di sekolah menjadi lebih santun dan beradab, seterusnya melahirkan
generasi yang santun bahasa serta budayanya.

BIBLIOGRAFI

Abdullah Hassan (1996). “Dinamika Bahasa: Panggilan Sopan dan Tidak Sopan” dalam
Pelita Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. (2): 12-14.
560 | Bahasa Melayu dalam Konteks Budaya

Abdullah Hassan (2005). Tatabahasa Sosial: Peraturan Kesantunan Bahasa Kebangsaan.


Kertas kerja dalam Wacana Ilmu di Auditorium, Universiti Pendidikan Sultan Idris,
Tanjong Malim.
Abdullah Hassan dan Ainon Mohamad (1994). Bahasa Melayu untuk Maktab Perguruan.
Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.
Asmah Haji Omar (1997). Penggunaan Bahasa dalam Surat Rasmi: Bahasa dalam
Komunikasi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Asmah Haji Omar (2002). Setia dan Santun Bahasa. Tanjong Malim: Penerbit Universiti
Pendidikan Sultan Idris.
Asmah Haji Omar (2003). “Language and Culture in the Civilising Process” dalam
Jurnal Peradaban Melayu. Tanjong Malim: Institut Peradaban Melayu, UPSI.
Brown, P., & Levinson, S. C. (1987). Politeness: Some universals in language usage.
Cambridge: Cambridge University Press.
Husna Faredza Mohamed Redzwan (2006). “Peraturan Sosiobudaya: Penyerapan Aspek
Kesantunan Berbahasa dalam Pengajaran Bahasa Melayu” dalam Mengajar dan
Belajar Bahasa Melayu: Penyerapan Kemahiran Bernilai Tambah. Tanjong Malim:
Penerbit UPSI.
Leech, G. (1990). Principles of Pragmatics. England: Longman.
Leech, G. (1993). Prinsip Pragmatik. (terj.) Azhar M. Simin. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka. (Karya asal diterbitkan pada 1983)
Metzger, L. (2007). Nilai-nilai Melayu Satu Sudut Pandangan Orang Luar. Tanjong
Malim: Penerbit UPSI
Mohamad Fadzeli Jaafar (1997). “Kesantunan dalam Masyarakat Melayu” dalam Dewan
Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. (4):292-298.
Robert Sibarani (2004). ”Fenomena Kesantunan Bahasa dalam Bahasa Indonesia/
Melayu” dalam Pemikiran Melayu: Tradisi dan Kesinambungannya. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Teo Kok Seong (2002). ”Pragmatik Bahasa dan Ketrampilan Berkomunikasi” dalam
Dewan Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. (2): 7-15.
Teo Kok Seong (2003). ”Kesantunan Berbahasa: Kes Bahasa Melayu” dalam Dewan
Bahasa.. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. (3): 14-23.
Zaitul Azma Zainon Hamzah (2012). “Kesantunan dan Strategi Berbahasa dalam Konteks
Pendidikan” dalam Marlyna Maros, Mohammad Fadzeli Jaafar, dan Maslida Yusof
(Peny), Prinsip dan Aplikasi Kesantunan Berbahasa. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

View publication stats

Anda mungkin juga menyukai