Anda di halaman 1dari 14

Budaya

Budaya amat penting kepada setiap individu dan masyarakat kerana cara hidup
mereka dilambangkan oleh budaya yang mereka amalkan. Kamus Pelajar Terbitan
Khas KBSM (2007) telah menyatakan budaya sebagai kemajuan jasmani dan rohani
manusia serta juga kemajuan fikirannya menerusi latihan dan pengalaman serta
peradaban. Kroeber dan Kluckhohn (Alisjahbana, 1986: 207-208), telah
mendefinisikan budaya kepada 7 perkara iaitu :

Pertama, kebudayaan adalah keseluruhan hidup manusia yang kompleks,


meliputi hukum, seni, moral, adat-istiadat dan segala percakapan lain, yang
diperoleh oleh manusia sebagai anggota masyarakat. Kedua, penekanan terhadap
kebudayaan yang memandang kebudayaan bersifat warisan tradisi. Ketiga, budaya
dianggap bersifat normatif, iaitu sebagai cara dan aturan hidup manusia seperti cita-
cita, nilai, dan tingkah laku. Keempat, pendekatan kebudayaan dari aspek psikologi
iaitu menganggap budaya itu sebagai langkah penyesuaian diri kepada
persekitarannya. Kelima, kebudayaan dibincangkan sebagai suatu struktur yang
mencakupi pola-pola organisasi dan fungsinya. Keenam, budaya juga membezakan
manusia dengan haiwan iaitu melalui komunikasi bahasa yang difahami oleh
manusia. Ketujuh, budaya diperkatakan sebagai suatu sistem yang tidak lengkap.

Definisi yang dinyatakan oleh Kroeber dan Kluckhohn ini sebenarnya hanya
ingin menyatakan bahawa kebudayaan itu sangat luas ruang lingkupnya dan
semestinya perlu dilihat dari aspek-aspek yang disebutkan di atas.

Masyarakat Melayu sejak dahulu lagi amat menitikberatkan soal kebudayaan,


apatahlagi sejak kedatangan imigran, iaitu kaum Cina dan India. Oleh kerana
mengetahui peri pentingnya budaya terhadap masyarakat bukan sahaja untuk kaum
Melayu, bahkan Cina dan India juga perlu mengekalkan kebudayaannya, maka
persepakatan telah diambil antara ketiga-tiga kaum utama dan dimaterikan di dalam
perlembagaan Malaysia walaupun tidak dinyatakan secara jelas. Misalnya :
a) Kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua Negara adalah contoh
penerapan unsur kebudayaan Melayu sebagai kebudayaan kebangsaan
negara ini kerana institusi Yang di-Pertuan Agong adalah unsure kebudayaan
Melayu. Begitu juga dengan gelaran sultan bagi negeri-negeri di Malaysia.
b) Peruntukan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam perkara 152
(1) yang menyebutkan bahawa bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu
dan hendaklah ditulis dalam apa-apa juga tulisan yang diperuntukkan oleh
undang-undang parlimen.
c) Kedudukan agama islam sebagai agama Persekutuan adalah mencerminkan
corak budaya Melayu tradisional kerana agama itu menjadi asas masyarakat
Melayu tradisi.

Perkara –perkara di atas jelas menunjukkan bahawa betapa pentingnya kebudayaan


terhadap masyarakat itu sendiri sehinggakan pembentukan perlembagaan yang
mengandungi unsur budaya di dalamnya. Kesimpulannya, budaya boleh ditakrifkan
sebagai keseluruhan cara hidup manusia yang merangkumi cara bertindak,
kelakuan dan cara berfikir dan termasuk juga hasi-hasil kehidupan berkelompok
yang bercorak kebendaan dan bukan kebendaan.
Pengaruh barat
Ekonomi :

Setelah menjajah Tanah Melayu, barat mula mengembangkan sistem ekonominya.


Ini telah menyebabkan sistem ekonomi Islam yang telah diamalkan oleh masyarakat
Tanah Melayu sejak Islam bertapak sekian lama mula terhapus secara perlahan-
lahan. Penggunaan sistem matawang kertas yang diperkenalkan oleh orang barat
telah menyebabkan matawang Melayu yang berasaskan emas dan perak mula
dihapuskan. Perkara ini sebenarnya bermula setelah kejatuhan Daulah Khilafah
pada 1924. Semenjak itu, sistem ekonomi dunia telah dikuasai oleh barat dan ini
memberikan ruang kepada mereka untuk memperkenalkan sistem matawang kertas
kepada dunia tidak terkecuali Tanah Melayu. Barat telah mengamalkan sistem
ekonomi secara kapitalis yang sebenarnya sistem ini adalah berasaskan riba.
Dengan riba, para kapitalis menggunakan sistem berhutang sebagai suatu
perniagaan yang sangat menguntungkan pihak mereka sambil memberikan tekanan
kewangan kepada orang lain.

Walhal dalam Islam, berhutang bukanlah bertujuan untuk mengambil


keuntungan, tetapi untuk menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan semata-
mata. Sebenarnya, sistem ekonomi yang diperkenalkan oleh barat ini telah banyak
menghapuskan norma-norma Islamik dalam masyarakat melayu sehingga hari ini.
Namun, sekarang kita sudah mempunyai pilihan untuk berurusan secara Islamik
ataupun bukan. Hal ini kerana, kerajaan telah mula memperkenalkan sistem
urusniaga secara Islamik yang berlandaskan syariat-syariat Islam.

Selain itu, barat juga telah memperkenalkan sistem ekonomi secara sosialis.
Sistem ini menekankan pemilikan harta adalah hak negara. Semua faktor produksi
dan sumber pendapatan menjadi milik negara dan individu tidak ada hak pemilikan
dan kebebasan untuk mengambil manfaat hasil produk mereka. Dasar kesamaan
ekonomi menentukan hak individu dalam suatu bidang ekonomi. Konsumsi terhadap
hasil produksi disediakan oleh negara menurut keperluan individu. Untuk mencapai
tujuan sistem kesamaan ekonomi sosialis, undang-undang buruh menguasai segala
peraturan aktiviti produksi dengan mengamalkan kebebasan ekonomi dan hak
pemilikan harta.
Terbaru, sistem ekonomi barat mula diubah suai agar menampakkan lebih
adil dan memberi kebaikan kepada rakyat jelata. Sistem Ekonomi Campuran adalah
merupakan satu sistem ekonomi hasil daripada campuran diantara sistem kapitalis
dan sistem sosialis. Melalui sistem ini, kerajaan dan pihak persendirian atau swasta
bekerjasama untuk membentuk satu pasaran yang lebih adil. Dasar-dasar kerajaan
digubal secara menyeluruh dan merangkumi semua pihak termasuk pihak swasta
atau persendirian. Kerajaan hanya sebagai pentadbir tetapi kerajaan boleh campur
tangan dalam pasaran serta urusan ekonomi dan kewangan apabila keadaan
memerlukan. Hak milik kerajaan dan persendirian akan digembleng untuk kebaikan
rakyat jelata. Walaupun kerajaan menjadi pemilik kepada badan-badan tertentu,
namun pihak swasta juga dibenarkan terlibat dalam kegiatan-kegiatan perniagaan
yang besar serta menjadi pemilik kepada industri-industri gergasi yang penting di
negara, bahkan pelbagai insentif akan diberikan untuk menggerakkan kegiatan
sektor swasta oleh kerajaan sendiri. Sistem ini juga telah diperkenalkan oleh barat
dalam sistem ekonomi kita di Malaysia pada masa ini.

Istilah ‘pecah dan perintah’ sangat lazim dengan masyarakat di Malaysia dan
majoriti daripada kita tahu tentang istilah tersebut. Kemasukan migran iaitu Cina dan
India menyebabkan pendudukan di Tanah Melayu telah diperintah berdasarkan
istilah ‘pecah dan perintah’. Kaum-kaum terbesar di Malaysia dipecah-pecahkan ke
kawasan perlombongan (kaum Cina), kawasan estet (kaum India) dan kawasan
pantai dan kampung-kampung (kaum Melayu). Perkara ini telah menyebabkan
jurang ekonomi bagi tiga kaum terbesar ini telah menjadi sangat luas dan sangat
ketara perbezaannya. Inilah antara cara barat mentadbir ekonomi di Tanah Melayu
suatu ketika dahulu.
Politik :

Demokrasi telah dibawa oleh barat suatu ketika dahulu dan sekaligus telah
membawa kesan yang besar dalam sistem pentadbiran di Tanah Melayu yang
sebelum ini mengamalkan sistem feudal iaitu Pemerintahan Beraja yang
menganggap raja sebagai pemimpin yang mutlak. Sistem demokrasi ini sangat
berbeza dengan sistem Pemerintahan Beraja yang diamalkan oleh masyarakat
Melayu masa dahulu. Dalam sistem demokrasi ini, kedaulatan dan keputusan
negara mesti dibuat oleh rakyat dengan menggunakan suara majoriti yang memilih
untuk melakukan sesuatu keputusan. Pemilihan pemimpin cara demokrasi juga
dilakukan berdasarkan pandangan, sokongan dan aspirasi rakyat terhadap calon
yang difikirkan layak. Pemilihan pemimpin dilakukan dalam pilihan raya yang
diadakan.

Demokrasi ini sebenarnya telah mengehadkan kuasa sultan atau raja yang
mana sebelum ini, mereka adalah pemerintah mutlak dalam pentadbiran negeri
masing-masing. Demokrasi mempunyai pelbagai jenis antaranya yang kita sedia
maklum adalah Demokrasi Berparlimen, Demokrasi Terpimpin, Demokrasi Proletar,
Demokrasi Liberal dan macam-macam lagi. Di Malaysia, negara kita telah
mengamalkan Demokrasi Berparlimen.

Malaysia telah mengamalkan konsep demokrasi berparlimen bermula dari


awal kemerdekaan lagi sehinggalah sekarang. Seperti yang kita sedia maklum,
Demokrasi Berparlimen diamalkan di bawah pentadbiran Raja Perlembagaan.
Malaysia diketuai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang dipilih
berdasarkan sistem giliran daripada sembilan sultan negeri Melayu untuk berkhidmat
selama lima tahun sebagai Ketua Negara dan Pemerintah Tertinggi Angkatan
Tentera Malaysia. Selain itu Yang Dipertuan Agong turut memegang kuasa ke atas
sistem perundangan, ketenteraan, agama islam, pentadbiran, kehakiman dan
sebagainya. Peruntukan ini terkandung di dalam perlembagaan negara Malaysia
sejak mula-mula diperkenalkan setelah Malaysia mendapat kemerdekaan dari
kerajaan British.
Sosial :

Pengaruh sosial daripada barat seperti yang kita maklum antaranya adalah
cara berfikir masyarakat Melayu yang sudah mula lebih terbuka. Pemikiran yang
terbuka ini dapat kita lihat dalam kepercayaan masyarakat kita terhadap perkara-
perkara yang digelar pantang larang, petua dan lain-lain. Kebiasaannya, pantang
larang dianggap sebagai sesuatu hukum dalam masyarakat Melayu yang wajib
dipatuhi dan akan mengakibatkan kesan yang tidak diingini oleh seseorang
sekiranya melanggar pantang larang itu. Cara berfikir seperti ini sudah mula berubah
sejak kedatangan barat dan menganggap perkara-perkara ini lebih kepada karut.

Selain itu, dalam aspek sosial kekeluargaan perkembangan yang berlaku di


barat berhubung dengan idea yang keluarga bukan lagi menjadi unit yang
fungsional, lantas tidak perlu dipertahankan, adalah membimbangkan. Barat cuba
mencari alternatif lain menggantikan institusi kekeluargaan dan antara alternatif yang
dicadangkan ialah bersekedudukan tanpa nikah, pasangan sejenis, keibubapaan
tunggal, kehidupan berkelompok, dan didikan anak secara professional (Eliot, 1986).
Persidangan Kependudukan di Kaherah pada akhir tahun 1994 juga telah
merumuskan beberapa perkara yang bersifat anti-keluarga seperti mengesahkan
(legalise) pengguguran, menerima hakikat bersekedudukan (cohabitation), dan
memberi hak sepenuh kepada anak yang lahir di luar nikah.

Perkara yang berlaku di barat ini telah melanda masyarakat timur seperti
pengguguran dan lain-lain. Namun, kesannya terhadap masyarakat di Malaysia
khasnya masih kurang ketara kerana sebilangan besar masyarakat kita khasnya
Melayu masih mempunyai sistem kekeluargaan yang utuh dan perkara ini hanya
terjadi kepada sebilangan kecil keluarga yang telah menerima kesan pengaruh
sosial dari barat. Namun, ada juga perkara yang membimbangkan kerana kesan
pengaruh barat terhadap masyarakat kita, antaranya kemerosotan nilai-nilai
kekeluargaan dalam kalangan generasi muda. Selain itu, penyalahgunaan bahan
terkawal seperti dadah, kenakalan juvana, kehamilan luar nikah, pembuangan bayi
dan lain-lain lagi.
Kesenian :

Pengaruh kesenian barat juga boleh dilihat dari dua aspek iaitu aspek seni
bina dan persembahan muzik. Pengaruh barat sebenarnya secara jelas kita boleh
buktikan melalui aliran-aliran muzik yang mereka bawa ke alam kita. Melalui alitan-
aliran ini, maka terhasillah kumpulan-kumpulan artis yang beraliran rock, balada,
pop, jazz, dan lain-lain. Terlalu banyak aliran muzik yang dibawa masuk oleh barat
ke dunia kita. Kesan pengaruh muzik-muzik ini bukan sahaja ditonjolkan oleh negara
kita, malah seluruh dunia juga telah menerima kesan dan tempiasnya. Sedikit
sebanyak, aliran-aliran muzik ini sebenarnya mempelbagaikan lagi seni
persembahan yang ada di negara kita. Namun, disebabkan ini jugalah, seni
tradisional kita mula dipinggirkan.

Selain itu, sesetengah reka bentuk binaan bangunan-bangunan yang terdapat


di tempat kita ini juga adalah sebagai bukti pengaruh barat terhadap kita. Binaan
bersenikan kebaratan boleh dilihat pada bangunan-bangunan baharu yang dibina
dengan berkonsepkan kemodenan. Binaan bangunan ini mengaplikasikan ciri-ciri
barat yang dianggap moden oleh dunia. Menara Berkembar Petronas contohnya,
dibina dengan berkonsepkan silinder yang diideakan oleh barat.

Seni yang dibawa oleh orang-orang barat telah banyak mempengaruhi dunia
pada masa kini. Dalam bidang seni muzik contohnya, selain mempelbagaikan genre
muzik, terdapat beberapa identiti-identiti imej yang muncul berdasarkan aliran muzik
yang mereka ceburi kerana setiap genre muzik tersebut, mempunyai identiti dan
imej yang berbeza kepada si pemuziknya. Contohnya, imej penyanyi rock dan jazz
adalah berbeza sama sekali. Imej pemuzik aliran pop juga berbeza dengan aliran
rap. Melalui kepelbagaian imej yang dibawa oleh mereka, ini telah mendatangkan
kesan buruk kepada imej tradisi kita kerana perkara-perkara yang dibawa barat ini
sebenar sangat mudah mempengaruhi masyarakat dunia termasuk kita sendiri.
Pengaruh Islam dalam masyarakat
Melayu
KESAN PENGARUH ISLAM DALAM TAMADUN MELAYU

Kedatangan Islam telah memberi kesan yang besar terhadap masyarakat Melayu.
Kesan ini juga jelas dilihat di dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu yang
banyak didasari dengan adat dan ajaran agama Islam. Pengaruh Islam dan
kesannya boleh diperhatikan dalam pelbagai aspek antaranya :

Politik dan Pemerintahan

Pentadbiran dalam politik setelah kedatangan Islam lebih condong seperti


yang diamalkan oleh masyarakat Arab semasa pemerintahan berkhalifah dijalankan
di sana. Politik Melayu pada ketika itu mengamalkan seperti yang diamalkan oleh
kerajaan khilafah semasa zaman pemerintahan era Abbasiyah.

Kedatangan Islam telah memberi perubahan terhadap sistem politik.


Contohnya, agama Islam telah diisytiharkan sebagai agama rasmi di Melaka.
Sehubungan itu, beberapa institusi Islam didirikan bagi membantu mengukuhkan
sistem pentadbiran berasaskan Islam. Antara institusi yang didirikan adalah Jabatan
Agama Islam dan Syariah. Selain itu kitab Undang-undang Laut dan Hukum Kanun
Melaka dihasilkan untuk panduan masyarakat juga disebabkan pengaruh
kedatangan Islam. Kemudian, beberapa jawatan seperti kadi, imam dan sebagainya
diwujudkan bagi melaksanakan peraturan-peraturan yang ditetapkan.

Setelah Islam datang dan tersebar di seluruh Nusantara, sistem politik dan
pentadbiran masyarakat Melayu telah berubah dan dipadankan dengan ajaran
Islam. Gelaran raja atau dewaraja bertukar kepada sultan dan disamakan dengan
khalifah seperti yang diperkenalkan dalam sistem pentadbiran Islam. Kepatuhan dan
ketaatan pada sultan adalah kepatuhan yang bersyarat, bukan kepatuhan mutlak
seperti konsep dewaraja.
Dari segi pentadbiran, kerajaan Melayu Melaka ditadbir oleh seorang sultan
yang mempunyai kuasa penuh dalam urusan pentadbiran negara. Sultan juga
berperanan sebagai ketua dalam agama Islam dan ketua negara. Sultan juga
bertanggungjawab mempastikan pentadbiran dapat dijalankan dengan baik dan
berkesan. Buktinya, di zaman pemerintahan Melayu Melaka, kerajaan amat maju
dan stabil.

Menurut sejarah, Kerajaan Melaka telah menyediakan tapak yang subur bagi
perkembangan Islam di Tanah Melayu. Bukti-bukti sejarah menjelaskan bahawa
Islam bertapak di Tanah Melayu seawal kurun ke-9M dan selewat-Iewatnya pada
kurun ke-15M. Islam telah bertapak di Kelantan, Terengganu dan Kedah sebelum
terbentuknya Kerajaan Melaka. Keagungan Melaka mula terserlah apabila ia
mengamalkan dasar luar yang pragmatik iaitu dasar berbaik-baik dengan kuasa
besar asing pada ketika itu seperti Siam, Majapahit dan China. Dasar ini mampu
menstabilkan politik Melaka serta memberi peluang kepada perkembangan ekonomi
dan pentadbirannya (Afifah Abu Yazid, 2003).

Adat dan Cara Hidup Sosial

Dalam konteks sosial, Islam mengajar tidak menerapkan atau mengaplikasikan


sistem kasta dalam masyarakat seperti yang terdapat dalam pengaruh Hindu-
Buddha. Sebaliknya pembentukan masyarakat mestilah diasaskan kepada agama
Islam. Raja, rakyat sama ada tua atau muda, kaya atau miskin semuanya
mempunyai peranan dalam masyarakat (Mifah Abu Yazid, 2003).

Tradisi animisme dan Hinduisme telah diganti dengan adat dan cara hidup Islam
yang dilakukan sejak individu itu lahir di dunia hinggalah hari kematiannya. Islam
telah mengubah corak hidup masyarakat Melayu di dalam segala aspek kehidupan
manusia. Adat resam masyarakat Melayu diperkemaskan lagi dengan ajaran Islam.
Walau bagaimanapun, adat Melayu yang tidak bertentangan dengan Islam masih
boleh terus diamalkan sehingga ke hari ini.
Adat adalah suatu perbuatan atau perlakuan menurut kebiasaan masyarakat atau
bangsa yang berkenaan. Masyarakat Melayu menganggap adat sebagai undang-
undang hidup. Mereka mematuhi adat serta menghormatinya dengan keyakinan
bahawa melanggar adat dianggap sebagai suatu sikap atau perbuatan buruk dan
akibatnya akan merosakkan diri dan sekaligus mencemarkan kesejahteraan hidup
masyarakat (Asmad, 1990: 4).

Kesenian :

Pengaruh islam dalam aspek kesenian sangat jelas yang kita boleh lihat sejak Islam
mula bertapak dari dahulu sehingga sekarang. Kesan-kesan ini jelas ditonjolkan
pada ciptaan bangunan-bangunan seperti reka bentuk masjid yang mempunyai
bentuk kubah dan kebiasaannya mempunyai lambing bulan dan bintang di atas
kubah tersebut. Selain itu, corak yang sering dipaparkan pada dinding masjid juga
lebih tertumpu kepada corak-corak dari Arab yang simbolik dengan Islam. Selain itu,
kesan pengaruh paling jelas yang kita boleh lihat adalah pada sistem tulisan
masyarakat Melayu itu sendiri. Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Melayu
menggunakan sistem tulisan nagiri, kawi dan lain-lain. Namun, setelah tersebarnya
Islam di Tanah Melayu, pengaruh Islam dan tulisan Arab telah menyebabkan tulisan
Melayu lama sudah tidak digunakan lagi. Penyerapan tulisan Arab telah
diasimilasikan ke dalam Melayu dan disesuaikan dengan cara penyebutan orang-
orang Melayu lalu menghasilkan tulisan yang dipanggil tulisan jawi.

Kemudian, tulisan jawi juga mempunyai kesenian tersendiri iaitu khat.


Terdapat pelbagai jenis khat yang telah didatangkan bersama tulisan arab antaranya
khat nasakh, khat tsuluth, khat kufi dan lain-lain lagi. Kesannya, kesenian khat ini
seringkali boleh dilihat pada ukiran-ukiran di masjid-masjid ataupun dirumah-rumah
kita sendiri. Seni khat kebiasaannya bermotifkan tumbuh-tumbuhan dan bentuk-
bentuk geometrik. Selain itu, terdapat juga pengaruh Islam dari segi seni
persembahan. Pengaruh ini telah menciptakan identiti bangsa sesuatu masyarakat
itu sendiri. Contohnya, tarian zapin yang terkenal di negeri Johor. Seni persembahan
lain antaranya ghazal, qasidah, hadrah, gambus dan lain-lain lagi.
Ekonomi :

Kedatangan islam telah menghapuskan sistem riba yang sering diamalkan oleh
kebanyakan masyarakat di dunia. Hal ini kerana, dalam islam itu sendiri telah
mengharamkan amalan riba kerana dengan tegas menyatakan riba itu sebenarnya
menyusahkan dan menindas golongan-golongan yang susah sedangkan Islam
bukan agama yang menindas mana-mana golongan.

Kedatangan Islam telah membawa perubahan dalam sistem ekonomi kita


dalam urusan perniagaan dan jual beli. Islam adalah agama yang meletakkan
keyakinan penganutnya sebagai teras kepada keimanan kepada Allah S.W.T. Oleh
itu, dalam urusan jual beli, masyarakat islam bukan sahaja dikawal oleh undang-
undang yang dicipta sendiri (Risalah Hukum Kanun dan Undang-undang Luat
Melaka), malah segala urusan dikawal dengan keikhlasan hati umat Islam itu.

Dalam konteks yang lebih luas, kita boleh lihat Melaka yang telah
mengamalkan dasar luar pragmatik iaitu berbaik-baik dengan kuasa besar semasa
melalui zaman kegemilangannya telah menyebabkan sistem ekonomi Islam yang
bersih dari riba dan penindasan itu telah berkembang dengan pesat lalu menarik
ramai pedagang-pedagang luar untuk berdagang di negara kita. Dasar ini mampu
menstabilkan politik Melaka serta memberi peluang kepada perkembangan ekonomi
dan pentadbirannya (Afifah Abu Yazid, 2003: 3).

Selain itu, zakat juga salah satu antara sistem perekonomian Islam yang
wajib dilakukan atau dikeluarkan oleh golongan yang mampu dengan syarat-syarat
tertentu yang telah ditetapkan. Zakat ini dipungut oleh amil zakat pada masa-masa
tertentu bertujuan agar dapat diagihkan kepada saudara-saudara seagama yang
miskin, fakir, yatim, dan lain-lain. Untuk mengagihkan zakat-zakat ini, maka baitulmal
mula ditubuhkan bagi memudahkan urusan pengagihan. Sistem muamalat (jual beli)
secara Islam juga telah diperkenalkan dan diamalkan. Sistem jual beli ini
sebenarnya telah lama berlaku dalam masyarakat Melayu namun, dengan
kedatangan Islam, sistem jual beli masyarakat kita telah dimurnikan lagi dan segala
unsur-unsur syubhah atau meragukan telah dihapuskan agar kita mendapat hasil
dari urusan berjual beli yang bersih dan halal lagi baik.
Bibliografi :

http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/110-
ekonomi/5698-sistem-sistem-ekonomi.html

http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/maklumat-kenegaraan/1201-demokrasi-
berparlimen.html

http://redzuan-ridz.blogspot.com/2011/04/jenis-jenis-demokrasi.html

http://malaycivilization.ukm.my/idc/groups/portal_tenas/documents/ukmpd/tenas_428
79.pdf

http://076115tamadun.blogspot.com/2008/04/pengaruh-islam-dalam-politik.html

Suwardi Endraswara, Metode, Teori, Teknik Penelitian Kebudayaan : Ideologi,


Epistemologi, dan Aplikasi, Jogjakarta: Pustaka Widyatama, 2006

Azmah Abdul Manaf, Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia, Selangor Darul Ehsan :
Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd : 2005

Ismail Hamid, Masyarakat dan Budaya Melayu, Selangor Darul Ehsan : Dewan
Bahasa dan Pustaka : 1998

Vijai Balasubramaniam, Politik Nasionalisme dan Federalisme di Malaysia, Shah


Alam, Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd: 1998

Kamus Pelajar, Terbitan Khas KBSM, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka :
2007

Anda mungkin juga menyukai