Anda di halaman 1dari 2

Kepentingan amalan gaya hidup sihat

Gaya hidup sihat boleh ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak
positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Dalam meniti arus kemodenan
yang berteraskan sains dan teknologi maklumat, faktor kesihatan masyarakat pada hari ini
berada pada tahap yang membimbangkan pihak berkuasa terutamanya Kementerian
Kesihatan Malaysia. Masalah wabak penyakit semakin menular dalam kalangan masyarakat
tanpa mengira usia. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan
Malaysia pada tahun 2015, angka pesakit yang menghadapi masalah kesihatan telah
meningkat sebanyak 200,000 orang jika dibandingkan dengan bilangan pesakit pada tahun
dahulu. Senario yang menggemparkan ini haruslah ditangani dari akar umbi sebelum nasi
menjadi bubur. Persoalannya, apakah kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat? Saya
akan rangkaikan satu demi satu.

Pertama sekali, salah satu kebaikan amalan gaya hidup sihat termasuklah tumbesaran yang
seimbang. Dalam kehidupan sebenar, orang ramai lebih suka mengambil makanan yang
bersifat mudah seperti mengamalkan pengambilan makanan ringan ataupun makanan
segera. Tidak kurang juga masyarakat kita hari ini yang lupa kesan pengambilan makanan
berlemak ataupun makanan yang mempunyai kandungan garam, gula atau sodium glutamit
yang tinggi. Hal ini boleh mendatangkan pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung,
darah tinggi ataupun kencing manis yang merupakan antara punca kematian tinggi di
negara kita. Maka, tumbesaran yang seimbang ditentukan oleh pemakanan yang seimbang.
Pemakanan yang seimbang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan dalam kadar yang
bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air serta serat. Ibu bapa
haruslah menanam tabiat pemakanan seimbang dalam anak-anak sejak usia muda supaya
menjaga diet mereka apabila dewasa kelak kerana bak kata pepatah, melentur buluh biarlah
daripada rebungnya. Pengambilan minuman berkarbonat dan arak haruslah dikurangkan
kerana minuman sebegini tidak memberikan apa-apa kebaikan dan mengandungi
kandungan gula yang berlebihan. Anak-anak perlulah diajar untuk minum air kosong atau
jus buah-buahan yang asli serta mengutamakan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam diet
mereka. Lagipun, ibu bapa juga digalakkan untuk makan di rumah kerana makanan di luar,
khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang jalan biasanya digoreng dengan penuh
minyak. Maka, tumbesaran seorang individu akan lebih menyeluruh dan seimbang. Jelaslah
bahawa pemakanan yang seimbang dapat memastikan tubuh badan menerima semua
khasiat yang diperlukan untuk menangkis kehidupan zaman moden. 

Selain itu, pengamalan gaya hidup sihat melahirkan sikap atau mentaliti positif untuk
menangani cabaran dan pancaroba di dunia luar. Terdapat beberapa contoh gaya hidup
sihat yang dapat mengurangkan tekanan dan stres kehidupan, iaitu mendapat rehat yang
mencukupi dan bersenam. Rehat yang mencukupi memainkan peranan penting dalam
pengamalan gaya hidup sihat. Kita perlulah berehat antara 6 hingga 8 jam sehari kerana
rehat inilah yang mengecas semula organ-organ dalam badan kita untuk meneruskan
kehidupan pada keesokan harinya. Meskipun generasi muda kini lebih suka tidur selepas
tengah malam, ibu bapa tetap haruslah menetapkan satu masa tidur yang spesifik untuk
dipatuhi oleh anak-anak. Hal ini dapat memastikan anak-anak mendapat pemulihan tenaga
sepenuhnya. Sehubungan dengan kita, marilah kita meneruskan perbincangan tentang
aktiviti sukan sebagai amalan gaya hidup sihat. Secara umum, kita seharusnya melakukan
aktiviti senaman sekurang-kurangnya 20 minit sehari dan 3 kali seminggu. Aktiviti bersukan
dapat mengekalkan gaya hidup sihat kerana peluh yang keluar sewaktu melakukan
senaman menyebabkan semua toksin badan keluar bersama-sama. Stres yang dialami juga
dapat dihilangkan jua. Kesannya, individu tersebut mampu membina tahap imunisasi yang
tinggi terhadap serangan penyakit. Selain menyihatkan badan, aktiviti sukan juga dapat
mencergaskan minda kita. Hal ini disebabkan ketika bersukan, oksigen akan diserapkan ke
dalam badan dengan lebih cepat dan akan mengaktifkan sel-sel badan untuk menjalankan
proses respirasi, di samping mempercepat alira oksigen ke otak. Maka, kita tidak mudah
mengantuk ketika berada di sekolah mahupun di tempat bekerja. Sudah pastinya produktiviti
kerja serta proses pembelajaran akan lebih efisien kerana bak kata pepatah, minda cerdas
lahir daripada badan yang sihat. Jelaslah bahawa rehat yang secukupnya dan aktiviti sukan
dapat melahirkan minda serta badan yang ishat. 

Kepentingan amalan gaya hidup sihat seterusnya ialah pencegahan serangan penyakit.
Pemeriksaan kesihatan secara berkala merupakan antara kaedah untuk menjamin satu
kehidupan yang sihat. Melalui pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan
sekali, pihak doktor mampu mengesan sebarang simpton awal penyakit yang boleh
mengancam nyawa manusia pula. Hal ini memudahkan pesakit menjalani rawatan dengan
teknologi moden kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Selain
itu, orang ramai perlu mengutamakan kebersihan diri bagi memastikan mereka terhindar
daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi dan berpakaian
bersih perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau
penyakit, asas-asas kebersihan lain perlu diamalkan seperti mencuci tangan dengan bersih
sebelum makan, menutup makanan agar tidak dihinggapi lalat dan juga memilih tempat
makan yang bersih untuk menjamu selera. Selain mengutamakan kebersihan diri,
masyarakat juga perlu menjaga kebersihan persekitaran mereka. Umpamanya, orang ramai
digalakkan mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan taman perumahan.
Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti
nyamuk, lipas, lalat dan ssebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di
luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap
dibersihkan dan ditukar. Dengan cara demikian, orang ramai akan dapat menjauhkan diri
daripada pelbagai penyakit serta membentuk kehidupan yang shirt. 

Anda mungkin juga menyukai