Anda di halaman 1dari 5

Kemiskinan Dan Budaya: Konstruksi Masalah Dalam Hidup Manusia

Takrif kemiskinan

Kemiskinan pada umumnya meliputi elemen-elemen yang berikut : golongan yang


tidak mempunyai keupayaan pendapatan, golongan yang tiada akses kepada
sumber kuasa sosial dan golongan yang tidak menikmati keperluan asas
(perlindungan, pemakanan, pendidikan asas, kesihatan, pekerjaan dan sebagainya)
yang mengikut piawaian ukuran sara hidup sesuatu masyarakat bandar dan luar
bandar.

Terdapat banyak negara-negara di dalam dunia yang mengalami masalah kemiskinan.


Secara umumnya, kebanyakan dari negara-negara ini jika diteliti dari perspektif
ekonomi politik, adalah negara-negara yang mengalami kemiskinan kesan dari
penjajahan dan perkara yang paling utama ialah kesan dari budaya yang
dikonstruksikan di dalam masyarakat. Kesan dari budaya yang dikonstruksikan di dalam
masyarakat, kemiskinan yang dilalui dan dihadapi bukan sahaja bersifat semasa, malah
merupakan masalah yang diwarisi dari satu generasi kesatu generasi yang lain.
Sememangnya terdapat sesetengah budaya didalam masyarakat yang sengaja
dikonstruksikan untuk memberi manfaat kepada satu kelas sahaja.

Kemiskinan merupakan suatu fenomena yang dihadapi oleh setiap negara, samada
di negara-negara utara mahupun negara-negara selatan. Hairi (1984) menerangkan
definisi kemiskinan sebagai ketidakmampuan memenuhi keperluan hidup yang asas
seperti pakaian, makanan dan tempat berlindung. Kemiskinan merupakan antara
faktor yang menyumbang kepada berlakunya gejala sosial dan pertelingkahan politik
di dalam sesebuah negara akibat dari ketidakpuashatian berkenaan proses
pengagihan kekayaan negara kepada rakyat. Kemiskinan juga telah menjadi punca
kepada tercetusnya konflik di dalam negara-negara dunia sedang membangun
(NSM) seperti yang tercetus di Sri Langka bilamana dominasi etnik Sinhala di dalam
politik negara telah menyebabkan kawasan selatan negara tersebut yang didiami
oleh etnik Tamil telah mengalami keciciran di dalam proses pembangunan dan ia
telah membuahkan kemunculan pergerakan pemisah Liberation Tigers Of Tamil
Ellam (LTTE). Fenomena kemiskinan begitu berkait rapat dengan proses politik di
dalam sesebuah negara. Perkara ini kerana, melalui sistem politik yang adil, telus
dan tersusun sahaja pengagihan kekayaan ekonomi di dalam negara dapat
dilaksanakan melalui polisi-polisi yang sempurna. Namun, melalui politik juga
kemiskinan akan terus kekal tumbuh, berikutan dari pembolotan kekayaan oleh
segelintir kelompok elit yang mendominasi pemerintahan negara.

Mengapa wujudnya masalah-masalah sosial ?

Tidak dapat siapapun menafikan bahawa dunia pada hari ini penuh dengan
berbagai-bagai ragam dan masalah, sama ada kecil ataupun besar, remeh ataupun
sukar, melibatkan golongan atasan ataupun bawahan dan sesiapa sahaja
sepertimana yang berlaku pada peristiwa tsunami yang melanda sekitar Asia pada
26 Disember 2004 yang lalu. Pokoknya, sebahagian besar daripada masyarakat
bersetuju bahawa dunia hari ini mengalami masalah sosial. Timbulnya masalah-
masalah sosial ini yang berpunca daripada pendapatan rendah memang boleh
dijangkakan. Bezanya cuma dari segi keseriusan masalah tersebut dan sejauh
mana kita mampu mengambil langkah-langkah pencegahan dan rawatan.

Mohd Shatar Sabran (2003) memberikan definisi masalah sosial sebagai satu
masalah apabila sebahagian besar daripada ahli masyarakat ataupun sekumpulan
masyarakat yang mempunyai pengaruh merasakan bahawa sesuatu perkara yang
berlaku itu tidak baik dan bercanggah dengan nilai dan norma kehidupan
masyarakat.

Jika kita perhatikan senario masalah sosial di Malaysia, tidak ada satupun faktor
terkuat yang dikenal pasti mempengaruhi gejala sosial ini. Terdapat faktor seperti
kemiskinan dan ketidakseimbangan pendapatan. Disebabkan desakan dan hidup,
ada segolongan individu tidak dapat bertahan yang menyebabkan timbulnya
masalah ragut, dadah, mencuri, gangsterisme, buli dan bermacam-macam lagi.

Masalah-masalah sosial yang timbul

a) Kemerosotan pencapaian akademik

Banyak perkara yang boleh mempengaruhi tahap pencapaian akademik seseorang


pelajar. Antaranya ialah tahap pendidikan ibu bapa, pekerjaan, pendapatan keluarga
dan saiz sesebuah keluarga. Menurut Noraini (dalam Zarinah Arshat dan Rozumah
Baharudin,1999), anak-anak dari keluarga yang mempunyai status sosioekonomi
yang tinggi adalah lebih maju dalam persekolahan dan memperolehi lebih tinggi
gred pencapaian berbanding anak-anak dari keluarga yang mempunyai status
ekonomi yang rendah. Ini adalah kerana dalam keadaan status sosioekonomi yang
tinggi, ibu bapa mampu dan boleh menyediakan kemudahan dan persekitaran yang
selesa untuk perkembangan pelajaran yang cemerlang.

Menurut Maslow, manusia didorong oleh keperluan-keperluan tertentu iaitu


keperluan yang rendah atau bawah perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum dapat
meningkat ke tahap yang lebih tinggi. Ibu bapa yang berpendapatan rendah lebih
banyak menumpukan usaha mereka untuk memenuhi keperluan asas seperti
mendapatkan makanan dan tempat tinggal yang lebih selesa. Apabila keperluan-
keperluan asas tidak dapat memenuhi kehendak mereka, isu-isu lain yang lebih
penting sering diabaikan seperti pendidikan anak-anak dan tahap kesihatan
keluarga.

b) Keganasan rumahtangga

Keganasan rumahtangga bukan satu perkara yanag baru wujud di negara kita,
malah telah lama. Cuma bentuknya yang berbeza dari generasi ke generasi. Ia
termasuk penderaan atau penganiayaan terhadap suami, isteri atau anak-anak.
Keganasan dalam rumahtangga dapat ditakrifkan sebagai perbuatan yang
melibatkan serangan, sentuhan, gangguan, kekejaman mental dan fizikal,
penganiayaan seksual atau apa-apa perbuatan pencerobohan atau aniaya .

Di antara punca terkuat berlakunya keganasan rumahtangga ini ialah tekanan hidup
dan kaitannya dengan kedudukan kewangan keluarga yang tidak kukuh. Ada
kalanya sikap kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri yang saling tidak memahami di
antara satu sama lain. Sikap isteri yang suka meminta-minta akan menyebabkan
jiwa suami akan merasa tertekan. Bagi mengatasi masalah ini, suami akan
menggunakan kata-kata kesat, herdikan atau pukulan bagi mengatasi tekanan.
Malahan keadaan akan menjadi lebih parah jika suami mengambil jalan singkat bagi
mengatasi tekanan dengan meminum alkohol secara berlebihan dan pertimbangan
akal yang rasional tidak mampu mengawal diri. Apabila suami pulang ke rumah
dalam keadaan mabuk, ia akan mencetuskan pergaduhan atau konflik yang berkisar
mengenai isu-isu kewangan, peranan isteri dan sebagainya.

Kesempitan wang dan tekanan hidup sedikit sebanyak akan memaksa keluarga
mencari jalan singkat untuk keluar daripada masalah yang sementara tersebut.
Meminjam wang daripada ceti haram atau “Along” dirasakan menjadi pilihan. Akibat
tidak mampu membayar balik pinjaman, suami atau isteri takut untuk pulang ke
rumah kerana bimbang akan “dikenakan” oleh samseng yang dihantar oleh Along.
Bermulalah episod hitam dalam keluarga dengan suami menyalahkan isteri dan
isteri menyalahkan tindakan suami. Mangsanya ialah anak-anak. Minda anak-anak
yang telah dicemari dengan pertelingkahan, pergaduhan dan penderaan bapa ke
atas ibu memberi mesej bahawa keganasan dalam rumahtangga adalah satu
bentuk hukuman yang diiktiraf dan dibolehkan.

Bagi mengatasi masalah ini, keganasan rumahtangga ini wajar dibendung dan
diatasi supaya sikap kasih sayang, toleransi dan hormat menghormati akan terus
kekal mekar dalam keluarga. Walaupun terdapat Akta Keganasan Rumahtangga
1994, diharap ia akan menjadi pilihan terakhir bagi menyelesaikan kemelut
sesebuah rumahtangga.

c) Keciciran sekolah

Kanak-kanak yang tercicir dari sekolah (school dropout) adalah salah satu faktor
langsung yang ada kaitannya dengan keupayaan keluarga berpendapatan rendah
terhadap kepentingan pendidikan kepada anak-anak. Bagi kanak-kanak ini yang
tercicir dan tidak lagi menyambung pelajaran mereka, kesan jangka panjang ialah
kesukaran mencari pekerjaan terutama yang melibatkan kemahiran teknologi. Jika
mendapat pekerjaan sekalipun, jumlah pendapatan yang akan diperolehi amat
berkurangan berbanding pelajar yang memiliki diploma atau ijazah. Peluang mereka
untuk menjana pendapatan yang lebih tinggi amat tipis apatah lagi wujudnya
persaingan yang sangat sengit dalam pasaran kerja pada masa kini.

Golongan yang tercicir ini juga terpaksa berhadapan dengan kesusahan dan
kesempitan hidup kerana tekanan ekonomi yang dihadapi. Kesan jangka pendek
yang menjadi pilihan golongan ini ialah melibatkan diri dalam kegiatan anti sosial
seperti mencuri, meragut, merompak, gangsterisme, mengedar dadah dan
menyeluk saku. Kegiatan anti sosial ini akan lebih ketara apabila pendapatan yang
diperolehi tidak konsisten dengan kos hidup yang semakin meningkat.

Keciciran dari sekolah akan menjadi-jadi dan bertambah buruk apabila faktor
kemiskinan dan hidup merempat meliliti kehidupan keluarga terutama di kawasan
setinggan. Adalah lebih mudah bagi ibu bapa untuk memutuskan bahawa
menamatkan pendidikan anak-anak akan mengurangkan beban keluarga kerana
mereka boleh membantu mencari sumber pendapatan untuk keluarga. Maknanya di
sini, beban mencari sumber kewangan telah ditanggung bersama-sama. Akhirnya,
dengan kata lain, kanak-kanak yang tercicir ini akan menghadapi masa depan yang
sama seperti yang dialami oleh ibu bapa mereka sebelum ini.

Kajian yang dijalankan oleh Yayasan Strategik Sosial (2002) ke atas faktor-faktor
yang mempengaruhi keciciran ini telah mengenal pasti lima penyebab utama iaitu
kekeluargaan, sikap pada diri sendiri, sistem persekolahan, kesihatan dan
persekitaran. Apa yang menarik daripada kajian ini ialah meletakkan faktor keluarga
sebagai punca utama masalah keciciran yang berlaku dan sebab utama ialah
pendapatan ekonomi keluarga yang rendah. Kehidupan yang miskin dan daif
memaksa ibu bapa merelakan anak-anak mereka khususnya yang sulung berhenti
sekolah dan mula mencari pendapatan sendiri.
Faktor persekitaran juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi minda
dan perlakuan seseorang. Segolongan kanak-kanak lebih mudah mengikut apa
yang berlaku di sekitar mereka tanpa mengetahui baik dan buruknya. Kajian
Setinggan Lembah Klang oleh Yayasan Strategik Sosial pada 2001 menunjukkan
kebanyakan pelajar tercicir dari sekolah berasal dari perkampungan setinggan.

Apabila seseorang pelajar bergaul dengan rakan yang tercicir, besar kemungkinan
pelajar itu pun turut tercicir dari sekolah. Secara psikologi, gerak geri dan perlakuan
pelajar yang tercicir lebih kuat pengaruhnya ke atas pelajar yang berkawan
dengannya. Dalam kes-kes tertentu, pelajar yang tercicir cuba mempengaruhi
kawan-kawannya yang lain untuk menyertai tindakannya yang lebih
menyeronokkan. Di samping itu kegelojohan pihak sekolah yang memberi
pengiktirafan terhadap pencapaian akademik di kalangan pelajar memberi tekanan
ke atas pelajar yang lemah dalam pelajaran.

Kesimpulan

Persoalan kemiskinan merupakan masalah utama dunia pada masakini. Implikasi


dari kemiskinan telah menyebabkan pertelingkahan yang mendorong kepada konflik
kaum dan pemisahan wilayah disesetengah tempat. Secara relatifnya, hampir
keseluruhan negara-negara sedang membangun mengalami masalah kemiskinan
yang ketara dikalangan rakyat. Permasalahan kemiskinan jika dianalisis dari
perspektif liberalisme, akan memperlihatkan hujah bahawa kemiskinan berlaku
kerana sifat malas yang ada di dalam diri manusia dan nilai-nilai pemerintahan yang
tidak demokratik.

Pei Chei

Anda mungkin juga menyukai