Anda di halaman 1dari 2

Covid 19 bala atau pahala

Wabak Covid-19 yang melanda dunia pada hari ini adalah suatu ujian besar bagi
manusia sejagat. Ini kerana, virus COVID-19 ini adalah suatu pandemik yang
menakutkan. Beratus ribu kematian dilaporkan akibat daripada serangan wabak ini
di serata dunia, bahkan di negara-negara maju yang mempunyai peralatan
kesihatan dan saringan yang serba canggih. Ini juga sebagai suatu petanda bahawa
wabak ini tidak mengira bangsa, kulit rupa mahupun status ekonomi.

Apa yang berlaku di Malaysia juga tidak kurang getirnya. Pelbagai usaha dilakukan
terutamanya bagi golongan barisan hadapan yang tidak jemu untuk memastikan
wabak ini disaring dan diputuskan rangkaian demi rangkaian. Seperti beberapa
negara lain, Malaysia juga menyahut seruan untuk duduk di rumah atau Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membantu menyekat penularan wabak ini. Secara
kesimpulannya, seluruh sistem kehidupan manusia berubah secara mendadak
daripada aspek keagamaan, sosial, ekonomi, hubungan dalam dan luar negara,
budaya dan lain-lain. Norma kebiasaan hidup harian setiap individu juga terkesan
dan terhenti seketika.

Sebagai umat Islam, seharusnya kita mengambil pengajaran dan hikmah daripada
musibah COVID-19 ini. Dalam kata lain, setiap yang berlaku dalam kehidupan bagi
orang yang beriman, sarat dengan hikmah dan bukanlah sia-sia. Amat merugikan
jika seorang Muslim hanya beranggapan bahawa virus COVID-19 ini adalah
jangkitan penyakit semata-mata. Bahkan, yang lebih utama ialah Allah
memperlihatkan kepada manusia bahawa Dialah yang mempunyai kuasa untuk
menghidupkan sesuatu, mencipta, mematikan dan melenyapkan. Manusia pula,
yang berusaha sedaya upaya untuk mengelak daripada wabak ini sebenarnya lemah
dan tidak berupaya melainkan berusaha dan berterusan memohon doa kepadaNya.
Kesabaran dalam doa dan usaha inilah yang menjadi kunci tawakkal seorang hamba
kepadaTuhan, al-Wakkil.

Menurut pandangan ulama Islam, sabar bermaksud menahan diri daripada berbuat
sesuatu dan tidak mudah putus asa. Justeru, sabar boleh dikategorikan kepada
beberapa bahagian. 1. Menahan diri daripada perasaan gelisah, tidak tenteram,
berfikir perkara yang bukan-bukan yang membawa kepada stress/ konflik jiwa. 2.
Menahan lidah daripada mengeluh, memaki, mencaci atau berkata sesuatu yang
tidak berfaedah. 3. Menahan diri daripada tindakan menampar pipi, mengoyakkan
pakaian. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, n.d.) Dalam konteks semasa, sabar bererti
menahan diri dari melakukan sesuatu yang merosakan diri (dari sudut mental,
fizikal,perkataan dan tindakan) atau juga tidak melakukan perkara yang sewajarnya
untuk membendung wabak ini seperti bersikap sambil lewa dan berserah kepada
Allah tanpa ada usaha.
Bersabar menempuh ujian yang mendatang adalah suatu ibadah yang sangat mulia
dan dianggap penting. (Surah al-Insan, 76:12). Ini kerana tanpa persediaan dan
pemahaman akidah yang betul boleh menjerumus umat Islam kepada kealpaan atau
jatuh kufur. Sebagai contoh, Abu (bukan nama sebenar) diuji dengan kematian ahli
keluarga yang mengidap virus COVID-19. Oleh kerana ujian ini sangat mencabar
dan meruntun hati, Abu tidak dapat menerima ketentuan Allah SWT dan mula
mempertikai takdir. Perbuatan Abu ini tidak seharusnya berlaku jika dia faham
tentang takdir dan makna beriman dengan Qada dan Qadar.

Setiap yang berlaku, berada dalam ilmu Allah, IradahNya dan KekuasaanNya.
Justeru, sebagai hamba kita tidak boleh merasakan ujian yang datang itu sebagai
musibah semata-mata lalu kita merasa tertekan, berfikiran negatif, stress dan lain-
lain. Tetapi, Islam mengajar kita supaya berfikir dengan betul agar dapat menjalani
dan menghadapi ujian dengan kekuatan sabar dan iman. Setiap ujian atau musibah,
didatangkan bersama dengan keampunan dan kasih sayang Allah. Justeru,
sewajarnya kita memperbanyakkan doa dan istighfar, agar Allah SWT
mengampunkan dosa-dosa kita dan mengganjari kita melalui musibah dengan
pahala dan kebaikan yang besar.

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran bahawa Dia akan menguji manusia dengan
ujian dan kesukaran bagi menentukan tahap iman manusia sama ada bersyukur
atau ingkar kepada-Nya (Al-Baqarah, 2: 155). Bagaimanapun, Allah SWT juga
berjanji bahawa setiap kesulitan akan diiringi dengan bantuan dan kemudahan (As-
Sharh, 94: 6). Ini menunjukkan kesenangan mahupun kesukaran yang dihadapi oleh
manusia di dunia ini adalah bersifat sementara dan tidak akan kekal selamanya.
Seseorang tidak akan sentiasa dirundung malang, ibarat kata pepatah “langit tidak
selalunya mendung.” Begitulah juga dengan wabak COVID-19 ini yang tidak akan
kekal selama-lamanya dan akan lenyap juga. Insya Allah!

Anda mungkin juga menyukai