Anda di halaman 1dari 41

KEPENTINGAN MENJAGA KEBERSIHAN

Menjaga kebersihan merupakan satu amalan yang penting dalam kehidupan kita. Lazimnya, kebersihan perlu
disemai sejak dari kecil maka, ibu bapalah yang yang memainkan peranan yang penting dalam mengasuh anak-anak
untuk menjaga kebersihan sama ada kebersihan diri atau kebersihan alam sekitar.

Dengan menjaga kebersihan, kesihatan kita akan terjamin. Kita tidak mudah mendapat penyakit dan mengelakkan
penyakit merebak terhadap orang lain. Penyakit-penyakit berjangkit dapat dihindari sekiranya alam persekitaran
sentiasa mengekalkan kebersihan. Misalnya kebersihan yang perlu dilakukan khususnya atas makanan dan tempat
tinggal persekitaran.

Di samping itu, senario kebersihan juga akan membentuk otak yang cergas dan badan yang sihat. Dengan adanya
badan yang sihat, kita bebas daripada sebarang penyakit. Pelajar mudah belajar dan memahami sesuatu pelajaran
yang diajar oleh guru, jadi, lebih mudah untuk mencapai kejayaan yang cemerlang. Badan kita yang cerdas
membolehkan kita aktif dalam pelbagai lapangan terutama dalam arena sukan.

Sekiranya kita menjaga kebersihan, dapatlah kita menonjolkan imej atau perawakan yang menarik. Imej kita
dipandang tinggi dan bersih. Ini memudahkan kita bergaul dengan orang ramai. Misalnya, dari segi pemakaian
pakaian dan kebersihan diri kita dalam kehidupan seharian.

Selain itu, menjaga kebersihan juga penting dalam memberi keselesaan hidup atas tempat tinggal mahupun alam
persekitaran. Kawasan yang bersih akan memberikan sejuk mata memandang. Oleh itu, tidak rugi kita menjaga
kebersihan. Kita dapat menghindarkan serangan nyamuk, lalat dan perosak-perosak lain. Kehidupan kita sentiasa
akan selesa tanpa sebarang gangguan.

Amalan kebersihan haruslah dilaksanakan setiap masa supaya terhindar daripada sebarang penyakit. Kita juga akan
menjadi bangsa yang sentiasa dihormati dan disanjungi tinggi dengan adanya pendedahan terhadap kepentingan
kebersihan. Justeru itu, konsep menjaga kebersihan perlu disemai dan diperturunkan daripada generasi ke generasi
yang lain. Kata-kata hikmat, ’’Negara Bersih, Rakyat Sihat; Badan sihat, otak cergas.’’
Cara-cara Mengawal Penularan Penyakit Berjangkit

Penularan penyakit berjangkit merupakan satu isu yang sering menjadi buah mulut masyarakat sejak akhir-akhir
ini. Penularan penyakit berjangkit ini umpama duri dalam daging dan telah menyebabkan masyarakat dunia amnya
dan masyarakat Malaysia khususnya berada dalam kebimbangan yang berterusan. Antara penyakit berbahaya yang
pernah melanda negara kita dan negara-negara luar ialah wabak selsema burung dan penyakit Sindrom Pernafasan
Akut yang Teruk SARS). Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk mengawal penularan penyakit
berjangkit terutama yang dapat menyebabkan kematian. Namun demikian, penularan penyakit masih lagi berlaku
dari semasa ke semasa. Oleh itu, pelbagai cara perlu dilakukan oleh masyarakat untuk memastikan gejala penularan
penyakit dapat dibendung.

Satu daripada cara untuk mengawal penularan penyakit berjangkit adalah dengan memastikan penjagaan
kesihatan yang teratur dalam kalangan masyarakat Malaysia. Penjagaan kesihatan merupakan satu amalan yang
berterusan. Sebagai contohnya, setiap anggota masyarakat hendaklah menjaga kebersihan diri sepanjang masa.
Kebersihan diri ialah asas yang akan mengelakkan tubuh dihinggapi penyakit. Penjagaan kesihatan juga melibatkan
aktiviti senaman dan riadah yang sistematik. Masyarakat Malaysia hari ini terdedah pada pelbagai risiko penyakit jika
tidakan yang teratur merupakan satu cara yang berkesan untuk mengawal penularan penyakit berjangkit, bak k
menjaga kesihatan. Tambahan pula sejak akhir-akhir ini pelbagai jenis penyakit dikesan wujud di negara kita.
Contohnya penyakit selesema burung yang bermula di luar negara telah menjangkiti penduduk negara ini. Oleh hal
yang demikian penjagaan kesihatata peribahasa mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Selain itu, pihak berkuasa mesti mengetatkan syarat kemasukan pelancong dari luar negara. Pihak jabatan
imigresen dan juga jabatan kastam perlu menguatkuasakan kawalan yang ketat terhadap orang yang masuk ke
negara ini. Jabatan kastam umpamanya, mestilah memastikan haiwan-haiwan yang dibawa masuk ke negara ini
bebas daripada jangkitan sebarang penyakit berbahaya. Tidak kira sama ada haiwan tersebut diimport untuk
dijadikan makanan atau haiwan peliharaan. Jika haiwan tersebut dijangkiti, pihak jabatan kastam hendaklah menyita
dan memastikan haiwan tersebut tidak dibawa masuk. Dalam hal ini tumpuan khusus hendaklah diberikan pada
pelancong dan haiwan dari negara-negara yang diketahui telah dijangkiti penyakit berjangkit berkenaan. Misalnya
suatu ketika dahulu negara China telah diserang penyakit selesema burung yang serius. Oleh itu pelancong dan
barangan import yang berasaskan haiwan hendaklah diperiksa dengan lebih terperinci agar negara kita bebas
daripada ancaman penyakit berjangkit yang berbahaya. Jadi, pihak berkuasa hendaklah mengetatkan syarat
kemasukan pelancongan dan barangan dari luar negara untuk mengelakkan penularan penyakit berjangkit, jangan
sampai sudah terhantuk baru tengadah.

Langkah untuk mengawal penularan penyakit berjangkit yang berikutnya ialah pihak kerajaan hendaklah
melupuskan haiwan atau pembawa yang telah dijangkiti penyakit berjangkit dengan kadar segera. Tindakan tegas ini
mestilah dilaksanakan tanpa mengira bantahan dan kritikan masyarakat. Kerajaan harus menjalankan tindakan ini
kerana penyakit berjangkit biasanya merebak dengan pantas apabila pembawanya tidak dihapuskan,. Misalnya
dalam kes penularan penyakit Selesema Burung, setiap unggas sama ada yang dipelihara atau yang hidup bebas
perlu dilupuskan. Walaupun tindakan ini agak kejam sifatnya, kita tidak boleh pilih bulu atau berkompromi apabila
kesihatan masyarakat awam terancam seperti kata peribahasa biar titik jangan tumpah. Kerugian akibat kematian
haiwan peliharaan adalah lebih baik berbanding kehilangan nyawa manusia akibat diserang penyakit berjangkit.
Tindakan tersebut juga hendaklah dilaksanakan dengan kadar segera. Pihak berwajib tidak harus menanti keputusan
majoriti kerana penularan penyakit tidak akan berhenti jika tidak dibendung. Tindakan yang lambat akan
mendatangkan kesan buruk apabila penyakit berkenaan tidak lagi dapat dikawal dengan menyeluruh. Oleh itu,
pelupusan haiwan atau pembawa penyakit hendaklah disegerakan untuk memastikan penularannya dapat dikawal.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang wajar dilaksanakan untuk memastikan penyakit berjangkit dalam
dibendung penularannya. Dalam hal ini, semua anggota masyarakat perlulah bekerjasama ibarat aur dengan tebing
agar penyakit berjangkit dapat ditangani dengan berkesan. Kita tidak mahu menyesal akibat kelekaan kita
mendatangkan kesan buruk kerana menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Kerjasama
semua pihak sudah pasti akan melahirkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada ancaman penyakit berjangkit
yang berbahaya. Sebelum saya mengundur diri, saya ingin mengambil kesempatan untuk menyusun jari sepuluh,
memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat sebarang kesilapan yang tidak disengajakan. Sekian, terima kasih.
Faedah-Faedah Bersukan Kepada Masyarakat

Sukan bukanlah semata-mata aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengisi masa lapang atau sebagai riadah kecil
mengeluarkan peluh.Mutakhir ini ,pemodenan sukan bergerak seiring dengan kemajuan dunia dan membawa
falsafah yang lebih berat. Pertumbuhan pelbagai bidang sukan yang rancak ini digerakkan dengan lebih dinamik dan
profesional. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga telah banyak membawa manfaat. Ironinya,
penglibatan masyarakat dalam bidang sukan dapat menunaikan pelbagai hasrat bukan sekadar pertarungan di
gelanggang sahaja. Persoalannya, apakah faedah-faedah bersukan kepada maasyarakat?

Salah satu daripada faedah bersukan ialah kegiatan sukan dapat membantu mengekalkan kesihatan fizikal dan
mental. Kehidupan zaman moden ini lebih banyak menggunakan tenaga dalaman dan pemikiran.Golongan
profesional dan separa profesional dalam membangunkan negara sering kali terpaksa mengabaikan kegiatan fizikal
kerana kekurangan waktu untuk tujuan tersebut. Kesibukan semua lapisan masyarakat ini membawa kepada
masalah kesihatan fizikal dan mental. Penglibatan golongan kanak-kanak , remaja dan orang dewasa dalam pelbagai
kegiatan sukan dapat menyelesaikan pelbagai masalah kesihatan. Kegiatan sukan merupakan langkah awal seperti
kata pepatah “sediakan payung sebelum hujan” dalam mengawal obesiti, penyakit kronik seperti darah tinggi,
diabetis dan penyakit jantung. Kegiatan sukan juga dapat membantu mereka yang telah menghidap penyakit untuk
kembali pulih. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga mampu menangani ketegangan fikiran dan
meringankan bebanan mental. Sesungguhnya kegiatan sukan dapat melancarkan perjalanan darah, mengurangkan
lemak yang berlebihan dalam salur darah dan jantung ,membantu perkumuhan dan membuang sisa-sisa yang tidak
diperlukan oleh badan. Tegasnya, penglibatan dalam bidang sukan merupakan usaha efektif dalam melahirkan
masyarakat yang sihat.

Selain itu, bersukan juga dapat mengisi masa lapang seseorang. Masa lapang sebenarnya amat berharga bagi setiap
individu atau masyarakat. Seseorang yang melibatkan diri dalam bidang sukan juga adalah satu cara mengisi masa
lapang dengan berfaedah. Masa itu emas , walaupun hanya ada beberapa minit, masa itu sangat berharga .Masa
lapang ini sangat bermanfaat jika digunakan untuk bersukan bagi mengembalikan tenaga dan melegakan
ketegangan. Bagi golongan remaja pula, penglibatan dalam bidang sukan dapat menghindarkan diri daripada
melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral , vandalisme dan membuang masa sia-sia seperti melepak ,
merokok dan terlibat dalam pengambilan dadah. Sukan dapat menarik masyarakat ke arah memanfaatkan masa
lapang dengan cara yang lebih baik. Kesan yang jelas ialah sukan mampu meningkatkan swadaya masyarakat dan
melangkah gagah dengan yakin ke peringkat antatabangsa walaupun melalui ranjau pidana dunia persaingan hari ini.
Sesungguhnya sukan dapat mendisiplinkan masyarakat memanfaatkan masa dengan lebih bermakna.

Di samping itu, sukan merupakan salah satu instrumen penting untuk mengeratkan hubungan perpaduan dan
integrasi masyarakat. Hal ini demikian kerana, kegiatan sukan dapat melahirkan semangat kekitaan dalam pasukan
untuk meraih kemenangan. Sifat bersatu padu juga dapat dipupuk melalui penglibatan dalam kegiatan sukan kerana
bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Lantaran itu, hubungan yang erat dapat melahirkan
sebuah pasukan yang kuat. Para penyokong juga dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di samping
berkongsi minat dalam sukan yang sama. Dengan ini, nilai-nilai perpaduan seperti bekerjasama, bertoleransi dan
meletakkan kepentingan negara dan pasukan melebihi kepentingan diri dapat dilahirkan melalui penglibatan diri
dalam bidang sukan. Justeru , kegiatan sukan dapat mendidik masyarakat bekerjasama dan bersatu padu serta
mengeratkan hubungan.

Akhir sekali, sukan juga mampu memberi ruang untuk menambahkan pendapatan secara individu dan kumpulan.
Atlet yang mencapai tahap kemahiran profesional boleh menjadikan sukan sebagai kerjaya yang lumayan.
Penganjuran dan pengusaha peralatan dan prasarana sukan juga mampu menjana pendapatan yang besar. Serentak
dengan kegiatan sukan secara serius di peringkat glokal dan global mampu menjana keuntungan melalui kadar
tukaran wang asing. Seiring dengan itu, industri hiliran muncul bersama perkembangan sukan yang diceburi.
Kemajuan sukan menampakkan hala tuju anak muda yang berkebolehan mengembangkan bakat dan potensi
menjadikan sukan sebagai kerjaya masa depan mereka. Pemain bola sepak secara professional, pemain badminton
seperti Datuk Lee Chong Wei dan Shalin Zulkifli masing-masing menjadikan badminton dan bowling sebagai kerjaya.
Jelaslah sukan juga dapat menjadi kerjaya yang baru kepada masyarakat.
Kesimpulannya, penglibatan dalam bidang sukan akan membawa pelbagai faedah kepada masyarakat.Oleh itu ,
semua lapisan masyarakat amat digalakkan menyertai semua jenis sukan. Sukan diharapkan dapat melahirkan
masyarakat yang sihat, bersatu padu, berdaya maju dan berdaya saing. Sukan juga mampu mengangkat martabat
rakyat dan negara di persada antarabangsa agar mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan Negara
maju yang lain. Sesungguhnya , sukan berfaedah kepada individu, masyarakat dan negara. Tegasnya, kegiatan sukan
wajar digalakkan kepada semua lapisan masyarakat.
Persediaan sebelum menceburi bidang kerjaya yang mencabar

Era masa ini semakin hari semakin berkembang pesat ekoran sikap manusia yang sentiasa berusaha untuk mencapai
kejayaan dalam kehidupan. Manusia juga sanggup melakukan apa-apa sahaja tanpa berputus asa untuk memperoleh
kejayaan, bak kata pepatah Melayu, genggam bara api biar sampai jadi arang. Saya meminati sesuatu bidang kerjaya
yang amat mencabar dan berisiko. Oleh itu, persediaan awal adalah amat penting sebelum saya dapat menceburi
bidang pekerjaan ini. Saya perlulah melakukan beberapa persediaan yang sewajarnya.

Persediaan yang wajar saya lakukan termasuklah melengkapkan diri saya dengan kemahiran insaniah yang meliputi
beberapa aspek, iaitu kemahiran berkomunikasi, mempunyai pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan
masalah, kemahiran kerja berpasukan, pembelajaran sepanjang hayat dan pengurusan maklumat, kemahiran
keusahawanan, etika dan moral profesional serta kemahiran kepimpinan. Kemahiran insaniah sangat penting untuk
melahirkan modal insan yang kamil dan yakin untuk berhadapan dengan sebarang cabaran yang mendatang. Sebagai
contoh, semasa berada di alam persekolahan dan pengajian tinggi, saya perlulah menggunakan peluang yang ada
untuk bergerak aktif sama ada dalam aktiviti kemasyarakatan, sukan atau kebudayaan. Hal ini adalah kerana
kemahiran insaniah dapat mempersiapkan diri saya dengan kemahiran yang boleh diaplikasikan pada masa hadapan
terutamanya semasa berada dalam alam pekerjaan. Oleh itu, usaha untuk memiliki kemahiran insaniah amat penting
agar saya dapat berkecimpung dalam bidang yang saya minati itu.

Jika dilihat dari dimensi yang lain pula, saya perlu mempunyai daya saing yang tinggi kerana saya merupakan
golongan pemuda-pemudi yang bakal berhadapan dengan dunia yang kian mencabar ini. Sesungguhnya remaja di
Malaysia amat berbeza dengan remaja di negara lain. Mereka sememangnya sudah diajar berdikari sejak kecil lagi
manakala remaja di negara kita masih ditatang bagai minyak yang penuh. Jadi, tidak hairanlah mereka lebih matang
dan daya saing mereka lebih tinggi daripada remaja di negara kita. Menyedari hakikat ini, saya perlu kental dan tidak
mudah berputus asa apabila berhadapan dengan pelbagai rintangan. Saya juga perlu membekalkan diri saya dengan
semangat juang yang tinggi untuk mencapai matlamat saya.

Selain itu, saya juga perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam terhadap bidang pekerjaan yang bakal saya
ceburi itu. Hal ini adalah kerana ketinggian ilmu yang saya miliki dapat memastikan jati diri saya tidak mudah rapuh.
Sejak kecil lagi, rakyat Jepun telah didedahkan dengan amalan membaca kerana mereka percaya bahawa membaca
itu jambatan ilmu.Hanya dengan membaca, mereka berupaya memajukan negaran mereka dengan pelbagai
teknologi moden yang canggih. Jadi, saya perlu banyak membaca buku-buku yang berkaitan dengan bidang yang
saya minati. Saya percaya bahawa ilmu pengetahuan yang tinggi mampu mematangkan saya untuk mengatur setiap
langkah kehidupan. Sememangnya pelangi hari ini tidak mampu berjanji untuk muncul pada hari keesokan. Oleh hal
yang demikian, saya perlulah meningkatkan pengetahuan dan keyakinan saya bagi merealisasikan impian saya untuk
menceburi bidang kerjaya yang mencabar dan berisiko.

Seperkara lagi, saya perlulah sentiasa sensitif dan prihatin terhadap isu semasa. Saya tidak mahu menjadi seperti
katak di bawah tempurung. Hal ini adalah supaya saya lebih peka terhadap masalah yang kian menular seperti
cendawan yang tumbuh selepas hujan sama ada di negara kita atau di luar negara. Dewasa ini, banyak jenayah yang
berlaku di negara kita. Sebagai iktibar, saya perlu lebih berhati-hati dalam mengharungi kehidupan ini terutamanya
ketika menceburi bidang kerjaya yang lebih mencabar dan berisiko. Jadi, saya mestilah memiliki semangat yang kuat
dan tinggi supaya saya sentiasa lebih sensitif dan peka terhadap isu-isu yang berlaku di sekeliling saya. Hal ini dapat
dicapai sekiranya saya rajin membaca surat khabar dan melayari internet untuk mengetahui isu-isu semasa. Dengan
cara ini, saya berupaya untuk menangkis sebarang cabaran ketika saya bekerja dalam dunia pekerjaan yang berisiko
dan mencabar.

Konklusinya, persediaan-persediaan inilah yang wajar saya lakukan sebagai prasyarat untuk mencapai kejayaan
dalam pekerjaan saya nanti. Oleh itu, saya perlulah menitikberatkan kemajuan diri saya dalam semua aspek sama
ada dalam aspek jasmani, rohani, emosi, intelek dan sosial. Dengan cara ini, saya pasti dapat menangkis segala
dugaan yang mendatang kerana saya percaya bahawa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Semoga impian
saya akan menjadi realiti dengan keizinan Tuhan yang Maha Esa.
Karangan: Usaha Mengekalkan Keamanan Sejagat (Dimensi Antarabangsa)

Keamanan sejagat merupakan tanggungjawab global. Oleh itu, setiap negara wajar melaksanakan pelbagai cara
untuk mengekalkan keamanan negara dan antarabangsa. Bincangkan.

Pertelingkahan politik dalam negara seperti di Syria, konflik antara kaum yang masih melanda Sri Lanka dan
pembunuhan etnik yang pernah terjadi di Bosnia Herzergovina serta Rwanda memberikan bayangan bahawa
keamanan di dunia amat goyah ibarat buih-buih di lautan. Oleh yang demikian, usaha mewujudkan keamanan dunia
menjadi agenda perdana Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Walau bagaimanapun, setiap negara tidak boleh
bergantung semata-mata kepada badan dunia itu, malah setiap negara perlu mengambil inisiatif untuk mengekalkan
keamanan dalam negara mahupun antarabangsa.

Tidak boleh dinafikan bahawa perpaduan antara rakyat merupakan kunci keamanan sesebuah negara
terutamanya di negara yang berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia. Oleh itu, usaha mewujudkan semangat
bersatu padu dalam kalangan rakyat hendaklah dilaksanakan secara serius dan berterusan. Peristiwa hitam 13 Mei
1969 yang pernah mencalar sejarah Malaysia membuktikan bahawa ikatan perpaduan dalam kalangan rakyat
berbilang kaum sangat rapuh. Mainan sentimen perkauman yang keterlaluan ibarat percikan api telah
menyemarakan gelombang kebencian antara kaum. Impaknya, peristiwa berkenaan telah meninggalkan parut
walaupun lukanya sudah sembuh kepada mangsanya. Atas dasar tidak mahu pisang berbuah dua kali kerajaan
Barisan Nasional telah ditubuhkan bagi membentuk kerjasama pintar antara parti politik yang mewakili setiap kaum.
Tegasnya, pertelingkahan dalam kalangan rakyat hanya akan merugikan negara kerana pihak yang kalah menjadi abu
tetapi pihak yang menang menjadi arang.

Pada masa yang sama keamanan sejagat juga mampu diwujudkan dengan cara menjalin hubungan kerjasama
antara negara serantau. Impak daripada kerjasama antara negara dapat memupuk persefahaman antara negara
serantau ibarat aur dan tebing Sehubungan itu, Malaysia telah menganggotai beberapa pertubuhan antarabangsa
seperti Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), Pertubuhan Negara-negara Berkecuali (NAM), dan
Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC) di samping menjalin hubungan diplomatik dengan setiap negara di
dunia kecuali Israel. Penglibatan Malaysia dalam pertubuhan-pertubuhan berkenaan adalah untuk menjalin
kerjasama dari aspek politik, ekonomi, dan sosial serta membincangkan usaha untuk menyelesaikan konflik antara
negara anggota. Intihanya, hubungan baik antara negara mampu menjadikan planet Bumi ini sebagai sebuah
petempatan untuk manusia yang aman dan makmur.

Marcapada, perbalahan antara negara seakan-akan sukar untuk dielakkan apabila masing-masing cuba
mengeksploitasi sumber kekayaan yang terdapat di muka bumi ini demi kelangsungan ekonomi negara masing-
masing. Apabila keadaan ini terjadi maka meja rundingan ialah platform yang paling ampuh untuk menyelesaikan
konflik yang timbul dan bukannya dengan mengangkat senjata. Dalam hal ini, Mahkamah Keadilan Antarabangsa
(ICJ) di The Hague, Belanda telah banyak berjasa dalam menyelesaikan pertikaian antara negara seperti perebutan
Pulau Ligitan dan Sipadan oleh Malaysia dan Indonesia serta Pulau Batu Putih antara Malaysia dan Singapura.
Tuntasnya, setiap perumitan yang timbul hendaklah diselesaikan dengan penuh berhemah ibarat menarik rambut di
dalam tepung, rambut tidak putus, manakala tepung pula tidak berselerak.

Akhir sekali, keamanan negara mahupun antarabangsa boleh dikekalkan jika layanan yang adil dan saksama
diberikan kepada semua pihak. Tamsilannya, di Malaysia, kerajaan telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB)
yang bertujuan untuk memastikan setiap kaum mendapat hak yang adil dan saksama untuk menikmati kemakmuran
negara. Begitulah yang seharusnya berlaku di peringkat antarabangsa. Kuasa-kuasa besar dunia sewajarnya
memberikan layanan yang adil kepada semua negara tanpa melabelkan negara-negara yang tertentu sebagai sekutu
ataupun seteru. Buktinya, peristiwa 11 September 2001 dikatakan berpunca daripada kebencian puak militan
terhadap Amerika Syarikat yang bersikap pilih kasih dalam isu-isu antarabangsa yang memberikan keuntungan
kepada rakan sekutunya, khususnya Israel. Kempen memerangi keganasan tajaan Amerika Syarikat juga ternyata
telah gagal untuk mengekalkan keamanan dunia malah negara ‘Uncle Sam’ itu ibarat tikus membaiki labu apabila
keamanan dunia bertambah buruk lantaran polisi pilih bulu pemimpin negara berkenaan. Rumusannya, keadilan dan
kesaksamaan layanan antara semua pihak merupakan kunci keamanan sesebuah negara dan buana.

Deduksinya, prakarsa untuk mewujudkan keamanan dalam negara dan antarabangsa tidak boleh dipandang
sebelah mata sahaja. Perpaduan dalam kalangan rakyat harus dipupuk sejak kecil, ibarat melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Selain itu, hubungan kerjasama antara negara harus dipererat dan budaya bermusyawarah hendaklah
diamalakan untuk menyelesaikan sesuatu perbalahan. Tambahan lagi, semua pihak harus dilayan secara adil dan
saksama untuk mewujudkan keamanan sejagat. Sesungguhnya, umat manusia harus sedar bahawa planet ini adalah
untuk semua makhluk ciptaan-Nya dan manusia sebagai khalifah-Nya harus memastikan dunia terus makmur dan
aman.
Matlamat dasar luar Malaysia.
             Matlamat dasar luar yang ingin dicapai oleh Malaysia ialah untuk menjamin keselamatan rakyat dan
negara. Contohnya, Malaysia menjalin hubungan negara negara Komanwel terutamanya Britain, Australia
dan New Zealand untuk mendapatkan bantuan ketenteraan bagi menghadapi ancaman komunis semasa
mencapai kemerdekaan.
               
             Dasar luar Malaysia juga bertujuan untuk memelihara kepentingan nasional. Contohnya, Malaysia
menjalinkan hubungan baik dengan semua negara melalui dasar berkecuali kerana Malaysia mengamalkan
pasaran bebas. Malaysia juga menjalin hubungan dengan negara-negara lain yang mengamalkan sistem
pemerintahan demokrasi. Ini adalah kerana pemimpin Malaysia mempunyai hak menjaga kepentingan
negara dengan menentukan hala tuju pemerintahan negara kita.
               
             Selain itu, matlamat dasar luar negara ialah menjaga kedaulatan negara. Contohnya, Malaysia
menjain hubungan baik dengan negara serantau melalui pertubuhan ASEAN. Bersama-sama negara
ASEAN, Malaysia mengisytiharkan rantau Asia Tenggara sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali
(ZOPFAN) bagi menghalang penglibatan kuasa luar yang boleh menjejaskan kedaulatan negara.
                       
             Malaysia menjalinkan hubungan luar kerana hendak menggalakkan pembangunan dan kemajuan
ekonomi negara. Contohnya, Malaysia menjalankan dasar berbaik-baik dengan Britain dan Amerika kerana
kita mengharapkan negara tersebut sebagai pembeli utama bijih timah dan getah negara kita. Tambahan
pula, negara tersebut merupakan pelabur utama dalam bidang perladangan dan perindustrian di negara kita.
Malaysia juga menjalankan Dasar Pandang ke Timur yang menjadikan Jepun dan Korea sebagai model
pembangunan ekonomi Negara.
             Selain itu, matlamat dasar luar Malaysia adalah untuk memupuk kesejahteraan dunia. Contohnya,
Malaysia berpegang kepada prinsip menghormati kedaulatan negara lain. Malaysia mengutuk Israel yang
mencabul kedaulatan negara Palestin. Malaysia tidak menjalinkan hubungan dengan negara
tersebut.  Malaysia juga menghormati prinsip hak asasi manusia. Malaysia memutuskan hubungan dengan
negara Afrika Selatan selagi negara tersebut terus mengamalkan dasar apartheid.
SAHSIAH Unggul adalah suatu konsep yang menghubungkan tentang kualiti insan atau manusia. Meneliti
mana-mana tamadun besar, lahir sahsiah unggul yang memiliki keutuhan keilmuan, jiwa penerokaan,
peribadi teladan dan menjadikan asas-asas kemurnian nilai sebagai landasan membangunkan kehidupan dan
sistem. Sepanjang sejarah umat manusia, sahsiah unggul ini lahir dalam zaman-zaman yang berbeza, cuba
membawa jawapan tentang makna hidup dan makna kemajuan.
Para remaja yang merupakan generasi penerus harus mampu menggilap semula maksud peribadi unggul
yang ingin dibangunkan, hatta dalam realiti masyarakat yang berbilang. Pertama, para remaja harus
menginsafi bahawa sifat Islam itu adalah agama rahmah alamiah, iaitu mendukung faktor-faktor kesejagatan
yang membawa kekuatan akhlak sebagai asas kesejahteraan manusia. Kedua, peribadi-peribadi unggul
dalam sepanjang sejarah Islam amat mengutamakan ilmu pengetahuan. Asas maju dalam keadaan fitrah
sentiasa menjadi pra syarat kemajuan dan pembangunan tamadun. Ketiga, Allah mengurniakan di negara-
negara umat Islam kekayaan sumber hasil bumi yang sangat banyak untuk kemajuan ekonominya. Ia
ditambah dengan jumlah umat Islam pada masakini melampaui jumlah 1.3 bilion.
Bayangkan kalau jumlah sumber daya manusia yang ramai, hadir dalam sistem pendidikan yang integratif,
ia bakal melahirkan modal insan yang memiliki kemampuan untuk mencetuskan perubahan dan kemajuan.
Di kalangan mereka akan lahir sebahagian yang memiliki sahsiah unggul yang memiliki jiwa penerokaan
yang tinggi dan mampu mengimbangkan kemajuan Barat dan Islam dalam acuan yang seimbang, lebih-lebih
lagi kekuatan sumber hasil bumi berada di tangan mereka. Pilihan yang ada pada remaja ialah kembali
membangun diri berasaskan perspektif unggul yang pernah ditempuh oleh peribadi-peribadi unggul
terdahulu.
Mereka juga mempelajari kekuatan tamadun Barat dan Timur dan mengambil manfaat berbanding yang
berguna untuk dijadikan asas membangun berasaskan acuan sendiri. Globalisasi yang menjadi faktor
pengukuh kepada proses pembaratan dalam bentuk baru, memerlukan peribadi unggul yang mampu
memanfaatkan kemajuan sains dan teknologi dalam pelbagai bentuk. Ilmu dan ketrampilan menjadi faktor
penting. Harus ada tekad di kalangan remaja Islam untuk mempelajari sebanyak mungkin keunggulan Barat
dalam ilmu dan ketrampilan, dan dalam masa yang sama menggilap kefahaman Islam melepasi batas ritual
semata dan memiliki kemampuan daerah-daerah tafsir Qurani yang lebih luas, supaya cakupannya mampu
memberikan acuan baru yang lebih terarah.
Di Malaysia, sedang berlaku percubaan dan usaha terancang supaya para remaja atau generasi muda
mendapat pendidikan yang lebih integratif seperti yang sedang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan dan
Kerajaan Negeri terhadap Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Menengah
Integrasi, membangunkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Kolej Universiti Islam
Malaysia (KUIM) dan Kolej-Kolej Islam di peringkat negeri-negeri.
Pihak-pihak swasta seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan TASKI, SRI, SEMI, Kolej Darul
Hikmahnya, pihak Jemaah Islah Malaysia (JIM) dengan Sekolah Al Aminnya, UIAM dengan Sekolah Islam
Antarabangsanya, Sekolah Islam Adni dan banyak lagi yang sedang tumbuh menawarkan pendekatan
integratif untuk remaja dan generasi muda.
Di sinilah pentingnya pihak kementerian dan pihak swasta dapat duduk berbincang dengan serius dan
bijaksana bagaimana faktor kurikulum, metodologi pengajaran dan pembelajaran subjek-subjek agama
ditinjau dan disusun kembali supaya dapat diintegrasikan dengan subjek-subjek lain yang amat relevan
dengan faktor kemajuan dan perubahan hari ini. Sekiranya kurikulum agama yang memberikan asas nilai
dapat dijadikan bahagian penting dalam binaan ilmu dan disiplin subjek ia bakal menghasilkan cara berfikir
dan mind-set generasi muda yang lebih holistik atau menyeluruh. Mengajar matematik dan sains
umpamanya dengan dipandu oleh asas membina faham ketepatan, keseimbangan dan akauntabiliti bakal
mendidik generasi muda tentang pentingnya pendekatan empiris (uji-kaji dan pemerhatian) dibina atas asas
fikir dan zikir.
KEPENTINGAN INOVASI
Inovasi membolehkan sesuatu pekerjaan menjadi lebih mudah dan menjimatkan masa dengan penggunaan
alat seperti komputer untuk memantau dan mengawal mesin, jentera, bahkan beban kerja sumber manusia
dapat dikurangkan. Selain itu, inovasi perisian ( hardware dan software ) mencepatkan penyebaran ilmu,
maklumat dalam talian seperti e-zakat dan e-hasil. Di samping itu, boleh melakukan kerja di mana-mana dan
pada bila-bila masa atau di luar waktu kerja.
Selain itu, inovasi dapat menjamin kualiti kerja yang lebih baik dalam sesebuah organisasi dengan mencipta
dan mengekalkan kelebihan dalam persaingan kerana inovasi bersifat mendahului, contoh pasaran untuk ”
kek lapis ” boleh merentasi sempadan geografi dibuat di Malaysia tetapi dijual ke seluruh dunia. Malahan
pula, mewujudkan persekitaran kerja yang berdaya maju kerana pengusaha atau kerajaan sentiasa membuat
yang terbaik untuk terus kekal relevan sepanjang masa contoh inovasi dalam pembungkusan prdoduk
keluaran Malaysia ( SM, IMP, FDA ), SIRIM. Seterusnya, meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan
awam kepada rakyat; klinik bergerak dan klinik 1 Malaysia.
Tambahan pula, inovasi perlu memastikan wujudnya kesinambungan antara sistem pendidikan seperti
sekolah akademik, Vokasional, Teknik dan kolej komuniti lebih 60 peratus tenaga mahir negara menjelang
2020. Hal yang demikian, bidang teknologi dan inovasi, kemahiran hidup dengan kurikulum reka cipta dan
pertandingan reka cipta kebangsaan. Inovasi mengeksploitasi sepenuhnya perkembangan teknologi
maklumat Siber Jaya Malaysia.
Isi yang seterusnya adalah pelan strategi dalam transformasi kerajaan , kerajaan harus merangka kerja
jangka pendek dan panjang . Selain itu , karajaan sentiasa memberi peniktirafan, dorongan, insentif dan
motivasi kepada rakyat melaui slogan “rakyat didahulukan dan pencapaian diutama” dan juga menubuhkan
taman teknologi dan koridor ekonomi utara, Timur dan selatan.
Peranan ibu bapa merupakan inovasi penting dalam kehidupan sesorang seperti memberi dorongan dan
minat anak-anak diterjemah melalui ikut serta dasar-dasar kerajaan. Seterusnya, panduan dan bimbingan
agar anak-anak berjaya dan menjadikan inovasi sebagai kerjaya yang gemilang pada masa hadapan.
Cara Untuk Memajukan Sektor Pertanian
Sektor pertanian merupakan salah satu sektor yang penting ynag mendapat tumpuan dalam perdagangan
dunia kerana sektor ini merupakan pembekal makanan dan sumber bahan mentah kepada penduduk di dunia.
Di Malaysia, sektor pertanian amat penting dan meyumbang lima peratus kapada pendapatan kasar negara.
Hal ini dapat membantu meningkatkan pendapatan negara dan secara tidak langsung dapat membantu
ekonomi negara kita. Sektor pertanian di Malaysia berfungsi sebagai pembekal sumber makanan kepada
seluruh penduduk di Malaysia. Namun begitu kita masih lagi mengimport tenaga asing dalam sektor
perladangan dan di sektor lain. Ramai dalam kalangan masyarakat kita masih tidak peduli tentang sektor
pertanian ini, padahal sektor ini mempunyai potensi yang besar untuk di majukan.
Masalah sektor ini belum dapat dimajukan ialah negara kita kekurangan tenaga kerja mahir dan separa
mahir. Hal ini demikian kerana ramai ramai golongan muda terutama golongan mahasiswa dan mahasiswi
tidak berminat untuk mempelajari dan menceburi bidang pertanian ini kerana mereka tidak mahu bersusah
payah di bawah panas terik matahari dan lebih mementingkan keselesaan diri sendiri serta berminat untuk
makan gaji. Namun demikian golongan ini kurang meneroka untuk mengaplikasikan apa yang mereka
pelajari itu denagn sektor pertanian. Sebagai contoh, pelajar yang mengambil jurusan sains boleh
menggabungkan bidang sains dan pertanian untuk menghasilkan satu bidang pertanian ynag lebih moden
iaitu bioteknologi. Golongan ini jugaharus menyedari bahawa sekarang ini sektor pertanian di dominasi oleh
golongan tua dan ini menyebabkan produktiviti menjadi rendah. Dengan itu, golongan belia ynag
mempunyai banyak kudrat harus membantu membangunkan sektor ini.
Usaha yang dapat dilakukan untuk memajukan sektor pertanian ini boleh dilaksanakan dengan bantuan
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani . Kementerian ini bertanggungjawab sepenuhnya ke atas
pertanian termasuk perikanan dan ternakan. Kementerian ini juga memberi peruntukan yang besar untuk
membuat penyelidikan dalam sektor tertentu. Contohnya, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian
Malaysia (MARDI). Mardi ditubuhkan dengan matlamat memajukan dan menggiatkan teknologi
bersesuaian yang baru dan yang berkait dalam industri pertanian di Malaysia. Teknologi ini bertujuan
meningkatkan penghasilan dan keberkesanan denagn memodenkan sektor pertanian selain membantu
meningkatkan pulangan petani. Selain Mardi, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga berperanan
membantu dalam sektor pertanian khususnya kelapa sawit. MPOB di pertanggungjawabkan untuk meneraju
dan membangunkan industri sawit negara. Industri ini merupakan bahan eksport utama ke luar negara
contohnya ke Amerika Syarikat. Hasil daripada penyelidikan ini juga, penemuan teknologi dan inovasi baru
telah dikomersialkan. Contohnya penggunaan biojisim dan biodiesel, penjenteraan ladang serta kawalan
serangga dan penyakit. Oleh itu, bantu kementerian ini amat diperlukan.
Seterusnya, strategi pemasaran untuk memperkenalkan jentera-jentera pertanian, bahan pertanian, baja
organik serta benih-benih ynag telah diinovasikan untuk menghasilkan pokok yang bervariasi contohnya
orkid. Pameran Pertanian, Horikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2006 (MAHA 2006) merupakan
pameran pertanian yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Institut Penyelidikan dan
Kemajuan Pertanian Malaysia di (MARDI) Serdang Selangor. Lebih seratus jenis orkid di pamerkan pada
pameran pertanian itu termasuk dua spesis hybrid orkid baru yang dilancarkan iaitu Dendrobium dan
Ascorahnis . Spesis ini amat cantik dan mempunyai saiz bunga yang lebih besar serta mampu bertahan
sehingga tiga bulan. Dengan adanya pameran seperti ini Malaysia dapat menarik perhatian sektor pertanian
luar negara untuk bersama-sama memajukan bidang pertanian. D samping itu, pameran ini dapat membantu
hubungan dua hala Malaysia dengan negara lain untuk mengembangkan bidang ynag berkaitan dengan
pertanian seperti perikanan dan ternakan. Pertanian hiliran juga boleh dilakukan untuk memasarkan sesuatu
produk yang lebihlama ke pasaran antarabangsa. Contohnya, buah pisang ialah buah yang cepat busuk dan
tidak tahan lama. Hal ini dapat diatasi dengan menghasilkan makanan segera seperti kerepek pisang yang
bukan sahaja mempunyai tempoh pasaran ynag lebih lama tetapi juga harga yang tinggi. Oleh itu, para
petani yang sedia ada dan yang bakal menceburi bidang ini seharusnya mempunyai pengetahuan yang tinngi
tentang strategi pemasaran ynag berkasan.
Teknologi moden untuk menggandakan hasil pengeluaran sesuatu produk boleh dilaksanakan dengan
menggabungkan teknologi sains dan pertanian. Kaedah ini dipanggil sebagai bioteknologi.bioteknologi
menghasilkan manfaat ketara seperti pengurangan kos pengeluaran, peningkatan hasil pertanian,
pengurangan penggunaan racun perosak dan racun herba. Pelbagai kaedah digunakan untuk meningkatkan
kualiti dan kuantiti pengeluaran makanan. Contohnya, kaedah pembiakbakaan yang sering digunakan dalam
menghasilkan kelapa sawit yang lebih berkualiti. Kelapa sawit sepsis Tenera dihasilkan melalui
pembiakbakaan dua sepsis kelapa sawit iaitu sepsis dura dan pisifera. Manakala kawalan biologi juga dapat
membantu meningkatkan hasil produk. Kaedah ini sering digunakan di kawasan ladang kelapa sawit bagi
mengawal kerosakan buah oleh tikus. Mereka lazimnya menggunakan ular atau burung hantu untuk
memakan tikus tersebut. Kaedah ini merupakan kaedah ynag mesra alam dan tidak mencemarkan alam
sekitar kerana tidak melibatkan bahan kimia dan hanya menggunakan sifat semula jadi haiwan ynag
berkenaan. Dengan itu, penggunaan teknologi moden amat diperlukan dalam dunia yang kian berkembang.
Usaha lain yang dapat dilakukan ialah bantuan kewangan dan perundingan. Pihak bank pertanian
khususnya boleh memberi pinjaman kepada para petani untuk memulakan projek pertanian mereka.
Pinjaman yng dibuat dapat membantu membeli jentera bagi menggantikan tenaga manusia dan membeli
benih yang lebih bermutu .skim pinjaman yang berkadar faedah rendah perlu disediakan oleh bank,
terutamanya Agrobank untuk pekabun kecil. Sebagai contoh, Agrobank telah menawarkan Modal
Usahawan 1 Malaysia kepada petani kita untuk mengusahakan industry kecil dan sederhana IKS yang
berasaskan pertanian. Bak kata pepatah, ada padi semua kerja jadi, ada beras semua kerja deras. Dengan
adanya skim mikro, pekebun kecil dapat megusahakan pertanian atau penternakansecara komersial dan
saintifik dan berupaya menjalankan iks.oleh itu, pihak bank amat membantu dalam mengubah hidup para
petani kita.
Tuntasnya, kata orang tua-tua, genggam bara api biar sapai jadi arang.semua pihak yang terlibat perlu
menggembleng tenaga untuk memajukan sektor ini. ibu bapa harus memainkan peranan untuk memberi
pendedahan tentang kelebihan bidang pertanian kepada anak –anak sejak mereka kecil lagi. Bak kata
pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa juga boleh menyemai sikap cinta akan pertanian
dalam diri anak-anak dengan membawa mereka ke pameran pertanian seperti MAHA yang dijalankan setiap
dua tahun untuk memdedahkan anak-anak dalam dunia pertanian yang menguntungkan. Kita juga harus
mengubah persepsi masyarakat kita bahawa bidang pertanian ini amat menguntungkan dan bukannya
memenatkan sahaja..bak kata pujangga Aminuddin Baki, ayam dikepuk mati kelaparan,itik di air mati
kehausan. Kiasan tersebut memberikan tamparan pedas bahawa apa-apa bidang sekalipun jika tidak
diusahakan dengan segala ikhtiar dan kebijaksanaan, kita tidak akan dapat mengubah hidup kita.
Langkah memajukan sektor pengeluaran lembu di Malaysia
Sektor pengeluaran lembu di Malaysia dianggap masih lemah kerana pengeluaran lembu masih tidak
memenuhi keperluan pengguna. Negara kita masih lagi bergantung kepada import lembu dari negara luar
seperti Australia. Penggunaan per capita untuk daging lembu ialah 5.86 kg dan pengeluaran lembu di
Malaysia hanya memenuhi 30 % permintaan daging lembu. Kerajaan terpaksa mengimport hampir 70%
daging lembu dari luar iaitu pengimportan dari Australia adalah sebanyak 12,081 MT setahun dan daging
kerbau dari India sebanyak 98,650 MT setahun. Hal ini menunjukkan kebergantungan Malaysia kepada
pengimportan dari luar dan peratusan pengimportan ini haruslah dikurangkan segera bagi menunjukkan
negara kita mampu bersaing dengan negara lauar dalam sektor penternakan terutamanya penternakan lembu
pedaging. Pengeluaran daging ternakan lembu disumbang melalui tiga sumber ternakan iaitu fidlot,
intergrasi dan tradisional Walaupun bilangan ladang penternakan lembu di Malaysia dianggap banyak iaitu
sebanyak 12, 219 buah ladang tetapi ianya tertumpu kepada kaedah tradisional yang hanya mampu
mengeluarkan lembu yang sedikit, berat yang kurang dan secara kecil - kecilan
Langkah yang berkesan perlu diambil oleh pihak yang bertanggungjawab bagi meningkatkan sektor
pengeluaran lembu di Malaysia. Hal ini bukan sahaja untuk mengurangkan kebergantungan kepada import
malah untuk memastikan bekalan yang berterusan walaupun berlakunya krisis makanan dunia. Langkah
pertama yang harus diambil oleh kerajaan ialah menyediakan bantuan kewangan ataupun subsidi kepada
penternak di Malaysia. Seperti yang diketahui ramai, masalah utama penternak binatang pedaging ialah
untuk mendapatkan sumber makanan. Harga makanan yang melambung tinggi di pasaran menyebabkan
penternak terpaksa mengurangkan jumlah makanan yang perlu diberikan kepada binatang ternakan mereka
dan ini menyebabkan kebajikan binatang ternakan tidak dijaga dengan baik. Lankah awal yang perlu diambil
perhatian ialah memberikan insentif berupa subsidi makanan seperti palet kepada penternak ataupun
menyediakan ladang pastura kepada penternak dalam satu kawasan ternakan. Selain itu, bantuan kewangan
yang boleh diberikan kepada penternak dalam memajukan sektor pengeluaran lembu ialah bantuan
pembinaan ladang ternakan. Infrastruktur ladang yang tidak mencukupi dan kecil menyebabkan lembu yang
dihasilkan tidak berkualiti, kurus dan lembu juga senang tercedera. Prasarana seperti tempat menurunkan
lembu, pagar besi, stor makanan dan sebagainya perlu disediakan dengan lengkap. Bantuan kemudahan asas
seperti ini mampu meningkatkan sektor penternakan lembu kerana ini merupakan penyebab utama
masyarakat tidak menyertai bidang penternakan. Jika masalah ini dapat diatasi, tidak mustahil peningkatan
ladang – ladang ternakan akan berlaku dan ini memastikan negara kita bergerak ke arah sara diri daripada
mementingkan import.
Langkah kedua yang perlu diambil ialah menyediakan kursus atau seminar berkaitan dengan
penternakan lembu. Kursus ini perlulah dijalankan di setiap daerah untuk bagi memberikan gambaran
sebenar mengenai sektor penternakan lembu terutamanya. Kebanyakan orang beranggapan bahawa sektor
penternakan merupakan bidang yang kurang menguntungkan dan berisiko tinggi. Pemahaman yang betul
haruslah disampaikan kepada masyrakat agar pandangan negatif terhadap bidang ini dapat dielakkan. Selain
daripada menimbulkan minat kepada penternakan, kursus yang diberikan juga turut memberi pengetahuan
khusus dan tunjuk ajar mengenai cara menternak lembu dengan betul dan memperoleh sijil yang diiktiraf
oleh kerajaan seperti Skim Amalan Ladang Ternakan ( SALT ). Skim ini berlandaskan kepada ternakan
yang sihat dan diurus dengan amalan yang baik kualitinya dan selamat untuk dijadikan makanan. Kriteria
untuk mendapatkan pengiktirafan dalam SALT adalah berasaskan kepada ‘Good Animal Husbandary
Practice' (GAHP), Pengurusan Kesihatan Ternakan (Animal Health Management), Biosekuriti,
Infarastruktur yang baik dan kawalan penggunaan ubat-ubatan Veterinar. SALT dilaksanakan sebagai usaha
untuk mewujudkan standard amalan sanitari lading ternakan yang tinggi dan mampu meningkatkan
keselamatan makanan yang dihasilkan dari ternakan. Hal ini memudahkan penternak dalam memastikan
kualiti produk mereka terjamin dan mudah untuk dipasarkan. Peranan lain kursus penternakan ialah dapat
menimbulkan minat kepada mereka untuk menceburi bidang penternakan terutamanya sektor penternakan
lembu. Hal ini penting dalam memastikan peningkatan yang ketara dalam sektor penternakan lembu di
malaysia.
Langkah terakhir yang dianggap berkesan dalam memastikan bidang pengeluaran lembu di malaysia
meningkat ialah mengadakan hubungan kerjasama dengan negara yang berjaya dalam industri penternakan
lembu seperti Australia. Jalinan kerjasama ini penting untuk mempelajari teknologi yang digunakan di
Australia dan diaplikasikan di Malaysia bagi meningkatkan hasil pengeluaran lembu. Dalam langkah ini
kerajaan memainkan peranan penting bagi membentuk jalinan kerjasama. Teknologi seperti pembiakbakaan
dan pembesaran badan lembu dalam tempoh masa yang singkat haruslah dipelajari memajukan sektor ini di
Malaysia. Selain daripada hubungan kerjasama antara negara, lawatan juga haruslah diadakan kepada
penternak untuk meningkatkan pengetahuan mereka mengenai cara baru bagi memastikan hasil yang
diperolehi menguntungkan.
Kesimpulannya, pembangunan haruslah ditingkatkan dari semasa ke semasa untuk membantu sektor
pengeluaran lembu di Malaysia. Projek National Fidlot Corporation ( NFC ) haruslah dibaiki dan dinaik
taraf bagi menggantikan kebergantungan pasaran luar. Peranan yang besar daripada pelbagai pihak
terutamnya pihak kerajaan melalui Jabatan Veterinar amatlah diperlukan bagi mencari teknologi baru
penternakan dan pemodenan dalam industri penternakan lembu yang masih di tahap lama iaitu banyak
menggunakan cara tradisional yang kurang keberkesanannya. Akhir sekali, dalam memajukan sektor ini
tindakan dari akar umbi perlu dilaksanakan dan seterusnya peningkatan akan berlaku

Anda mungkin juga menyukai