Ramadhan - Bulan Muhasabah Diri
Ramadhan - Bulan Muhasabah Diri
Gangguan atau rintangan yang amat mencabar bagi setiap insan ialah
syaitan. Syaitan ialah musuh manusia yang utama. Tugas utama dan
'core business' syaitan tidak lain tidak bukan hanya untuk menyesatkan
manusia. Setiap detik kerjanya menjahanamkan manusia supaya akan
terjun ke neraka seperti mana dirinya yang tiada harapan langsung
masuk syurga. Dalam otaknya sudah disetkan begitu. Kita tidak perasan
musuh kita yang halus lagi ghaib ini memasang pelbagai strategi untuk
memukul kita, manakala kita pula asyik dilalaikan dengan pelbagai tugas,
kerja dan amalan harian lain hingga terlupa makhluk syaitan ini hendak
memerangkap kita. Nasib baiklah kita ada Allah yang boleh kita minta
pertolongan.
Pendek kata dalam bulan ini, kita mesti menghisab diri dan mengawasi
segala tindak laku kita supaya tidak mencemari amalan puasa. Nabi
sentiasa mengingatkan kita supaya jangan menyamakan bulan ini dengan
bulan-bulan lain. Mesti ada kelainannya kerana inilah keistimewaannya.
Jika anggapan kita Ramadan sama dengan bulan-bulan lain, maka
peruntukan pahala dan rahsia Ramadhan tidak akan kita perolehi dan
kecapi kelazatannya sama sekali.
Setelah mempuasakan segala indera kita dari apa yang dilarang oleh
Allah, kita digalakkan mengisi sepanjang Ramadhan dengan
amalan-amalan sunat seperti membaca al-Quran, bersedekah, mengaji
ilmu agama, sembahyang terawih dan sebagainya. Amalan di bulan puasa
dibalas dengan gandaan pahala yang banyak.
Akhirnya dapat dibuat kesimpulan bulan puasa adalah bulan bagi umat
Islam membuat persiapan diri memperkuatkan benteng jasmani dan rohani
melawan godaan syaitan dan nafsu. Jika kita dikalahkan oleh syaitan
dalam bulan-bulan lain, dengan bantuan Allah insyallah kita akan menang
kerana dapat mengalahkan syaitan pada bulan Ramadhan yang mubarak
ini. Kemenangan ini seharusnya tidak dihadkan dalam bulan ini saja; ia
perlu dihayati seterusnya pada bulan-bulan berikutnya. Ingatlah kita
sedang menjalani kursus dan bengkel mujahadah sepanjang Ramadhan.
Budaya sepanjang kursus/bengkel mestilah diteruskan pada bulan-bulan
lain. Jika ini berjaya dilakukan barulah dikatakan objektif puasa ini
mencapai matlamatnya. Sama-samalah kita lakukan semoga amalan kita
diterima oleh Allah.