Anda di halaman 1dari 25

Suatu masa dahulu, di sebuah negeri

ada seorang gadis bernama Vasilila. Dia


sangat cantik dan baik hati.
Semua orang yang mengenali Vasilila
sering memuji kecantikannya.
Bapa Vasilila seorang saudagar yang
sering berniaga ke negeri lain. Ibunya pula
sudah tua dan selalu sakit. Apabila bapanya
pergi berniaga, tinggallah Vasilila seorang
diri menjaga ibunya.

2
Suatu hari, ibu Vasilila jatuh sakit. Dia
berpesan kepada Vasilila.
“Vasilila, ambillah anak patung ini,” kata
perempuan tua itu. “Jika kamu menjaga anak
patung ini dengan baik, anak patung ini juga
akan menjaga kamu.”
Tidak lama kemudian, ibu Vasilila
meninggal dunia. Vasilila berasa sangat sedih.

4
Beberapa tahun kemudian, bapa
Vasilila berkahwin dengan seorang
perempuan cantik. Ibu tiri Vasilila
mempunyai dua orang anak perempuan.
Ibu tiri dan adik-beradik tiri Vasilila
cemburu akan kecantikan Vasilila.
Apabila bapa mereka tiada di rumah,
mereka selalu menyuruh Vasilila
melakukan semua kerja rumah.

6
Mujurlah ada anak patung ajaib.
Anak patung itu pandai melakukan kerja
rumah. Dengan bantuannya, Vasilila dapat
membuat semua kerja rumahnya.
Apabila Vasilila bersedih, anak patung
itu akan menyanyi dan menari untuk
menghiburkan Vasilila.

8
Suatu hari, bapa Vasilila pergi berniaga
ke negeri lain. Setelah bapanya pergi, ibu tiri
Vasilila menghalau Vasilila keluar dari rumah.
Kasihan Vasilila! Dia terpaksa meninggalkan
rumah itu bersama-sama anak patungnya.
Setelah lama berjalan tanpa tujuan, Vasilila
tiba di sebuah hutan. Dia kemudian ternampak
sebuah pondok. Di dalam pondok itu tinggal
seorang perempuan sihir.

10
“Apa kamu buat di sini?” tanya
perempuan sihir itu apabila terpandang Vasilila.
Vasilila memberitahu perempuan itu bahawa
dia tersesat di dalam hutan.
“Baiklah,” kata perempuan sihir.
“Disebabkan kamu telah berada di sini, kamu
mesti tinggal di sini! Kamu mesti melakukan
semua kerja rumah. Jika tidak, saya akan
makan kamu!”

12
“Sekarang, sediakan hidangan makan
malam!” perintah perempuan sihir itu.
Vasilila pun menyediakan hidangan makan
malam seperti yang diarahkan. Perempuan sihir
itu kemudian memberikan sepotong roti kepada
Vasilila.
“Apabila saya tiada di rumah esok, saya
mahu kamu membersihkan halaman, mengemas
rumah, dan memasak,” perintah perempuan sihir
itu lagi. “Kemudian kopek kacang di dalam dua
karung guni itu.”

14
Vasilila menangis dan berasa susah hati
memikirkan kerja yang perlu disiapkannya.
Tiba-tiba dia teringat akan anak patungnya. Dia
pun memberi rotinya kepada anak patung itu.
“Jangan bimbang, Vasilila,” tiba-tiba anak
patung itu bersuara. “Esok, saya akan membantu
kamu membuat kerja rumah. Kamu hanya perlu
memasak saja.”

16
Keesokan harinya, setelah perempuan
sihir meninggalkan pondok itu, anak patung
ajaib memulakan kerjanya. Anak patung ajaib
membersihkan halaman, mengemas rumah,
dan membuang kulit kacang sebanyak dua
guni itu.
Sebaik sahaja Vasilila selesai memasak,
perempuan sihir pulang. Dia terkejut melihat
semua kerja telah siap dibuat.
“Bagaimana kamu melakukan semua
kerja?” tanya perempuan sihir itu.
“Dengan restu ibu saya,” jawab Vasilila.
“Hah! Saya tidak suka gadis yang direstui.
Pergi dari sini!” bentak perempuan sihir.

18
Perempuan sihir menolak Vasilila
keluar dari pondoknya. Keadaan di luar sangat
gelap. Vasilila pun mengambil tengkorak
bercahaya di atas pagar lalu memacakkan
tengkorak itu pada sebatang kayu. Mata
tengkorak itu bersinar terang.
Vasilila menggunakan cahaya tersebut
untuk menyuluh jalannya keluar dari hutan itu.
Dia kemudian terus berlari sehingga tiba di
rumahnya.

20
Vasilila sangat gembira kerana bapanya
sudah pulang. Dia pun menceritakan apa yang
telah berlaku kepada bapanya. Bapa Vasilila
sangat marah apabila mengetahui perbuatan
isterinya. Dia hendak menghalau perempuan itu
dan anak-anaknya. Akan tetapi, Vasilila memujuk
bapanya supaya memaafkan mereka.
Ibu tiri Vasilila amat terharu dengan
kebaikan hati Vasilila. Perempuan itu insaf.
Mereka pun hidup bahagia bersama-sama.

22
A Jawab semua soalan di bawah.

1. Apakah pemberian ibu Vasilila kepada Vasilila?


2. Vasilila mempunyai berapa orang adik-beradik tiri?
3. Mengapakah adik-beradik tiri Vasilila cemburu terhadap
Vasilila?
4. Apakah yang dapat dilakukan oleh anak patung Vasilila?
5. Mengapakah Vasilila memaafkan ibu dan adik-beradik
tirinya?
B Vasilila sangat cantik. Apakah perkataan lain yang dapat menerangkan sifat
Vasilila? Bagaimana pula dengan adik-beradik tirinya? Apakah perkataan lain
yang dapat menerangkan sifat mereka?

malas hodoh lemah lembut

baik hati rajin kejam penyayang

taat cantik busuk hati cemburu

Anda mungkin juga menyukai