Anda di halaman 1dari 19

7.

0 IKHTIAR HIDUP

7.1 PENGENALAN

Ikhtiar hidup atau survival ialah keupayaan atau kebolehan kita untuk meneruskan
hidup dalam situasi kecemasan seperti berada di dalam hutan, di laut dan sebagainya.
Situasi kecemasan ini adalah apabila kita terputus dengan hubungan luar dan tanpa
mempunyai bekalan makanan yang cukup dan memerlukan kita berikhtiar mencari
tempat berteduh dan mencari makanan sendiri dengan menggunakan sumber alam yang
ada.
Selain itu, ikhtiar hidup boleh diertikan sebagai usaha ikhtiar yang dilakukan oleh
seseorang untuk terus hidup ketika menghadapi sesuatu halangan, bencana atau ancaman.
Keupayaan dan kemampuan ikhtiar hidup atau survival bergantung kepada
persiapan diri kita dan sumber alam. Bagi individu yang mempunyai pengalaman
terhadap persekitaran dan kemahiran ikhtiar hidup, masalah yang dihadapi dapat diatasi
dengan mudah dan selamat.

7.2 TUJUAN

1. Mendapat pengetahuan tentang asas-asas untuk ikhtiar hidup semasa di laut, di


bukit, di gunung dan rimba.
2. Memperoleh pengetahuan melalui alam semulajadi untuk mencari makanan,
perlindungan dan punca-punca air.
3. Mempelajari pengetahuan asas dan langkah-langkah keselamatan semasa
menjalani ikhtiar hidup.
4. Membina keyakinan diri untuk hidup
5. Memperkembangkan minat terhadap alam semulajadi dan dapat menikmati
keindahannya.
6. Mencari dan menggunakan alam semulajadi sebagai makanan untuk terus hidup.
7. Bertindak dengan cepat dan tepat apabila menghadapi sesuatu situasi merbahaya.
7.3 PELAKSANAAN/ AKTIVITI

Cadangan Aktiviti Ikhtiar Hidup Semasa Perkhemahan.

7.3.1 Konsep dan Kaedah

a. Peserta akan dipecahkan kepada 4 atau 5 orang dalam satu-satu kumpulan.


b. Setiap kumpulan akan dibawa ke suatu tempat yang ditetapkan di dalam hutan
dan ditinggalkan;
c. Setiap kumpulan akan dibekalkan dengan keperluan bahan makanan mentah yang
minimum di samping tiga puntung mancis.
d. Peserta digalakkan untuk mencari sumber makanan daripada alam sekitar.
e. Peserta hendaklah menyiapkan semua tugasan tersebut dalam jangka masa yang
telah ditetapkan.

7.3.2 Keperluan Kumpulan


Sebilah parang
3 puntung mancis
Sehelai poncho
Bahan makanan mentah (beras, telur, tepung)
Mastin 1
Buluh 1 batang

Rajah keperluan yang digunakan ketika menjalani aktiviti ikhtiar hidup.


7.3.3 Arahan tambahan
Anda DILARANG sama sekali :
1. Menebang pokok-pokok di sekitar kawasan penempatan;
2. Membunuh binatang liar;
3. Membakar hutan, semak dan rumput;
4. Merayau-rayau di luar kawasan penempatan seorang diri;
5. Turun ke sungai atau laut seorang diri;
6. Menegur atau hairan kepada sesuatu yang ganjil (takbur);
7. Membuat bising, mengganggu hidupan lain;
8. Membuang sampah merata-rata; dan
9. Melakukan atau melanggar peraturan yang ditetapkan.

7.3.4 Langkah-langkah Am Keselamatan.


Memakai jungle boot, seluar tebal dan baju berlengan panjang;
Pastikan tempat perlindungan selamat dan selesa;
Guna bahan-bahan yang dibekalan sebaik mungkin;
Elak daripada memakan tumbuhan yang tidak dikenali; dan
Menentukan jalan keluar semasa kecemasan.

7.3.5 Perkara-perkara yang perlu DIBERI PERHATIAN semasa menjalankan aktiviti


ikhtiar hidup.

a) Keselamatan
Bahaya-bahaya dari alam semulajadi seperti bentuk mukabumi, angin dan
ribut petir.
Bahaya serangan binatang buas.
Kegunaan tumbuhan sebagai bahan ubatan.
Rekaganti senjata sebagai perlindungan diri.
Penggunaan unggun api.
b) Makanan
Mengeksploitasi sumber-sumber yang ada untuk mendapatkan makanan
dan minuman.
Mengenalpasti tumbuh-tumbuhan yang boleh dimakan.
Memerhatikan makanan haiwan yang tertentu untuk memastikan makanan
yang selamat untuk dimakan.
Simpan sumber makann yang ada untuk masa kecemasan.

c) Utamakan Keselamatan
Percaya kepada tuhan.
Yakin pada diri sendiri.
Peka kepada bahaya sekeliling.
Kurang perlakuan yang membazir.

7.3.5 Panduan-panduan Khas Semasa Menjalani Aktiviti Ikhtiar Hidup

a) Memilih tapak yang sesuai untuk perlindungan rekaganti.

Perlindungan rekaganti adalah perlindungan yang perlu dibuat sendiri dengan


menggunakan sumber-sumber yang boleh diperolehi daripada alam sekitar. Di antara
tapak perlindungan yang mudah dibuat ialah pokok poncor, pisang sesikat, pondok pokok
tumbang dan backwoodsman.
i. Jenis atau bentuk tempat perlindungan berdasarkan tempoh masa.
ii. Keperluan untuk melindungi diri daripada hujan, panas, angin atau ancaman
binatang buas, ular atau serangga yang merbahaya.
iii. Pemilihan tapak yang sesuai:-
berdekatan dengan sumber air
berekatan kayu api yang mencukupi
terdapat bahan untuk membina tempat perlindungan
tempat yang rata, tinggi dan kering dan saliran yang baik.
iv. Gunakan alam semulajadi.
b) Mencari dan mengenalpasti sumber air.

Sebolehnya tempat berteduh atau tempat perlindungan hendaklah di tempat yang mudah
mendapatkan sumber air:
Sumber dari tumbuhan
Lopak-lopak air
Perigi
Hujan
Tadahan embun

c) Mencari dan mengenalpasti sumber makanan

Di dalam aktiviti Ikhtiar Hidup, makanan terbahagi kepada dua kategori:-


a. tumbuhan
b. haiwan

a. Tumbuhan

Kebanyakan tumbuhan di dalam hutan boleh dimakan. Sekiranya kita was-was


kita boleh memerhatikan monyet atau burung makan kerana apa yang mereka makan, kita
juga boleh memakannya. Anda boleh mencuba sedikit tumbuhan tersebut dengan lidah.
Sekiranya terasa pedas atau menggigit ianya beracun. Anda juga boleh menggosok
tumbuhan pada lengan, sekiranya terasa gatal elakkan daripada memakannya. Di
samping itu berhati-hati apabila berjumpa tumbuhan atau buahan yang mengandungi
banyak lendir, kerana ianya juga bahaya untuk dimakan:
mengenalpasti tumbuhan yang boleh dimakan seperti buah, daun,ubi, umbut atau
kulat.
Mengenalpasti binatang atau hidupan yang boleh dimakan seperti burung, ikan,
hidupan laut, binatang-binatang kecil dan mengetahui cara-cara menangkapnya.
Tahu membuat atau membina jerat asas untuk menangkap binatang.
Tahu membuat menggunakan pancing serta sumber umpan.
I) Ciri-ciri tumbuhan yang perlu dielakkan untuk dimakan
Rasanya pedas dan pahit
Tumbuhan yang mengeluarkan getah berwarna putih
Tumbuhan yang berwarna cerah seperti warna merah
Rasanya menggigit lidah
Tumbuhan banyak lendir
Tumbuhan yang kurang pasti boleh dimakan

II) Tumbuhan yang boleh dimakan


Pokok palma seperti nipah, rotan, rumbia dan kelapa ; mempunyai umbut
dan buah.
Buluh yang ada rebung
Pucuk paku
Buah-buahan hutan seperti kepayang, cermai, tampoi, pecepak, keranji,
durian hutan, sentol, kedondong, kelubi, salak, asam paya, gemial,
senangin dan binjai
Jenis buah ubi
Jenis kulat

III) Mengenalpasti tumbuhan yang boleh dibuat ubat


Tongkat ali
Buah gorek
Dukong anak
Pokok bakung
Pokok ara pulas
Pokok halban
Pokok selayang
Pokok nataltik
b) Haiwan

Di sungai atau kali terdapat sumber makanan yang mudah didapati. Oleh itu,
adalah digalakkan untuk berkhemah berdekatan dengan sungai kerana haiwan-haiwan
darat akan pergi ke sungai untuk minum. Di samping itu, kehidupan yang terdapat dalam
sungai juga banyak iaitu seperti ikan dan siput sungai. Haiwan kecil mudah ditangkap
seperti burung dan tidak mengancam keselamatan manusia. Terdapat pelbagai cara untuk
menangkap haiwan-haiwan ini seperti memancing, menyumpit dan menjerat.

I) Kemahiran menghidupkan api dalam keadaan seperti hujan, angin dan lain-lain

Panduan menghidupkan api


Api adalah penting untuk :-
Memasak
Memanaskan badan
Menghalau haiwan

II) Jenis-jenis kayu untuk menghidupkan api

Terdapat tiga jenis kayu yang sering digunakan iaitu:


Ranting kayu ranting yang digunakan untuk menyalakan api
Kayu lambat bakar kayu yang menghasilkan bara untuk memanggang
Kayu cepat bakar kayu yang terbakar dengan kuat

III) Tapak untuk menyalakan api

Tapak mestilah :
a) Jauh dari khemah dan pokok
b) Kering
c) Dilindungi dengan batu, kayu atau tanah supaya apinya tidak merebak ke tempat
lain
IV) Menghidupkan api

a) Api jenis Tee Pee atau Wigham


- Letakkan habuk kayu atau daun kering di atas tanah.
- Sebatang kayu ditekan ke dalam tanah condong ke arah daun atau habuk
kayu tersebut.
- Letakkan ranting-ranting kayu menegak dan menindih kayu yang ditekan
ke tanah tersebut.
- Nyalakan api

b) Api Bersilang
- Letakkan dua potong kayu yang lebih kurang sama besarnya di atas tanah
dalam kedudukan selari.
- Tindih kayu secara berselang seli menjadi beberapa lapisan.
- Letakkan ranting-ranting kayu dan daun-daun kering di dalam lapisan
kayu-kayu tersebut.
- Nyalakan api.

7.4 APLIKASI

7.4.1 Jerat dan perangkap

Jerat
Kaedah ini digunakan untuk menangkap haiwan dan haiwan itu
akan cedera ataupun mati.
Biasanya ia menggunakan benda-benda yang tajam, berat, keras
atau kaedah jerutan.
Antara jenis jerat yang digunakan ialah jerat bidas (sesuai untuk
menjerat burung, ayam hutan dan pelanduk), jerat racik (burung,
ayam hutan) dan jerat hempap (landak, pelanduk).

Perangkap
Kaedah ini digunakan untuk menangkap haiwan hidup-hidup tanpa
mencederakan haiwan tersebut.
Teknik yang digunakan biasanya dengan ikatan, kurungan atau
jaring.
Antara jenis perangkap yang digunakan ialah bubu, taut dan
serkap.

a) Jerat Bidas

Ikat jerat pada hujung joran dan kemudiannya buatkan running


bowline di hujung tali tersebut.
Ikat kayu pembingkas pada tali joran tersebut.
Pasangkan kayu lengkung pada denai (laluan) binatang dengan
mencacakkan kedua-dua hujung di atas tanah.
Jerat Bidas

b) Jerat Racik

Ikat racik pada puntung kayu (5 cm) sebanyak 15 racik.


Kemudian, pacakkan kayu-kayu yang telah diikat racik di atas tanah
dalam dua barisan.
Ikat racik menggunakan ikatan pasdul.
Pacakkan kayu pemati dan ikat tali racik pada kayu tersebut
menggunakan ikatan manok

Jerat Racik

c) Jerat Hempap

Alat-alat diperlukan adalah sebatang kayu yang besar, tali dan


beberapa dahan kecil.
Dahan-dahan kecil itu digunakan untuk memagari kawasan bagi
mengelakkan haiwan tersebut bergerak pantas menyelamatkan diri.
Setiap pancang pagar kayu diikat dengan tali tangsi/akar menggunakan
ikatan manok.
Di hujung batang kayu (besar) diikat menggunakan ikatan manok dan
tali itu disangkutkan ke dahan pokok, seterusnya ke injap jerat.
Injap jerat diikat menggunakan ikatan manok.
Apabila haiwan terlanggar injap, batang pokok akan menghempap
haiwan.
Langkah-langkah keselamatan perlu diberi perhatian ketika melakukan
jerat ini.

Jerat Hempap

d) Perangkap Lubang

Alatan yang digunakan ialah kayu panjang, cangkul, daun yang lebar
(contohnya daun pisang), daun-daun kering.
Gali sebuah lubang mengikut saiz yang sesuai.
Susun batang kayu yang panjang di atas lubang tersebut yang dijangka
dapat menampung berat daun yang hendak diletakkan di atas lubang
tersebut.
Setelah itu, daun besar dilapik ke atas rangka kayu dan kemudiannya
diikuti dengan daun kering.

Perangkap Lubang
e) Bubu

Alatan yang diperlukan ialah buluh, tali rafia, parang, pisau, rotan.
Buluh dibelah dan diraut sebesar 0.5 cm.
Bilah-bilah buluh disusun pada gelung rotan, diikat menggunakan
ikatan lilit kacang.
Untuk membuat pintu perangkap bubu, bilah buluh disusun mengikut
bulatan gelung dari besar ke kecil (secara tirus).
Buluh yang digunakan untuk membuat hujung pintu perangkap bubu
hendaklah ditajamkan.
Untuk pintu bubu, tempurung kelapa sesuai digunakan.
Bubu
f) Taut

Alatan yang diperlukan ialah bilah buluh/ buluh kecil, tali tangsi dan
mata kail.
Tali tangsi diikat pada bilah buluh/ buluh kecil menggunakan lilitan
balak.
Pada mata kail pula, ikatan fisherman knot digunakan.
Umpan yang digunakan mestilah masih hidup seperti anak ikan, katak,
belalang ataupun serangga yang sesuai.

Taut

7.4.2 Cara Memasak Makanan

a) Memanggang

Alatan yang diperlukan ialah bilah buluh/ ranting kayu dan


ikan/ayam.
Bilah buluh dibelah dua sehingga membentuk Y.
Kemudian ikan/ ayam disepit di celah belahan buluh dan hujungnya
diikat dengan akar.
Bagi memanggang roti lilit, adunan yang telah siap dililit pada bilah
buluh/ ranting kayu.
(Adunan roti lilit ialah tepung gandum, gula/garam, air, telur)

Kaedah Memanggang

b) Memasak nasi
Alatan yang diperlukan ialah buluh.
Terdapat dua cara memasak nasi yang boleh digunakan.
Cara yang pertama ialah ruas buluh ditebuk pada bahagian tengah dan
bahagian lebihannya dijadikan tudung.
Beras yang telah dibasuh dimasukkan ke dalam ruangan yang telah
ditebuk dan diisi air secukupnya.
Lubang tersebut ditutup semula dengan tudung dan api dinyalakan.
Cara yang kedua ialah buku buluh ditebuk dan dibersihkan.
Kayu berbentuk Y digunakan sebagai penyokong.
Buku yang telah dibersihkan, dimasukkan ke dalam buluh tersebut
dan dimasak.
Kaedah Memasak Nasi di dalam Buluh
c) Memasak dalam tanah

Alatan yang diperlukan ialah tanah liat dan daun pisang


Sebagai contoh dalam aktiviti memasak ikan.
- Ikan yang telah dibersihkan, dibungkus dengan daun pisang.
- Kemudian ikan tersebut dibalut dengan tanah liat.
- Setelah itu, ikan tersebut dimasukkan ke dalam lubang dan
lubang itu ditimbus dengan tanah.
- Unggun api dibuat di atas timbusan tersebut selama 30 minit.
- Ikan yang telah masak dihidangkan.
* Perhatian :- Cara ini boleh juga digunakan untuk memasak bahan
makanan yang lain seperti telur, ubi kentang, ubi keledek, ubi kayu dan
lain-lain.

Kaedah Memasak dalam Tanah

d) Memasak dalam darurat


Peperangan, bencana alam dan sebagainya
Alatan yang diperlukan ialah kawah, beras, pisang, lobak merah,
kekacang, ayam, bawang merah, putih, halia, minyak, ikan bilis,
udang kering.
Cara memasak (biasanya dilakukan secara bergotong-royong)
Cara penyediaan:-
- tumis bawang merah, bawang putih dan halia.
- masukkan beras ke dalam kawah selepas air mendidih.
- masukkan bahan ke dalam kawah dan kacau.
- sedia untuk hidangan.

Kaedah Memasak Ketika Darurat

7.4.3 Perlindungan rekaganti.

a) Banir
b) Pondok Poncor

c) Pondok Lereng Lengkok


d) Pisang sesikat

7.5 RUMUSAN

Menguasai kemahiran ikhtiar hidup merupakan salah satu penekanan yang amat
dititikberatkan dalam membentuk jati diri dan semangat berdikari di kalangan setiap ahli
Kadet Remaja Sekolah. Melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan, diharapkan agar ahli
dapat membina keyakinan diri di samping dapat membuat sesuatu pertimbangan yang
sewajarnya dalam apa-apa situasi atau keadaan.
Selain daripada itu, aktiviti ikhtiar hidup juga dapat menyemai peraaan kecintaan
kepada alam semulajadi yang merupakan khazanah yang amat berharga untuk dijadikan
warisan generasi akan datang.

LAMPIRAN

Rajah di atas menunjukkan sebahagian dari senjata yang diperbuat daripada alam
semulajadi.

Anda mungkin juga menyukai