Anda di halaman 1dari 2

Menyemai minat membaca, biar seawal usia

Dr Mazlina Che Mustafa


Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak/ Jabatan Pendidikan Awal Kanak-
Kanak
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Menyemai minat membaca harus dimulakan seawal usia. Konsep menyemai itu sendiri
harus bermula dengan menanam perasaan positif ketika membaca. Ibarat menanam
benih, ia harus disemai dengan baja dan air serta sinar matahari secukupnya; minat
membaca juga harus disemai dengan perasaan suka kepada buku dan secara
beransur-ansur.

Peranan ibubapa dan guru untuk menyemai minat membaca sebenarnya lebih besar
sebelum mengajar kemahiran membaca. Ibu bapa dan guru harus menyemai perasaan
minat kepada buku dan cerita terlebih dahulu sebelum mereka diajar membaca. Minat
membaca itu akan bercambah menjadi perasaan suka membaca sekiranya ia dipupuk
dari seawal usia. Apabila kanak-kanak sudah suka membaca, maka ia akan menjadi
nilai dalam diri kanak-kanak. Kanak-kanak yang menjadikan membaca sebagai nilai,
akan tumbuh menjadi insan yang berfikir secara kreatif and kritis. Pemikiran dinamik
sudah tentu hasil dari pembacaan yang meluas dan pelbagai.

Sekiranya anak-anak dipaksa untuk belajar membaca, pada satu peringkat, mereka
mungkin boleh membaca namun minat untuk membaca mungkin beransur pudar. Lebih
membimbangkan sekiranya, minat itu terus lenyap apabila mereka menginjak usia
dewasa. Paksaan membaca akan membawa kesan jangka masa panjang pada diri
kanak-kanak.

Lumrah, kanak-kanak yang masih kecil suka mendengar cerita. Ibubapa dan guru boleh
memilih buku yang bersesuaian dengan minat, tahap pengetahuan, dan perkembangan
kanak-kanak. Bayi juga boleh melihat gambar yang terdapat dalam buku cerita,
mendengar suara ibubapa atau guru dalam pelbagai pelbagai intonasi ketika bercerita.
“Bonding” juga berlaku di antara ibu bapa atau guru dan kanak-kanak melalui aktiviti
bercerita secara santai. Hubungan yang erat ini penting dalam menyemai minat
membaca kerana anak-kanak merasa senang dan aman serta tiada gangguan dari
gajet atau seumpamanya sewaktu aktiviti ini dijalankan. Sekiranya kanak-kanak sudah
boleh membaca, usah tinggalkan aktiviti bercerita. Sesekali minta kanak-kanak untuk
membaca cerita pada anda. Ini juga merupakan penghargaan ibu bapa dan guru
kepada kebolehan kanak-kanak.

Persekitaran memainkan peranan yang penting bagi menyemai minat membaca kanak-
kanak. Pastikan bahan-bahan bacaan senang dicapai oleh kanak-kanak pada bila-bila
masa dan koleksi bahan boleh ditambah dari masa ke semasa mengikut keperluan
perkembangan kanak-kanak. Ibubapa dan guru juga boleh menunjukkan contoh yang
baik dengan menjadikan buku sebagai pendamping di masa terluang. Kanak-kanak
yang melihat suasana ini di rumah baik di sekolah pasti akan merangsang minat
mereka untuk membaca. Sediakan sedikit peruntukan wang untuk membeli bahan
bacaan seiring peningkatan usia anak-anak. Selain itu, perpustakaan juga menyediakan
ruang dan bahan bacaan untuk kanak-kanak.

Akhir kata, marilah kita menyemai minat membaca dari seawal usia seperti peribahasa,
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila minat sudah disemai, lebih mudah untuk
mengajar kemahiran literasi kelak.

Anda mungkin juga menyukai