Anda di halaman 1dari 12

KEBERKESANAN TEKNOLOGI PENDIDIKAN DALAM PROSES

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Nadia Binti Mat Zin* & Noraishah Binti Buang Fakulti Pendidikan Universiti
Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor

Abstrak
Penggunaan teknologi pendidikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran telah lama
diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Melalui Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013 – 2015 juga menyatakan perancangan untuk menyediakan akses internet
bagi memastikan kemudahan teknologi dipertingkatkan ke seluruh sekolah di Malaysia. Teknologi
dalam pendidikan dilihat memberi manfaat kepada guru untuk melancarkan proses pengajaran
sebagai motivasi kepada pelajar-pelajar. Namun begitu, halangan-halangan penggunaan
teknologi ini juga dikenalpasti iaitu antaranya faktor kurangnya kemahiran dan pengetahuan,
kekangan masa dan capaian internet yang perlahan. Teknologi pendidikan perlu dinaiktaraf
sejajar dengan keperluan masa kini dan masa hadapan kerana ia terbukti memberi impak yang
positif dalam sistem pendidikan Negara kita. Namun begitu, dalam keghairahan mengguna
teknologi maklumat dalam pendidikan, kita harus berwaspada terhadap bahaya dan kesan negatif
akibat penggunaan yang tidak terkawal.
Kata kunci: Teknologi Pendidikan, Kemahiran, Internet dan Pembelajaran Maya

1.0 PENGENALAN
Sistem pendidikan masa kini memerlukan para pendidik membuat anjakan
paradigma dari segi penyampaiannya di bilik darjah. keperluan ini didasarkan
kepada beberapa ciri pendidikan yang menjadi tunjang kepada dasar pendidikan
negara seperti pembelajaran berfokuskan pelajar, pembelajaran berbantukan
teknologi dan pembelajaran berdaya fikir. Kini pendidikan di Malaysia terus
berkembang dengan berbantukan ICT atau Teknologi Maklumat dan Komunikasi
dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Sejarah di Malaysia dalam perkembangan ini adalah melalui beberapa
program yang diperkenalkan seperti pengajaran Sains dan Matematik dalam
Bahasa Inggeris yang mana telah dimansuhkan baru-baru ini. jika dilihat ketika itu
guru-guru sains dan matematik dibekalkan dengan kursus-kursus, sekolah pula
dibekalkan dengan pelbagai infrastruktur seperti komputer riba dan projektor
LCD.
Perkembangan yang pesat dalam era ICT telah memberi kesan dalam
setiap bidang termasuk pendidikan. Sistem pendidikan guru juga turut dipengaruhi
ICT terutama dalam aplikasi pengajaran dan pembelajaran. (Irfan Naufal Umar &
Nurullizam Jamiat, 2011). Ia menunjukkan penggunaan ICT memberikan
perkembangan yang baik dalam bidang pendidikan. Sebelum bergelar guru, bakal
pendidik telah ditanamkan ilmu-ilmu berkaitan teknologi dalam pendidikan untuk

1570
kegunaan guru ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Tika ini teknologi
merupakan keperluan bagi mempelbagaikan gaya-gaya pengajaran seorang guru
supaya pelajar-pelajar dapat mempelajari ilmu. teknologi memudahkan kerja rutin
seorang guru di mana guru menggunakannya untuk mengajar manakala pelajar
pula menggunakan kemudahan tersebut untuk belajar. (R. Jeyagobi & S.
Subramaniam, 2007)

2.0 LATAR BELAKANG


Dalam dunia pendidikan, guru bukan sahaja digalak menggunakan
teknologi tetapi mengamalkan prinsip-prinsip yang terdapat pada ruang lingkup
teknologi pendidikan dalam sistem pengajaran. Teknologi boleh diterangkan
sebagai aplikasi pengetahuan sains dalam mereka cipta alat-alat yang dapat
meningkatkan keupayaan manusia. Manakala maksud pendidikan pula ialah
proses membentuk manusia secara menyeluruh dan seimbang untuk
memperkembangkan potensi intelek, fizikal, emosi dan rohani manusia ke arah
tahap kesempurnaan.
Teknologi pendidikan merupakan satu proses yang kompleks tetapi
bersepadu yang melibatkan manusia, prosedur, idea, dan juga organisasi (AECT,
1977). Ia juga merupakan proses yang menggunakan pengetahuan merangkumi
bidang sains dan teknikal ke arah merancang persekitaran belajar yang boleh
memberi kejayaan kepada pelajar. Dalam hal ini, sistem penyampaian berasaskan
teknologi bukanlah sekadar menggunakan alatan semata-mata untuk
menyampaikan pengajaran tetapi melibatkan aspek perancangan.
Bagi Roblyer, 2003, Teknologi Pendidikan didefinisikan sebagai
kombinasi proses alat yang terlibat untuk menangani keperluan dan masalah
pendidikan dengan memberi penekanan kepada aplikasi alat yang terkini iaitu
komputer dan teknologi yang berkaitan. Nur Fatin Fakhriah Binti Othaman, 2012
menyatakan bahawa teknologi pendidikan merupakan satu cara yang sistematik
untuk merekabentuk dan melaksana proses pengajaran dan pembelajaran supaya
ia menjadi lebih efektif. Secara kesimpulannya, teknologi pendidikan merupakan
suatu alat yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran supaya ia
lebih teratur, berkesan dan dapat mencapai objektif kandungan pembelajaran
seseorang pelajar. Teknologi pendidikan boleh dibahagikan kepada dua iaitu

1571
media elektronik dan media bukan elektronik. Media elektronik merupakan media
seperti televisyen, radio, komputer, laptop, kamera dan projektor LCD. Manakala
media bukan elektronik pula adalah seperti buku teks, buku rujukan, surat khabar,
papan hitam, kapur dan banyak lagi. Media-media ini sangat membantu guru-guru
untuk mengajar pelajar supaya isi kandungan pembelajaran dapat difahami. Kini,
kerajaan sentiasa menambahbaik sistem pendidikan di Malaysia supaya ia sentiasa
berkembang seiring peredaran zaman. Jika dulu guru-guru menggunakan papan
hitam dan kapur sebagai alat utama tetapi kini ia telah berubah dengan
menggunakan aplikasi komputer power point dan projektor LCD.

3.0 KEBERKESANAN TEKNOLOGI PENDIDIKAN DALAM PROSES


PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
3.1 Bahagian Teknologi Pendidikan Malaysia
Di Malaysia, teknologi pendidikan diletakkan di bawah satu bahagian iaitu
Bahagian Teknologi Pendidikan. Falsafah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP)
ialah penggunaan pelbagai media dan teknologi pendidikan secara terancang
boleh mengukuhkan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah serta
memberi peluang kepada setiap pelajar untuk menguasai ilmu pengetahuan
dengan cara yang lebih menarik dan berkesan sejajar dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan untuk mengembangkan potensi setiap individu secara menyeluruh
dan bersepadu. Fungsi utama BTP ialah:
a. Merancang, memantau, menilai dan mengurus keperluan
dasar teknologi pendidikan.
b. Merancang dan menyelaras hala tuju inisiatif ICT pendidikan dan menyediakan
sokongan perkhidmatan ICT.
c. Merancang, memantau, menyelaras dan menilai pelaksanaan dan keberkesanan
pembestarian sekolah.
d. Merancang, menyediakan dan menerbitkan bahan pengajaran dan pembelajaran
dalam pelbagai media.
e. Merancang, menyelaras, menilai dan memantau pengurusan dan pembangunan
pusat sumber sekolah dan program literasi maklumat.
f. Menyebarkan bahan pengurusan pendidikan serta pengajaran dan pembelajaran
yang diterbitkan melalui pelbagai medium elektronik dan media cetak.

1572
g. Memantau dan menilai penggunaan teknologi pendidikan dalam pengajaran,
pembelajaran dan pengurusan sekolah.
h. Menyediakan khidmat kepakaran dan nasihat bagi mempertingkatkan inovasi
dan kreativiti teknologi pendidikan di sekolah.

BTP banyak membantu pihak sekolah terutama guru-guru untuk


memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran terutama dari segi penggunaan
teknologi. BTP berusaha menyalurkan bantuan kepakaran dan nasihat bagi
menjayakan hasrat kerajaan dan supaya sistem pendidikan Malaysia bertaraf dunia
pada masa akan datang.

3.2 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013 – 2025)


Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, kementerian telah
mengenalpasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan
yang dihasratkan oleh semua rakyat Malaysia. Setiap anjakan perlu kepada
sekurang-kurang satu daripada lima keberhasilan sistem iaitu akses, kualiti, ekuiti,
perpaduan dan kecekapan. Di antara 11 anjakan, terdapat satu anjakan yang
berkait dengan teknologi dalam pendidikan. Anjakan yang ke tujuh iaitu
memanfaatkan ict bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia. Anjakan
ini dirancang kerana penggunaan ICT di sekolah masih tidak mencapai tahap yang
memuaskan dari segi kuantiti dan kualiti. Hal ini telah diperkukuhkan lagi dengan
kajian kementerian pada tahun 2010 yang mendapati bahawa lebih kurang 80%
guru menggunakan ICT kurang satu jam seminggu. Kajian itu juga mendapati
sepertiga guru menggunakan ICT secara berterusan.
Untuk itu, melalui anjakan ini kementerian akan menyediakan akses
Internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui 1BestariNet bagi kesemua
10,000 sekolah, menambahkan kandungan dalam talian untuk perkongsian amalan
terbaik bermula dengan perpustakaan video guru terbaik menyampaikan
pengajaran dalam Sains, Matematik, Bahasa Malaysia, dan Bahasa Inggeris dan
memaksimumkan penggunaan ICT bagi pembelajaran jarak jauh dan
pembelajaran kadar kendiri untuk memperluas akses kepada pengajaran berkualiti
tinggi tanpa mengira lokasi atau tahap kemahiran murid.

1573
Melalui PPPM ini, program Virtual Learning Environment (Frog VLE)
mula dilaksanakan. Frog VLE adalah satu sistem pembelajaran berasaskan web
yang menyerupai dunia pembelajaran sebenar dengan mengintegrasikan konsep
pendidikan konvensional dengan kaedah maya. Semua pelajar akan dapat akses
dengan dunia virtual ini tidak kira sama ada pelajar itu berada di Bandar atau di
pedalaman. Objektif pelaksanaan Frog VLE ialah seperti berikut:
a. Perancangan pengurusan - Guru boleh berkongsi bahan pengajaran serta dapat
meningkatkan kualiti dan kecekapan pengurusan
b. Pembangunan bahan kandungan - Ia membolehkan guru dan murid
membangun objek pembelajaran untuk dimuat naik ke dalam VLE
c. Medium penyampaian pengajaran dan pembelajaran - Frog VLE digunakan
sebagai bahan bantu mengajar. Penggunaannya juga dapat mengoptimumkan
pengajaran dan pembelajaran tanpa sempadan.
Program ini dilihat memberi banyak kepentingan iaitu:
a. Menjimatkan masa dan usaha: Frog memberikan guru alatan yang mudah
untuk melaksanakan tugas seperti merancang pengajaran, menandakan tugasan
dan menguruskan kalendar akademik.
b. Hubungan dan kolaborasi: Frog VLE juga menghubungkan para pendidik di
seluruh negara bagi membolehkan mereka berkolaborasi serta berkongsi
sumber dan idea.
c. Belajar di luar sempadan: Oleh kerana Frog adalah berasaskan awan (cloud-
based), pembelajaran boleh dilaksanakan pada bila-bila masa, di mana jua.
Malah, disebabkan pelajar boleh melakukan penyimpanan awan, beg sekolah
yang berat bakal menjadi sejarah.
d. Menarik dan menambat perhatian: Sistem Frog yang mudah digunakan
membolehkan guru dan pelajar mencari kandungan pendidikan di internet
(video, imej, sumber pendidikan) dan menjadikannya sebagai satu laman web,
tanpa perlunya kepakaran teknikal. Ini membolehkan guru menghasilkan
sumber-sumber pengajaran yang menarik dan menambat perhatian bagi
memenuhi gaya pembelajaran berbeza, dengan hanya beberapa klik mudah.
e. Platform pembelajaran yang terbukti: Frog mempunyai rekod pencapaian
selama 13 tahun dan digunakan di lebih 700 buah sekolah di United Kingdom

1574
dan di seluruh dunia. Sebagai tambahan, Frog VLE turut disepadukan dengan
rakan kandungan dan alat pendidikan lain yang berkuasa, termasuklah Google
Apps untuk Pendidikan dan Khan Academy, untuk memajukan lagi teknik
pengajaran dan pembelajaran.
Walaupun Frog VLE mempunyai banyak kepentingan namun terdapat
kajian yang mendapati bahawa program ini menimbulkan isu. Antaranya ialah
kajian Norazilawati Abdullah et al (2013) mendapati terdapat sebanyak empat
masalah atau kelemahan utama yang telah dikenalpasti. Antaranya ialah capaian
internet terhad, masa yang tidak mencukupi, silibus dan bebanan kerja guru yang
banyak. Namun, bagi pelajar pula ia merupakan salah satu bentuk pengajaran
yang mana ketetapan minda mereka tidak terbatas kepada kaedah pengajaran yang
menggunakan papan hitam dan kapur semata-mata.

3.3 Kepentingan Teknologi Dalam Pendidikan


Dengan kepesatan pembangunan yang berjalan pada masa kini
menyebabkan kerajaan mengambil langkah untuk meningkatkan kemudahan
teknologi terutama dalam bidang pendidikan. Jika pada zaman dahulu, guru-guru
hanya menggunakan papan hitam dan kapur sebagai alat bantu mengajar tetapi
kini dinaiktaraf dengan penggunaan komputer, projektor LCD, tv pendidikan dan
sebagainya. Selain itu juga, penyediaan capaian internet di sekolah-sekolah
memberi kemudahan kepada guru-guru untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran
kepada pelajar-pelajar.
Penggunaan teknologi ini telah banyak memberikan impak yang positif
kepada pelajar. Sekiranya guru-guru mempunyai kemahiran dan pengetahuan
yang mencukupi, proses pengajaran dan pembelajaran dapat berlaku dengan
lancar, lebih teratur dan sistematik. (Mohd Sahandri Gani Hamzah et al, 2010)
Penggunaan teknologi ini bukan sahaja digunakan ketika proses pengajaran dan
pembelajarn tetapi juga dalam pengurusan. Kerajaan telah memperkenalkan
sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Pencapaian perlu dimasukkan
dalam sistem online untuk memudahkan akses oleh pihak kementerian dan ibu
bapa. Selain itu, setiap guru kelas juga perlu memasukkan data kehadiran pelajar
ke sekolah secara online. Perkembangan ini menunjukkan teknologi dalam

1575
pengurusan pendidikan di sekolah sebagai satu keperluan dari segi penyediaan
capaian internet yang baik.
Kementerian Pendidikan Malaysia, 2001 telah menggariskan manfaat
teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Antaranya adalah seperti
berikut:
a. berupaya meningkatkan kefahaman dan penguasaan murid terhadap pelajaran.
b. memberi peluang pembelajaran yang sama kepada semua murid yang pelbagai
keupayaan.
c. meningkatkan motivasi murid.
d. membolehkan pembelajaran bersendiri (individualise learning).
e. membolehkan murid mengakses maklumat yang sukar diperolehi
f. membolehkan murid mengumpul maklumat yang perlukan masa yang lama
atau terlalu mahal untuk diperoleh.
g. mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan mencabar.
h. membolehkan murid mencuba atau melaksana eksperimen yang sukar, terlalu
mahal, mustahil atau bahaya untuk dilaksana dengan cara biasa.
i. meningkat daya kreativiti dan imaginasi murid.
j. memberi peluang kepada murid belajar secara berkesan dengan bimbingan
yang minimum.
k. meningkat kemahiran ICT.
Kajian yang dijalan oleh Chan Yuen Fook dan Gurnam Kaur Sidhu
menunjukkan bahawa teknologi memberikan manfaat kepada pelajar iaitu dapat
membina keyakinan diri, menggalakkan pemikiran kreatif dan meningkatkan
motivasi untuk belajar.
Berdasarkan beberapa kajian dan saranan, teknologi dalam pendidikan
sangat perlu dan ia dapat memberikan implikasi yang positif terhadap pelajar.
Pelajar akan mendapat pengetahuan yang lebih banyak dan membantu mereka
dalam pembelajaran. Melalui capaian internet, pelajar dapat mempelajari banyak
benda baru dan dapat berkongsi bersama rakan-rakan di alam maya.

1576
3.4 Halangan Penggunaan Teknologi Dalam Pendidikan
Teknologi dalam pendidikan memberi banyak impak positif jika dapa
digunakan dengan sebaiknya. Namun begitu, tidak semua guru dapat
menggunakan teknologi dengan efisyen. Beberapa kajian yang telah dilakukan
telah mengenalpasti bahawa penggunaan teknologi dalam pendidikan tidak dapat
dilaksanakan. Antaranya ialah kajian yang dijalankan oleh Norazilawati Abdullah
et al (2013) mendapati terdapat sebanyak empat masalah atau kelemahan utama
yang telah dikenalpasti. Antaranya ialah capaian internet terhad, masa yang tidak
mencukupi, silibus dan bebanan kerja guru yang banyak. Kajian oleh Kementerian
Pendidikan Malaysia pada 2010 menunjukkan hanya satu pertiga guru
menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam sesi pengajaran
dan pembelajaran.
Johari Bin Hassan & Siti Norazlina Binti Kamisan menyatakan
kebanyakan guru yang menggunakan teknologi adalah untuk kepentingan peribadi
dan bukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kajian tersebut
mengenalpasti beberapa faktor halangan iaitu faktor masa, faktor sikap, faktor
latihan dan faktor kemudahan. Tahap kemahiran guru-guru juga masih berada di
tahap sederhana. Kajian ini dilakukan terhadap guru-guru yang berkhidmat di
kawasan luar Bandar.
Menurut Sherry (1990), tanpa kemahiran untuk menggunakan komputer di
dalam pengajaran dan pembelajaran, keberkesanan penggunaan komputer di
sekolah menjadi sangat terhad. Komputer dianggap suatu peralatan yang sukar
digunakan dan memerlukan kemahiran untuk menggunakannya. Guru-guru harus
menguasai pelbagai bentuk penggunaan ICT kerana sistem pendidikan masa kini
mengalami perubahan berikutan dengan perkembangan teknologi komputer dan
telekomunikasi. Nasheila (2000) juga menyatakan bahawa dalam pendidikan, ICT
boleh digunakan untuk mengumpul, menyimpan, memproses, menyalurkan serta
menyebarkan maklumat secara pantas seperti hantaran elektronik (email) atau
CD-ROM untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran.

1577
4.0 IMPLIKASI
Mengikut peredaran zaman, teknologi adalah suatu komponen yang perlu
ada dalam kehidupan kita sekarang. Semakin hari, pelbagai teknologi yang
digunakan sama ada dalam pengurusan mahupun dalam bidang pendidikan.
Malah, penggunaan teknologi di anggap sebagai keperluan kerana proses
kehidupan manusia kini banyak dipengaruhi teknologi.
Setiap pelatih guru pada masa sekarang telah dibekalkan dengan pelbagai
kemahiran dan pengetahuan asas untuk menggunakan teknologi dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Ia dilihat memberi impak yang positif terhadap
prestasi pencapaian pelajar. Kepelbagaian kaedah pengajaran akan memberi
motivasi dan perkembangan yang baik dalam diri pelajar. Dengan wujudnya
teknologi, pelajar dapat mengakses maklumat yang diperlukan sebagai
penambahan kepada pembelajaran yang dijalankan di dalam kelas.
Terdapat banyak kajian mengenai teknologi dalam pendidikan menyatakan
keperluan kepada semua guru untuk mengukuhkan diri mereka dengan kemahiran
dan pengetahuan. Kerajaan juga bersama-sama menyediakan kursus dan bantuan
kepakaran kepada guru-guru. Langkah yang di ambil ini sedikit sebanyak
membuka mata pendidik untuk tidak hanya menggunakan kaedah lama iaitu
papan hitam dan kapur sahaja. Malah mereka perlu meneroka alam maya serta
mendedahkan para pelajar dengan teknologi.
Terdapat kajian yang menyatakan bahawa dengan penggunaan teknologi,
motivasi belajar ditingkatkan. Ini memberi kesan yang baik terhadap prestasi
pencapaian murid yang semakin meningkat. Penggunaan teknologi bukan sahaja
meningkatkan motivasi pelajar malah memberi impak postif kepada guru.
Menurut Hjetland (1995), beliau menyatakan bahawa dengan adanya teknologi,
tugas-tugas guru dipermudahkan serta prestasi guru ditingkatkan contohnya
seperti penggunaan teknologi untuk kerja-kerja pengurusan dan kerja-kerja
pengajaran dan pembelajaran.
Apabila guru-guru mengunakan teknologi di dalam pengajaran mereka,
pelajar ternyata lebih memberi penumpuan dan lebih memahami tajuk tersebut.
Sebagai contoh, di dalam pengajaran Matematik, dengan menggunakan perisian
yang dibekalkan dan didapati pelajar lebih seronok untuk belajar kemungkinan

1578
disebabkan ada audio, video dan grafik yang menarik berbanding guru yang
menggunakan papan hitam sahaja.

5.0 KESIMPULAN
Guru harus mengorak langkah ke depan dengan menyiapkan dan
menyediakan diri untuk mengajar pelajar-pelajar berasaskan teknologi yang telah
disediakan terutama komputer. Guru-guru harus bangkit untuk menambahkan lagi
bahan bantu mengajar untuk menarik minat dan kecenderungan murid untuk
belajar dan mencapai kejayaan yang cemerlang. Walaupun guru-guru dibekalkan
dengan pelbagai perisian, tidak salah sekiranya membina perisian sendiri yang
lebih menarik.
Sistem pendidikan sekolah di Malaysia hari ini dikatakan dapat
menyediakan pelajar-pelajar yang serba boleh bagi menghadapi masa depan yang
lebih mencabar. Dari masa ke semasa, kerajaan akan sentiasa mencari jalan
supaya pendidikan di Malaysia dapat dipertingkatkan. Antaranya usaha melalui
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang juga meletakkan isu penggunaan
teknologi sebagai salah satu anjakan.
Namun begitu, dalam keghairahan mengguna teknologi maklumat dalam
pendidikan, kita harus berwaspada terhadap bahaya dan kesan negatif akibat
penggunaan yang tidak terkawal. Apabila terma maklumat dihujung jari anda
digunapakai, semua makumat dan pengetahuan dapat diperoleh daripada internet
khasnya. Kebelakangan ini, pelajar-pelajar dilihat lebih maju ke hadapan apabila
berbicara tentang teknologi. Pelajar-pelajar yang menggunakan teknologi tanpa
batasan dan kawalan memberi impak yang negatif dalam jiwa dan sahsiah pelajar.
Sebagai guru yang bertanggungjawab, mereka perlu sentiasa mengawasi dan
mengingatkan pelajar tentang penggunaan teknologi tidak dimanipulasikan dan
disalahgunakan.

1579
RUJUKAN

Baharom Mohamad dan Iliyas Hashim. (2010). Gaya Pengajaran &


Pembelajaran. PTS Professional Publishing Sdn Bhd

Chan Yuen Fook & Gurnam Kaur Sidhu. (2008). Peranan Teknologi Maklumat
Terhadap Peningkatan Motivasi Pembelajaran Di Kalangan Pelajar
Universiti. Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA

Chee. (2010). Teknologi Di Dalam Bidang Pendidikan. Diperolehi pada 20 Mei


2014 daripada http://cmq123.blogspot.com/2010/04/teknologi-di-
dalam-bidang-pendidikan.html

Kementerian Pendidikan Malaysia. Bahagian Teknologi Pendidikan. Diperolehi


pada 20 Mei 2014 daripada ://www.moe.gov.my/v/profil-
jabatan?div=4

Bahagian Teknologi Pendidikan, KPM. Diperolehi pada 20 Mei 2014 daripada


http://web.moe.gov.my/btp

Pusat Kegiatan Guru Selekoh. (2013). Kepentingan VLE Frog Meningkatkan


Pembelajaran dan Pengajaran. Diperolehi pada 25 Mei 2014
daripada http://blogfrogvlepkgs.blogspot.com/2013/07/bagaimanakah-
frog-vle-mempertingkatkan.html

Khuzainey Ismail. (2008). Peranan ICT Dalam Pendidikan. Dimuat turun pada 30
Mei 2014 daripada http://www.scribd.com/doc/4762752/PERANAN-
ICT-DALAM-PENDIDIKAN

Irfan Naufal Umar dan Nurullizam Jamiat. (2011). Pola Penyelidikan ICT Dalam
Pendidikan Guru Di Malaysia: Analisis Prosiding Teknologi
Pendidikan Malaysia. Asia Pacific Journal of Educators & Education.
Vol 26, No. 1, 1-14

Ismail Zain. (2004). Pembelajaran Berbantukan Komputer Integrasi Perisian Hot


Potatoes. Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd & Bahagian
Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia

Johari Bin Hassan & Siti Norazlina Binti Kamisan. (2010). Halangan Terhadap
Penggunaan Komputer Dan Ict Di Dalam Pengajaran Dan
Pembelajaran (P&P) Di Kalangan Guru Di Sekolah Menengah
Kebangsaan Luar Bandar Di Daerah Kulai Jaya, Johor. Universiti
Teknologi Malaysia

Mohd Sahandri Gani Hamzah, Ramli Basri dan Shafee Mohd Daud. (2010).
Karakter Guru Ilmu Diagung Guru Disanjung. Utusan Publications &
Distributors Sdn Bhd

1580
Nur Fatin Fakhriah Binti Othaman. (2012). Kepentingan Teknologi Pendidikan.
Diperolehi pada 28 Mei 2014 daripada
http://atinconan.wordpress.com/2012/12/02/264/

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025. (2013). Kementerian


Pendidikan Malaysia

Rahil Mahyuddin, Habibah Elias dan Kamariah Abu Bakar. (2009). Siri
Pendidikan Perguruan Amalan Pengajaran Berkesan. Karisma
Publications Sdn Bhd

R. Jeyagobi dan S. Subramaniam. (2007). Siri Pendidikan Guru Bestari


Pembestarian Proses Pengajaran dan Pembelajaran. Mahir Holdings
Sdn Bhd

Suhaili Hanafi. (2013). Isu dan Cabaran Penggunaan ICT Dalam Pengajaran dan
Pembelajaran, Teknologi Dalam PTV. Dimuat turun pada 28 Mei
2014 daripada http://www.slideshare.net/SuhailiHanafi/cabaran-dan-
isu-penggunaan-ict-dalam-pendidikan

Unit Komputer Dalam pendidikan, Pusat Perkembangan Kurikulum. (2001).


Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Dalam
Pengajaran Dan Pembelajaran. Kementerian Pendidikan Malaysia

1581

Anda mungkin juga menyukai