Anda di halaman 1dari 3

MEMERANGI COVID -19

Sedasarwasa ini, sering meniti di atas bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru
dunia ini tentang wabak penyakit yang telah menular di merata tempat.Wabak ini dikhabarkan dari
Wuhan, China yang dikesan pada penghujung tahun 2019 dan menjangkiti orang sekeliling. Hal
ini menyebabkan permulaan tahun 2020 kita menjadi mencabar. Seantero dunia menjadi bimbang
apabila wabak ini semakin agresif sehingga boleh menyebabkan kematian. Menurut Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO) penyakit ini digelar Covid-19 sebagai singkatan Co untuk Corona,Vi
untuk Virus dan D untuk Disease iaitu penyakit manakala 19 merujuk kepada tahun 2019. COVID-
19 adalah penyakit yang mengganggu sistem pernafasan dan boleh menyebabkan kematian. Pada
masa dahulu, kita menjalani kehidupan dengan bebas tanpa kerisauan. Namun kini, keadaan dunia
telah berubah dan kita menjalani kehidupan seharian dengan norma baharu.

Simptom dan gejala bagi seseorang yang dijangkiti Covid-19 adalah seperti demam, batuk,
sesak nafas dan hilang deria bau. Walau bagaimanapun, gejala yang dialami oleh setiap individu
adalah berbeza dan memerlukan pemerhatian yang teliti daripada doktor. Golongan yang berisiko
untuk menghidap wabak ini tidak disarankan untuk berada di luar. Tamsilnya, adalah seperti warga
emas, kanak-kanak dan pesakit yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan darah
tinggi. Tegasnya, setiap individu yang mempunyai gejala dan merupakan kontak rapat pesakit
COVID-19 haruslah melakukan ujian pengesahan Covid-19. Sekiranya didapati positif
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengambil pesakit positif COVID-19 untuk
dikuarantin selama 14 hari.

Rentetan daripada peristiwa ini, Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin telah
mengisytiharkan darurat sekali gus melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi
mengatasi penularan COVID-19 setelah semakin ramai rakyat Malaysia disahkan positif COVID-
19. Perdana Menteri Malaysia dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dato Seri Dr Noor
Hisham Abdullah telah menegaskan agar semua rakyat di Malaysia bersatu hati untuk mematuhi
Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan. Sebagai contohnya, memakai pelitup
muka dan menjaga penjarakan sosial sejauh satu meter ketika berada di luar. Sektor ekonomi dan
alma meter juga terpaksa ditutup sementara waktu sehingga keadaan pulih seperti sedia kala. Hal
ini mengubah rutin harian normal manusia daripada kebiasaannya. Misalnya bekerja dan belajar
perlulah menerusi dalam talian dengan menggunakan pelbagai platform media massa dan tidak
secara bersemuka. Demi keselamatan orang ramai dan kesejahteraan negara peluang ini telah
dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh barisan hadapan seperti doktor, jururawat, polis dan askar.
Mereka berganding bahu dalam membantu kerajaan menangani COVID-19. Tidak lupa juga
rakyat yang bagai aur dengan tebing mematuhi tindakan kerajaan dalam menangani penularan
wabak penyakit ini.

Kerjasama antara kerajaan dengan masyarakat telah memberikan kejayaan kepada negara
dalam menangani COVID-19 setelah berbulan lamanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
dilaksanakan. Kes harian yang meningkat secara mendadak pula berjaya ditangani sehingga
menjadi sifar. Usaha-usaha yang dilakukan amatlah berbaloi dan bukanlah bagai kambing
menanduk bukit. Kejayaan ini telah menjadikan Malaysia diumumkan antara lima negara terbaik
di dunia dalam mengawal penularan COVID-19. Kejayaan ini menyenangkan hati ramai pihak.
Kerajaan juga telah mula melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada Perintah
Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP).
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah membenarkan hampir semua sektor
ekonomi dibenarkan untuk beroperasi semula tetapi hendaklah akur dan tidak ingkar setiap
Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan atau kompaun akan dikenakan kepada
mereka yang keras kepala untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP). Sebagai contohnya
sudah terang lagi bersuluh di mata rakyat Malaysia tindakan yang akan dikenakan kepada mereka
apabila pemakaian pelitup muka tidak digunakan atau cara pemakaian pelitup muka tersebut
adalah salah.

Namun begitu, falah ini tidak berkekalan lama di tanah air ini. Keadaan bertambah buruk
apabila jumlah kes harian COVID-19 dilaporkan semakin meningkat dari hari ke hari. Lebih
meruntunkan jiwa adalah jumlah kematian bertambah sehingga tiada ruang yang mencukupi lagi
untuk menampung jenazah COVID-19. Pihak hospital terpaksa menggunakan kontena bagi
menyimpan mayat-mayat pesakit COVID-19. Orang awam semakin bimbang tentang penularan
semula wabak ini kerana meragut lebih banyak nyawa. Kerajaan pula dilabel gagal oleh rakyat.
Sudah tiada lagi kata sepakat daripada semua pihak. Semuanya bagai enau dalam belukar
melepaskan pucuk masing-masing. Walau bagaimanapun, kerajaan tetap berusaha untuk tidak
mengabaikan rakyat- dan membiarkan wabak ini meragut lebih banyak nyawa.
Antara usaha kerajaan adalah melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
2.0 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 setelah keadaaan bertambah buruk. Jika semuanya
bersatu padu kemenangan dahulu pasti dapat menjadi milik kita semula. Namun, terdapat segelintir
rakyat yang bersikap mendabik dada dan tidak mempedulikan langsung Prosedur Operasi Standard
(SOP) yang telah diperintahkan oleh kerajaan. Mereka hanya mengikut kepala sendiri dan
menggunakan alasan yang tidak dapat diterima akal oleh orang ramai apabila melanggar Prosedur
Operasi Standard (SOP).

Selain itu usaha-usaha kerajaan untuk memberikan suntikan imunisasi vaksin kepada orang
ramai menjadi lebih sukar kerana wujudnya golongan anti-vaksin yang menyebarkan berita palsu.
Sebagi contoh yang paling ketara ialah mereka menyebarkan kematian yang berlaku kerana
pengambilan vaksin dan mengatakan kononnya vaksin tidak dapat membantu mencegah COVID-
19. Sebenarnya vaksin ini bertujuan untuk memberikan imunisasi kepada badan apabila dijangkiti
COVID-19 dan sebagai langkah pencegahan awal. Kerajaan telah memberikan keutamaan kepada
barisan hadapan dan golongan berisiko untuk menerima suntikan imunisasi vaksin dahulu.
Suntikan imunisasi vaksin hendaklah diambil sebanyak dua dos dan individu perlu mendaftar
terlebih dahulu supaya boleh menerima vaksin yang bersesuaian dengan antibodi badan sendiri.

Secara keseluruhannya kita masih belum menang dalam menangani penularan wabak
COVID-19. Tanpa mengira kedudukan dan pangkat, semua orang hendaklah bersatu padu bak kata
pepatah Melayu seikat bagai sirih, serumpun bagai serai. Hal ini dikatakan sedemikian kerana
dapat melahirkan sinar cahaya buat Malaysia untuk terus berjaya dan sentiasa bekerjasama untuk
mengatasi masalah yang melanda Malaysia. Kita semua masih mampu untuk mencapai
kemenangan tetapi hendaklah bekerja lebih keras. Rakyat hendaklah menyokong segala usaha
kerajaan untuk mengatasi COVID-19 demi kebaikan negara dan tidak membantah. Pemimpin juga
perlulah lebih cekap dalam menguruskan negara dan sentiasa mempunyai strategi-strategi yang
hebat untuk mengelakkan timbul masalah dalan kalangan rakyat marhaen.

Anda mungkin juga menyukai