Anda di halaman 1dari 1

Hari ini, telefon pintar merupakan gajet yang mesti ada di dalam poket atau beg tangan kita

dan menjadi trend gaya hidup masyarakat. Pelbagai fungsi telefon pintar kepada kita. Namun begitu,
penggunaan telefon pintar dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan remaja mempunyai
impak positif dan negatif.

Telefon pintar digunakan sebagai alat komunikasi sama ada bercakap secara terus atau
melalui sistem pesanan ringkas (SMS) ataupun melalui aplikasi WhatsApp, Telegram, dan
sebagainya. Komunikasi ini memudahkan remaja menghubungi ahli keluarga mahupun sahabat
handai di mana-mana sahaja mereka berada dan pada bila-bila masa demi keperluan tertentu.
Contohnya, remaja mudah memaklumkan hal kecemasan yang berlaku kepada keluarga atau rakan
masing-masing untuk meminta bantuan. Sistem Navigasi Satelit (GPS) dalam telefon pintar pula
dapat dijadikan penunjuk arah bagi memudahkan perjalanan.

Kesan positif yang kedua ialah remaja lebih mudah mendapatkan sesuatu informasi
terutamanya yang berkaitan dengan pembelajaran sehari-hari menggunakan telefon pintar.
Maklumat tentang segala bahan pembelajaran diperoleh dengan mudah hanya dengan mengakses
atau melayari Internet. Dengan ini, remaja terutama golongan murid mendapat ilmu pengetahuan
dengan cepat, mudah, dan pantas.

Telefon pintar juga dapat digunakan sebagai alat perakam foto dan video. Hal ini amat
berguna dalam sesi pembelajaran juga. Murid-murid mudah berbincang tentang kerja rumah,
tugasan projek berkumpulan, dan sebagainya secara atas talian. Secara tidak langsung, hal ini
menjimatkan masa, tenaga, dan kos murid-murid kerana mereka tidak perlu keluar untuk berkumpul
dan berbincang di mana-mana.

Telefon pintar juga kini dijadikan sebagai sumber hiburan. Setelah penat mengulang kaji
pelajaran, remaja melapangkan fikiran dengan bermain permainan video yang dapat dimuat turun
melalui aplikasi yang terdapat pada telefon pintar. Dengan demikian, remaja tidak keluar dari rumah
dan sekali gus melenyapkan kerisauan ibu bapa tentang aktiviti anak remaja mereka kerana anak
mereka berada di hadapan mata.

Di sebalik impak positif penggunaan telefon pintar terutamanya terhadap golongan remaja,
pasti akan ada impak negatifnya juga. Ada dalam kalangan remaja yang cenderung untuk
menyalahgunakan fungsi telefon pintar. Mereka terlalu taasub melayari Internet dan bermain
permainan video sehingga menjejaskan tumpuan mereka terhadap pelajaran. Tidak kurang juga yang
menggunakan telefon pintar untuk mengakses laman-laman pornografi atau mendapatkan
maklumat tentang perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan pelajaran mereka.

Kesan negatif seterusnya ialah kos yang lebih terpaksa dikeluarkan untuk membayar bil atau
menambah nilai kad prabayar telefon setiap bulan. Hal ini pastinya membebankan ibu bapa,
terutama yang berpendapatan sederhana dan rendah. Ada pula remaja yang berlumba-lumba untuk
memiliki telefon pintar yang terkini dalam kalangan mereka. Hal ini pastilah membazirkan wang
ringgit sekali gus mencetuskan persaingan yang tidak sihat dalam kalangan mereka.

Intihanya, setiap perkara mendatangkan kebaikan dan keburukan sekiranya disalahgunakan.


Penggunaan telefon pintar dalam kalangan remaja ada impak positif dan negatif juga. Terpulanglah
kepada kita sebagai individu yang dikurniakan akal untuk mengawal penggunaan telefon pintar demi
mendapat kebaikannya.

Anda mungkin juga menyukai