Seni Dalam Pendidikan Seni Itu Seiring D-1
Seni Dalam Pendidikan Seni Itu Seiring D-1
Tertarik dengan sebuah artikel yang baru saya baca semalam, hati saya terdetik pula untuk
menulis mengenainya. Walaupun ringkas tetapi cukup mudah untuk dijadikan contoh mengenai
seni dan kedudukannya di dalam kemajuan sains dan teknologi sekarang. Ini pandangan peribadi
dan interpretasi saya dan terserah kepada kebijaksanaan masing-masing menilai. Sekadar
berkongsi ilmu yang baru saya baca.
“Dengan kemajuan teknologi pada hari ini, seni dalam pendidikan dapat
membantu menangani kemajuan yang kian pesat membangun. Sebagai
contoh, walaupun kita mempunyai gajet-gajet canggih seperti Ipad, Ipod,
Iphone, Samsung Galaxy Note, Tab, [HTC] dan sebagainya tetapi
kecanggihan ini masih memerlukan aksesori untuk kesempurnaan. Dalam erti
kata lin, gajet-gajet ini juga mempunyai pelbagai pilihan warna yang
merupakan unsur utama dalam unsur-unsur seni asas seni reka, Maka dengan
itu, jelaslah bahawa seni bukanlah jumud atau mundur malah seiring dengan
kemajuan teknologi hari ini sehingga mampu mengoptimumkan
pembelajaran murid-murid sekolah.”
(Andy Hadzan, 2014:8)
Jika ditambah selain seni reka, aplikasi-aplikasi yang dimuat turun dan direka juga
memerlukan seni muzik atau kesan bunyi untuk melengkapkannya. Tanpa muzik, bunyi dan
aneka warna sudah pasti pengguna seperti kita tidak berasa seronok malah berasa bosan. Begitu
juga seni pergerakan, bagaimana aplikasi-aplikasi yang dicipta memerlukan teknik gerak sesuai
dengan irama, bunyi, bentuk untuk daya tarikan agar aplikasi dimuat turun oleh ramai pengguna.
Seni lagu, seni visual, seni drama, seni bina, seni fotografi, dan banyak lagi unsur-unsur seni
sastera diperlukan untuk kesempurnaan aplikasi-aplikasi canggih ini. Jadi, kecanggihan ini
sebenarnya memerlukan seni untuk menyempurnakan dan melengkapkannya. Kemajuan
teknologi dan seni saling melengkapi. Contoh ringkas di atas cukup jelas untuk memperlihatkan
kedudukan seni itu sama taraf malah seiring dengan kemajuan sains dan teknologi sekarang.
Seringkali kita mendengar seni itu dilabelkan mundur, terkebelakang, ketinggalan zaman malah
tidak memainkan peranan dalam kemajuan teknologi kita pada masa ini. Mungkin kita tidak
menyedarinya kerana yang nyata di mata kita adalah kemajuan sains, dan seni pula sering tersirat
dan tidak terlihat oleh mata kasar kita.