Anda di halaman 1dari 4

Amanah Seorang Raja

Yang dihormati tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi
bijaksana, penjaga detik yang patuh pada waktu serta, guru-guru dan rakan-rakan yang
saya hormati dan kasihi sekalian. Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan.
Pada pagi yang indah ini, saya akan menyampaikan sebuah cerita yang boleh dijadikan
tauladan kepada kita semua. Cerita saya ini bertajuk ‘Amanah Seorang Raja’.
Dengarkan ya..

Raja Nasrudin ialah seorang raja yang berjiwa rakyat. Negeri Indera Putera
telah lama berada di bawah pimpinannya. Baginda telah mengahwini Aisyah, anak
kepada saudagar permata di negeri tersebut. Baginda dan isteri dikurniakan seorang
putera yang sungguh tampan bernama Raja Nasir.

Kehidupan Raja Nasrudin sekeluarga sungguh bahagia. Semua rakyat jelata


menyenangi pemerintahan Raja Nasrudin. Namun, tiada siapa menduga kebahagiaan
itu direntap secepat kilat. Pada suatu hari, Raja Nasrudin mengalami demam panas
yang sukar diubati. Sudah ramai tabib dipanggil dan pelbagai ubat telah digunakan
untuk mengubati penyakit Raja Nasrudin, namun usaha itu tidak berhasil.

Raja Nasrudin berasakan ajalnya telah tiba. Baginda pun memanggil isteri,
putera dan pengikut-pengikutnya supaya mengadap baginda. Dengan perasaan
sedih,seluruh anggota keluarga dan pengikut-pengikut istana berkumpul untuk
mendengar amanat terakhir daripada raja yang mereka kasihi itu. Dalam keadaan
lemah, Raja Nasrudin mula bertitah.

Wahai rakyatku sekalian, “Sebelum beta meninggalkan kalian, ada amanah


penting ingin beta sampaikan. Tolong didik dan asuh putera beta sebaik-baiknya.”

Isteri Raja Nasrudin terus menangis di sisi baginda.

Kemudian Raja Nasrudin bertitah kepada puteranya, “Wahai puteraku, jadilah


seorang pemimpin yang jujur, amanah dan adil terhadap rakyat jelata.”

1
Tidak lama kemudian, Raja Nasrudin pun menghembuskan nafasnya yang
terakhir. Seluruh rakyat jelata meratapi pemergian raja yang amat disayangi itu. Cuaca
mendung pada hari itu seolah-olah turut bersedih atas kemangkatan Raja Nasrudin.

Selepas kemangkatan Raja Nasrudin, puteranya telah menggantikan baginda.


Seluruh rakyat negeri itu memuliakan Raja Nasir sepertimana mereka memuliakan
Raja Nasrudin.

Ternyata sikap Raja Nasir sungguh mengecewakan semua orang. Sikap baginda
tidak seperti apa yang diharapkan. Raja Nasir menjadi seorang raja yang zalim, panas
baran dan tidak mempedulikan rakyat jelata. Baginda ingin bebas melakukan apa
sahaja mengikut kehendak hatinya. Baginda pernah menengking seorang hamba Allah
yang datang untuk meminta bantuan makanan.

“Pergi kamu dari sini! Di sini bukan tempat untuk meminta-minta! Beta benci
kepada orang yang suka meminta! Kamu tidak berusaha untuk mengubah dirimu.
Kamu hidup hanya meminta-minta,” begitulah herdik Raja Nasir kepada salah seorang
rakyat yang datang untuk meminta bantuannya.

Sikap Raja Nasir semakin buruk, para penghuni istana dan Perdana Menteri
memberanikan diri untuk menghadap Raja Nasir. Mereka ingin menasihati Raja Nasir
bahawa perbuatan baginda melanggar hukum Allah . Namun, teguran tersebut
menimbulkan kemarahan Raja Nasir.

“Siapa kamu semua untuk menegur perbuatan beta? Beta adalah raja yang
memerintah seluruh negeri ini! Kamu semua wajib mengikut titah beta! Beta tidak
suka kamu mencampuri urusan beta! Ingat! Sesiapa yang berani menegur beta, pasti
akan beta hukum dengan hukuman yang berat!” begitulah marah Raja Nasir kepada
pengikutnya.

Sikap Raja Nasir bertambah buruk. Baginda menjadi semakin bengis,


menghukum orang sesuka hati, berjudi, minum minuman keras dan melanggar amanah

2
ayahandanya. Keadaan di negeri Indera Putera juga bertambah buruk. Negeri tersebut
sering ditimpa bala dan bencana alam. Banjir besar telah melanda negeri tersebut.

Rakyat jelata terus menderita. Ada juga yang menemui ajal dibawa arus besar.
Beberapa kali penduduk negeri meminta bantuan daripada Raja Nasir, namun tidak
diendahkannya.

Akhirnya, mereka tidak lagi meminta bantuan Raja Nasir yang bongkak itu.
Perdana Menteri dan penghuni istana sungguh sedih melihat hukuman Allah ini.
Mereka tahu hukuman ini adalah untuk menyedarkan raja mereka yang bongkak itu.
Para pengikut istana mula mencari jalan bagaimana hendak mengeluarkan rakyat
jelata yang tidak berdosa daripada binasa dengan hukuman Allah ini.

Sebagai usaha, Perdana Menteri bersama pengikutnya menuju ke pejabat tuan


hakim. Mereka ingin meminta pandangan beliau tentang kedudukan Raja Nasir.
Pertanyaan mereka dijawab oleh tuan imam yang kebetulan ada di situ.

“Kita suruhlah baginda bertaubat dan berhenti mengerjakan segala perbuatan


yang dilarang oleh Allah, kalau baginda tetap kejam, tidak salah jika kalian
menghukumnya dengan dibunuh sekalipun,” beritahu imam. Tanpa disedari oleh
sesiapa, perbincangan tersebut telah didengari oleh Raja Nasir.

Bimbang mati dibunuh, Raja Nasir akhirnya membuat keputusan untuk


melarikan diri dari istana tersebut. Baginda keluar pada waktu malam tanpa diketahui
oleh sesiapapun.

Tidak seorang pun mahu mencari ke manakah Raja Nasir menghilang kerana
mereka sememangnya tidak mahu berada di bawah pemerintahan raja yang zalim itu.
Sementara itu, Raja Nasir yang melarikan diri ke dalam hutan belantara mengalami
nasib yang buruk. Baginda dirompak oleh sekumpulan penjenayah yang mendiami
hutan tersebut. .

3
Akhirnya, Raja Nasir jatuh miskin. Selama beberapa hari baginda tidak makan
dan minum. Raja Nasir terpaksa mengemis di jalanan. Raja Nasir amat malu kerana
terpaksa meminta bantuan rakyat jelata yang pernah dianiayanya dahulu. Akhirnya,
Raja Nasir sedar dan insaf bahawa segala apa yang menimpanya itu adalah akibat
daripada perbuatannya yang lampau.

Para hadirin yang dikasihi sekalian, begitulah yang terjadi kepada Raja Nasir
yang enggan mendengar wasiat serta pesanan daripada ayahandanya.

Pengajaran daripada cerita ini ialah, amanah yang diberi wajib kita laksanakan
dengan sempurna supaya sebarang kesulitan tidak berlaku. Seseorang yang tidak
berpegang kepada janji dan amanah adalah orang yang tidak jujur bukan hanya kepada
dirinya sendiri malah kepada orang lain juga.

Sekian cerita daripada saya, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum


warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai