Anda di halaman 1dari 4

Dalam era modenisasi yang sarat dengan konkurensi sengit ini,

pelbagai uslub dan minhaj telah djalankan oleh pihak kerajaan bagi
meningkatkan taraf pendidikan di Malaysia. Namun begitu, dunia
pendidikan dibelenggu dengan kemelut disiplin yang berterusan.
Realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa kemelut disiplin
di sekolah yang semakin membarah ibarat api dalam sekam dan
duri dalam daging masih lagi menghantui seluruh rakyat Malaysia.
Isu ini sering meniti dari bibir ke bibir dan menjadi bualan hangat
di warung-warung kopi sehingga ke peringkat persidangan
parlimen. Persoalannya, apakah modus operandi pragmatik lagi
progresif yang wajar diimplimentasikan bagi mengatasi kemelut
ini?

Pada hemat saya, ibu bapa perlu melakukan anjakan paradigma


dalam usaha menangani masalah sosial dalam kalangan remaja.
Hal ini demikan kerana ibu bapa memikul obligasi untuk mendidik
dan membentuk jati diri anak-anak semenjak mereka masih kecil
bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dalam
konteks ini, keprihatinan ibu bapa terhadap anak-anak merupakan
prasyarat untuk membentuk sahsiah yang syumul dalam sanubari
para remaja. Ibu bapa juga harus menjadi suri teladan kepada
anak-anak kerana orang tua-tua pernah mengingatkan bagaimana
acuan begitulah kuihnya. Sebagai contoh, ibu bapa harus
mengamalkan nilai-nilai murni seperti kecekalan, berdikari dan
berdisiplin dalam kehidupan seharian. Ibu bapa juga boleh
memanfaatkan perkembangan teknologi dan maklumat dengan
melayari laman sesawang yang berkaitan dengan gejala sosial.
Pelbagai ilustrasi, video, dan fakta pasti akan membuka minda para
remaja tentang keburukan gejala sosial. Impliskasinya, para pelajar
juga dapat dimatangkan dari segi psikologi dan pemikiran. Menurut
pakar motivasi yang terbilang, Datuk Dr. Haji Mohd.Fadzilah
Kamsah, anak-anak lebih cenderung mendengar penerangan ibu
bapa tentang akibat-akibat berserta bukti yang nyata. Izharnya,
melalui usaha ibu bapa tersebut secara tidak langsung akan
membentuk disiplin anak-anak serta mengeratkan lagi hubungan
silaturahim sesama ahli keluarga, bak kata peribahasa sambil
menyelam minum air.
Selain itu, pihak sekolah juga mempunyai peranannya yang
tersendiri. Sebagaimana yang telah kita maklumi, sekolah
merupakan institusi pendidikan formal bagi melahirkan modal
insan yang seimbang dan harmonis mengikut acuan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan. Sekolah juga boleh diibaratkan seperti
rumah kedua bagi para pelajar. Para pelajar menghabiskan masa
sekurang-kurangnya 6 jam sehari di sekolah. Sehubungan dengan
itu, pihak sekolah perlu melakukan sesuatu kaedah yang preventif
lagi efektif bagi menangani masalah disiplin pelajar. Dalam hal
disiplin, pihak sekolah perlu memperketat peraturan di sekolah dan
memastikan peraturan tersebut dilaksanakan dengan telus dan
adil. Dalam aspek kurikulum, guru sekolah boleh menerapkan
nilai-nilai moral dalam proses pengajaran dan pembelajaran
terutamanya dalam mata pelajaran Sejarah, Pendidikan Sivik dan
Pendidikan Moral. Melalui bidang kokurikulum pula, pihak sekolah
perlu mengadakan lebih banyak aktiviti yang menjurus kepada
pembentukan disiplin pelajar seperti program mentor mentee, kem
motivasi, kursus kepimpinan dan sebagainya. Tambahan pula, guru
kaunseling juga perlu mengadakan ceramah dan bimbingan kepada
para pelajar supaya mempraktikkan gaya hidup sihat. Izharnya,
melalui usaha pihak sekolah, saya yakin pelajar-pelajar tidak akan
terlibat dalam masalah disiplin.

Di samping itu, peranan media massa tidak wajar dipandang sepi.


Kita cukup yakin dengan peranan media massa sebagai penjana
utama perubahan minda dan pemikiran seseorang. Sebagai
mendukung tanggungjawab sosial, media massa seharusnya
menyiarkan rancangan yang lebih bermanfaat daripada
menayangkan rancangan yang berunsurkan hedonisme semata-
mata dan bercanggah daripada norma kehidupan masyarakat
majmuk di Malaysia. Sebagai contoh, adengan di ranjang, tembak-
menembak, pembunuhan dan banyak lagi perlu diharamkan
penayangannya. Ironinya (Sebaliknya), pihak media elektronik
perlu menyiarkan rancangan dan program yang mampu mendidik
orang ramai menjadi warganegara yang matang. Stesen televisyen
utama negara seperti TV3 harus menyiarkan pelbagai rancangan
keagamaan untuk membentuk sahsiah generasi muda seperti al-
Kuliyyah, Semanis Kurma dan Motivasi Pagi. Begitu juga, program
Iman Muda, Ustazah Pilihan dan Tanah Kubur di saluran Astro juga
telah berjaya mendidik remaja menjadi orang yang berilmu serta
bertaqwa. Para pelajar yang sering didedahkan kepada iklan-iklan
tentang faedah perma akan menyebarkannya kepada orang di
sekelilingnya, bak kata pepatah sambil berdendang biduk hilir.
Pihak media massa juga boleh menjemput pakar-pakar menghadiri
rancangan khas untuk menjelaskan secara terperinci tentang
kesan-kesan negatif gejala sosial. Saya optimis, peranan media
massa tidak harus dipandang enteng dalam usaha menangani
masalah disiplin pelajar.

Seterusnya, pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan perlu


memainkan peranan mereka dalam usaha menangani kemelut ini.
Pihak kerajaan perlulah menjalankan kempen-kempen kesedaran
seperti "Kempen Sifar masalah Disiplin" secara istiqamah dari
semasa ke semasa. Jika kempen tersebut dijalankan sekali sahaja
dalam setahun, maka usaha itu hanyalah seperti melepaskan batuk
di tangga. Alang-alang mandi biarlah basah, pihak kerajaan perlu
bersabar menghadapi sebarang cabaran dan dugaan dan sentiasa
memikirkan langkah efektif yang boleh dilakukan dalam usaha
memperkasa tahap disiplin para pelajar kerana yang bulat tak akan
datang bergolek, yang pipih tak akan datang melayang. Sebagai
contoh, penganjuran Karnival Komuniti 1Malaysia oleh
Kementerian Penerangan Malaysia telah berjaya membentuk minda
dan sikap anak didik yang lebih positif. Pihak kerajaan juga harus
menyalurkan peruntukan untuk membina taman riadah untuk para
remaja. Sementelahan itu, badan bukan kerajaan juga perlu
melakukan sesuatu bagi menangani masalah disiplin ini. Mereka
boleh menyokong dan mencarikan dana-dana luar yang dapat
membantu pihak kerajaan dalam sebarang aktiviti ataupun
program yang dijalankan. Dalam konteks ini, apabila pihak
kerajaan dan badan bukan kerajaan berganding bahu ibarat sakit
sama mengaduh luka sama menyiuk dalam segenap aspek, pastinya
masalah disiplin ini dapat diatasi dengan mudah dan berkesan.

Bukan itu sahaja, masalah atau gejala yang sedang bermaharajalela


ini boleh dibenteras dengan penglibatan masyarakat kita secara
menyeluruh. Hal ini demikian kerana peranan masyarakat tidak
dapat dinafikan lagi boleh menyelesaikan masalah dengan dengan
lebih cepat lagi. Masyarakat berperanan menjadi mata dan telinga
kepada pihak berkuasa untuk menangani isu-isu yang berlaku di
persekitaran mereka. Oleh itu, kerjasama yang padu amat
diperlukan supaya setiap gerak kerja yang dirancangkan itu akan
berjaya dan membuahkan hasil seperti yang dihajati. Pada masa
yang sama, masyarakat juga perlu membudayakan amalan atau
cara hidup yang murni secara istiqamah berdasarkan tuntutan
agama serta budaya masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Sebagai analoginya, masyarakat harus menghidupkan semangat
kejiranan dengan mempraktikkan amalan ziarah-menziarahi,
amalan gotong royong, dan amalan rumah terbuka. Selain itu,
masyarakat juga boleh menubuhkan rukun tetangga dan
mengadakan sukan komuniti. Hasilnya, para remaja atau generasi
muda mempunyai contoh dan panduan dalam melayari kehidupan
mereka pada zaman moden ini. Oleh itu, mereka tidak akan mudah
terikut-ikut dengan budaya barat yang serba kekurangan atau
gersang dari segi nilai dan akhlak insaniah sejati. Nyatalah,
masyarakat merupakan salah satu tangga kearah menyelesaikan
sesuatu masalah dan gejala yang sedang menjadi virus kepada
genarasi muda pada hari ini.

Intihanya, uslub dan minhaj dalam menangani kemelut disiplin ini


bukan sahaja datang dari satu atau dua pihak sahaja, tetapi
memerlukan sinergi yang utuh daripada setiap lapisan masyarakat
tidak kira warna kulit mahupun bahasa yang dituturkan. Sebagai
rakyat Malaysia yang prihatin, kita seharusnya melakukan langkah-
langkah kolektif ibarat ke bukit sama di daki ke lurah sama dituruni
supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan segera. Sikap
mementingkan diri sendiri seperti enau dalam belukar, melepaskan
pucuk masing-masing perlu dielakkan supaya Malaysia mampu
duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan Negara Dunia
ketiga yang lain.

Anda mungkin juga menyukai