Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PERASMIAN

PENUTUPAN PERTANDINGAN KAWAD KAKI PROGRAM PENDIDIKAN KHAS


INTEGRASI (PPKI)

PIALA KETUA MENTERI PERINGKAT DAERAH TIMUR LAUT

TAHUN 2019

 03 SEPTEMBER  2019 (SELASA)

 LOT 33, PRANGIN MALL, PULAU PINANG

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih
atas kesudian untuk menjemput saya sempena Majlis Penutup Pertandingan Kawad Kaki
Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Peringkat Daerah Timur Laut pada petang yang
berbahagia ini.

      

Saya dimaklumkan bahawa pertandingan seumpama ini julung kali diadakan dan saya
percaya ia telah mencapai objektifnya yang tersendiri. Tahniah dan syabas kepada semua!

Di kesempatan ini, saya juga ingin melahirkan ucapan penghargaan kepada pihak
pengurusan Lot 33, Prangin Mall yang telah melaksanakan sebahagian daripada
tanggungjawab korporat dengan memberikan sumbangan dan menyediakan tempat yang
selesa terutama kepada anak-anak istimewa yang menyertai acara kawad kaki ini.

Selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memartabatkan


sistem pendidikan dengan visi 'Pendidikan Untuk Semua', pujian harus diberikan kepada
Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan seluruh jawatankuasa yang terlibat yang
telah mengambil satu langkah maju ke hadapan dengan penganjuran aktiviti sebegini.

Meskipun bidang pendidikan adalah di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan namun di


peringkat Kerajaan Negeri, kita masih melaksanakan apa yang terdaya dan bersedia untuk
menjalinkan kerjasama terutama dalam memastikan persekitaran yang selesa kepada
anak-anak dan para guru ketika proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan.

Pada hari ini, seramai 14 buah sekolah mengambil bahagian iaitu 10 buah sekolah rendah
dan 4 buah sekolah menengah, yang melibatkan seramai 165 pelajar.  Terdapat 10
kumpulan bagi kategori sekolah rendah dan 7 kumpulan bagi kategori sekolah menengah
yang telah bertanding.
Melalui penganjuran aktiviti sebegini, ia bukan sahaja dapat meningkatkan potensi diri para
pelajar untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi, malah berupaya memupuk semangat
perpaduan dan jati diri yang mantap dalam mendepani cabaran. Semangat setia kawan dan
berpasukan dapat dizahirkan semasa para pelajar terlibat dengan pertandingan atau
program yang disertai sama ada di peringkat daerah, negeri mahu pun peringkat
kebangsaan.

Tahniah kepada para guru dan pengiring yang sabar dalam memberi tunjuk ajar dan tidak
jemu untuk berusaha mencungkil bakat dan potensi para pelajar ini. Sesungguhnya
kecemerlangan yang dikecapi di medan ini adalah hasil pengorbanan masa, tenaga dan
komitmen para guru dan pelajar yang gigih berusaha dengan segala keupayaan yang ada.

Akhir kata, semoga aktiviti ini dapat dikembangkan lagi di semua daerah di negeri ini dan
lebih banyak lagi bakat dan potensi para pelajar dapat dicungkil dan dipupuk khusus dalam
pembentukan sahsiah dan modal insan.

Dengan ini, “Saya merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Kawad Kaki Program
Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Piala Ketua Menteri Pulau Pinang, Peringkat Daerah
Timur Laut Tahun 2019.”

Sekian, terima kasih

Anda mungkin juga menyukai